TERZAHIR DI SANUBARI oleh Adra Adlina

Posted by Leeza | Posted in


Terimakasih kepada penulis novel 'Terzahir Di Sanubari' , Adra Adlina atas hadiah novel ini sebagai kenangan. Semoga akan terus menulis dan menghasilkan novel yang lain pula.

Secara ringkasnya , novel ini mengisahkan tentang Analia yang menghadapi liku-liku hidup sebagai remaja , kemudian berdepan dengan segala konflik hidup dalam persahabatan dan percintaan. Novel ini mengungkap kisah cinta pertama. Selalunya yang pertama tak bersatu di jinjang pelamin. Hanya yang bertuah sahaja yang menjadikan cinta pertama menjadi cinta terakhir hingga hujung nyawa. Persahabatan yang tulus di antara Analia dengan Ejal bermula dengan pelbagai insiden pergaduhan. Pun begitu , rasa cinta sebenarnya sudah berputik antara mereka. Cuma kekeliruan Ejal yang obses dengan daya tarikan kecantikan milik Natasya menjadikan buta terhadap rasa hati sebenar. Secara mudah Ejal meletakkan Analia menjadi sahabat teristimewa dalam hatinya. Dalam masa yang sama , pertemuan Analia dengan bintang pelajar kolej, Nafiz menjadikan hati si gadis yang merasa terpinggir oleh Ejal sedikit demi sedikit tersentuh dengan perasaan halus. Maka bermulalah bibit-bibit cinta antara ke duanya namun Analia ego mengakui sehingga dia menolak lamaran cinta Nafiz sebanyak tiga kali. Watak antagonis, Natasya yang sakit hati bila Ejal meletakkan Analia istimewa membalas dendam dengan memfitnah Analia dan Ejal. Nafiz yang cemburu akhirnya memutuskan hubungan cinta yang baru bermula. Bila hubungan mereka kembali bertaut, Nafiz pula ke luar negeri untuk memujuk abang kembarnya kembali ke tanahair. Trajedi kemalangan yang meragut nyawa Nafiz menjadikan abang kembarnya Nadhif balik menyamar sebagai Nafiz. Segala keinginan Nafiz ditunaikan kecuali menyintai Analia. Benar, cinta itu tidak boleh dipaksa. Ejal yang putus hubungan dengan Natasya setelah rahsia terbongkar pengkhianatannya terhadap Analia dan Nafiz, kembali merapatkan diri dengan Analia. Maka setelah segalanya terlerai dan apa yang tersurat dan tersirat disingkap kebenarannya , maka dua hati yang telah lama bertemu kembali bertaut. Akhirnya cinta Analia menjadi milik Ejal.

Bagaimana saya hendak menghuraikan ulasan saya secara peribadi? Apa yang pernah seseorang katakan kepada saya, si Liza Bujang kalau membuat ulasan sampai esok haripun belum habis. Jalan cerita menarik, dan lebih kepada remaja. Mungkin kerana saya bukan remaja lagi maka kisah sebegini tidak menyeronokkan saya. Sebenarnya lama saya mengambil masa membaca novel ini. Naluri saya kuat menyatakan cerita novel ini ada unsur-unsur drama korea. Saya menonton drama 'Boys Over Flowers' dan kemudian membuat perbandingan. Ada beberapa unsur yang dicedok oleh Adra dalam drama ini yang kemudian diubah suai ke dalam novel. Antaranya wujud kumpulan pelajar : FAN sehingga notis segala aktiviti kolej mesti ada label FAN (Fahmi, Azil dan Nafiz) .Ia mirip dengan F4 dalam BOF. Kemudian bekalan makanan yang Analia siapkan untuk Nafiz, terukir indah seperti hidangan bekalan makanan Geum Jan Di untuk Gu Jun Pyo dalam BOF. Ada lagi, iaitu saat Analia menjadi orang gaji di rumah Nadhif untuk membuktikan cintanya pada Nafiz .

Walau bagaimanapun, kematangan penulis dalam pengolahan ayat ternyata amat memberangsangkan. Struktur ayatnya cantik dan sesuai dengan dunia remaja. Kemudian ada info yang ditulis tentang keadaan orang yang cacat pendengaran. Walau cacat, namun nasib Nafiz bertuah kerana berjaya menjalani pembedahan untuknya hidup dengan sempurna. Walau dia tidak mendapat kasih sayang ke dua ibubapanya. Hubungan percintaan walau remaja terpelihara dan tidak melampau-lampau. Semua watak ternyata dari keluarga yang baik-baik, melimpah dengan kasih sayang. Persahabatan yang terjalin pun tulus ikhlas dan kerana dasar persahabatan inilah maka unsur negatif dan dengki khianat seperti Natasya berjaya disedarkan .
Ibubapa yang terpesong dan khayal dengan dunia sendiri akhirnya beroleh nur keinsafan dengan usaha dan doa seorang anak. Benarlah bahawa doa senjata kita yang paling ampuh. Suka- duka remaja akhirnya berakhir dengan kebahagiaan untuk semua orang. Kaum ibubapa sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam kehidupan remaja agar gejala sosial seperti pembuangan bayi, hubungan seks haram dan maksiat dapat dihindari.

Satu cubaan yang baik dari penulis remaja....tahniah .

Comments (0)