SAAT KAU KATA CINTA oleh Anis Ayuni

0

Posted by Leeza | Posted in


Setelah sekian lama blog tidak dikemaskini , diam tak diam saya masih sempat meneruskan hobi saya membaca novel. Biarpun keletihan dan kesibukan tidak terkata namun novel tetap dihayati sepenuh jiwa.

Novel ini , karya penulis kegemaran saya juga, saya beli semasa Pesta Buku Antarabangsa KL yang lalu. Bulan Mac ia dibeli, bulan Julai baru dapat dibaca. Jalan cerita yang menarik sekitar kehidupan dan percutian di luar negeri. Pertemuan dan percintaan yang silih berganti namun kali ini penulis agak longgar membicarakan perjalanan percintaan Darwina dengan Hijaz, Darwina dengan Azril dan seterusnya Darwina dengan Shafi. Terkadang saya tidak menyelami indahnya cinta tiga hala ini. Walaubagaimanapun, seperti yang penulis nyatakan dalam coretannya bahawa ia menekankan lebih kepada isu cinta di bangku sekolah. Ia dapat memberi kesedaran kepada anak-anak sekolah bahawa cinta di bangku sekolah terkadang tidak menjanjikan kebahagiaan atau kekal hingga ke jinjang pelamin.

Penulis juga menyentuh isu anak tiri yang tidak sukakan ibu tirinya sehingga perkahwinan ayahnya tidak dihadiri malah berbulan tidak pulang ke rumah. Kalaulah penulis dapat menulis gambaran perasaan ibu tiri itu, alangkah baiknya. Mungkin teknik pernceritaan menggunakan watak AKU membataskan segalanya. Kasih sayang ayah terhadap Wina menyentuh rasa hati sehingga pembaca boleh menyalahkan si Wina yang mementingkan diri dan tidak memahami kehendak ayahnya. Ayah bersebab kenapa mengahwini Umi . Agaknya demikian rasa hati duda yang mempunyai anak-anak dewasa , rasa sunyi dan perlukan teman sebagai pengiring masa tua. Sekali lagi jika anak-anak remaja membaca novel ini mungkin dapat mengambil iktibar untuk lebih memahami masa tua ibu bapa masing-masing. Pun juga teknik imbas kembali kepada kisah cinta semasa di bangku sekolah memerlukan kita bijak mencerna plot cerita.

Banyak sebenarnya yang boleh dikembangkan namun demikian sudah gaya yang ditentukan. Darwina gadis manja yang menjadi kesayangan keluarga. Dia digambarkan gadis yang mampu bertahan biarpun dikecewakan oleh Hijaz dan kemudian ditipu oleh Azril yang sudah beristeri. Dia wanita yang tahu menjaga diri dan bukan wanita perosak rumahtangga orang. Saya bangga dengan perwatakan ini sebab ia tidak terliur dengan rayuan suami-suami orang, Hijaz dan Azril. Syabas untuk watak Darwina. Juga saya sukakan watak Shafi yang 'gentleman' dan berani bertanggungjawab ke atas Darwina. Dia meminang dengan cara yang baik, menyintai dan melindungi wanita idamannya.

Novel ini diperindahkan dengan percutian ke UK...satu gambaran yang menyegarkan. Namun romantisnya tidak terasa sebab hati Darwina telah dimiliki oleh jejaka yang lain. Ternyata cinta mereka mula berkembang semasa pertunangan. Itu sebaiknya, batas pergaulan kena dijaga agar cinta yang terbina di jinjang pelamin buat yang berhak terpelihara kesuciannya.

Luqman dan 'skinny'nya

3

Posted by Leeza | Posted in


Luqman menjahit seluar sekolahnya
Fesyen 'skinny' ini sudah lama popular di kalangan remaja. Saya perasan bahawa fesyen skinny ini sudah dipopularkan oleh Hairul abang Luqman yang ke 2 beberapa tahun lepas. Kemudian diturunkan kepada adiknya Azizi. Sehinggalah Luqman mewarisinya. Jika ditanya pendapat saya tentang fesyen ini, tak suka saya menengoknya...sungguh hodoh dan selekeh. Saya pernah bising dengan Azizi bila seluar sekolahnya dikecilkan kakinya.

Tahun lepas, saya pernah naik angin bila keluar shopping dengan Luqman, Azizi dan Redzuan kerana seluar skinny ini. Redzuan pernah bermasam muka dengan saya kerana saya tidak meluluskan seluar pilihannya. Bagaimanalah saya hendak menyetujui jika mata saya sakit melihat seluar jeans yang berconteng ,koyak dan pudar warnanya. Begitu juga dengan Azizi, bila saya membebel dia memilih fesyen seluar yang saiznya lebih besar dari saiz pinggangnya. Ini nak pamerkan punggung dan seluar dalam koyak, leter saya. Dan Luqman pula dialah yang paling saya angin sebab dia hendakkan seluar skinny berpetak lagak orang remaja yang sudah besar. Bukannya saya tidak mahu menunaikan kehendaknya tetapi saiz badannya terlalu kecil sedangkan seluar itu hanya untuk yang berbadan besar dan tinggi. Dia pula bersaiz budak berumur 10 tahun.

Sekarang saya sudah jenuh menegur kegilaan Luqman kepada fesyen skinny ini. Bermula dengan seluar jeans yang dikecilkannya, kemudian seluar baju melayu. Nasib baik baju melayu tidak diskinnykan. Apabila mak saya komplen ketiadaan jarum dan benang , saya sudah tahu siapa punya angkara. Sekarang dia kecilkan seluar sekolahnya. Tiap malam dia menjahit seluar sekolahnya kerana cikgu-cikgunya tidak pernah berhenti mengarahkan jahitan ini dibuka. Sehingga sehelai daripada seluarnya koyak sebab selalu dibuka jahitan dan dijahit tanpa henti. Saya sudah letih menegur dan menasihatinya, maka saya biarkan sahaja. Minggu lepas dia membawa sehelai seluar yang tidak dikecilkan di dalam beg. Dia akan menggunakan masa cikgu lelaki yang selalu mengarahkannya membuka jahitan.

Bila menjadi seorang ibu menjaga anak saudara bukan sedikit dugaannya. Terima kasih kepada kakak NB yang selalu memberi semangat dan nasihat dalam menanggani karenah Luqman. Pada mulanya bila berdepan dengan kenakalan Luqman, saya akui saya hampir berputus asa. Namun saya sedar masa depan Luqman terletak di tangan saya. Bagaimana saya hendak menghalaunya dari hidup saya jika dia sendiri menyerah diri, makan minum di rumah saya. Sedikit demi sedikit saya menanggani kenakalannya. Dia sebenarnya memerlukan perhatian dan kasih sayang. Baru saya faham kenapa neneknya memanjakan dia terlampau. Sejak neneknya sakit saya menumpukan sepenuh perhatian dan masa saya kepada mereka berdua. Bermula awal pagi jam 5 saya sudah membangunkan Luqman. Masa itu dia akan bangun , mandi, bersiap-siap ke sekolah. Namun hampir sejam itu , kena sabar dengan sikap suka bermalas-malasan depan TV . Seusai cerita animasi Jacky Chan baru dia bergerak ke sekolah. Ayahnya saya tugaskan menghantar dengan motosikal. Alhamdulilah ayahnya tidak pernah culas menghantarnya ke sekolah.

Penyakit Luqman ada dua iaitu malas ke sekolah dan selalu keluar malam. Penyakit malas ke sekolahnya saya atasi dengan berbincang bersama guru-gurunya di sekolah. Sekarang jika sehari dia tidak hadir, guru kelasnya sudah menghantar sms kepada saya. Dan penyakit keduanya, saya sudah kunci rumah jam 7 malam. Tiga hari berturut-turut saya buat demikian dan pada hari ke empat dan seterusnya Luqman mengunci sendiri pintu-pintu tersebut. Alhamdulilah senang saya menjaganya sekarang. Saya berdoa agar Luqman tetap senang dijaga dan saya takkan berputus asa terhadapnya. Biarpun apa orang kata bahawa saya sengaja menempah masalah dan beban, bagi saya Luqman sudah ditakdirkan untuk menjadi anak saya. Doakanlah saya untuk terus tabah menanggani anak seperti Luqman ini.

Membunuh Tikus

1

Posted by Leeza | Posted in

Kalau rumah saya dikunjungi oleh tikus, saya dapat mengesan kehadirannya. Kalau sudah sampai tahap masuk ke bilik saya, tentu sahaja saya angin dibuatnya. Kebiasaan mak saya yang uruskan pembunuhan tikus tersebut. Namun kerana dia tidak sihat ,maka terpaksalah saya uruskan sendiri. Saya memasang perangkap dengan berumpankan kelapa dan letak di dalam bilik abang saya yang bersebelahan dengan bilik saya. Mungkin kerana bilik-bilik atas tidak diduduki maka tikus tersebut bermaharajalela. Awal saya meletakkan perangkap tersebut .

Sedang saya sibuk menggoreng jejemput pisang di dapur untuk minum malam kami tiga beranak, si Luqman berlari mendapatkan saya memberitahu yang perangkap telah mengena. Saya mengajaknya kerana saya cukup geli dengan tikus. Tepat jangkaan Luqman, seekor tikus yang besar telah masuk dalam perangkap.

Sekarang tiba masa untuk membunuhnya, satu perkara yang saya tidak sampai hati nak lakukan. Mula-mula masak air satu cerek sehingga mendidih. Kemudian tuang ke atas tikus di dalam perangkap itu sehingga ia mati. Kalau sudah mati masukkan ke dalam plastik dan buang ke dalam sungai. Nasib baik Luqman sanggup untuk membunuhnya. Kesian mendengar ia menjerit kesakitan....Tugas memasukkannya ke dalam plastik ialah mak saya....geli saya menengok ekornya. Kemudian Luqman membuangnya ke sungai. Satu masalah dengan budak ini ialah , saya terpaksa temankannya ke sungai kerana dia takut. Tak masuk dek akal langsung sebab selama ini dia suka berjalan malam sehingga jam 9 dan 10 malam baru balik. Sejak beberapa minggu ini saya pastikan pintu dikunci seawal 7 malam untuk menghalangnya keluar rumah pada waktu malam. Malam esok si Luqman mengajak memasang perangkap tikus lagi. Perangkap itu kena dicuci dan dijemur terlebih dahulu untuk menghilangkan bau tikus.

I Love You So Much , Mak

2

Posted by Leeza | Posted in


Pada petang Sabtu yang lalu, 10 Julai 2010, abang Saidi membawa mak ke Kuching untuk rawatan klinik kerana emak menghadapi penyakit sembelit dan sakit pinggang. Kemudian emak dihantar ke rumah abang Sabri untuk check up darah bagi mengesan kandungan garam dalam darahnya pada pagi 12 Julai 2010. Paginya abang Sabri menelefon saya memberitahu bahawa emak bermalam semalam lagi di rumahnya. Namun petang itu dia menelefon saya memberitahu bahawa emak minta dihantar pulang. Hati saya rasa tak sedap. Adakah apa-apa berlaku kepada mak ? Saya terus menyediakan segala keperluan mak saya, masakkannya bubur nasi, ikan, sup sayur, kemas tempat dia berbaring di ruang tamu dan persediaan yang saya buat ini amat membantu sekali kerana selepas itu, ramai yang melawat mak.

Tepat jam 6 petang, mak saya tiba dihantar oleh abang saya dengan menantunya. Dia balik berusung di atas tilam. Wajahnya pucat sekali dan mata terpejam. Saya dapat mengawal rasa sedih dan marah pada masa itu. Sebaik mak dibaringkan, saya terus merasa dahinya dan suhu badannya panas sekali. Tanpa berlengah saya terus mengambil besen, air suam dan tuala. Saya basahkan dan saya lap terus mukanya, badan dan kakinya. Saya tuamkan tuala itu di kepalanya.Kemudian saya terus tanyakan soalan tentang ubat yang diberikan kepada emak untuk mengelakkan saya memberi ubat yang sama . Saya dapati abang dan kakak ipar saya gelabah dan takut . Mak sakit tenat, tentulah takut. Saya terus berikan mak saya panadol yang saya lumatkan kemudian letak air supaya ia cair dan cecair magnesium trisilate ( ubat angin/gastrik) . Beberapa minit kemudian, mak saya sedar dan boleh bercakap-cakap. Saya terus mengarahkan abang-abang saya melayan mak bercakap sementara saya mengambil bubur nasi dan ikan goreng. Ketika tangan kanan memegang pinggan dan tangan kiri memegang secawan susu, saya terdengar kecoh mak saya pengsan lagi. Masa itu, saya hanya mampu menghadap wajah dia. Saya terus usap badannya dengan tuala basah. Kemudian sapu dengan minyak yang pernah diberikan oleh seorang pawang. Keadaannya semakin uzur, saya pasrah jika masa itu Allah hendak mengambil mak saya tetapi doa saya biarlah dia pergi dalam keadaan selesa dan tidak sesakit itu. Semua beradik berkumpul, sepupu2 saya pun balik sama. Salah seorang kakak sepupu saya, Saadiah yang pernah mengajar saya 'lip reading' adalah bekas jururawat. Dia yang banyak membantu dengan memberikan air sedikit demi sedikit. Jangan putus memberi mak air , katanya. Kami berikan mak makan air bubur. Semuanya dalam bentuk cecair. Malahan ubatan yang bentuk pil pun dihancurkan. Dia juga diberikan 'pampers' sebab mak tak boleh bangun. Tahukah anda bagaimana rasanya ketika menyuap air ke bibir mak, dan mengelap bibirnya dengan tisu, airmata saya menitis sedikit demi sedikit. Tuhan, jika di seluruh dunia ini ada anak yang melukai hati ibunya, saya TERSANGAT MARAH DAN SEDIH.

Keesokan petangnya, mak mahu dihantar ke klinik setelah dipujuk banyak kali. Kami membawanya ke Klinik Desa Semera untuk mendapat surat rujukan jika penyakitnya semakin tenat. Kebetulan yang bertugas ialah Awang Erwandy, yang saya sudah biasa kenal. Dia teruskan berikan mak saya water drip (air garam) dan pil kepala pusing. Saya pun tak tahu nama sainstifiknya. Beberapa minit kemudian , alhamdulilah mak saya sedar dan boleh buka mata. Menurut Awang Erwandy mak saya demam panas dan kurang air. Balik dari klinik, dia sudah minta duduk di atas kerusi. Kemudian sempat dia marahkan kami sebab tak bawa dia awal-awal ke klinik. Hahahaha....sedangkan dia sendiri tidak mahu dibawa ke klinik sejak awal.

Sekarang saya menjaga mak saya dengan ketat. Seminitpun saya tak biarkannya. Ubatannya saya jaga. Ubat yang wajib untuk mak ialah pil darah tinggi dan ubat cecair untuk angin . Dia kena makan dan pastikan perutnya tidak kosong. Saya jaga semua pemakanannya. Begitu juga hal remeh-temeh. Syukur alhamdulilah sebab saya diberi peluang untuk menjaga mak saya. Mulai hari ini saya takkan biarkan dia keseorangan ke rumah anak2nya yang lain. Seawal pagi, saya bangun untuk masak bubur nasi untuk mak , makanan, air panas diletak dalam dua termos, pakaiannya, dan sebelum saya ke sekolah, saya pastikan dia makan pagi, kemudian makan ubat-ubatnya. Bila saya bekerja , kakak saya yang tinggal di depan rumah akan menjaganya pula. Tugas ini akan disambung oleh saya sebaik balik dari sekolah. Tiada lagi rasanya masa untuk saya berjalan-jalan pada hujung minggu. Biarlah saya sebegini demi untuk mak saya. Mak tiada dua tiga di dunia ini. Mak tiada terjual di kedai manapun. Masa mak sihat , nikmati masa-masa dengan mak kita. Masa mak masih hidup, hargai dia sebab tiada kita tanpa mak. Dia yang melahirkan kita. Bukankah kedudukan mak lebih mulia? Dengar cakap mak sebab hidup kita akan lebih berkat dan direstui oleh doa mak.

Semasa mak saya sakit, malam itu ramai penduduk kampung datang membaca surah yassin untuk mak saya. Anak-anak saudara mak juga datang dan mereka banyak membantu kami menguruskan mak. Dua sepupu lelaki saya, Abang Besar dan Abang kecik sanggup datang dari jauh . Adik mak cuma tinggal seorang. Adik beradik sebelah arwah bapa juga melawat semasa mak di klinik. Mereka ini semua datang dengan mata merah....sakit mata. Mak saya sekarang asyik risau dia kena jangkitan sakit mata. Hairan saya, dalam mamainya tahu juga dia mereka ini sakit mata. Syukur alhamdulilah...hanya kepada Allah saya mohon untuk membalas jasa mereka ini bagi pihak keluarga saya. Dua malam berturut-turut, adik mak bermalam menjaga mak saya. Adik bongsu mak ini agak rapat dengan mak saya. Hanya mereka berdua sahaja yang hidup daripada empat beradik. Jadi beginilah keadaan kami berempat (Luqman, saya, mak dan adik mak) tidur selama dua malam itu...tidur berkelambu sebab nyamuk banyak.

Tabahkan Hati

2

Posted by Leeza | Posted in

Sejak 2 minggu ini rutin harian saya berubah dengan drastiknya. Dalam masa 2 minggu ini, mak saya jatuh sakit. Beliau menghadapi kesyukaran membuang air besar. Sakitnya bertambah dengan kesakitan di bahagian pinggang menyebabkannya susah untuk bangun dan bergerak. Ketika entry ini saya tulis, beliau sudah boleh bangun dan bergerak tetapi sudah 6 hari tak buang air besar dan sukar tidur malam. Ketika beliau sakit saya merasa diri sayapun sakit sama. Setiap saat saya berdoa agar Allah kurangkan sakitnya. Jika sudah sampai masanya pun biarlah dia berada dalam keselesaan. Dia sudah terlalu tua untuk melalui semua penderitaan ini.

Dari segi fizikal , tugas saya kian bertambah. Seawal 430 pagi saya bangun, masak air, masak bubur nasi untuk mak, siapkan lauknya , siapkan Luqman ke sekolah dan segala-gala untuk keperluan mak seperti membersihakan bekas kencing mak, kumpul pakaian kotor mak, kemas dapur dan sebagainya. Jam 6 pagi saya mesti pastikan Luqman ke sekolah. Dia sudah 13 tahun dan menjadi kemanjaan neneknya. Jika dulu, neneknya mengambil semua keperluannya pakaian dan makanannya dan diserahkan kepadanya, tapi kali ini saya mengajar dia berdikari. Makan-minumnya saya sediakan , pakaiannya siap berseterika saya letak di tempat yang sedia untuk diambilnya. Alhamdulilah kerana selama 2 minggu ini dia tidak meragam ke sekolah seperti biasa. Malah dia banyak membantu saya waktu petang dan malam. Dia bantu tengokkan neneknya ketika saya sedang mandi dan mencuci pakaian atau tengah memasak. Seminggu ini saya amalkan mengunci pintu rumah sebelum maghrib ,jam 630 petang. Saya tidak mahu lagi Luqman terbiasa keluar malam dan alhamdulilah sebab 2-3 hari ini, kawan-kawannya tidak lagi datang menyeru dia bermain.

Sebelum ke sekolah saya pastikan kakak saya mengambil giliran menjenguk mak . Saya kena tinggalkan ubat yang telah disukat ml nya sebab kakak tak tahu tengok sukatan ubat. Balik sekolah saya sambung tugas sehingga malam. Malam-malamnya , badan sakit-sakit seperti lepas kerja buruh. hahahaha.

Dari segi mental, sabar mahu banyak-banyak. Isghtifar banyak kali...Ketabahan perlu untuk menjaga orang sakit. Mak saya pernah mengeluh : aku punya anak yang ramai, tetapi bila aku sakit seorangpun tak mahu jaga aku. Saya terasa juga sebab saya tidak dapat 24 jam berada di sisinya. Pernah sekali ketika saya hendak solat maghrib di penghujung waktu dia memanggil saya, dan saya terpaksa minta dia bersabar 5 minit sahaja. Ketika kakak saya mengadu mak tak mahu makan pada jam 5 petang, saya biarkan sahaja dulu. Bila sudah jam 6 petang baru saya memujuknya makan nasi bubur . Dia makan sebab saya sudah jelaskan yang dia kena makan dulu sebelum telan ubat . Ubatnya semua dalam bentuk cecair kecuali pil darah tinggi. Ubat sembelitnya sudah menjangkau 8 jenis dan kesemuanya saya cuba. Bila kakak ipar dan abang memaksa saya berikan ubat-ubat yang mereka bawa balik mengikut cadangan kawan-kawan , saya angguk kepala sahaja namun saya tidak berikan secara mendadak. Mana mungkin kita berikan ubat 2-3 jenis secara serentak sebegitu. Kesian dia. Ketika di hospital, masa abang-abang saya semua ada berkumpul bersama isteri masing-masing, saya pastikan mereka semua melayan mak. Sebab mereka anak-anak kesayangan mak saya dan tentu dia ingin bermanja dengan anak-anak kesayangannya. Hati wanita tua....hanya waktu begini sahaja dapat merasa belaian anak-anak. Alhamdulilah sebab mereka semua faham. Dalam keadaan sebegini, adik-beradik kena bersatu dan bekerjasama...sebab mak hanya seorang dan dia yang melahirkan kita.

AKU,ILUSI DAN DUNIAKU

1

Posted by Leeza | Posted in

Ini adalah cerpen ke dua yang pernah saya hasilkan selepas Memori Di Pantai Miami . Memori Di Pantai Miami pernah menang hadiah saguhati pertandingan esei dan cerpen anjuran Kolej DPAH Abdillah, Kuching. Cerpen Aku, Ilusi dan Duniaku ini saya tulis pada tahun 1987 dan memenangi hadiah penghargaan pertandingan menulis esei, cerpen dan sajak di SMK Tun Abg Haji Openg, Petrajaya , Kuching. Pada tahun 1998 saya menghantar cerpen ini ke majalah Media Hiburan. Ketika saya mengoogle nama saya , terjumpa maklumat cerpen ini di OPAC1 bawah kategori cerpen melayu Malaysia. Rupa-rupanya saya baru tahu bahawa cerpen ini pernah disiarkan di Media Hiburan pada 27 Mac 1998, Media Hiburan bilangan 672. Jadi saya kongsi cerpen ini di sini untuk bacaan rakan-rakan saya. Jangan lupa bagi komen ya....ini cerpen remaja berusia 19 tahun.

Hari-hari kau datang, melihat wajahmu aku rimas. Aku harap kau akan sentiasa senyum padaku. Ini sudah emosi gila.

Setiap waktu, aku ingin bersamamu. Aku inginkan kelembutanmu. Bila kau senyum, aku senyum.Bila kau ketawa,aku diam dan bila kau bercelotehaku khusyuk.Pada setiap kata-katamu,ada nasihat di situ. Aku sedar. Aku insaf. Kau memang guruku yang baik.

Engkau sebenarnya tidak tahu. Bila kau tidak tahu, kau tak mengerti. Dan bila kau tak mengerti,kau lukai hatiku. Mulutmu jahat. Selalu sindir dan cemuh itu ini. Namun, aku tahu kau cuma gurau sahaja. Itulah sebabnya aku tak peduli. Aku tak kecil hati. Aku dah besar. Aku dah dewasa , kalau merajuk macam orang tua. Aku belum tua lagi. Baru sembilan belas tahun. Aku tak mahu jadi orang tua.

Kau lihatlah aku ini. Aku riang. Aku nakal. Si A pun selalu marah-marah. Aku peramah tapi mulutku jahat. Aku suka bercakap. Aku suka membidas. Dan aku paling suka menyampuk. Itupun hanya sebagai usikan . Aku suka mengusik .Aku suka tengok orang merajuk. Tapi, kalau kau nak usik aku, usiklah. Aku tak kecil hati. Zaman sensitif telah berlalu. Itu zaman aku kecil-kecil lagi. Kau nak buli , bulilah. Tak peduli. Aku tahu kau sayang aku. Macam kau sayang siapa-siapa ank muridmu. Aku tak ada masa nak gaduh-gaduh lagi. Itu perangai anak kecil, anak hingusan. Ahh...aku mana ada hingus lagi. Ada hinguspun, hingus selesema.

Semua orang kenal aku. Aku popular. Aku dipuji, budak baiklah, budak rajinlah, pelajar contohlah dan entah apa-apa lagi. Aku paling anti kena puji. Aku benci , hari ini kau puji, belakang hari entah apa kau kutuk aku. Aku serik....pujian sering kali tidak ikhlas. Itu lumrah. Aku buat 'don't know' saja. 'Take it easy', kata orang putih. Aku hairan, kenapa ramai kenal aku. Tingkatan satupun kenal aku. Kalau aku berjalan di mana-mana , ada saja panggilan, "kakak!", "kakak!". Pernah suatu hari seorang adik berikan sekuntum bunga teratai padaku di jalanan. Aku suka sekali. Aku suka bunga tetapi aku cinta mawar merah. Namun ,terimakasih adik yang tak dikenal nama. Kau tak tahu apa yang aku cinta.

Sayang seribu sayang, kau tidak tahu. Mereka tidak tahu dan mak bapakpun tidak tahu. Aku ini memang sudah gila. Gila aku gila aneh. Bukannya gila Batu 7.

Dalam diriku telah lama tersarang duka. Telah lama derita bernanah.Mula-mula aku gila kasih sayang kakak. Aku untung, aku ada R,J dan E. Tiga orang wanita itu menyenangkan. hati marah jadi lembut.Hati sunyi jadi riang. Itu dulu. Dulu memang aku aneh. Tanpa mereka aku tak dapat belajar. Macam penagih dadah, tanpa dadah lembik persis belon bocor. Sekarang lain. Dulu sayang sekarang...entah!Aku tak tahu. Tidak! Aku tetap sayang. Merekalah tempat pelarianku. Pelarian dari sikap orang-orang yang aku benci.Mereka gila . Gila kerana menyuruhku berhenti sekolah.Ahhh....tak rela aku dipaksa. Aku ingin belajar lagi. Aku ingin mencapai tangga menara gading. Aku ingin punyai segala-galanya yang tak pernah aku rasai. Dulu haram aku nak pakai cantik-cantik. Dulu haram aku nak naik kereta. Yang pernah aku naik ialah kereta kuning hitam milik 'Apek Teksi'. Itupun sekali sahaja. Mereka bilang tidak punya wang. Dan aku mengerti itu. Tapi aku ada usaha. Aku ada sumpah. Dan sumpah mesti ditunaikan. Aku tak mahu dimakan sumpah. Nanti aku jadi gila Batu 7. Biarkan aku belajar.

Aku ingat. Kau selalu cerita tentang dunia kampus. Bagaimana ya kalau aku sepertimu ? Aku pernah rasai suasana bilik kuliah . Itu baru kolej. Bagaimana ya, kalau di sana nanti aku berada? Tentu sungguh indah. Tentu saja fantastik. Ceritamu membuat aku rindu. Aku rindukan dunia kampus. Aku rindukan gelaran siswi. Ahh...dapatkah ku capai semua ilusi itu? Bagaimana dengan usaha ? Aku jadi takut. Takut untuk menanti November. Kau selalu ingatkan aku pada November. Aku tengok kiri kanan. Mereka sedang belajar. Sedangkan aku ? Aku masih di sini. Aku dibuai rindu. Rindu pada mawar merah, laut biru dan awan memutih. Kenapa dan kenapa aku tidak tahu. Aku ingat muka-muka hitam, menerpa dan menyerkupku dengan ganas. Aku lihat ada rindu dan harapan berkecai. Aku lihat mawar merahku berkecai berguguran satu persatu.Aku lihat laut biru mengganas hitam...hitam dan ganas. Dan ku lihat awan putih tiada lagi. Yang ada ialah langit kelabu menutup deritaku. Derita yang berpanjangan....dan jauh di sudut hati, hati ini tiada lagi milik siapa. Kasih untuk siapapun telah tiada lagi. Aku kini milikku sendiri.

Kau tidak tahu.Merekapun tidak tahu. Aku amat sayang pada mak.Maklah bapa. Maklah ibuku. Mak rela berjemur di tengah panas terik . Mak rela terbongkok-bongkok dengan kelapa sarat di belakang. Muka mak hitam legam dibakar mentari. Muka mak hitam dilumuri arang-arang yang mak buat. Mula-mula mak belah nyiur di kedai Alan. Mak jemur ,mak cungkil. Itu semua tanpa gaji. Upah mak ialah tempurung. Tempurung mak bakar. Bila jadi arang, mak kumpul dan mak jual. Seguni arang mak dapat empat ringgit. Itu semua untuk kami. Kerana arang tangan mak berparut putih. Tangan mak tercedera, terbakar. Oh api! Kau nyalakan hati ini melihat penderitaan mak.

Aku tidak tahan! Bila malam mak kelelahan. Tapi mak tabah. Mak buka mata sampai larut malam. Mak anyam tikar pandan dengan sebuah pelita usang yang kecil. Suram cahayanya sesuram hatiku melihat mak. Aku selalu marah-marah mak. Aku suruh mak berhenti buat itu semua. Tapi mak jawab, "Apa yang kita makan?"

Aku memang tidak rela di sini. Biarkan aku ganti tempat mak. Biarkan mereka enggan bersamamu. Aku tidak mahu, akulah anakmu. Aku anak pembuat arang. Aku rela itu semua. Tapi kau tidak relakan itu, mak. Mak mahu aku teruskan perjuangan. Kata mak, tempatku bukan di situ. Arang bukan sumber rezekiku. Duniamu bukan duniaku.

Kau yang tidak tahu ,kini telah tahu siapa aku. Merekapun tahu siapa aku. Aku anak pembuat arang. Itu semua duniaku. Dunia mak. Tetapi aku di sini, menatap wajahmu, menatap warna-warna putih. Kau ajar aku menggariskan warna di situ. Katamu, itulah warna masa depanku. Tapi aku tahu warna hidupku , warna hitam. Persis arang. Ku lihat garis senyum di bibirmu. Ku lihat kelembutanmu. Ku lihat sinar matamu yang bening. Kau semua duniaku.Memang indah. Ya..duniaku. Itu kata mak. Memang kau dunia impianku. Kaulah kakak, kaulah abang dan kau juga sahabat karib. Aku bahagia dengan kasih sayangmu. Aku terhibur tetapi dukaku masih ada. Duniaku bersamamu hanya impian. Duniaku duniamu tidak sama. Duniaku bukan bersamamu. Kita tak serupa,sayang!