Sibuk Sangatkah?

0

Posted by Leeza | Posted in

Sudah lama saya menyepikan diri dari menulis di blog ini. Bukannya mengembara ke manapun hanya duduk di daerah ini sahaja. Kalau diikutkan hati, seribu perasaan ingin diluahkan dalam blog ini namun sejak saya mengenal diri , sebahagiannya harus disimpan menjadi rahsia peribadi.

Bermula minggu yang melukakan hati...hari-hari terasa hidup di atas bara api...panas dan asyik kata-kata yang pedas keluar dari bibir. Namun kejadian ini, membuat saya bermuhasabah diri tentang rahmat di sebalik semua dugaan ini. Jangan pernah berhenti berharap kerana ia membangkitkan rasa semangat untuk terus berjuang. Bukankah dunia pendidikan ini telah dipilih sebagai jalan hidup. HIJRAH.....sudah tiba masanya untuk mengorak langkah ke dunia baru yang lebih mencabar. Jika tidak sekarang ,sampai bila-bilapun takkan berubah sedangkan hati sudah dicemar dengan rasa kecewa. Bersabarlah hati kerana rezeki untukmu sentiasa ada.

Jika berduka pandanglah wajah-wajah mulus dan tulus milik anak-anak ini. Dan ternyata anak-anak didik saya juga yang melenyapkan rasa kecewa dan duka itu. Saya kembali tertawa dan nikmati keseronokan bersama mereka. Semangat mendidik kembali mencanak dan berkobar-kobar. Umpama hujan lebat yang turun tanpa hentinya sebegitu jugalah idea dan teknik-teknik mengajar....segalanya perfect dan menyeronokkan. Target pembelajaran harian mencapai had ke maksimumnya ....tanpa diduga , harapan yang malap di tahun 6 menjadi cerah tiba-tiba. Anak-anak itu daripada 25% lulus Sains melonjak kepada 72%, kemudian 84% dan yang terakhirnya 94%....tolak dua murid yang buta huruf : Hasiman dan Firdaus.Itupun mereka boleh dapat D. Senakal-nakal Iziary dan Nazreen, mereka kembali menyejukkan hati. Saya kembali berazam untuk mengekalkan kecemerlangan sekolah ini seperti tahun lepas. Mungkinkah tahun ini merupakan tahun terakhir saya di sini? HIJRAH....itu yang sering berlegar-legar dalam kepala saya.

Setelah sekian lama sihat walafiat, saya mendapat demam yang berlarutan dengan batuk beberapa minggu. SUDAH TUA...antibodi badanpun lemah. Inilah dugaan ALLAH. Bagaimana penat dan sakitnya kepala, saya tetap teruskan hari-hari mengajar. Tak ingin memanjakan diri dan meminta cuti. Cuma kebiasaan membawa sekotak tisu dan sebotol air mineral ke hulu hilir seakan menjadi fenomena yang biasa. Dengan anak-anak saya bersabar sangat-sangat tetapi menjadi lebih sensitif dengan staf sekerja. Baru-baru ini saya teringin hendak makan sebiji epal, saya mengarahkan murid saya meminta dari guru RMT kerana masa itu saya sibuk dengan data program nilam yang perlu dikemaskinikan. Malangnya cikgu itu bergurau salah tempat...diberinya saya sebiji epal bantut yang kecut dan buruk. Saya terasa sangat sedih dan kecil hati sungguh-sungguh. Saya bawa balik ke rumah, dan letak di atas meja. Ketika menjamah makan tengahari, tetiba saya menangis melihat epal bantut itu. Hina sangatkah saya sehingga ketika selera ingin makan epal diberikan epal buruk? Namun sejak itu saya sudah tidak tersenyum lagi dengan guru tersebut...hilang hormat saya kepadanya. Dalam hati berkata, patutlah hidupnya tak pernah senang-lenang...suka mempersendakan orang. Saya berighstifar....sejahat itu saya membuat 'sumpahan' kepadanya hanya kerana sebiji epal. Begitulah sensitifnya saya saat kesibukan dan kesihatan yang tidak menentu.

Hujung minggu ini saya akan bertolak ke Kuala Lumpur atas urusan kerja. Saya berdoa Allah permudahkan segalanya kerana saya tidak mahu berleretan di kemudian hari. Kemudian minggu depan keluarga kesayangan saya akan datang ke Sarawak....saya menghitung hari ke saat itu. Rindunya saya pada si Teta....

DAME ZOETE SARAH oleh Khairyn Othman

0

Posted by Leeza | Posted in


Dame Zoete Sarah bermaksud Si Manis Sarah. Novel yang baru selesai saya baca hari ini menandakan berakhirnya koleksi READ MALAYSIA 2009 yang saya kumpul. Novel ini genrenya berbeza dengan novel-novel berunsur cinta yang selalu saya baca. Genrenya berunsur thriller dan ala-ala James Bond . Satu bahagian dalam diri saya yang masih ada ialah kesukaan membaca novel-novel berunsur detektif dan thriller sebegini. Malahan selain filem dan drama jiwang-jiwang seperti cerita Korea, saya meminati Mystery Woman. Jika dulu saya tidak ketinggalan membaca novel-novel Inggeris siri James Bond , Nancy Drew dan Hardy Boys kali ini saya tidak menolak membaca novel ini. Khairyn Othman berjaya dengan pengolahan novel yang penuh dengan pengembaraan dan misteri yang perlu diselesaikan.

Sarah Adam heroin novel ini merupakan wartawan yang biasa-biasa sahaja. Namun Sarah menjadi wanita yang luar biasa apabila dia menjadi tempat 'bidan terjun' untuk ROD atau Chan Wee Kong meninggalkan formula dan kunci maklumat tentang organisasi dadah antarabangsa. Keinginan Sarah untuk membongkar rahsia ini menyebabkan rakan-rakannya juga terdedah kepada bahaya bukan sahaja oleh sindiket dadah tetapi juga pihak polis. Kesian Sarah kerana dia dituduh sebagai pengedar dadah dan pembunuh apabila dirinya disabitkan dengan kematian Zachary Tan @Zaidi . Perjalanan Sarah menjadi panjang dan merbahaya...Mujurlah dia dibantu oleh Marwan dan konco-konconya , sehingga Sarah berjaya keluar dari Malaysia dengan pasport sebagai Hayati Khairuddin. Belanda menjadi destinasi pencariannya untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah sekaligus membanteras kegiatan sindiket dadah di Malaysia. Malahan dadah yang hendak dipasarkan oleh mereka ialah jenis dadah yang sukar dikesan dalam tubuh manusia.. dikenali dengan nama MANIS. Semasa pelariannya ini, muncullah si polis yang ego iaitu Salim .Mulanya Salim mempunyai pandangan negatif terhadap Sarah tetapi semakin dia mendekati Sarah Adam dan mengetahui segala maklumat , maka fahamlah dia bahawa Sarah Adam tidak bersalah sama sekali. Rasa tidak suka menjadi bibit-bibit cinta dan demi Sarah, Salim sedia berkorban jiwa raga melindungi dan menyelamatkan Sarah dari ancaman bahaya. Bagaimana pengakhirannya ? Seperti cerita polis yang biasa, pasti ada yang cedera ditembak dan bermula dari detik itu, hati wanita sedegil Sarah turut terusik .....bahawa dia juga menyayangi Salim .

Satu tandatanya yang penulis tinggalkan ialah siapakah watak lelaki yang bertugas sebagai undercover dalam kumpulan penjenayah ini? Berdasarkan daripada cerita ini , penulis mungkin membuat cerita yang baru menggunakan watak ini. Memandangkan saya belum membaca karyanya Zaharah de tigris , namun saya dapat mengagak watak Kamal dan Nisa adalah kesinambungan dari novel Zaharah de tigris....dan mungkin seterusnya watak lelaki misteri yang menjadi undercover dan orang yang berperanan memujuk Chan Wee Kong berpaling tadah akan diceritakan pada novelnya yang seterusnya....

Penulis menggunakan gaya yang santai, bahasa yang mudah untuk difahami. Plot ceritapun tidak berbelit. Novel ini mungkin lebih menarik jika penulis menggunakan gaya misteri untuk pembaca sama-sama terlibat menyelesaikan siapakah dalang sebenar dalam novel ini.

Tahniah Khairyn Othman dengan gaya genre yang berbeza.....


CINTA YANG TERPILIH oleh Sri Diah

0

Posted by Leeza | Posted in


Inilah novel ke 10 ,novel Sri Diah yang dinanti-nantikan oleh semua peminat novel. Ketika mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa KL di PWTC yang lalu, saya terus mencari-cari CINTA YANG TERPILIH di rak-rak novel ALAF 21. Kecewa bila diberitahu bahawa novel ini belum diterbitkan lagi. Atas sebab kesesakan di bahagian percetakan, ia diterbitkan seminggu kemudian . Namun saya gembira sebab penulis sendiri menjanjikan dia akan mengirimkan naskah novel ini terus ke Sarawak ,khas untuk saya. Bukankah ini bermakna saya ini adalah peminat yang terpilih? Syukur alhamdulilah kerana ia tiba serentak dengan ketibaan hari lahir saya yang ke 42.Terima kasih Kak Sri atas hadiah hari lahir yang bermakna ini....pertama kali seorang penulis memberi saya hasil karyanya sebagai hadiah. Ketika helaian dibuka, tercatat tulisan tangannya : My Dear Liza Bujang, Cinta adalah lautan masalah, namun di dalamnya ada banyak nikmat Allah. Mencerap makna tulisan ini sedalam-dalamnya tidak sukar untuk memahami namun setelah mengkhatami novelnya hari ini baru saya faham apa makna di sebalik kata-kata itu.

CINTA YANG TERPILIH keseluruhannya bertemakan cinta ,kasih sayang dan kesetiaan. Warda yang sering lemah dengan lodakan emosi yang diibaratkan seperti buih dialun ombak yang terkadang ganasnya memecah menjadi halus dan terkadang dialun dengan lembut menjadi besar dan rapuh . Pertunangan dengan Zahim sepupu yang tidak sedarah daging diduga dengan kenyataan kemalangan Zahim bersama perempuan lain yang sedang mengandung. Putus tunang melibatkan bukannya dua hati berkecai tetapi hati ibu bapa masing-masing turut terlerai sama di pinggir persengketaan. Jika jodoh sudah tersurat ke manapun pergi akan bertaut semula . Demikianlah Warda dan Zahim disatukan oleh kedua keluarga di jinjang pelamin. Saat ini Warda menyerahkan sepenuhnya jiwa raga kepada Zahim suaminya sedikit demi sedikit. Kerana cinta itu masih ada untuk mereka...cinta yang lahir dari hati yang tulus ikhlas sejak kecil hingga dewasa. Inilah yang dikatakan CINTA YANG TERPILIH. Allah telah tetapkan keduanya adalah tercipta untuk diri mereka sendiri, Warda untuk Zahim dan Zahim untuk Warda. Penulis seterusnya mencipta watak antagonis Ashaari yang obses mencintai Warda dan tidak mahu menerima hakikat hubungannya dengan Warda sudah berakhir. Watak ini mencipta kepahitan dalam kebahagiaan Warda. Sehingga manisnya bulan madu untuk pengantin baru yang inainya masih merah di jari menjadi hambar dalam ketakutan. Tuhan, jika mampu saya bercerita tentang ketakutan diugut oleh lelaki yang gila , apa yang Warda rasai dalam Cinta Yang Terpilih adalah sedikit . Jika kita berada ditempatnya sebagai seorang isteri yang taat pada suami dan ingin mempertahankan rumahtangganya , kita memahami betapa tersepitnya Warda menyimpan rahsia ugutan ini. Bersyukur sangat-sangat dengan kehadiran Mimi sebagai sahabat Warda yang mampu menjadi tempat Warda mengadu dan melindunginya. Bagaimana kesudahan Warda , Zahim dan Ashaari ? Biarlah pembaca sendiri menilainya. Bagi saya setiap rentetan memeranjatkan , sukar ditebak malahan 'UNPREDICTABLE'. Rasa tak percaya namun itulah pendekatan yang penulis ambil untuk mengakhiri sengketa dengan sesuatu yang positif , DAMAI dan semua pihak hidup dengan bahagia .

Gaya penulisan penulis ini lebih banyak menggunakan monolog dalaman setiap watak . Penulis menggunakan kepakarannya bermain dengan emosi setiap watak. Plot menggunakan imbasan kenangan dengan penceritaan tentang sebab untuk rentetan peristiwa seterusnya. Gaya bahasa masih menggunakan alur bahasa berkias namun mudah difahami.

Banyak pengajaran yang yang boleh kita ambil ikhtibar terutama bagi setiap pasangan yang bercinta, bertunang dan berkahwin .

1. Bercinta - kemesraan bukan bererti harus melampiaskan nafsu apalagi melakukan sesuatu yang jelas haram di sisi agama Islam.

2. Bertunang - zaman yang penuh dugaan. Zaman yang dikatakan kedua pasangan ini berdarah manis dan semestinya godaan pasti banyak. Bukankah iblis berusaha agar umat Adam tidak mendirikan masjid?

3. Berkahwin - Bila pasangan ingin bersatu, perkahwinan bukan hanya melibatkan dua hati tetapi melibatkan dua keluarga. Jatuh bangun sesebuah perkahwinan , dua keluarga terutama hati kedua ibu bapa turut terasa tempiasnya. Pasangan yang muda memerlukan bimbingan dan pantauan oleh ibubapa dalam melayari rumahtangga bahagia.

4. Persahabatan - kesetiaan untuk berkongsi masalah menjadikan seseorang itu kuat dan sabar. Siapa kita tanpa sahabat.....kerana jika masalah tidak dapat dikongsi dengan pasangan maka ia perlukan pandangan sahabat seperti Mimi.

Walau bagaimanapun , Kak Sri masih kekurangan sesuatu sentuhan yang tidak diberikannya sepenuh dalam novel ini. Jika alaf 21 tidak menetapkan mukasurat hanya 500 , pasti novel ini akan lebih mencabar dan lebih mantap. Saya mempunyai beberapa pandangan yang mungkin boleh diterima dan mungkin ini hanya imaginasi saya yang suka berangan setelah sesebuah novel itu habis dikhatami. Antaranya :

1. Pada awalnya isu lelaki yang kehilangan kelelakiannya semasa kemalangan cuba disentuh sebagai pusat konflik. Isu ini tidak dikembangkan dan ia lebih menyentuh kekalutan lelaki yang merasa amat lemah dan malu dengan kekurangan yang satu ini. Lelaki ini menganggap Warda memutuskan pertunangan kerana isu ini.

2. Sikap Warda yang saya tidak suka , lembik terlalu emosional . Sehingga dia kehilangan kewarasan fikirannya saat dia hilang 2 hari 3 malam. Sikap lembiknya ini menyebabkan dia senang dimonopoli oleh Ashaari secara psikologi.

3. Perkembangan cerita terlalu banyak berbolak balik kepada hal yang sama iaitu putus tunang. Saya tak sabar kak Sri...hehehe Namun saya tak boleh percepatkan kerana takut setiap ayat akan memberi impak yang berbeza.... terlalu banyak kejutan.

4. Puas saya berfikir , bagaimana Warda boleh berjalan selama 2 hari 3 malam kemudian tiba-tiba ia dijumpai oleh Zahim dan keluarganya? Saat ini saya membuat andaian bahawa Warda diilmu-hitamkan oleh Ashaari. Rupa-rupanya hanya gangguan emosi.

Ini hanya pandangan saya sebagai pembaca. Namun saya sedar rupa-rupanya banyak masalah yang cuba dirungkaikan oleh Kak Sri dalam novel ini. Bagaimana Zahim yang hampir kalah emosi sehingga hendak menyaman Warda ( isu saman ini pun tak dikembangkan ). Namun saya menyukai saat Warda membantu suaminya dalam menyelesaikan masalah DNA Lewre anak Sharon dan saat dia dibelenggu dengan berbagai masalah, dia memilih untuk menjaga suaminya di hospital. Itu yang saya suka, isteri yang mithali....dan suami yang terpilih seperti Zahim.

Akhir sekali, ada kekurangan teknikal. Pihak editoran perlu lebih peka dan teliti....kesilapan yang mudah dikesan tak mungkin akan berlaku.

Cinta Yang Terpilih memberikan kelainan .....jangan jadikan masalah-masalah yang wujud dalam hubungan mematahkan semangat anda untuk bercinta dalam ikatan perkahwinan yang sah. Pinjam semangat Warda dan Zahim dalam mengutuhkan hubungan anda.....semoga anda semua bahagia selamanya dan hidup dalam keredhaan Allah SWT. Doa untuk diri sendiri : semoga saya akan mendapat Cinta Yang Terpilih.....jika tidak lebih bahagia sebegini sahaja.

Tahniah Kak SRI DIAH kerana novel ini memberikan kelainan. Untuk semua pembaca , dapatkannya dipasaran mulai bulan Mei 2010.






LAYANG-LAYANG BERTALI KACA oleh Norhayati Berahim

1

Posted by Leeza | Posted in


Novel ini dilancarkan semasa Pesta Buku Antarabangsa KL 2010 di PWTC 19 mac yang lalu. Ia saya khatam hari ini setelah seminggu mencari masa dan menghayatinya sungguh-sungguh. Memegang novel setebal 922 mukasurat dan seberat 1.77 kg menjadikan tangan sangat lenguh. Namun biar apapun kesibukan yang menerjah, kesedihan dan duka yang menyapa LLBK dihayati dengan sesungguh hati. Saya bangga kerana karya ini tidak menghampakan selera dan minda saya...mengisi penuh tiap rongga dan sendi juga mengelitik sejuta soalan setiap kali tiap episod ditatapi.

Tidak perlu rasanya saya terangkan sinopsis kerana ia sudah tersurat di dalam blog NB dan juga Facebook NB Kara. Saya ingin membicarakan tentang tema yang terungkai dalam tiap isi kandungan novel ini. Keseluruhan tema yang paling total ialah tema kasih sayang. Betapa kasih sayang itu mampu mencipta pelbagai kerenah manusia dan juga mampu mengubah seseorang menjadi lebih baik. Jika kasih sayang berkurangan hidup manusia menjadi pincang dan setiap tindak tanduk akan terpesong dari landasan kemanusiaan apa lagi keagamaan. Manusia yang miskin kasih sayang adalah manusia paling sunyi dalam dunia ini. Kasih sayang Tengku Shariman yang pada awalnya kita melihat betapa paranoidnya dia terhadap kehilangan Manja , satu-satunya permata hati yang tersayang. Dan kasih sayang yang terlampau ini membuatkan anak ini menjauhkan diri darinya. Bersyukur sangat-sangat apabila di London ,Manja dipertemukan dengan Zakiah yang menyedarkan tentang kasih sayang ayahnya. Kerana kasih sayang ini juga yang menyatukan dua beranak ini dalam hubungan yang lebih baik.

Kebebasan menjadi persoalan yang diperjuangkan oleh Manja. Rimas anak ini di sangkar emas menjadikan Pak Jusuh pemandunya berasa kasihan dan memberi peluang kepada Manja menikmati kebebasannya bermain layang-layang di padang. Kemudian isu moral juga diperbincangkan dengan kewujudan Rumah Solehah yang menempatkan anak-anak remaja yang tersasar perjalanannya. Siapa kita yang menghukum anak-anak ini kerana mereka menjadi mangsa kepada kriminologi. Kemudian juga diselitkan isu penderaan seks di Arab Saudi di mana anak remaja menjadi isteri kemudian didera oleh suami yang durjana. Manja yang bijak mencadangkan ustaz dan ustazah masuk ke ruang sembang yang banyak dimasuki oleh remaja, cuba merapati mereka, menjadi kawan dan menasihat anak-anak ini. Sedangkan kita tahu hari ini berapakah golongan sebegini sanggup menerokai dunia remaja dan hanya menuding jari kepada mereka.

Latar tempat yang dibahagikan empat iaitu London, Kl, Fanbu dan Penang menjadikan mudah untuk kita mengikut plot cerita dalam novel ini. Garapan yang sangat kemas. Malahan NB menggunakan keseluruhan media yang ada , YM, telefon, berita , penceritaan dan google internet . Pakar selalu bijak bermain dengan semua prop ini.

Apa yang saya suka? Semuanya saya suka .Ada beberapa ayat yang saya suka ialah :
1. cinta itu seperti mencari permata dalam taburan pasir. Dan bila sudah dimiliki, belum tentu ianya menggembirakan.
2. Hidayah bukan ada di Mekah atau Madinah sahaja. Hidayah ada di mana-mana biarpun di London.

Watak utama iaitu Manja, saya merasa kasihan dengan kejahilannya sehingga dia digomol sewenangnya oleh Ku Sam. Saya bangga dengan kebijaksanaannya dalam mengendali kejahilannya dalam agama. Dia yang rendah hati sehingga sanggup berusaha memperbaiki kekhilafan diri. Tidak sukar meneka siapa Maneesa kerana saya tahu itulah perwatakan sebenarnya. Saat dia melihat parut luka di tangan Azmin , dia sudah membuat keputusan yang bijak dalam hidupnya. Demi rasa kasih sayang yang pernah dia rasai semasa kecil, dia membalasnya dengan rasa kasih dan ikhlas.

Azmin, lelaki yang ditakdirkan menjadi pasangan hidup Manja adalah lelaki yang baik dan bertanggungjawab. Dia anak yang taat, soleh dan menyayangi mamanya sungguh-sungguh. Dia juga lelaki yang berperasaan cemburu dan berani. Keberaniannya menjadikan dia sanggup melamar Manja sebanyak dua kali. Bak kata Madam kawan saya : i salute him.

Zakiah , seorang sahabat yang sangat setia. Dialah pembimbing Manja dan dia juga yang menyatukan Azmin dan Manja. Pada akhirnya saya tidak menduga bahawa dia berkahwin dengan Ku Sam , sepupu Manja. Dan watak Jimmy....walau ia tidak ditonjolkan pada akhir-akhir cerita namun saya dapat meneka bahawa Jimmy adalah Johari. Dan Madam T sahabat saya menyatakan bukan....keh3. Saya tanya dia ,kau baca ke tak? Dia tidak puas hati sebab setiap yang saya utarakan padanya dia tak menjangka ia ada dalam novel tersebut...inilah bahananya membaca terlalu cepat..

Cuma satu sahaja yang saya tidak puas hati iaitu satu kesilapan teknikal yang membongkar rahsia Manja terlalu awal....siapa yang sedar mungkin faham maksud saya. Namun saya tidak mahu nyatakan di sini kerana saya mahu semua yang belum memiliki novel ini mencari sendiri apa maksud saya. Apa yang saya hendak katakan ialah, semakin menatapi tiap helaian novel ini semakin anda teruja hendak tahu bagaimana kesudahannya. Saya juga menangis membaca novel ini, bahagian Tengku Shariman menangis semasa house warming, saat Moksu termimpi anaknya, saat Moksu menangis dalam bilik air, dan saat-saat Moksu membuka beg pakaian yang dia jahit untuk Manja....Tuhan, betapa halusnya perasaan seorang ibu yang kehilangan anaknya.

Jika kerana layang-layang bertali kaca menyatukan jodoh Azmin dan Manja.....ia juga menyatukan jodoh Tengku Shariman dengan Zainab. Pengakhiran yang ringan dan membahagiakan......Keseluruhannya novel layang-layang bertali kaca terlalu hebat untuk saya huraikan secara panjang lebar. Cukup saya katakan saya dapat membuat gambaran penuh warna-warni melalui novel ini...dan saya seakan dapat meneka siapa dan kenapa. Anda belum milikinya ? Layari laman web : http:/www.norhayatiberahim.blogspot.com. Dapatkan secara online dengan cara mudah sahaja.


Sukan Tahunan SK Jemukan 2010

0

Posted by Leeza | Posted in


Sukan Tahunan SK Jemukan telah diadakan pada 31 Mac 2010 yang lalu. Dua minggu sebelum sukan olahraga diadakan pula pertandingan bolasepak dan bola jaring antara rumah. Guru-guru rumah sibuk membuat papan senarai peserta rumah masing-masing . Masing-masing berikan nama rumah yang hebat seperti pendekar hijau, red warriors, raja bersiong dan blue thunder.

Ini jemputan kehormat iaitu Penolong PPD Samarahan, Encik Ishak Hashim yang diiringi oleh Encik SeJeli b Saat, GB SK Jemukan.

Ini adalah sebakul cenderahati untuk tetamu kehormat yang dibuat sendiri oleh Cikgu Seruji Naneng, PKKK kami. Menurut ceritanya ,dia menganyam bakul ini sehingga jam 12 malam.

Pasukan rumah Biru ketika membuat perbarisan lintas hormat.

Pasukan rumah Merah @ Red warriors yang menjadi johan keseluruhan sukan tahunan 2010.

Pasukan Pra Sekolah 2 , murid-murid berumur 6 tahun.

Pasukan Prasekolah 1 , murid-murid berumur 5 tahun.

Pasukan rumah Kuning @Raja Bersiong yang mendapat tempat ke dua keseluruhan. Pasukan ini menjadi juara perbarisan.

Pasukan Rumah Hijau yang mendapat tempat ke tiga dan naib johan perbarisan.

Upacara melafazkan ikrar kejohanan yang dipimpin oleh Mohd Zulfikar b Sudin.

Upacara menyalakan obor oleh penolong PPD. Larian obor dilaksanakan oleh Amiruddin Julaihi.

Selesai larian obor mengelilingi padang, Amiruddin menyalakan tempat nyalaan obor di tengah padang.Bekas nyalaan obor ini dibuat daripada dapur gas dan kuali. Idea PKKK.

Sempat berposing bersama kawan baik. Inilah wajah sahabat saya Madam T. Baju rumah hijau untuk staf ini ditaja oleh suaminya, peniaga barangan sukan.

Ini antara acara yang diadakan untuk murid-murid prasekolah,menguntai manik. Nur Farika bt Sejeli ,anak boss kami yang lebih dikenali dengan nama Eric.


Larian mengutip bola.

Ini pula acara larian 200 m , rumah hijau yang diwakili Nur Syaidatina menjadi juara.

Ini pula acara tarik tali antara staf dan PIBG. Bukan main menyibuk si baju hijau, beria-ia menarik tali. Lepas hari sukan ini 2-3 hari demam sakit badan....apa lagi bila 2 orang guru jatuh atas paha lagi tu....mahu pengsan .

Tarik tali antara pasukan rumah lelaki.

Tarik tali antara pasukan rumah perempuan. Yang melucukan ialah rumah hijau ni menangis sebelum tarik tali untuk final no3 dan no 4. Yang depan ni Nur Fatihah, tengah tarik tali dia boleh lepaskan tangan, sakit. hahaha.

Walau pasukan staf lelaki dan staf perempuan kalah, mereka bagi juga hadiah hamper. Kat belakang tu anak didik saya, Si Azlan. Suka sangat masa membahagikan isi hamper ini....bukannya untuk dimakan pun ,ole-ole untuk anak dan cucu.