Bantulah seikhlas hati

1

Posted by Leeza | Posted in


Salam semua sahabat pembaca blog saya.  Moga hari-hari anda sentiasa mendapat keberkatan daripada ALLAH SWT hendaknya. Saya tahu apa yang bermain di minda anda ketika membaca entry blog saya kali ini. Kenalkah anda dengan Puan Ramlah dan suaminya yang memerlukan bantuan kewangan , Encik Amir ? Jawapannya tentu tidak. Saya sendiripun tidak kenal mereka . Kawan-kawan saya hanya kenal ketika menjalankan jualan amal di NST , Jalan Riong, Bangsar baru-baru ini. Atas dasar kemanusiaan dan kerana kita sesama Islam, kita bantu beliau suami isteri dengan cara ini. RM150,000 terlalu besar untuk beliau dan ia diperlukan dengan kadar yang segera. Saya dengan rendah hati memohon jasa anda sahabat-sahabat pembaca blog saya untuk menghulurkan bantuan sekecilnya RM10 kepada Puan Ramlah agar suaminya Amir dapat menjalani pembedahan pemindahan hati dengan segera.  Segala prihatin dan bantuan ikhlas anda, saya dahului dengan ucapan terimakasih dan moga Allah mengurniakan anda dengan limpahan rezeki dan kesihatan yang baik, amin ya rabbal alamin.

KEMATIAN

0

Posted by Leeza | Posted in

Baru-baru ini, suami kepada satu-satunya kakak saya yang masih hidup menderita sakit. Puaslah dia berubat secara moden dan tradisional namun penyakitnya tidak juga berkurangan . Malahan penyakit lelahnya semakin teruk sehingga pada satu tahap dia sukar untuk bernafas. Dia dikejarkan terus ke hospital  bahagian wad kecemasan. Akibat kondisi kesihatannya semakin teruk dia didiagnosis mengidap TB. Lantas dia diasingkan ke wad pengasingan penyakit berjangkit menggunakan ambulans. Menurut abang saya yang memangku dia dalam ambulans, wajahnya sudah membiru. Kalaulah dia masih di Ulu Semera, mungkin kita hanya mendengar cerita sahaja tentangnya.Alhamdulilah. Namun setelah dia menjalani xray dada, perut dan tulang, doktor mengesahkan dia mengidap kanser paru-paru dan sel kanser itu sudah merebak ke tulang. Apa yang dapat saya ceritakan ialah, ketika abang ipar saya ini dikhabarkan oleh doktor , dia berpesan kepada anak sulungnya , Zarina agar dia adik beradik tidak bergaduh . Ringkas sahaja namun memberi pengertian yang mendalam....kedua beradik ini nanti terpaksa saling bergantung untuk teruskan hidup dan menjaga ibu yang juga berpenyakit darah tinggi.

Saya teringat mak saya. Beliau sudah lama uzur , selalu sakit-sakit dan sekarang ingatannya sudah semakin merosot. Beliau mudah menangis sekarang dan mudah juga marah-marah. Saya selalu dimarahinya tanpa sebab, sehingga pasal memberi ubatpun dia marahkan saya. Sabar sahajalah...hahaha.

Kanser selalu berakhir dengan kematian. Bagaimanakah persediaan kami semua dengan keadaannya. Sayangnya penyakit ini lambat dikesan. Walau bagaimanapun kami semua berusaha untuk mencari ubat alternatif lain. Semua ahli keluarga kena berkorban. Bila ketua keluarga ini tumbang, seakan patah sayap kami semua. Saya sudah lama berdikari sejak kehilangan arwah bapa saya. Dan saya harus memberi sokongan kuat kepada kakak saya sendiri. Walau dalam masa yang sama saya menjaga emak yang tidak berdaya.

Semalam saya bermimpi. Mimpi mainan tidur namun apa yang saya rasa ketika bermimpi itu benar-benar menggugat jiwa saya. Pada saat nyawa di hujung tanduk , ketika harapan untuk hidup terlalu tipis, saya teringat kepada dua orang yang ditinggalkan. Satu : emak saya....beratnya hati mahu meninggalkannya dalam keadaannya tidak berdaya....namun apa kan daya, saya akan mati juga. Dua : kak Norhayati Berahim. Saya tidak dapat bercakap dengannya namun saya sempat meninggalkan mesej suara memohon maaf atas segalanya dan minta dia sampaikan salam kepada semua kawan. KEMUDIAN ..........saya terjaga dan berpeluh-peluh. ALLAHUAKBAR....kematian itu terlalu menakutkan....namun ia pasti akan datang bila-bila masa sahaja. Mungkin peritnya perasaan abang ipar saya itu. Setiap malam dia menangis dalam telefon ketika bercakap dengan cucunya Putri.  Si Buntit itu hanya tahu Atok Janggutnya di hospital, sakit dada. Apa-apapun, kami kena redha dengan ketentuan Illahi....

BELI NOVEL SAMBIL MENDERMA

0

Posted by Leeza | Posted in

Saya akan beri sokongan semampu yang boleh untuk membantu aktiviti amal kawan-kawan saya. Berikut saya fotokopi nota dalam mukabuku kak Norhayati Berahim. Ikhlas dari hati saya untuk membantu sedaya yang boleh kerana dengan hanya ini sahaja cara saya dapat membantu dari kejauhan ini. Doa semestinya sentiasa namun usaha juga perlu untuk menjayakannya. Moga Allah permudahlan semua urusan mereka. Kawan-kawan pembaca blog saya yang berada berhampiran dengan lokasi lelongan, silalah kunjungi mereka dan beli novel untuk tujuan ini. Terimakasih atas keprihatinan anda.


MARI KITA SAMA-SAMA MEMBANTU..
by Norhayati Berahim on Saturday, September 10, 2011 at 4:38am
Dunia penulisan sangat luas. Kami mempunyai rakan-rakan di dunia penulisan kewartawanan, kreatif, blogger, kritik dan lain lain lagi. Bak cubit paha kiri paha kanan terasa juga, begitulah kami apabila ada rakan penulis kami yang memerlukan bantuan dan menghadapi masalah. Ramlah Zainal ialah wartawan Harian Metro dari meja hiburan. Saya atau anda mungkin tidak mengenalinya secara dekat ttp dia kini diduga Allah kerana suaminya mengalami masalah hati yg kritikal. Disebabkan itu hati suami Ramlah perlu diganti segera.
RM150,000 diperlukan bagi tujuan pembedahan ini dan ia bukanlah jumlah yg sedikit.
Pihak Harian Metro mahu mengadakan kutipan derma dengan cara melelong barang-barang dari para selebriti dan artis-artis. Sebenarnya sesiapa pun boleh turut serta jadi kami memikirkan mengapakah kami tidak turut sama? Jadi kami juga mahu melakukan susuatu. Kami mahu menjual novel-novel kami dan darinya akan mendermakan 35 peratus kepada suami Ramlah. 
Acara lelongan ini akan berlangsung pada 17hb Sept 2011 di NST, Jalan Riong, Bangsar jam 12 tghr  - 7 malam. 
Marilah beramai-ramai datang menemui kami di sana. Dapatkan novel2 NB Kara sambil menderma kepada Ramlah supaya suaminya segera dapat melakukan pembedahan.
Kini mungkin masa Ramlah, esok lusa mungkin masa keluarga kita atau masa kita pula. Mari beli novel sambil menderma demi tujuan murni ini.
JOM KAWAN-KAWAN ,KITA SAMA MEMBELI NOVEL DAN  BERAMAL. DIJANGKAKAN ADA BEBERAPA BARANGAN LAIN JUGA DILELONG DI SANA.
JANGAN LUPA YA...:
TARIKH  : 17 SEPTEMBER 2011, SABTU
LOKASI : NST, JALAN RIONG, BANGSAR.
MASA : 12.00 PM HINGGA 7.00 PM.
Segala keprihatinan anda semua saya dahulukan terimakasih banyak-banyak. Sayang anda semua.






Beraya Di Sekolah

0

Posted by Leeza | Posted in

 Selagi bulan Syawal belum tamat selagi itu , raya masih ada auranya. Bila masing-masing sudah kembali ke sekolah, raya masih diteruskan dengan membawa juadah masing-masing. Setiap hari meja kecil depan meja Ustaz Muhd Sabri penuh dengan makanan. Tidak hairan jika mejanya semut-semut sudah mula bersarang..hahaha. Namun dengan kekuatan semangat, saya  berpuasa sekurang-kurangnya dua hari seminggu. :) Saya berazam hendak berpuasa enam dan sekaligus mengganti cuti puasa saya. Sejak rapat dengan kak NB , dia banyak mengubah perangai saya...terimakasih.
 Pagi tadi sekolah saya mengadakan Merdeka Raya peringkat sekolah. Saya ditugaskan menjadi jurugambar memandangkan blog sekolah saya yang kendalikan. Namun pagi tadi , kami berempat terpaksa berkurung di bilik guru untuk membetulkan slip jawapan OMR untuk subjek masing-masing yang salah dicetak. Sakit mata dan tangan dibuatnya. Sebelum itu, seorang murid telah memanggil saya yang sibuk makan di bilik RMT. Saya sukakan popia basah yang dibawa oleh kawan. Menurut mereka abang Bujang (PRA) yang bawa. Saya bawalah seketul popia untuk diberikan kepada Madam T tetapi dia menolak sebab kenyang. Maka saya yang sudah kenyang memberikan popia itu kepada Noria, kerani sekolah saya. Saya beritahunya yang popia itu sedap , abang Bujang yang bawakan. Dia menerima juga tetapi wajahnya berkerut . Saya fikirkan dia tidak menyukainya tetapi kemudian saya ketawa besar bila dia lambat-lambat memberitahu yang popia itu dia yang bawa. Hahahaha...sampai sekarang saya ketawa mengenang raut wajahnya tadi.
 Antara acara yang kami suka ialah melawat kelas ke kelas. Ini pula wajah anak-anak murid kesayangan saya, kelas Tahun 3. Yang pakai baju hijau depan itu ialah 'I DON'T KNOW'...hahaha.
 Sedondon...hahaha pinjam anak orang sekejap. Mohd Firdaus murid tahun 5.
 Saya lupa siapa punya kasut merah ini. Hahaha tadi semasa di kelas Tahun 4 , saya ternampak murid ini memakai kasut. yang lain rata-ratanya memakai sandal. Saya usik kasutnya dan dia pun suruh ambil gambar kasut kami berdua. Layan sahajalah.
 Wow..banyaknya kuih-muih. Saya sukakan popia halus, coklat yang dibawa Madam dan Puding Cendol. Saya pula dalam membelek kuih-muih , saya ternampak satu bekas yang menarik minat saya, nampak biasa di mata saya. Bila saya belek bekasnya, saya ketawa sendiri...itukan kuih-muih yang saya bawa sendiri. Sengal sungguh...hahaha.Awal pagi sudah hilang ingatan.
Ini pula ketupat sate yang saya tempah. Dalam satu bungkus itu ada 5 cucuk sate dan dua ketupat. Harganya RM3.50. Ini sahajalah yang mampu saya belanja rakan-rakan satu sekolah kerana mendapat lantikan ke DG44 baru-baru ini. Syukur alhamdulilah kerana atas limpahan rezekiNya dapat saya kongsikan dengan rakan-rakan sekerja.

STEPPER : Slim and twist.
Hai-hari makan manis, berlemak, dan durian , tentulah paras kolestrol dan BP mencanak-canak naiknya. Bibir saya pula asyik luka-luka kena ulser, petanda panas. Kawan-kawan saya telah membeli STEPPER dengan harga RM280. Tiada cerita lain, cerita pasal senaman ini sahaja....hahaha. Saya sudah ada basikal di rumah namun jarang saya dapat gunakannya kerana sibuk kebelakangan ini.Mungkinkah saya akan membeli STEPPER ini ? Tunggu dan lihat....

Ziarah Aidilfitri 2011

0

Posted by Leeza | Posted in

Bersama Makcik Dyg Noriah , Ariza , Noria dan Aida.

Saya hanya berkesempatan berjalan raya pada 5 Syawal. Saya harus memikirkan penjaga mak juga seorang ibu dan berkeluarga . Dia tentulah perlu beraya bersama keluarganya.Jadi saya memilih hari sabtu untuk berjalan raya ke Kuching. Kebetulan sahabat saya Ariza akan balik ke Bintulu keesokannya . Saya membawa beberapa buah tangan yang saya beli dari pasar tani Sampun . Saya tidak pandai ke rumah sahabat baik tanpa membawa apa-apa sebagai buah tangan. Lagipun rumah yang saya akan ziarah adalah rumah yang selalu menjadi tempat saya lepak setiap hujung minggu. Makcik selalu mengambil saya dari asrama pada hari Jumaat dan menghantar saya balik pada petang Ahad. Biarpun saya dan Riza tidak lagi sama sekolah selepas SPM , namun kebiasaan ini berterusan sehingga tamat pengajian saya di maktab perguruan. Pasal makan minum tidak usah dikatakan lagi, terlalu banyak jasa keluarga ini kepada saya. Jadi setiap kali Ariza atau Kak Madzalina balik bercuti dan kebetulan sayapun punya masa terluang , kami akan bertemu di rumah ini. Rumah lama di Jalan Pisang Barat juga banyak mencipta kenangan kami bersama. Bersyukur saya sebab pada syawal ini berkesempatan mengunjungi makcik memohon ampun maaf dan minta dihalalkan segala-galanya.
Di rumah Anie, kawan baik Aida di Kampung Semerah Padi.
Setiap tahun beraya ke Kuching, rumah Anie tidak kami lupakan. Cuma tahun lepas sahaja kami tidak menziarahi Anie sekeluarga. Bila sudah dua tahun tidak ke rumah itu, maka sesatlah kami. Anie menyediakan laksa dan nasi minyak serta rendang untuk menjamu tetamunya. Dia juga membuat sup kulat yang sedap. Emak Anie yang duduk di sebelah saya sangat ramah bercerita. Seronok bersembang dengan makcik ini. Anie yang rajin memasak mengajar cara membuat ikan bilis kering bergula. Kemudian saya teringat ikan bilis buatan makcik yang sedap. Jika diberi kesempatan mahu juga saya belajar memasak dengan emak angkat saya ini.
Bersama kawan baik dan kawan sekelas di Kolej , Hajibah Ibrahim
Ini pertama kali saya ke rumah Adib @Hajibah. Adib memberikan panduan arah ke rumahnya melalui facebook. Berpandukan Aida sebagai co-pilot, akhirnya saya berjaya ke rumah Adib. Seronok sebab dapat mengenali Adib dan suaminya. Kebetulan mereka juga menyediakan beberapa juadah seperti spaghetti, salad kentang, sate, rendnag ayam , nasi minyak dan rendang daging. Terimakasih kepada Adib dan suami yang menjamu kami makanan yang enak-enak. Kami menziarahi 5 buah rumah hari ini dan ketika balik bapa Aida memberi kami buah kalak dan durian...alhamdulilah. Terimakasih pakcik .

Cerita Raya 2011

0

Posted by Leeza | Posted in

kek-kek lapis raya tahun ini
Esok dah bermula sekolah dibuka selepas cuti raya seminggu. Masing-masing masih ada mood raya dan mood kerja bagai merangkak-rangkak. Sudah beberapa hari saya tidak mengemaskini blog kesayangan saya ini kerana sibuk dengan raya. Bukan bererti saya beraya sakan tetapi memandangkan saya cuma seorang dan buat semua kerja termasuk melayan tetamu yang datang, keletihannya maksimum. Pelbagai cerita raya yang ingin saya kongsi dengan rakan-rakan pembaca. Sebahagiannya saya abadikan dalam gambar-gambar kenangan.

Emak bersama cucu dan cicitnya



Hari raya pertama kami sambut sekitar keluarga terdekat sahaja. Hanya emak ,saya dan dua anak saudara sahaja beraya di rumah. Saya memasak ayam masak merah, dalca dan hati ayam bersos lada hitam.Jam 11 pagi hidangan dihantar ke surau untuk makan beramai-ramai. Ketiadaan elektrik melambatkan semua proses penyediaan raya. Namun syukur alhamdulilah segalanya dapat diatasi...dewasa dan berdikari.

Cucu-cucu saya dari Sarikei.

keluarga sebelah arwah bapak saya.

satu-satunya adik mak yang masih hidup

Raya pertama tetap meriah dengan kunjungan saudara-mara. Raya kedua barulah rumah saya penuh dengan kedatangan abang-abang sekeluarga. Saya masak ayam kari, udang goreng kunyit dan sayur campur untuk adik-beradik saya. Bertambah meriah bila sepupu-sepupu belah emak turut datang berkunjung.
Keluarga abang saya Hamdan

Saya bersama 3 orang cucu saya

Keluarga sepupu saya belah emak : Abang Kecik

Keluarga sepupu belah emak saya : Abang Besar

Keluarga sepupu arwah bapak dari Gedong, Serian.

Tahun ini saya mempunyai 5 pasang baju raya. Sepasang warna hijau dipadankan dengan tudung fareeda pemberian kak Sri Diah, telah saya pakai pada hari penyampaian 40 pasang baju raya baru daripada sehelaibaju.com kepada anak-anak yantim dan miskin di SK Jemukan. Pada raya pertama saya gunakan baju warna kodok @ungu muda yang saya beli di KL semasa Pesta Buku , sepasang baju warna ungu gelap pemberian kawan saya Madam T saya pakai semasa berziarah ke Kuching dan sepasang lagi, warna biru yang dibeli di KL akan saya gunakan masa buka sekolah esok. :) Baju raya emak adalah pemberian saya dan abang Dee. Hanya sekali sahaja saya berjalan raya dan saya lakukannya pada hari sabtu sahaja.