LAYANG-LAYANG BERTALI KACA oleh Norhayati Berahim

Posted by Leeza | Posted in


Novel ini dilancarkan semasa Pesta Buku Antarabangsa KL 2010 di PWTC 19 mac yang lalu. Ia saya khatam hari ini setelah seminggu mencari masa dan menghayatinya sungguh-sungguh. Memegang novel setebal 922 mukasurat dan seberat 1.77 kg menjadikan tangan sangat lenguh. Namun biar apapun kesibukan yang menerjah, kesedihan dan duka yang menyapa LLBK dihayati dengan sesungguh hati. Saya bangga kerana karya ini tidak menghampakan selera dan minda saya...mengisi penuh tiap rongga dan sendi juga mengelitik sejuta soalan setiap kali tiap episod ditatapi.

Tidak perlu rasanya saya terangkan sinopsis kerana ia sudah tersurat di dalam blog NB dan juga Facebook NB Kara. Saya ingin membicarakan tentang tema yang terungkai dalam tiap isi kandungan novel ini. Keseluruhan tema yang paling total ialah tema kasih sayang. Betapa kasih sayang itu mampu mencipta pelbagai kerenah manusia dan juga mampu mengubah seseorang menjadi lebih baik. Jika kasih sayang berkurangan hidup manusia menjadi pincang dan setiap tindak tanduk akan terpesong dari landasan kemanusiaan apa lagi keagamaan. Manusia yang miskin kasih sayang adalah manusia paling sunyi dalam dunia ini. Kasih sayang Tengku Shariman yang pada awalnya kita melihat betapa paranoidnya dia terhadap kehilangan Manja , satu-satunya permata hati yang tersayang. Dan kasih sayang yang terlampau ini membuatkan anak ini menjauhkan diri darinya. Bersyukur sangat-sangat apabila di London ,Manja dipertemukan dengan Zakiah yang menyedarkan tentang kasih sayang ayahnya. Kerana kasih sayang ini juga yang menyatukan dua beranak ini dalam hubungan yang lebih baik.

Kebebasan menjadi persoalan yang diperjuangkan oleh Manja. Rimas anak ini di sangkar emas menjadikan Pak Jusuh pemandunya berasa kasihan dan memberi peluang kepada Manja menikmati kebebasannya bermain layang-layang di padang. Kemudian isu moral juga diperbincangkan dengan kewujudan Rumah Solehah yang menempatkan anak-anak remaja yang tersasar perjalanannya. Siapa kita yang menghukum anak-anak ini kerana mereka menjadi mangsa kepada kriminologi. Kemudian juga diselitkan isu penderaan seks di Arab Saudi di mana anak remaja menjadi isteri kemudian didera oleh suami yang durjana. Manja yang bijak mencadangkan ustaz dan ustazah masuk ke ruang sembang yang banyak dimasuki oleh remaja, cuba merapati mereka, menjadi kawan dan menasihat anak-anak ini. Sedangkan kita tahu hari ini berapakah golongan sebegini sanggup menerokai dunia remaja dan hanya menuding jari kepada mereka.

Latar tempat yang dibahagikan empat iaitu London, Kl, Fanbu dan Penang menjadikan mudah untuk kita mengikut plot cerita dalam novel ini. Garapan yang sangat kemas. Malahan NB menggunakan keseluruhan media yang ada , YM, telefon, berita , penceritaan dan google internet . Pakar selalu bijak bermain dengan semua prop ini.

Apa yang saya suka? Semuanya saya suka .Ada beberapa ayat yang saya suka ialah :
1. cinta itu seperti mencari permata dalam taburan pasir. Dan bila sudah dimiliki, belum tentu ianya menggembirakan.
2. Hidayah bukan ada di Mekah atau Madinah sahaja. Hidayah ada di mana-mana biarpun di London.

Watak utama iaitu Manja, saya merasa kasihan dengan kejahilannya sehingga dia digomol sewenangnya oleh Ku Sam. Saya bangga dengan kebijaksanaannya dalam mengendali kejahilannya dalam agama. Dia yang rendah hati sehingga sanggup berusaha memperbaiki kekhilafan diri. Tidak sukar meneka siapa Maneesa kerana saya tahu itulah perwatakan sebenarnya. Saat dia melihat parut luka di tangan Azmin , dia sudah membuat keputusan yang bijak dalam hidupnya. Demi rasa kasih sayang yang pernah dia rasai semasa kecil, dia membalasnya dengan rasa kasih dan ikhlas.

Azmin, lelaki yang ditakdirkan menjadi pasangan hidup Manja adalah lelaki yang baik dan bertanggungjawab. Dia anak yang taat, soleh dan menyayangi mamanya sungguh-sungguh. Dia juga lelaki yang berperasaan cemburu dan berani. Keberaniannya menjadikan dia sanggup melamar Manja sebanyak dua kali. Bak kata Madam kawan saya : i salute him.

Zakiah , seorang sahabat yang sangat setia. Dialah pembimbing Manja dan dia juga yang menyatukan Azmin dan Manja. Pada akhirnya saya tidak menduga bahawa dia berkahwin dengan Ku Sam , sepupu Manja. Dan watak Jimmy....walau ia tidak ditonjolkan pada akhir-akhir cerita namun saya dapat meneka bahawa Jimmy adalah Johari. Dan Madam T sahabat saya menyatakan bukan....keh3. Saya tanya dia ,kau baca ke tak? Dia tidak puas hati sebab setiap yang saya utarakan padanya dia tak menjangka ia ada dalam novel tersebut...inilah bahananya membaca terlalu cepat..

Cuma satu sahaja yang saya tidak puas hati iaitu satu kesilapan teknikal yang membongkar rahsia Manja terlalu awal....siapa yang sedar mungkin faham maksud saya. Namun saya tidak mahu nyatakan di sini kerana saya mahu semua yang belum memiliki novel ini mencari sendiri apa maksud saya. Apa yang saya hendak katakan ialah, semakin menatapi tiap helaian novel ini semakin anda teruja hendak tahu bagaimana kesudahannya. Saya juga menangis membaca novel ini, bahagian Tengku Shariman menangis semasa house warming, saat Moksu termimpi anaknya, saat Moksu menangis dalam bilik air, dan saat-saat Moksu membuka beg pakaian yang dia jahit untuk Manja....Tuhan, betapa halusnya perasaan seorang ibu yang kehilangan anaknya.

Jika kerana layang-layang bertali kaca menyatukan jodoh Azmin dan Manja.....ia juga menyatukan jodoh Tengku Shariman dengan Zainab. Pengakhiran yang ringan dan membahagiakan......Keseluruhannya novel layang-layang bertali kaca terlalu hebat untuk saya huraikan secara panjang lebar. Cukup saya katakan saya dapat membuat gambaran penuh warna-warni melalui novel ini...dan saya seakan dapat meneka siapa dan kenapa. Anda belum milikinya ? Layari laman web : http:/www.norhayatiberahim.blogspot.com. Dapatkan secara online dengan cara mudah sahaja.


Comments (1)

fuhh.. rasanya patut miliki novel ni.. dok plan nak order pd kakyati, tp asyik terlupa jer... ;)
thnk 4 the review kak..
minggu lepas saya dah masuk ke sini, tp x sempat nak tinggalkan jejak.. sbb si aliya melalak nak nenen.. kemudian saya ketiduran terus.. terjaga jam 3 pagi.. mata pun dah xleh nak buka.. terus off laptop..