Mak Sakit Lagi

Posted by Leeza | Posted in

Benarlah kata orang , menjaga orang tua kena banyak bersabar dan sentiasa tabahkan hati. Kesihatan mak tidak menentu , terkadang baik terkadang tidak. Kudrat tuanya semakin lemah namun dia berusaha untuk bangun sendiri. Dia juga akan masak air sendiri. Itulah mak saya yang tidak pernah duduk diam sahaja .Jam 11 pagi setelah selesai mengemas rumah, mencuci pakaian dan memasak untuk mak, saya bertolak ke Kota Samarahan untuk mengambil wang di bank kerana wang belanja harian saya sudah sedikit. Tambahan pula saya perlukan wang untuk menguruskan kenduri tahlil untuk arwah datuk dan nenek saya sebelah mak. Hati saya tidak teringin ke mana-mana dan ingin cepat pulang sahaja. Setelah membeli barang keperluan dapur dan buah-buahan mak saya, saya terus balik. Di Tambirat saya singgah membeli 3 jenis ikan kesukaan mak saya.

Sebaik sampai di rumah , saya terus berikan mak saya makan bubur cendol dan buah betik. Dia dengan riang mengkhabarkan bahawa dia ada membuang air besar sebelah pagi. Saya hanya menjawab, alhamdulilah mak. Ketika saya sibuk menyiang ikan-ikan dan menggoreng salah satu jenis ikan tersebut, mak terus menyatakan dia hendak membuang. Sehingga habis ikan itu saya siang, dia memanggil saya meminta diambilkan ubat sabun untuk melancarkan proses pembuangannya. Ingatkan dia okay, rupanya dengan muka pucat dia keluar dari tandas dan berbaring di lantai. Saya terkejut dengan keadaannya. Katanya banyak darah keluar. Saya suruh dia bertahan dulu dan ketika saya memeriksa tandas , sah..banyak darah yang keluar. Saya jadi panik.... terus memanggil kakak saya yang sibuk menanam padi di halaman rumahnya. Abang ipar saya membantu mengangkat mak ke ruang tamu. Saya terus buat keputusan untuk membawa mak saya ke hospital.

Jam 6.15 kami sampai ke hospital unit kecemasan setelah meminta ehsan pengawal feri untuk memberi laluan kepada kami. Kami lambat sedikit kerana abang saya di Meranek meminta diambil .Katanya dia nak mengikut sama. Sebaik sampai ke rumahnya, dia boleh pula memberitahu dia tak dapat ikut kerana perutnya sakit...saya suruh dia berehat di rumah kerana tak mahu nanti keadaannya melarat.

Di unit kecemasan ada langkah-langkah dan peraturan yang harus diikuti. Ramai sungguh orang menunggu. Selepas kaunter penerimaan di no 1, kami terus mendaftar di kaunter 2. Selepas itu kena tunggu giliran di bilik rawatan 3. Ini bukan tugas doktor tetapi tugas pegawai yang akan menentukan kes serius dan kes ringan. Mak saya sudah semakin layu di atas kerusi roda. Tambahan pula dia muntah-muntah di dalam kereta. Abang-abang saya sudah gelisah dan angin bila ada pesakit india yang datang kemudian didahulukan oleh mereka. Abang saya menganggap konsep satu Malaysia tidak relevan dalam keadaan kecemasan. Siapa yang dulu kenalah dahulukan mengikut giliran. Sepatutnya kebajikan warga emas perlu dititik- beratkan. Saya hanya diam sahaja memerhati keadaan. Setelah giliran mak saya di bilik 3 , tibalah dia berjumpa doktor sebenar di bilik 4. Alhamdulilah setelah diperiksa doktor didapati pendarahan mak telah berhenti. Dia dibenarkan keluar dan ubat yang diberikan hanyalah sebotol ubat sembelit. Mak berjumpa doktor tepat jam 9 malam. Kami kemudian bertolak balik jam 915 malam. Salah seorang abang saya baru hendak keluar rumah untuk menjenguk mak di hospital . Kami memintanya tidak payah datang kerana kami hendak terus balik ke kampung. Abang saya yang sulung meminta mak bermalam di rumahnya atas alasan dekat dengan hospital tetapi mak bertegas tidak mahu . Jadi, tugas sayalah yang menjaganya semalaman ini. Ketika saya menulis pos ini, keadaan mak saya belum stabil lagi. Dia asyik membuang air besar . Bersyukur sangat saya kerana saya dalam cuti sekolah. Bersyukur sangat kerana saya tidak ke KL seperti yang saya rancangkan. Sesungguhnya Allah maha mengetahui dan menggerakkan hati saya.

Ya ALLAH, peliharalah kesihatan mak saya dan berikan saya kekuatan untuk menjaganya...amin.

Comments (0)