CINTA YANG TERPILIH oleh Sri Diah

Posted by Leeza | Posted in


Inilah novel ke 10 ,novel Sri Diah yang dinanti-nantikan oleh semua peminat novel. Ketika mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa KL di PWTC yang lalu, saya terus mencari-cari CINTA YANG TERPILIH di rak-rak novel ALAF 21. Kecewa bila diberitahu bahawa novel ini belum diterbitkan lagi. Atas sebab kesesakan di bahagian percetakan, ia diterbitkan seminggu kemudian . Namun saya gembira sebab penulis sendiri menjanjikan dia akan mengirimkan naskah novel ini terus ke Sarawak ,khas untuk saya. Bukankah ini bermakna saya ini adalah peminat yang terpilih? Syukur alhamdulilah kerana ia tiba serentak dengan ketibaan hari lahir saya yang ke 42.Terima kasih Kak Sri atas hadiah hari lahir yang bermakna ini....pertama kali seorang penulis memberi saya hasil karyanya sebagai hadiah. Ketika helaian dibuka, tercatat tulisan tangannya : My Dear Liza Bujang, Cinta adalah lautan masalah, namun di dalamnya ada banyak nikmat Allah. Mencerap makna tulisan ini sedalam-dalamnya tidak sukar untuk memahami namun setelah mengkhatami novelnya hari ini baru saya faham apa makna di sebalik kata-kata itu.

CINTA YANG TERPILIH keseluruhannya bertemakan cinta ,kasih sayang dan kesetiaan. Warda yang sering lemah dengan lodakan emosi yang diibaratkan seperti buih dialun ombak yang terkadang ganasnya memecah menjadi halus dan terkadang dialun dengan lembut menjadi besar dan rapuh . Pertunangan dengan Zahim sepupu yang tidak sedarah daging diduga dengan kenyataan kemalangan Zahim bersama perempuan lain yang sedang mengandung. Putus tunang melibatkan bukannya dua hati berkecai tetapi hati ibu bapa masing-masing turut terlerai sama di pinggir persengketaan. Jika jodoh sudah tersurat ke manapun pergi akan bertaut semula . Demikianlah Warda dan Zahim disatukan oleh kedua keluarga di jinjang pelamin. Saat ini Warda menyerahkan sepenuhnya jiwa raga kepada Zahim suaminya sedikit demi sedikit. Kerana cinta itu masih ada untuk mereka...cinta yang lahir dari hati yang tulus ikhlas sejak kecil hingga dewasa. Inilah yang dikatakan CINTA YANG TERPILIH. Allah telah tetapkan keduanya adalah tercipta untuk diri mereka sendiri, Warda untuk Zahim dan Zahim untuk Warda. Penulis seterusnya mencipta watak antagonis Ashaari yang obses mencintai Warda dan tidak mahu menerima hakikat hubungannya dengan Warda sudah berakhir. Watak ini mencipta kepahitan dalam kebahagiaan Warda. Sehingga manisnya bulan madu untuk pengantin baru yang inainya masih merah di jari menjadi hambar dalam ketakutan. Tuhan, jika mampu saya bercerita tentang ketakutan diugut oleh lelaki yang gila , apa yang Warda rasai dalam Cinta Yang Terpilih adalah sedikit . Jika kita berada ditempatnya sebagai seorang isteri yang taat pada suami dan ingin mempertahankan rumahtangganya , kita memahami betapa tersepitnya Warda menyimpan rahsia ugutan ini. Bersyukur sangat-sangat dengan kehadiran Mimi sebagai sahabat Warda yang mampu menjadi tempat Warda mengadu dan melindunginya. Bagaimana kesudahan Warda , Zahim dan Ashaari ? Biarlah pembaca sendiri menilainya. Bagi saya setiap rentetan memeranjatkan , sukar ditebak malahan 'UNPREDICTABLE'. Rasa tak percaya namun itulah pendekatan yang penulis ambil untuk mengakhiri sengketa dengan sesuatu yang positif , DAMAI dan semua pihak hidup dengan bahagia .

Gaya penulisan penulis ini lebih banyak menggunakan monolog dalaman setiap watak . Penulis menggunakan kepakarannya bermain dengan emosi setiap watak. Plot menggunakan imbasan kenangan dengan penceritaan tentang sebab untuk rentetan peristiwa seterusnya. Gaya bahasa masih menggunakan alur bahasa berkias namun mudah difahami.

Banyak pengajaran yang yang boleh kita ambil ikhtibar terutama bagi setiap pasangan yang bercinta, bertunang dan berkahwin .

1. Bercinta - kemesraan bukan bererti harus melampiaskan nafsu apalagi melakukan sesuatu yang jelas haram di sisi agama Islam.

2. Bertunang - zaman yang penuh dugaan. Zaman yang dikatakan kedua pasangan ini berdarah manis dan semestinya godaan pasti banyak. Bukankah iblis berusaha agar umat Adam tidak mendirikan masjid?

3. Berkahwin - Bila pasangan ingin bersatu, perkahwinan bukan hanya melibatkan dua hati tetapi melibatkan dua keluarga. Jatuh bangun sesebuah perkahwinan , dua keluarga terutama hati kedua ibu bapa turut terasa tempiasnya. Pasangan yang muda memerlukan bimbingan dan pantauan oleh ibubapa dalam melayari rumahtangga bahagia.

4. Persahabatan - kesetiaan untuk berkongsi masalah menjadikan seseorang itu kuat dan sabar. Siapa kita tanpa sahabat.....kerana jika masalah tidak dapat dikongsi dengan pasangan maka ia perlukan pandangan sahabat seperti Mimi.

Walau bagaimanapun , Kak Sri masih kekurangan sesuatu sentuhan yang tidak diberikannya sepenuh dalam novel ini. Jika alaf 21 tidak menetapkan mukasurat hanya 500 , pasti novel ini akan lebih mencabar dan lebih mantap. Saya mempunyai beberapa pandangan yang mungkin boleh diterima dan mungkin ini hanya imaginasi saya yang suka berangan setelah sesebuah novel itu habis dikhatami. Antaranya :

1. Pada awalnya isu lelaki yang kehilangan kelelakiannya semasa kemalangan cuba disentuh sebagai pusat konflik. Isu ini tidak dikembangkan dan ia lebih menyentuh kekalutan lelaki yang merasa amat lemah dan malu dengan kekurangan yang satu ini. Lelaki ini menganggap Warda memutuskan pertunangan kerana isu ini.

2. Sikap Warda yang saya tidak suka , lembik terlalu emosional . Sehingga dia kehilangan kewarasan fikirannya saat dia hilang 2 hari 3 malam. Sikap lembiknya ini menyebabkan dia senang dimonopoli oleh Ashaari secara psikologi.

3. Perkembangan cerita terlalu banyak berbolak balik kepada hal yang sama iaitu putus tunang. Saya tak sabar kak Sri...hehehe Namun saya tak boleh percepatkan kerana takut setiap ayat akan memberi impak yang berbeza.... terlalu banyak kejutan.

4. Puas saya berfikir , bagaimana Warda boleh berjalan selama 2 hari 3 malam kemudian tiba-tiba ia dijumpai oleh Zahim dan keluarganya? Saat ini saya membuat andaian bahawa Warda diilmu-hitamkan oleh Ashaari. Rupa-rupanya hanya gangguan emosi.

Ini hanya pandangan saya sebagai pembaca. Namun saya sedar rupa-rupanya banyak masalah yang cuba dirungkaikan oleh Kak Sri dalam novel ini. Bagaimana Zahim yang hampir kalah emosi sehingga hendak menyaman Warda ( isu saman ini pun tak dikembangkan ). Namun saya menyukai saat Warda membantu suaminya dalam menyelesaikan masalah DNA Lewre anak Sharon dan saat dia dibelenggu dengan berbagai masalah, dia memilih untuk menjaga suaminya di hospital. Itu yang saya suka, isteri yang mithali....dan suami yang terpilih seperti Zahim.

Akhir sekali, ada kekurangan teknikal. Pihak editoran perlu lebih peka dan teliti....kesilapan yang mudah dikesan tak mungkin akan berlaku.

Cinta Yang Terpilih memberikan kelainan .....jangan jadikan masalah-masalah yang wujud dalam hubungan mematahkan semangat anda untuk bercinta dalam ikatan perkahwinan yang sah. Pinjam semangat Warda dan Zahim dalam mengutuhkan hubungan anda.....semoga anda semua bahagia selamanya dan hidup dalam keredhaan Allah SWT. Doa untuk diri sendiri : semoga saya akan mendapat Cinta Yang Terpilih.....jika tidak lebih bahagia sebegini sahaja.

Tahniah Kak SRI DIAH kerana novel ini memberikan kelainan. Untuk semua pembaca , dapatkannya dipasaran mulai bulan Mei 2010.






Comments (0)