GEMUK

3

Posted by Leeza | Posted in

Sensitif sungguh perkataan ini...maka kita boleh gantikan gebu, montel dan obes. Tapi saya harus menerima kenyataan yang pahit ini bahawa saya sangat gemuk. Baru-baru ini saya telah membeli-belah di Boulevard Hypermarket dan saya tertarik dengan jualan yang berdiskaun 50% hingga 70%. Semasa mencuba blouse dalam bilik 'fitting' baru saya perasan gemuknya saya sehingga saiz L tidak muat. Terasa sangat ketat dan tidak selesa. Maka terpaksalah saya mencari baju-baju bersaiz XL. Agaknya cermin dalam bilik itu cermin penipu kot ? Hahaha masih tidak sedar diri lagi.
Terus saya bermuhasabah diri mencari kesilapan diri. Makan ? Kuantiti pemakanan saya seperti biasa tidak banyak . Setelah mencari dan memikirkan tentang punca dan kesilapan yang saya lakukan maka saya mendapat beberapa rumusan.

1. Masa makan tidak tetap. Saya sering kali lupa makan mengikut masanya dan bila lapar maka makan tidak mengikut masa.Sejak akhir-akhir ini  saya selalu makan tengahari jam 3 petang dan makan malam jam 9 malam. Saya harus mendisiplinkan diri untuk makan jam 12 tengahari dan 6 petang.

2. Jenis makanan saya sejak akhir-akhir ini adalah makanan bergoreng dan mi segera. Hai....tidak pernah serik makan mi segera. Ini menu saya ketika saya penat dan malas hendak memasak. Saya juga suka makan telur dadar dan mata kerbau. Telur juga menggemukkan.

3. Saya juga suka minum air bergula. Gula menyebabkan kegemukan meningkat kerana kandungan kalori yang tinggi. Awal pagi saya minum segelas susu bergula, bekal air sebekas air teh bergula, tengahari air sirap manis, dan malam air milo manis.

4. Saya kurang senaman yang mengeluarkan peluh. Ini juga menjadi faktor menternak lemak-lemak di badan.

5. Sejak saya makan vitamin C Redoxom yang diberi oleh adik saya , Jelitaku Seri Fatihah, selera makan saya mencanak-canak naik. Maka setelah habis sebotol Redoxom saya tidak mengamalkannya lagi. Saya ganti dengan pengambilan buah-buahan dan jus epal yang dikisar sendiri.

Berdasarkan beberapa rumusan mengenai punca kegemukan saya, maka saya harus mencari penyelesaian dan mengubah segala bentuk aktiviti yang menggemukkan. Saya tidaklah mementingkan penampilan diri sangat tetapi atas sebab kesihatan. Obesiti saya ini menyebabkan saya mengidap sakit kaki kanan. Kaki sudah tidak larat menanmpung berat badan yang bertambah. Saya memulakan dnegan program "Walking down the street" tetapi harus saya akui sangat menyakitkan kaki saya yang belum sembuh. Namun saya tetap berusaha untuk mengurangkan berat badan saya dengan mengawal pemakanan dan membuat senaman yang tidak memudaratkan.

GASTRIK

0

Posted by Leeza | Posted in

Saya jarang kena gastrik tetapi bila kena, azabnya tak tahu nak cerita. Saya berjaga-jaga makan , pastikan masa makan saya makan ikut masanya. Pagi tadi selepas memberi mak makan, saya tetiba rasa sakit perut yang teramat. Saya ingat saya makan ketam masak kari yang pedas dan sayur pucuk ubi campur ikan masin masak lemak semalam semasa majlis Maulidur Rasul di sekolah. Sedap tetapi yang sedap itulah selalu memudaratkan. Mula jam 5.30 pagi sehingga jam 11 baru saya lega setelah saya makan berbagai jenis ubat dan yang terakhir saya tawakal makan paracetamol. Sepanjang masa itu, saya berulang alik ke tandas untuk muntah dan buang air. Terpaksalah saya memohon cuti rehat khas secara mengejut pagi ini.Syukurlah kelas saya tak banyak.
Baru saya tahu bahawa saya tidak boleh makan :

1. Makanan pedas.
2. Sayuran berdaun hijau.

Kesilapan saya ialah saya tidak pernah menyimpan ubat gastrik di rumah. Bila dah terkena , teruklah saya dibuatnya. Juga saya akui saya amat jarang berjumpa doktor. Bagaimana Allah nak bantu jika kita tidak sayangi diri sendiri? Saya insaf...dugaan ini kecil sahaja daripada Allah . Lain kali kenalah berhati-hati dengan pemakanan. Tetapi bila SEDAP sangat mengundang selera , saya tolak ke tepi segala pantang larang..hahaha.

COKLAT PENYEK karya Norhayati Berahim

0

Posted by Leeza | Posted in

Penerbit : NB Kara Sdn.Bhd Harga : RM14.90 /RM17.90
Sesuatu yang menggelikan hati saya dengan novel ini ialah ia saya khatam dalam masa tidak sampai 12 jam sahaja. Saya membacanya dalam kereta semasa perjalanan dari Asajaya ke Kuching dan Kuching ke Asajaya.
Novel kedua dalam Siri Sekolah Menengah Budi ini mengetengahkan penggunaan pantun. Banyak pantun yang menarik diutarakan dan kita mampu tertawa apabila enam sekawan berbalas pantun dalam gurau senda mereka. Kumpulan Aneesa bertambah dengan kehadiran Puteri Vidad. Kali ini mereka mengamalkan satu lagi misi membantu insan lain iaitu Nurul yang menghadapi masalah perebutan hak jagaannya oleh kedua ibubapanya. Habibah yang mengenali Nurul menjadi sangat prihatin dan masalah ini kemudiannya diselesaikan oleh rakan-rakannya yang lain. Puteri Vidad telah meminta bantuan ibubapanya dan menggunakan pengaruh Datuk Ahmad dalam dunia perniagaan. Perkenalan dengan Hamidi seorang wartawan juga membantu mereka menyelesaikan masalah ini. Syukurlah ayah Nurul telah sedar dan menarik balik tuntutan hak penjagaan Nurul daripada ibunya ,Puan Nadia.
Kisah kelakar mengenai Johaini , Sarip dan Adli juga menghiburkan kita. Terkadang saya kasihan melihat watak Johaini yang kasar dan memburu cinta remaja. Si Adli pula menjadi terseksa bila Johaini menghadiahkannya sebuah anak patung Pooh Bear yang besar. Mana mungkin seorang remaja lelaki memiliki anak patung di asrama..hahaha. Sebenarnya semua ini terkesan daripada sebuah pantun yang dihadiahkan oleh seseorang yang misteri kepada Johaini. Siapakah yang memberi Johaini pantun tersebut ? Pada tekaan saya , ia dihadiahkan oleh Aneesa....dan saya sendiri tidak pasti adakah tekaan saya ini betul. Saya berharap penulis tidak lupa mendedahkannya  kepada kita dalam bukunya yang akan datang.
Habibah pula telah memasuki pertandingan mencipta dan mereka kad ucapan anjuran sebuah majalah dan hadiahnya ialah 6 keping tiket wayang. Pada akhir cerita , Habibah telah menerima sepucuk surat daripada majalah tersebut tetapi kita tidak tahu keputusannya. Kejayaan Azura juga membanggakan pihak sekolah dan negara. Inilah harapan kita terhadap generasi remaja sekarang, maju seiring akademik dan kokurikulum.
Saya juga kagum dengan peranan guru-guru yang prihatin dan dedikasi dengan tugas mereka. Ini menjadikan anak-anak tidak segan mengadu masalah dan  berkongsi idea dengan mereka. Tahniah kepada Cikgu Maznah, Cikgu Hamid, Cikgu Ranjit dan Puan Khairunisak.
Apakah itu coklat penyek ? Sila membeli buku ini dan baca sendiri. Ia makanan yang sangat mudah dibuat....hasil perniagaan Pie Pie yang sentiasa tidak cukup makan. Pie Pie berpantun pun tidak boleh lari daripada menyentuh soal  makanan ..hahaha.

TELUR REBUS ASAM BOI karya Norhayati Berahim

0

Posted by Leeza | Posted in

Penerbit : NB Kara Sdn.Bhd. Harga : RM14.00/RM17.00

Asalamualaikum dan salam sejahtera....
Diam tak diam, saya berkesempatan menghabiskan bacaan novel ini. Kategori novel ini adalah novel remaja. Apabila membaca novel ini saya seakan dibawa merentasi zaman silam sewaktu berada di asrama. Jika dulu saya sangat meminati siri Enid Blyton  yang banyak mengisahkan kehidupan remaja di asrama dan berharap bahawa suatu hari nanti akan wujud siri sebegini. Alhamdulilah pada usia 40an ini saya menemui siri sebegini yang ditulis oleh penulis Malaysia. Tahniah Puan Norhayati Berahim kerana berjaya merealisikan impian ini.

Telur rebus asam boi , tajuk yang tidak asing untuk sesiapa yang pernah dan sedang menjadi penghuni asrama. Aneesa pendukung watak utama tetapi tidak memonopoli keseluruhan pengolahan  dalam novel. Aneesa mewakili remaja biasa, berasal dari kampung, hidup dalam kesederhanaan yang dijaga oleh seorang ibu tunggal yang gigih mencari wang dengan membuat dan menjual kerepek ubi. Dia berjaya memasuki sekolah elit yang berasrama penuh iaitu Sekolah Menengah Budi dengan kecemerlangan dalam akademiknya sehingga mendapat biasiswa . Kebanyakan pelajar yang memasuki sekolah ini adalah daripada anak orang berada yang bukan sahaja kaya tetapi juga cemerlang dalam kurikulum dan kokurikulum . Azura pelajar berdarah campuran Inggeris dan Melayu merupakan pemain biola yang berpontensi. Pie Pie , remaja cina yang ayahnya tauke ikan ,bukan sahaja baik tingkah laku tetapi rajin berniaga.

Kita diperkenalkan dengan watak Puteri Vidad , anak seorang Datuk yang ternama .Dia anak bongsu yang manja dan sombong. Keengganannya dipaksa bersekolah di situ dan duduk asrama menyukarkan sendiri kehidupannya di asrama. Bila menghuni asrama kita terpaksa mengenepikan segala jenis status dan hidup bermasyarakat dan berdikari. Cabaran hidup di asrama menjadikan kita perlukan kawan untuk bermuafakat dalam apa sahaja masalah yang mungkin dihadapi. Sehinggalah suatu kejadian menyebabkan Puteri Vidad berubah sikap dan menyedari perlunya persahabatan dalam hidupnya. Apakah kejadian yang menimpa Puteri Vidad? Apa lagi yang dapat kita fikirkan bila seseorang remaja lebih suka makan makanan yang dibeli dari luar sekolah? Keluhuran persahabatan Aneesa dan kawan-kawannya mengubah persepsi negatif Puteri Vidad dengan kehidupan di asrama.

Pertemuan Puteri Vidad dengan Afnan seorang kanak-kanak yang mengidap penyakit leukimia menjadi satu cetusan kerja amal kumpulannya. Vidad dan semua rakannya telah berusaha membantu Afnan mendapat penderma untuk membolehkannya menjalani pembedahan tulang sum sum. Malahan hasratnya mengadakan pameran lukisan di sebuah pasaraya juga tercapai setelah Cikgu Hamid ,guru kaunseling meminta bantuan daripada adiknya Hamidi seorang wartawan. Di sini kita terharu dan kagum dengan kerjasama kumpulan remaja ini . Malahan ibubapa Puteri Vidad memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi. Kepercayaan dan sokongan juga diberikan oleh pihak sekolah terhadap usaha mereka ini. Inilah yang memberi inspirasi dan semangat yang tinggi kepada anak-anak ini dalam menunaikan tanggungjawab sosial mereka. Syabas Sekolah Menengah Budi. Cuma saya terkilan kerana usaha dan hasrat mereka ini tidak kesampaian apabila Afnan meninggal dalam tidur. Atas dasar kemanusiaan dan kasih sayang yang telah bersemi, Puteri Vidad telah memohon agar ayahnya menyempurnakan jenazah Afnan. Allah lebih menyayanginya.

Telur rebus asam boi mengenalkan kita dengan watak Pie Pie yang sangat melucukan. Saya tidak berhenti gelak sendirian ketika membaca novel ini. Benar sahabat-sahabatku.....best cerita ini...hahaha. Untuk remaja, banyak info yang diberikan dalam novel ini. Jadi ibubapa perlu dapatkan buku ini untuk bacaan anak-anak anda. Buku ini bukan sahaja untuk pelajar sekolah menengah tetapi juga sesuai untuk pelajar sekolah rendah. Ia dapat memberi inspirasi kepada pelajar sekolah rendah untuk memilih sekolah berasrama sebagai destinasi persekolahan mereka nanti.

Apa istimewanya telur rebus dan asam boi ? Inilah makanan kegemaran penghuni asrama....dan jika anda ingin tahu keenakkannya bolehlah mencubanya di rumah......:).

KEMILAU MENTARI oleh Zuraidah Othman

1

Posted by Leeza | Posted in


Buku  ini adalah kompilasi 3 novel karya Puan Zuraidah Othman . Bila membacanya saya berasa senang hati kerana sudah tentu penulisannya segah nama beliau . Karya-karya beliau tidak menghampakan pembaca kerana penggunaan perbendaharaan kata yang standard dan mudah difahami. 

KASIH SEIMBAS PANDANG 
Kisah Syafikah gadis yang menjadi mangsa kehendak ayahnya untuk dikahwinkan dengan orang tua yang kaya di kampung tersebut,Pak Ngah. Oleh kerana keengganan Syafikah menurut kehendak ayahnya, maka dia selalu menjadi bebelan dan penangan ayahnya yang panas baran. Syukurlah Syafikah mempunyai ibu yang sering mempertahankannya. Pak Karim beria-ia hendak mengahwinkan anaknya dengan Pak Ngah kerana dia sudah banyak berhutang dengan Pak Ngah. Di tempat kerjanya pula, Syafikah menghadapi masalah dengan Hamdan yang sukakannya yang pada dasarnya berniat hendak membalas dendam kepada Aziq Shahriman jejaka yang dalam diam menyintai Syafikah. Kenapa Hamdan mendendami Aziq, kena cari jawapannya sendiri. Ini bermaksud penulis mengajak kita terus membaca novel ini sehingga ke noktah terakhir untuk mengikuti renteten kisah antara Syafikah dan Aziq. 
Tema yang disampaikan oleh penulis dalam novel ini adalah kasih sayang, kepercayaan dan persahabatan. Kasih sayang ibu yang ditonjolkan oleh Mak Eton ( ibu Syafikah) dan Mak Siah (ibu Aziq) menjadi penawar kedukaan anak-anaknya. Malahan semua ibu sentiasa melindungi anak-anaknya melainkan ibu yang tertutup hati dan mindanya. Kepercayaan yang diberikan kepada sahabat bila dikhianati menjadi duri dalam daging. Begitu busuknya hati dendam Hamdan terhadap Aziq. Kepercayaan yang ditaruhkan Syafikah terhadap Aziq ketika dia melarikan diri menjadi bayangan kepada pembaca untuk mengetahui bahawa Syafikah telah menaruh hati kepada Aziq. 
Saya sukakan gaya penulisan Puan Zuraidah yang ringkas dan santai. Jalan ceritanya juga menarik dan lucu terutama pada saat Syafikah membeli lauk kedai....kahkahkah, ikan kembung bertukar menjadi ikan merah...kelakar sungguh. Penyudahnya juga menggembirakan , penyatuan dua hati dengan restu kedua belah keluarga...alhamdulilah.

JANGAN ADA BENCI

Novel kedua ini pula lebih panjang dan lebih mencemaskan. Ia mengisahkan dua beradik tiri yang tidak sehaluan. Hafizah @ Nadia Ameza adalah watak putih yang sentiasa mengalah demi kebahagiaan ibu kesayangannya. Nadia Amera pula adalah anak manja Encik Nazim yang sejak kecil sangat membenci Nadia Ameza dan ibunya. Ameza banyak bersabar dan mengalah tetapi naik angin bila soal ibunya dikeji. Kita sebagai anak tidak mudah bertolak ansur jika maruah ibu kita diperkotak-katikkan.Pergaduhan menjadi sengit bila melibatkan soal lelaki. Kasihan saya kepada nasib ibu Ameza dan Encik Nazim. Segalanya kerana sikap manja yang melampau Amera. Geram saya dengan perempuan ini kerana Ameza telah menyelamatkannya daripada Rashid, lelaki buaya .Bukannya hendak berterimakasih tetapi menyalahkan Ameza dan menjadikan peristiwa tidak jadi bertunang ini penyebab dia mendendami Ameza. Maka dia mengatur strategi yang menyebabkan Ameza terpaksa mengahwini Raziman lelaki yang baik. Ini menjadi konflik novel ini memandangkan Raziman hanya menyintai Amera dan Ameza pula sedang berkasih sayang dengan Amer Mukhlis. Gelihati juga kerana petanda masing-masing sudah berjaya melupakan kekasih masing-masing sangat melucukan dan tidak logik sungguh. Apa yang dinyatakan adalah mustahil bagi mereka tetapi Allah berkuasa menentukan segalanya. Maka bayangkan bagaimana Raziman lelaki melayu biasa yang baik menyanyikan lagu hindustan dan Ameza pula memakai baju berwarna merah yang tidak disukai Amer. Watak yang paling saya suka dalam novel ini ialah Mak Minah , orang gaji mereka. Beliau sangat cute....:)

KAULAH SEGALANYA
Novel ketiga ini juga tidak kurang menariknya. Walaupun ia mengisahkan tentang kehidupan remaja tetapi persoalan yang disampaikan lebih kepada kekeluargaan. Konflik kisah cinta Farez dengan Zati yang berakhir dengan perpisahan akibat kejahatan Azwan. Lelaki ini mempergunakan cara kotor untuk memiliki perempuan yang tidak menyintainya. Ini menjadi iktibar kepada remaja dan wanita bujang supaya tidak sewenangnya keluar menemui lelaki . Bimbang kejadian tidak diingini berlaku. Derita si kakak menjadikan adiknya Zahir , ketua pengawas yang disayangi sekolahnya melampiaskan rasa dendam kepada Fatin adik kesayangan Farez. Zahir menggunakan jerat percintaan sebagai senjata yang paling ampuh untuk merosakkan kehidupan Fatin sekaligus memalitkan arang di muka Farez. Apa yang berlaku kepada Fatin tentu sahaja Farez dan keluarganya turut menerima kesan. Namun bersyukurlah kerana Fatin terselamat dengan berdoa dan mohon pertolongan Allah. Apa yang dapat disaksikan ialah bayangan kakaknya membantutkan hasrat Zahir...syukur alhamdulilah kerana Fatin terselamat daripada menjadi mangsa dan Zahir juga terselamat daripada membuat dosa besar. Siapakah dalangnya ? Tentu sahaja pembaca akan dapat menduganya dan lebih sahih setelah membaca novel ini. Ya hubungan muda mudi ada batasannya supaya terpelihara cinta yang suci. Jangan sesekali biarpan iblis syaitan berpesta dengan kesilapan kita. Berhati-hatilah dalam pergaulan harian supaya tidak terjerumus ke lembah kemusnahan. Juga sucikan hati daripada hasad dengki  yang menjadi api membakar diri dan insan lain.

Ternyata kepuasan dapat dirasai dengan ketiga novel yang dikompilasikan dalam Kemilau Mentari. Tepat sekali bahawa cinta sejati terlalu banyak dugaannya. Jangan sesekali lupakan Allah dalam apa juga yang dilakukan. Tahniah Puan Zuraidah Othman dan saya menunggu karya terbaru yang pastinya lebih mantap dan bertarnsformasi ke arah kedewasaan....