High Tea di Waterfront Cafe , Hilton Kuching

0

Posted by Leeza | Posted in


Tepat jam 3 petang pada 28 November 2010, kami bertujuh menikmati high tea di Hotel Hilton Kuching. Sebenarnya kami merancang hendak mengadakan reunion Kolej DPAH Abdillah batch 1985 di Mango Tree pada hari dan masa yang sama tetapi memandangkan ramai yang tidak hadir menyebabkan rancangan ini ditukar . Bagi kelas saya , hanya saya , Adib,Ayu dan Ijok sahaja yang datang. Sementara kelas Sains A , Dahlia dan Hasmawati dan kelas Sains B diwakili oleh Ariza. Keenam-enam rakan saya ini telah berumahtangga dan mempunyai anak.

Semuanya tinggal di Kuching,kecuali Lya tinggal di Pulau Pinang sebagai guru BI dan Riza bekerja di SESCO Bintulu. Adib pula bekerja di SESCO Kuching,Ijok mengajar BM ,Mas bekerja di Wisma Bapa Malaysia dan Ayu bekerja di SPPS (Housing). Kesemua mereka ini semasa tingkatan 4 duduk asrama tetapi menjadi pelajar harian ketika tingkatan 5 kecuali saya dan Adib. Saya rapat dengan Riza dan keluarganya bagai keluarga angkat saya. Mak cik ,ibunya sentiasa memberi saya makanan yang sedap-sedap. Beliau selalu mengambil saya balik ke rumahnya pada hujung minggu dan menghantar saya balik ke asrama. Jadi sampai ke saat inipun saya tidak merasakan asing dengan mereka sekeluarga. Cuma saya sendiri merasa rendah diri sangat-sangat. Kegagalan saya memasuki universiti kerana kemiskinan hidup membuatkan saya menjauhkan diri. Kini saya akui hubungan ukhuwah yang begitu rapat ini sekali sudah terjalin takkan dapat dipisahkan lagi. Jauh di sudut hati saya sayangkan keluarga Riza dan juga persahabatan mereka. Biarpun mereka semuanya dari keluarga berada namun tidak pernah menyisihkan saya dalam persahabatan dan pergaulan harian. Sampai saat ini sikap protektif mereka jelas kelihatan. Terimakasih sahabat-sahabat kerana kita semua sedia meluangkan masa untuk berkumpul bersama dan bertukar khabar berita.

Saya dan Riza....dia ni masih kelihatan cute dan kurus biarpun sudah mempunyai 4 orang anak.

Saya akui saya tidak mempunyai kawan yang ramai, namun sekiranya sesiapa yang sudi menghampiri saya dan menyentuh hati dengan kasih tulus ikhlas saya sedia menerima . Pada saat-saat ini, menjaga ibu yang sakit dan anak saudara yang nakal..terkadang saya menyimpan tangis dalam hati. Pada ketika kawan-kawan saya ada, saya akan luangkan masa bersama mereka....bergembira biarpun tidak meluahkan sepenuhnya dalam hati. Namun sahabat-sahabat ini yang remajanya amat nakal dan ceria , saya pasti jika diminta pendapat mereka akan memberikan pendapat yang bernas. Satu sahaja, bila mereka speaking London, saya gunakan sepenuhnya dalam bahasa kampung yang loghatnya sangat pekat...hahaha. Dalam persahabatan ,jangan risau menjadi diri sendiri dan alhamdulilah mereka ini menerima saya seadanya....sepertimana saya menerima diri mereka seadanya juga.

Mak Sakit Lagi

0

Posted by Leeza | Posted in

Benarlah kata orang , menjaga orang tua kena banyak bersabar dan sentiasa tabahkan hati. Kesihatan mak tidak menentu , terkadang baik terkadang tidak. Kudrat tuanya semakin lemah namun dia berusaha untuk bangun sendiri. Dia juga akan masak air sendiri. Itulah mak saya yang tidak pernah duduk diam sahaja .Jam 11 pagi setelah selesai mengemas rumah, mencuci pakaian dan memasak untuk mak, saya bertolak ke Kota Samarahan untuk mengambil wang di bank kerana wang belanja harian saya sudah sedikit. Tambahan pula saya perlukan wang untuk menguruskan kenduri tahlil untuk arwah datuk dan nenek saya sebelah mak. Hati saya tidak teringin ke mana-mana dan ingin cepat pulang sahaja. Setelah membeli barang keperluan dapur dan buah-buahan mak saya, saya terus balik. Di Tambirat saya singgah membeli 3 jenis ikan kesukaan mak saya.

Sebaik sampai di rumah , saya terus berikan mak saya makan bubur cendol dan buah betik. Dia dengan riang mengkhabarkan bahawa dia ada membuang air besar sebelah pagi. Saya hanya menjawab, alhamdulilah mak. Ketika saya sibuk menyiang ikan-ikan dan menggoreng salah satu jenis ikan tersebut, mak terus menyatakan dia hendak membuang. Sehingga habis ikan itu saya siang, dia memanggil saya meminta diambilkan ubat sabun untuk melancarkan proses pembuangannya. Ingatkan dia okay, rupanya dengan muka pucat dia keluar dari tandas dan berbaring di lantai. Saya terkejut dengan keadaannya. Katanya banyak darah keluar. Saya suruh dia bertahan dulu dan ketika saya memeriksa tandas , sah..banyak darah yang keluar. Saya jadi panik.... terus memanggil kakak saya yang sibuk menanam padi di halaman rumahnya. Abang ipar saya membantu mengangkat mak ke ruang tamu. Saya terus buat keputusan untuk membawa mak saya ke hospital.

Jam 6.15 kami sampai ke hospital unit kecemasan setelah meminta ehsan pengawal feri untuk memberi laluan kepada kami. Kami lambat sedikit kerana abang saya di Meranek meminta diambil .Katanya dia nak mengikut sama. Sebaik sampai ke rumahnya, dia boleh pula memberitahu dia tak dapat ikut kerana perutnya sakit...saya suruh dia berehat di rumah kerana tak mahu nanti keadaannya melarat.

Di unit kecemasan ada langkah-langkah dan peraturan yang harus diikuti. Ramai sungguh orang menunggu. Selepas kaunter penerimaan di no 1, kami terus mendaftar di kaunter 2. Selepas itu kena tunggu giliran di bilik rawatan 3. Ini bukan tugas doktor tetapi tugas pegawai yang akan menentukan kes serius dan kes ringan. Mak saya sudah semakin layu di atas kerusi roda. Tambahan pula dia muntah-muntah di dalam kereta. Abang-abang saya sudah gelisah dan angin bila ada pesakit india yang datang kemudian didahulukan oleh mereka. Abang saya menganggap konsep satu Malaysia tidak relevan dalam keadaan kecemasan. Siapa yang dulu kenalah dahulukan mengikut giliran. Sepatutnya kebajikan warga emas perlu dititik- beratkan. Saya hanya diam sahaja memerhati keadaan. Setelah giliran mak saya di bilik 3 , tibalah dia berjumpa doktor sebenar di bilik 4. Alhamdulilah setelah diperiksa doktor didapati pendarahan mak telah berhenti. Dia dibenarkan keluar dan ubat yang diberikan hanyalah sebotol ubat sembelit. Mak berjumpa doktor tepat jam 9 malam. Kami kemudian bertolak balik jam 915 malam. Salah seorang abang saya baru hendak keluar rumah untuk menjenguk mak di hospital . Kami memintanya tidak payah datang kerana kami hendak terus balik ke kampung. Abang saya yang sulung meminta mak bermalam di rumahnya atas alasan dekat dengan hospital tetapi mak bertegas tidak mahu . Jadi, tugas sayalah yang menjaganya semalaman ini. Ketika saya menulis pos ini, keadaan mak saya belum stabil lagi. Dia asyik membuang air besar . Bersyukur sangat saya kerana saya dalam cuti sekolah. Bersyukur sangat kerana saya tidak ke KL seperti yang saya rancangkan. Sesungguhnya Allah maha mengetahui dan menggerakkan hati saya.

Ya ALLAH, peliharalah kesihatan mak saya dan berikan saya kekuatan untuk menjaganya...amin.

Aidil Adha dan Cuti Sekolah

0

Posted by Leeza | Posted in

Hari Raya Aidil Adha bermula pada 18 November 2010, Rabu. dan bermula seterusnya cuti sekolah untuk sesi 2010. Di kesempatan ini ingin saya ucapkan selamat menyambut hari raya aidil adha untuk semua warga Islam khasnya pembaca blog saya. Semoga hari-hari mendatangkan menjanjikan keberkatan buat kita semua. Saya mengucapkan selamat bercuti untuk semua murid sekolah dan guru-guru.

Setakat ini dua orang warga sekolah saya akan berpindah, iaitu Ustazah Hayati dan Ustazah Norafidah (Jaqof). Esok 16 November pula merupakan majlis perpisahan untuk kelas Tahun 6. Sedih juga mengenangkan mereka akan meninggalkan sekolah rendah dan melangkah ke sekolah menengah. Namun hidup kena diteruskan.

Saya sebenarnya telah membeli 4 tiket untuk ke KL tetapi tidak membeli tiket pulang. Namun , hasrat ini terpaksa dilupakan kerana saya mempunyai banyak perkara yang perlu diuruskan semasa cuti ini. Walau bagaimanapun saya telah bertekad dan bersedia untuk ke KL lagi semasa Pesta Buku KL 2011. InsyaAllah, saya akan ke sana nanti.

Apa yang saya hendak lakukan masa cuti ini ? Saya sangat gembira kerana saya sangat sibuk menjelang cuti ini. Kebetulan anak saudara saya sedang bercuti sehingga hari Jumaat , maka saya akan menyuruhnya mengecat bilik saya....hahaha. Warna pilihan , preciouse pink. Bilik abang saya pula warnanya tropicana green. Itupun kalau saya hendak menyuruhnya mengecat, sebab saya tak suka cara kerjanya. Jadi, saya akan mengecat sendiri. Seronoknya.

Projek bunga pula akan saya lakukan juga. Banyak pasu-pasu kosong perlu diisikan. Dulu, ini hobi mak saya. Namun sejak dia sakit maka matilah semua bunga ini. Saya pula malas berkebun bunga. Saya suka tengok bunga tetapi malas menjaganya.

Lagi satu, serombongan Tun Teja akan datang bercuti di Sarawak. Inilah yang menggembirakan saya. Saya akan sediakan yang terbaik untuk mereka. Teruja sangat dan saya menghitung hari menunggu kedatangan mereka. Hari-hari saya berdoa semoga tidak banjir semasa kedatangan mereka dan cuaca elok-elok sahaja. Boyfriend saya pun sudah siapkan banner menunggu kedatangan mereka ini...hahaha.

Cerita Dari Mekah

0

Posted by Leeza | Posted in

Baru-baru ini cikgu saya suami isteri (saya tak suka guna bekas cikgu sebab selagi hayat saya masih ada saya tetap anggap mereka cikgu saya) menunaikan ibadat haji menggunakan pakej haji al firdaus. Saya tertarik dengan cerita beliau tentang peristiwa ini yang diceritakannya dalam facebook beliau. Saya copy and paste cerita beliau di sini:

Ketika di luar dataran Masjid nabawi Madinah, saya didatangi seorg pemuda kononnya dari Pakistan.
Malaysian?
Yes, I'm from Malaysia.
Malaysia is very good. Satu Malaysia!
Alhamdullillah!
...Lepas tu dia mula jual minyak.....
I'm student at Mecca. I came here with 2 friends for Ziarah. Now i'm alone because my freind already left for mecca but i have no money to go back.. bla blablabla.....I need some money........
I don't know why young men like you especially Indian, Pakistani, Bangladeshi always create the same story: student, no food, no ticket.?
I don't know their story but i'm really have no money....
If you really have no money then why you came here?
I came here to visit....
Hallo... If you have no money, visit or haji is not compulsary. Islam is very simple. Islam never teach its followers to asked money from other to perform hajj.
But i want to ziarah.....
Ziarah is not wajib. You know I have been working for more then 20 years. When i have enough money then I came ziarah and umrah and perform hajj.
Please, i need ticket to return to mecca...
Ok if i give you money and you return back to mecca, after that how you get money again and again......
At mecca i know how to get money
No i dont want give you any money.
You are..... bla bla bla bla.....


Saya menghadapi masalah resdong sbb tu kat madinah & mekah saya sentiasa memakai topeng mulut/hidung.
Esok harinya di dalam Masjid Nabawi saya didatangi seorang pemuda dari Benua Kecil India:
Malaysia?
You again!
Sorry2.
...Rupa2nya org yg sama daaaaa......
Adakah ini cobaan keimanan. Tapi saya tetap tak akan sedekah kepada org seperti itu.


Ini menjadi ikhtibar buat saya bahawa jika hendak menunaikan sesuatu yang baik biarlah hasil dari usaha sendiri. Saya sudah lama belajar dari cikgu-cikgu saya tentang prinsip yang satu ini.


SYUKUR ALHAMDULILAH

0

Posted by Leeza | Posted in


Kelmarin 11 November 2010, keputusan UPSR 2010 telah diumumkan. Kami menanti dengan penuh debaran di hati. Ibubapa dan saudara mara tahun 6 sudah ramai menunggu di depan pintu pagar sekolah. Biarpun Cikgu Abdul Rahman masih dalam perjalanan namun keputusan telah diketahui melalui sms. Saya dikhabarkan keputusan subjek Sains yang diajar oleh saya mendapat keputusan terbaik dengan peratusan lulus yang tinggi. Berkali-kali saya mengucap syukur alhamdulilah di dalam hati....terimakasih YA ALLAH kerana memakbulkan doa-doa saya selama ini.

Sejujurnya saya akui kelas Tahun 6 pada tahun ini 2010, karenahnya amat sukar dibendung. Apalagi dengan kelemahan mereka dalam pembelajaran. Si Erwan pada peringkat awal agak sederhana biarpun dia dianggap murid terpandai. Kelemahan kelas ini dilengkapi pula dengan kenakalan dan kemalasan mereka. Cuma pada saat-saat akhir mendekati UPSR , saya menukar strategi seiring dengan perangai mereka. Tahun ini saya sudah malas hendak naik angin, menggunakan rotan atau mendenda mereka tetapi nasihat tidak pernah putus-putus. Selaluya saya menegur mereka samada di jalan, di luar kelas atau terserempak di padang. Dalam bermain dan bergurau dengan mereka saya memujuk agar mereka rajin datang ke kelas saya. Alhamdulilah sebab biarpun ramai yang datang semasa kelas tambahan ,bilangan yang hadir melebihi kehadiran mereka untuk kelas subjek lain. Idris yang selalu bermain semasa kelas saya akan sentiasa saya pastikan duduk di depan sekali berdekatan dengan meja guru. Selain latihan sering saya berikan, bahagian objektif dengan menetapkan sasaran untuk kumpulan-kumpulan tertentu menjadikan mereka yang lemah dan nakal ini bersemangat bersaing sesama mereka. Terkadang saya gelak bersama mereka apabila ada jawapan yang diberikan salah dan membuat mereka berfikir sendiri kenapa jawapan itu salah. Kadang-kadang hal ini menjadi perdebatan sesama mereka . Kemudian bahagian B sains yang lebih menjurus kepada soalan elsperimen dan memerlukan mereka menjawab soalan sruktur . Saya sepanjang tahun 2010 sudah tidak menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains kerana mereka sangat lemah dalam memahami istilah Bahasa Inggeris. Bermula menggunakan teori Taksonomi Bloom yang mudah kepada yang kompleks, saya gunakan pendekatan masteri dan kontekstual. Bila mereka sudah menguasai barulah saya konstruks dan menjadikan mereka faham dan cepat. Mereka diberikan kunci dan mereka tahu membuka pintunya dengan kunci yang sesuai. Yeah....have to be hard work, banyak kerja dan memerlukan masa. Di sini meja saya terkenal sebagai meja paling penuh, meja DBKU gelaran diberi. Mana tidaknya, atas meja bukan sahaja fail-fail, buku-buku tetapi juga set-set soalan. Sama juga dengan bawah meja dan belakang kerusi saya. Bahan semua ada tetapi sayangnya saya tidak puas hati sebab kesemua bahan ini tidak sepenuhnya saya gunakan. Murid-murid saya ini tidak dapat diberikan latihan bawa balik ke rumah . Mereka akan hilangkan atau tidak membuat latihan tersebut. Jika buatpun , mereka buat cincai (caca merba )sahaja. Maka bermula hidup saya meluangkan banyak masa dengan mereka di kelas dengan latihan pada masa itu dan menyemaknya bersama mereka pada hari yang sama. Saya gunakan masa cikgu-cikgu yang tiada di sekolah atau lepas kelas. Jika mereka letih dan sayapun letih atau sibuk kami rehatkan masa kelas tambahan, kemudian menggantinya pada pagi sabtu.

Alhamdulilah, target saya pada awal 2010 hanyalah 60% sahaja untuk Sains telah melonjak kepada 81.5%. Bilangan yang gagal ialah 5 orang dan masih terkilan sebab Nazreen dan Safarizan masih boleh lulus. Safarizan gagal sebab kehadirannya menyedihkan. Nazreen ini pula rajin datang ke kelas dan dia sentiasa lulus dengan baik dalam setiap ujian dan latihan. Entah kenapa UPSR ini dia tersilap langkah. Mungkin agaknya tidak berhati-hati . Namun mereka yang gagal ini tetap saya usap-usap belakang, dan berikan galakan bahawa ini bukan pengakhir segalanya. Saya suruh mereka teruskan perjuangan dan masih jauh lagi untuk mencipta jalan hidup sendiri.
InsyaAllah, dengan doa yang tidak putus, saya tetap mengharapkan anak-anak didik saya ini tidka tersilap langkah dan terpesong arus kehidupan. Semoga mereka menjadi anak-anak yang soleh dan berjaya dalam hidup masa hadapan...amiin.

HUJAN PUN MENARI oleh Norhayati Berahim

0

Posted by Leeza | Posted in


Novel Hujan Pun Menari karya Norhayati Berahim muncul seperti hujan yang mencurah-curah. Hujan yang membawa rahmat dan ditunggu oleh semua pembaca karya NB . Kami seakan kehausan dan gersang menanti-nanti kelahiran karya NB yang terbaru. Kenapa? Mungkin kerana NB membawa pembaca menyelami dunia baru dengan cerita yang berbeza.

HPM secara ringkasnya tidak akan lari dari keutuhan kekeluargaan namun rintangan dan liku-liku kehidupan keluarga Cikgu Ara ini menjadi perangsang dan motivasi untuk sesebuah institusi keluarga untuk bertahan berlandaskan pertalian darah yang rapat.

Pada peringkat pertama novel ini kita dihidangkan dengan masalah seorang lelaki yang beristeri dua. Kemudian didedahkan dengan tandatanya kenapa seorang lelaki warak, baik dan berpengetahuan luas berkahwin lain sedangkan pada perkahwinan pertamanya jelas isterinya yang mithali dan anak-anak yang bijak. Mungkin pada tanggapan Ustaz Jalil, isteri keduanya seorang Ustazah mampu menerima dan membantu dalam melayari rumahtangga secara adil. Dia mengharapkan isteri keduanya bertolak-ansur namun sebaliknya yang terjadi. Tidak semua ustazah baik, dan tidak semua ustazah juga jahat....biarpun ilmu penuh di dada jika amalannya bertentangan dari ilmu yang dimiliki maka segalanya menjadi haru biru. Kagum sangat dengan watak Cikgu Ara yang penyabar dan sentiasa setia meskipun luka hatinya kita dapat baca umpama luka yang dicurah dengan air hujan . Jika saya berada di tempat Cikgu Ara rasanya tak termampu oleh saya....dan semestinya saya bukan dia. Kawan saya sampai berdecit senyum menyatakan beberapa kali yang bahagian suami beristeri dua ini perlu dibaca oleh kaum lelaki. Biar mereka berfikir ratusan kali sebelum melukakan hati isteri . Perkahwinan berpoligami ini bukan hanya melukakan hati isteri pertama tetapi kesannya bertimbal balik kepada anak-anak. Muna anak sulung Ustaz Jalil menerima secara sabar bila kawan-kawan sekolahnya membicarakan soal ayahnya beristeri dua. Jika Ustazah Aminah dapat berkompromi dengan madunya, pasti keluarga ini akan lebih bahagia. Namun, seperti yang Hujan Pun Menari kisahkan, Ustazah Aminah tidak pernah berusaha untuk berbaik-baik dengan madu dan anak-anak tirinya sehingga dia menjadi kebencian anak-anak Ustaz Jalil.

Persoalan yang menarik juga diungkapkan iaitu KEPERCAYAAN. Keyakinan seorang isteri ( Cikgu Ara) terhadap suami biarpun dimadukan membuatkan pada satu peringkat, isteri meredhakan pemergian suami yang koma setelah kemalangan motorsikal dalam hujan yang lebat. Pada bahagian ini saya berhenti meneruskan bacaan saya kerana saya merasa sangat perit dengan pemergian Ustaz Jalil dan keredhaan Cikgu Ara. Sehinggakan sejujurnya saya akui saya membuat kajian selidik secara verbal dengan rakan-rakan sekerja saya. Mereka semuanya menyetujui tindakan Cikgu Ara untuk melepaskan Cikgu Jalil untuk selama-lamanya. Sayangnya kepercayaan ini tidak wujud langsung dalam jiwa isteri kedua, Ustazah Aminah sehingga saat-saat akhirpun dia berburuk sangka dan memaki hamun suami. Cemburu tanda sayang tetapi jika cemburu melampau-lampau ia akan memusnahkan perkahwinan . Contohnya Datuk Salim dan Puan Norli. Jika sudah berumahtangga , kepercayaan perlu menjadi aspek yang paling kukuh untuk menstabilkan institusi perkahwinan. Suka saya dengan harmoni Pak Lang dan Mak Lang ,juga Cikgu Ara dan Ustaz Jalil.

Kemudian kita disajikan dengan persahabatan dan percintaan antara Muna, Qurban, Dol Azim dan Tuminah. Cinta takkan kekal jika dipaksa dan dimiliki secara brutal dan jalan belakang. Kasihan Dol Azim kerana cintanya pada Muna tidak kesampaian. Inilah jodoh ketentuan Allah . Persahabatan Qurban dan Muna yang selalu ada bersama dan sentiasa saling membantu dan memberi sokongan moral yang padu menyekat rasa cinta dari memercik. Sehingga tercetus satu letusan yang membangkitkan akal sedar dan hati yang menyimpan rasa cinta di hati keduanya. Benarlah bahawa kita akan menghargai sesuatu yang sentiasa ada di sisi kita bila kita merasa kita akan kehilangannya. Saat Qurban hendak meminang Siti, Muna merasa kehilangan dan dalam masa yang sama Qurban takut kehilangan Muna. Seterusnya ketika Muna menjadi tunangan Danial, luka hati Qurban menyebabkan cintanya kian membara. Pengakhirannya tentu sahaja membahagiakan.

Semua watak memainkan peranan yang sama penting. Watak Pak Lang dan Mak Lang melambangkan status Datuk dan Datin yang tidak sombong dan sentiasa mengasihi anak-anak saudaranya. Kemudian watak antagonis seperti Danial dan Siti menjadi halangan dalam percintaan Qurban dan Muna. Walaupun watak-watak ini didiamkan untuk memberi ruang watak Muna dan Qurban berkembang, namun ia tetap mengiringi perjalanan plot cerita dan kemudian ia muncul menjadi sesuatu peristiwa dihadapi secara kekeluargaan.

Kenapa Hujan Pun Menari menjadi tajuk novel sudah saya ketemu jawapannya dan berharap pembaca faham apa yang saya maksudkan. Tidak perlulah saya huraikan kenapa . Sesuatu yang terkesan di hati saya ialah ketika Ustaz Jalil dan anaknya Muna bersembang tentang wanita masuk neraka. Pada saat itu betapa kita rasakan hujan ini memberi momen manis yang menjadi memori terindah dalam hidup Muna. Ketika hujan turun kebelakangan ini di daerah saya, sering saya mengambil peluang melemparkan pandangan melihat hujan menari sekejap tegak sekejap sendeng. Teringat saat-saat manis bersama arwah ayah dan arwah atuk saya...al-fatihah untuk mereka. Hujan mampu menitiskan airmata kita.

Kali ini kita menyelami info tentang dunia maritim yang sukar kita selami namun bila penulis membawa latar IR Shipping, terlalu luas pengetahuan tentang maritim. Tahniah dengan cara penulisan yang memudahkan kita memahami tentang dunia maritim. Menarik, fantastik dan memotivasikan naluri untuk luaskan bacaan.

Puas hati sangat-sangat dengan novel Hujan Pun Menari. Tidak hairanlah jika Redzuan Jaafar a.k.a Atan memberikan 10 bintang untuk novel ini. Zahari pula menghabiskan novel ini tidak sampai 12 jam . Tahniah dengan kelahiran Hujan yang menepati citarasa semua pihak.