LELAKI TIDAK BERSALAH oleh Kusyi Hirdan

Posted by Leeza | Posted in

Novel ini saya beli semasa Pesta Buku Antarabangsa KL 2012 di PWTC. Design gambar kulit sangat menarik dan buat kita tertarik untuk mengetahui intipati cerita dalam novel ini. Burung merpati lambang kebebasan dan keamanan.

Saya akui sudah lama saya membaca buku ini . Bukan kerana isinya tetapi disebabkan kekangan tugas harian yang memenatkan sedangkan saya perlukan penghayatan yang lebih dalam membaca sesebuah novel. Ternyata novel ini tidak menghampakan , lari jauh dari masalah cinta malahan ia amat berat bagi saya. Dapat saya rasakan betapa penulis menghadapi kesukaran dalam menyampaikan cerita sebuah kisah benar agar pembaca mudah memahami dan bukan hanya sekadar baca begitu sahaja tanpa menyelami apa yang sebenarnya berlaku.

Inilah kisah yang harus dibaca oleh semua pihak. Kita selama ini tidak tahu banyak perkara bagaimana kes tahanan ISA ditanggani, bagaimana seseorang yang waras dan berpelajaran tinggi boleh terjebak dalam sesebuah pertubuhan yang berimejkan agama dan bagaimana kehidupan dibalik pagar besi. Tuhan , saya beberapa kali terasa sebak bila membaca novel ini , perit melihat penderitaan watak, menyelami perasaan ibu dan sahabat baik. Seribu kali kita harus bersyukur dengan kehidupan kita ini.

Kisah Salahudin Nordin yang ditulis oleh Sheila dan Liza memberikan ruang untuk kita berfikir bagaimana memastikan generasi muda kita, zaman anak-anak kita supaya mereka tidak mudah terpedaya dengan tipu helah manusia yang mempunyai kepentingan sendiri seperti Sufian. Bagaimana penglibatannya dari awal sehinggalah dia mulai sedar ada kepincangan ketika bertindak merampas senjata daripada kem tentera , banyak membuat saya rasa kesal, kenapa mereka yang sedar kepincangan ini tidak bersatu dan bertindak untuk menentang Sufian. Jawapannya ialah mereka masing-masing berasa takut dan tidak tahu siapa yang boleh dipercayai dan siapa yang tidak. Peranan Sheila dan Liza sebagai penulis dan pewawancara Salahudin memberi panduan untuk kita mendalami sebab kenapa Salahudin, seorang anak dan pemuda yang baik, warak boleh terpedaya dengan pertubuhan haram seperti ini. Jelasnya kerana kebijaksanaan Sufian memanipulasi keadaan dengan menggunakan ilmu agama dan ilmu batin. Keterjebakan Salahudin ini sebenarnya boleh ditanggani jika kawan baiknya Fatih tidak renggang daripadanya. Diceritakan bahawa Fatih tidak berminat untuk terlibat dengan serius dalam pertubuhan silat dan agama ini.

Perjalanan hidup Salahudin sejak mula menyerah diri dan di penjara, banyak membuat saya sedar betapa beliau tabah dan berpegang kuat kepada Allah. Ibunya adalah watak utama yang memberi kekuatan kepada anaknya dengan menitipkan nasihat : INGAT ALLAH. Begini yang harus dicontohi oleh masyarakat kita untuk tidak memulaukan golongan banduan dan memberi mereka sokongan supaya mereka yang bersalah mampu untuk bertaubat dan membina hidup baru. Juga harus diingat bahawa ada banduan yang tidak bersalah tetapi dipenjarakan kerana undang-undang tidak menyebelahi mereka. Terasa betapa tidak adilnya hukuman terhadap Salahudin dna rakan-rakannya yang terpedaya sebegini. 7 tahun bukan masa yang singkat. Bukan itu sahaja , kumpulan tertinggi Jurus Suci yang terikut dan tidak punya niat untuk bersama Sufian merampas senjata , tidak diberi pilihan melainkan terpaksa menjalani hukuman gantung sampai mati. Hanya kekuatan iman dan semangat pada kebenaran menjadikan Salahudin mampu bertahan dan menjalani kehidupan yang baik selepas keluar penjara. Watak Salahudin dan sikap prihatinnya juga mampu memberikan kekuatan kepada Liza yang ketandusan kasih sayang ibubapanya dan kepincangan kehidupannya tidak bersolat sehingga membawa despresi membunuh diri. Juga perjalanan hidup Salahudin secara tidak langsung membawa kekuatan kepada Sheila yang baru putus tunang dan dipermainkan oleh Adli si kasanova . Kekuatan yang cuba disampaikan oleh penulis Kusyi Hirdan ialah kekuatan dalam persahabatan yang saling memahami dan mendokong sesama sendiri. Saya kagum dengan watak Maznah seoarang ketua dan sahabat yang amat memahami.

Corak kehidupan dalam penjara , cara hidup, pakaian berseluar pendek sehingga Salahudin dan rakan-rakan memohon dibenarkan berseluar panjang, makanan  semuanya adalah info yang baik untuk kita semua. Juga kek istimewa dari penjara menjadikan ia makanan yang amat bererti bagi semua banduan di penjara. Saya juga tertarik bagaimana mereka ini ada yang melayan nafsu songsang dan tidak kurang juga mempunyai penyakit dirasuk.

Tahniah kepada penulisnya Kusyi Hirdan sebab memberikan pendekatan yang berbeza dalam menyampaikan kisah benar seorang lelaki yang tidak bersalah tetapi menjalani hukuman penjara selama 7 tahun di bawah akta ISA. 4 bintang saya berikan untuk novel ini.

Untuk anda , bacalah kerana inilah realiti kehidupan yang kita rasakan tidak adil tetapi diterima dengan redha oleh seorang hamba Allah . Jika kita berada di tempatnya belum tentu kita mempunyai kekuatan sebegini. Dapatkan daripada NBKara sdn bhd. Harga RM21.90 /RM24.90 . Anda boleh order online daripada http://www.nbkara.com.my



Comments (0)