DAME ZOETE SARAH oleh Khairyn Othman

Posted by Leeza | Posted in


Dame Zoete Sarah bermaksud Si Manis Sarah. Novel yang baru selesai saya baca hari ini menandakan berakhirnya koleksi READ MALAYSIA 2009 yang saya kumpul. Novel ini genrenya berbeza dengan novel-novel berunsur cinta yang selalu saya baca. Genrenya berunsur thriller dan ala-ala James Bond . Satu bahagian dalam diri saya yang masih ada ialah kesukaan membaca novel-novel berunsur detektif dan thriller sebegini. Malahan selain filem dan drama jiwang-jiwang seperti cerita Korea, saya meminati Mystery Woman. Jika dulu saya tidak ketinggalan membaca novel-novel Inggeris siri James Bond , Nancy Drew dan Hardy Boys kali ini saya tidak menolak membaca novel ini. Khairyn Othman berjaya dengan pengolahan novel yang penuh dengan pengembaraan dan misteri yang perlu diselesaikan.

Sarah Adam heroin novel ini merupakan wartawan yang biasa-biasa sahaja. Namun Sarah menjadi wanita yang luar biasa apabila dia menjadi tempat 'bidan terjun' untuk ROD atau Chan Wee Kong meninggalkan formula dan kunci maklumat tentang organisasi dadah antarabangsa. Keinginan Sarah untuk membongkar rahsia ini menyebabkan rakan-rakannya juga terdedah kepada bahaya bukan sahaja oleh sindiket dadah tetapi juga pihak polis. Kesian Sarah kerana dia dituduh sebagai pengedar dadah dan pembunuh apabila dirinya disabitkan dengan kematian Zachary Tan @Zaidi . Perjalanan Sarah menjadi panjang dan merbahaya...Mujurlah dia dibantu oleh Marwan dan konco-konconya , sehingga Sarah berjaya keluar dari Malaysia dengan pasport sebagai Hayati Khairuddin. Belanda menjadi destinasi pencariannya untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah sekaligus membanteras kegiatan sindiket dadah di Malaysia. Malahan dadah yang hendak dipasarkan oleh mereka ialah jenis dadah yang sukar dikesan dalam tubuh manusia.. dikenali dengan nama MANIS. Semasa pelariannya ini, muncullah si polis yang ego iaitu Salim .Mulanya Salim mempunyai pandangan negatif terhadap Sarah tetapi semakin dia mendekati Sarah Adam dan mengetahui segala maklumat , maka fahamlah dia bahawa Sarah Adam tidak bersalah sama sekali. Rasa tidak suka menjadi bibit-bibit cinta dan demi Sarah, Salim sedia berkorban jiwa raga melindungi dan menyelamatkan Sarah dari ancaman bahaya. Bagaimana pengakhirannya ? Seperti cerita polis yang biasa, pasti ada yang cedera ditembak dan bermula dari detik itu, hati wanita sedegil Sarah turut terusik .....bahawa dia juga menyayangi Salim .

Satu tandatanya yang penulis tinggalkan ialah siapakah watak lelaki yang bertugas sebagai undercover dalam kumpulan penjenayah ini? Berdasarkan daripada cerita ini , penulis mungkin membuat cerita yang baru menggunakan watak ini. Memandangkan saya belum membaca karyanya Zaharah de tigris , namun saya dapat mengagak watak Kamal dan Nisa adalah kesinambungan dari novel Zaharah de tigris....dan mungkin seterusnya watak lelaki misteri yang menjadi undercover dan orang yang berperanan memujuk Chan Wee Kong berpaling tadah akan diceritakan pada novelnya yang seterusnya....

Penulis menggunakan gaya yang santai, bahasa yang mudah untuk difahami. Plot ceritapun tidak berbelit. Novel ini mungkin lebih menarik jika penulis menggunakan gaya misteri untuk pembaca sama-sama terlibat menyelesaikan siapakah dalang sebenar dalam novel ini.

Tahniah Khairyn Othman dengan gaya genre yang berbeza.....


Comments (0)