Sibuk Sangatkah?

Posted by Leeza | Posted in

Sudah lama saya menyepikan diri dari menulis di blog ini. Bukannya mengembara ke manapun hanya duduk di daerah ini sahaja. Kalau diikutkan hati, seribu perasaan ingin diluahkan dalam blog ini namun sejak saya mengenal diri , sebahagiannya harus disimpan menjadi rahsia peribadi.

Bermula minggu yang melukakan hati...hari-hari terasa hidup di atas bara api...panas dan asyik kata-kata yang pedas keluar dari bibir. Namun kejadian ini, membuat saya bermuhasabah diri tentang rahmat di sebalik semua dugaan ini. Jangan pernah berhenti berharap kerana ia membangkitkan rasa semangat untuk terus berjuang. Bukankah dunia pendidikan ini telah dipilih sebagai jalan hidup. HIJRAH.....sudah tiba masanya untuk mengorak langkah ke dunia baru yang lebih mencabar. Jika tidak sekarang ,sampai bila-bilapun takkan berubah sedangkan hati sudah dicemar dengan rasa kecewa. Bersabarlah hati kerana rezeki untukmu sentiasa ada.

Jika berduka pandanglah wajah-wajah mulus dan tulus milik anak-anak ini. Dan ternyata anak-anak didik saya juga yang melenyapkan rasa kecewa dan duka itu. Saya kembali tertawa dan nikmati keseronokan bersama mereka. Semangat mendidik kembali mencanak dan berkobar-kobar. Umpama hujan lebat yang turun tanpa hentinya sebegitu jugalah idea dan teknik-teknik mengajar....segalanya perfect dan menyeronokkan. Target pembelajaran harian mencapai had ke maksimumnya ....tanpa diduga , harapan yang malap di tahun 6 menjadi cerah tiba-tiba. Anak-anak itu daripada 25% lulus Sains melonjak kepada 72%, kemudian 84% dan yang terakhirnya 94%....tolak dua murid yang buta huruf : Hasiman dan Firdaus.Itupun mereka boleh dapat D. Senakal-nakal Iziary dan Nazreen, mereka kembali menyejukkan hati. Saya kembali berazam untuk mengekalkan kecemerlangan sekolah ini seperti tahun lepas. Mungkinkah tahun ini merupakan tahun terakhir saya di sini? HIJRAH....itu yang sering berlegar-legar dalam kepala saya.

Setelah sekian lama sihat walafiat, saya mendapat demam yang berlarutan dengan batuk beberapa minggu. SUDAH TUA...antibodi badanpun lemah. Inilah dugaan ALLAH. Bagaimana penat dan sakitnya kepala, saya tetap teruskan hari-hari mengajar. Tak ingin memanjakan diri dan meminta cuti. Cuma kebiasaan membawa sekotak tisu dan sebotol air mineral ke hulu hilir seakan menjadi fenomena yang biasa. Dengan anak-anak saya bersabar sangat-sangat tetapi menjadi lebih sensitif dengan staf sekerja. Baru-baru ini saya teringin hendak makan sebiji epal, saya mengarahkan murid saya meminta dari guru RMT kerana masa itu saya sibuk dengan data program nilam yang perlu dikemaskinikan. Malangnya cikgu itu bergurau salah tempat...diberinya saya sebiji epal bantut yang kecut dan buruk. Saya terasa sangat sedih dan kecil hati sungguh-sungguh. Saya bawa balik ke rumah, dan letak di atas meja. Ketika menjamah makan tengahari, tetiba saya menangis melihat epal bantut itu. Hina sangatkah saya sehingga ketika selera ingin makan epal diberikan epal buruk? Namun sejak itu saya sudah tidak tersenyum lagi dengan guru tersebut...hilang hormat saya kepadanya. Dalam hati berkata, patutlah hidupnya tak pernah senang-lenang...suka mempersendakan orang. Saya berighstifar....sejahat itu saya membuat 'sumpahan' kepadanya hanya kerana sebiji epal. Begitulah sensitifnya saya saat kesibukan dan kesihatan yang tidak menentu.

Hujung minggu ini saya akan bertolak ke Kuala Lumpur atas urusan kerja. Saya berdoa Allah permudahkan segalanya kerana saya tidak mahu berleretan di kemudian hari. Kemudian minggu depan keluarga kesayangan saya akan datang ke Sarawak....saya menghitung hari ke saat itu. Rindunya saya pada si Teta....

Comments (0)