Asalamualaikum pembaca blog yang dikasihi.
Program ini sudah lama saya rancang dan syukurlah tahun 2012 ini saya cuba melaksanakannya sebaik mungkin. Syukur alhamdulilah kerana ketika saya suarakan hasrat saya ini, kak Norhayati Berahim banyak memberi idea dan membantu saya untuk melaksanakan program ini. Program ini adalah cetusan ilham dari idea novel kak NORHAYATI BERAHIM : SEJAM RM2.50. Puan NORHAYATI BERAHIM juga merangkap penasihat program dan pembantu saya yang paling penting. Jika anda sudah membaca novel tersebut , tentu anda faham betapa bimbangnya melihat kepincangan dalam masyarakat kita. Kita tidak mahu anak-anak tidak dimotivasikan untuk mendekati surau dan mengamalkan kehidupan Islam yang sebenarnya. Melihat anak-anak berkeliaran ,saya ingin mereka mempergunakan masa sebaik-baiknya untuk mengaji Al Quran . Pada mulanya penyertaan hanyalah belasan orang tetapi bila saya janjikan imbuhan untuk mereka yang mengaji sebulan tanpa ponteng, maka bilangan ini menjadi 20 orang. Saya ingin mengubah persepsi masyarakat dewasa dan ini bermula dengan menarik minat anak-anak mereka ke arah kebaikan. Semoga langkah ini membuka ruang untuk mereka berubah dan tidak mendekati aktiviti yang tidak sihat.
Untuk menjayakan program ini , kami memerlukan Al Quran dan rehal untuk 44 orang peserta tadarus. 20 orang kanak-kanak dan 24 orang dewasa termasuk beberapa orang warga emas. Tentu tertanya-tanya mengapa saya hendak menyediakan Al Quran dan rehal ini. Surau Darul Ikhlas mengalami banyak kerosakan harta benda disebabkan banjir yang melanda kampung kami beberapa kali hujung tahun lepas Disember 2011 hingga Januari 2012 yang lepas. Kebanyakan penduduk kampung kami bukan golongan yang senang dan dengan adanya Al Quran menjadi milik mereka, anak-anak ini akan sering mengulangkajinya di rumah. Sekaligus sasaran saya, setiap rumah sekurang-kurang ada senaskhah Al Quran. Kami sangat memerlukan bantuan pembaca dan rakan-rakan semua untuk menjayakan program ini. Imbuhan pagi raya sekurang-kurangnya dapat menggembirakan hati mereka dan percayalah bahawa imbuhan ini seakan memenuhi keperluan hidup mereka. Kenapa ? Sebab mereka ini bukanlah golongan yang senang...
Setakat ini saya telah mengadakan taklimat kepada peserta kanak-kanak untuk memaklumkan pentingnya kehadiran penuh mereka setiap malam. Saya juga telah bermesyuarat dengan AJK Surau Darul Ikhlas untuk membincangkan cara perlaksanaan program dan meminta bantuan AJK Surau untuk memantau perjalanan program ini. Semua peserta diagihkan kepada 5 kumpulan dengan menggabungkan peserta muda dan peserta dewasa. Setiap kumpulan ini akan diketuai dan dibimbing oleh seorang pakar yang merupakan guru KAFA , guru mengaji, Ustaz dan Tuan Imam ,Haji Nerawi. Cara perlaksanaannya ialah mengaji secara bergilir. Ia akan bermula selepas solat tarawih malam 1 Ramadhan.
BANTULAH kami wahai sahabat handai untuk melaksanakan program ini. Jika saya seorang, saya tidak mampu melaksanakannya. Mohon bantuan derma berbentuk wang daripada anda semua. Jika anda berminat dan sudi membantu saya, tolong emel saya ke elleezb@yahoo.com atau kak Norhayati Berahim : nbkara@yahoo.com untuk mendapatkan no akaun.
Akhir kata, terimakasih kerana sudi membaca blog ini dan bantuan anda sangat kami hargai. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya.
Comments (0)
Post a Comment