PERCUTIAN JUN 2012 Day 2

1

Posted by Leeza | Posted in

Hari kedua ini saya membawa anak-anak saudara ke Berjaya Times Square.Pada awal pagi kami membeli-belah di sekitar Jalan TAR terlebih dahulu. Saya sempat membeli pakaian cucu-cucu saudara saya dan ke Mydin. Sebenarnya kami tidaklah tahu bagaimana hendak ke Berjaya Times Square tetapi kami tawakkal sahaja. Syukur alhamdulilah kerana dapat juga sampai ke sana. Kami naik LRT Sogo dan turun di Jalan Hang Tuah. Dari stesen itu kami berjalan kaki terus ke Berjaya Times Square.

Jualan murah yang berlambak di lobi Berjaya Times Square
Inilah taman tema di Berjaya Times Square, tempat permainan. Bayaran masuk RM37 dewasa dan RM22 untuk kanak-kanak.
Makanan tengahari saya di Station Kopitiam, Sizzling Chicken Chop Rice. ( 1 set RM16.90)
Tutti Fruity RM18.90
 
Bergambar depan Pavillion

Cantik dekorasinya

Madagascar 3 concert di lobi Pavillion
Pada waktu petangnya kami dijemput oleh Pak Seyit dengan menaiki TRITON barunya. Beliau membawa kami ke Pavillion untuk melihat-lihat dan bergambar. Cantiknya Pavillion dan kawasan Bintang Walk tersebut. Malamnya Kak Norhayati Berahim membelanja kami makan sate kajang. Sedap sangat, apa tah lagi ada kerang rebus berempah. Saya berpeluang berjumpa dengan Roslaini sekeluarga.
Sate Kajang yang sedap...bestnya.


Kerang rebus berempah
Jumpa kerang gergasi..suka.hahaha.
Jumpa Roslaini sekeluarga.
alhamdulilah, keduanya sangat gembira. Si Yan tidak banyak makan tetapi saya dan EE benar-benar menikmati makanan di Semenanjung kerana Sarawak berlainan.
Saya tahu kawan-kawan saya mempunyai agenda sendiri dan percutian sendiri. Sejak kali pertama jejak kaki di Kuala Lumpur , mereka telah banyak kali tinggalkan kami bertiga dan jalan sendiri. Saya tidaklah berkecil hati kerana saya harus menghormati keputusan mereka. Mereka mempunyai jadual sendiri dan ada saudara mara yang selalu membawa mereka berjalan-jalan. Jadi sekurang-kurangnya saya tidak rasa bersalah meneruskan percutian saya sendiri , malahan sangat bersyukur. Andai kata tiada percutian ini, pastinya saya dan anak-anak saudara saya mati kutu tanpa haluan.

PERCUTIAN JUN 2012 Day 1

1

Posted by Leeza | Posted in

Pada 2 Jun 2012, saya membawa dua orang anak saudara saya, Ahmad Fakhri dan Nur Fazyanni  bercuti di Kuala Lumpur. Kami disertai oleh rakan sekerja saya , Cikgu Saadiah sekeluarga, Ustazah Timah dan anaknya, dan Ustazah Pajariah dan anak saudaranya. Kami sampai ke Hotel Noble lebih kurang jam 1 petang . Terdapat sedikit masalah dengan tempahan bilik.namun segalanya berjaya diselesaikan. Saya belajar banyak pengalaman dan pengajaran daripada hal ini. 

Anak saudara saya, Ahmad Fakhri dan Nur Fazyanni

Keluarga cikgu Saadiah  
Laksa asam yang saya makan di Sogo. Sedap..sudah lama saya mengidamkannya.
 Selepas menyelesaikan urusan di hotel, saya dan anak-anak saudara saya meraon di Sogo untuk membeli-belah. Kali ini saya membeli semua pakaian raya cucu-cucu saya . Setelah penat , kami berhenti makan di Medan Selera Sogo. Saya , apa lagi memilih laksa kegemaran saya. Pada petangnya , ibu-ibu saudara Fakhri, Kenanga dan Jumpaka datang dari Penang menemui kami. Mereka menumpang bilik kami. Jadi ramailah kami di bilik malam itu. Rancangan pertama kami ialah pergi ke I-City di Shah Alam. Saya mengikut maklumat yang diberikan oleh Zahari iaitu menaiki komuter ke Padang Jawa dan daripada situ menaiki teksi ke I-City. Tambang komuter ialah RM3.20 seorang dan teksi pula RM10.Kami menaiki 2 buah teksi.

Menunggu komuter ke Padang Jawa, Shah Alam.

Akhirnya kami berjaya sampai ke I-City.

Ahmad Fakhri bergambar sakan, seronok dia.

Taman Swan yang cantik

Danish dna adiknya dan Fakhri main permainan ini

Bergambar sakan di bawah pokok lampu.

 Kami balik dalam jam 9.30 malam kerana kami telah diingatkan oleh pemandu teksi untuk berada di Padang Jawa sebelum pukul 10 malam. Selepas itu tiada perkhidmatan teksi lagi. Pada mulanya kami amat sukar mendapat teksi tetapi syukurlah pakcik pemandu teksi  sudi menumpangkan ke semua kami dalam sebuah teksi . Kami membayarnya RM20 sebagai tanda penghargaan kami. Lebih kurang jam 10.30 malam barulah ada komuter. Keadaan masa itu sangat sunyi. Oleh kerana seram hendak turun di Bank Negara ,kami berhenti di KL Sentral. Daripada situ kami naik LRT dan turun di Masjid Jamek. Daripada sana kami berjalan ke Masjid India.Dalam perjalanan kami singgah di gerai jam untuk membeli jam tangan murah. RM10 seutas. Kasihan melihat 3 anak-anak Kenanga yang sudah kelaparan.
Kuie Tiaw Ladna makan malam saya di gerai dekat Masjid India. Kami makan jam 12.30 malam.



CUTI PENGGAL 1 /2012

0

Posted by Leeza | Posted in

Cuti oh cuti....setiap kali hendak cuti saya teruja sangat. Kali ini minggu pertama hanya bercuti di rumah sahaja. Pergi ke Kuchingpun ikut macam rutin, pergi awal pagi Sabtu dan balik petang. Itupun shopping barang-barang keperluan harian. Yang tak bestnya ialah, sebelum cuti kali ini kesihatan tak berapa baik. Masa Pesta Buku KL, asyik batuk-batuk. Dah baik batuk sambung dengan selesema sehingga gatal telinga dan tekak. Baik aje, batuk datang balik. Masa sakit telinga , bukan sahaja dah jadi pekak tetapi kepala pun sakit berdenyut-denyut. Saya pula tak suka makan panadol. Dipendekkan cerita sejak sakit kaki macam-macam ubat ditelan sehingga menganggu berat badan. Madang aje rasa lapar. Oleh kerana cuti, rajin jugalah masak,mencuba resipi 6 Sahabat Norhayati Berahim. Bila mengingat berat badan dah 65kg, saya jadi gerun. Malaslah nak masak sedap takut makan bertambah-tambah.

Tiap kali cuti, macam-macam kerja dirancang, konon tidak mahu kebosanan. Maka bawalah berbeg-beg kerja bawa balik rumah. Antaranya kertas exam budak-budak. Alhamdulilah semuanya siap sekelip mata sahaja..hahaha mana sekelip matanya, hari-hari  mengadap. Yang lucunya buat soalan tak ada skema jawapan. Maka terkial-kiallah baca nota balik dan cari jawapan sendiri. Kalau objektif senang cerita, tebuk lubang acuan objektif kemudian lekap dan tanda jawapan betul sahaja. Kawan saya lagi kreatif. Dia ambil satu kelas kertas jawapan kemudian guna paku dna tukul tebuk lubang semua. Jadi satu kali one go terus dah tanda...hehehe. Tak mahu saya buat kerja tak semenggah sedemikian , tak suka saya tengok kertas jawapan budak berlubang. Bagaimanapun banyak kerja yang tak siap walau sudah dirancang awal-awal. Tak tahu kenapa , di rumah banyak benar kerja yang nak dibuat. Dari kerja memasak hinggalah mengemop lantai...hesy tak pandai habis-habis. Dah lumrah tak suka rumah berselerak .

TV ? Oh , saya suka menonton siri Master Chef. Suka juga menonton siaran memasak. Ada satu malam saya sanggup bersengkang mata gara-gara hendak menonton 3 Idiots. Jam 1.30 pagi baru ia tamat sehingga mak saya meracau tengah malam. Bukan apa , cerita hindi ini ada unsur pengajaran bagaimana seharusnya cikgu bereaksi di sekolah. Dua cerita lakonan Amir Khan ini yang menyentuh hati saya. 3 Idiots dan satu kisah tentang kanak-kanak dilexia. Kalau ada ISI , baru saya suka menonton sampai habis. Sama jugalah dengan buku. Tapi sedihnya saya ini lambat sungguh membaca buku. Jawapannya sebab facebook. Kahkahkah. Kalau line internet bermasalah, tup tup...habis satu buku saya baca.

Dari celik mata awal subuh, sehingga jam 12 malam, banyak jugalah kerja yang saya lakukan. Ertinya cuti seakan tidak mencukupi bagi saya. Oh minggu kedua ini saya bercuti ke KUALA LUMPUR. Saya suka...tidak sabar hendak terbang esok. KL ..here i come. :)

ROTI CANAI SALAD TACO oleh Norhayati Berahim

0

Posted by Leeza | Posted in

Asalamualaikum warahmatullahi' wabarakatu'....
Jika saya ungkapkan semua perasaan ketika membaca novel ini, mesti ada orang yang akan membuat tanggapan bahawa saya terlalu emosional dan terlalu jiwang dalam memperkatakan sesebuah novel. Dipandang dari segi positif , semua pencinta buku akan mempunyai keterujaan yang tinggi terhadap buku yang dibaca. Apatah lagi jika buku itu adalah buku yang sangat disukai cara penyampaian dan isi kandungannya. Membaca sejuta kalipun tidak apa...pasti perasaan suka itu berganda setiap kali membacanya kerana kita akan lebih memahami bila dibaca berulang kali...silap-silap boleh hafal ayat dari A ke Z.
Ya , saya akui bahawa saya sangat lambat membaca novel sekarang ini. paling cepatpun tiga hari, hanya pada hujung minggu. Namun tidak semua cuti hujung minggu saya bernasib baik kerana kunjungan anak-anak emak yang lain.
Namun dalam situasi saya membaca novel ini amat berbeza. lambatnya saya menghabiskannya kerana saya perlu untuk berjeda seketika untuk mencerna beberapa kaitan watak di dalam novel tersebut. Saya akui pada mulanya saya pening sebab banyak watak diperkenalkan. Tambahan pula pengenalannya amat minimum untuk memperolehi klu atau bayangan siapakah watak-watak tersebut. Dan pastilah penulis memperkenalkan watak melalui beberapa peristiwa penting yang seterusnya jika pembaca bijak akan berusaha mengaitkan semua watak itu di sepanjang deretan perjalanan plotnya. Kali ini penulis menggunakan pendekatan yang amat berbeza dalam memperkenalkan watak-watak novelnya. Jika dulu kita boleh agak watak ini dengan watak itu saling berkaitan dalam bentuk pola berpilin yang semakin besar pusaran berpilinnya maka berkembanglah jalan cerita tersebut. Namun kali ini ia umpama percikan bunga api di udara , melantun ke serata arah dan hujungnya kita harus kumpul satu persatu membuka segala misteri yang termetri sepanjang jalan cerita tersebut. Bijak penulis ini  dalam mengikat fokus pembaca untuk terus  sabar membaca satu persatu. Ya..membaca Riti Canai Salad Taco ,kita tidak boleh bermain politik kotor untuk melangkau satu helai demi satu helai kerana ia membuat kita tertinggal sesuatu yang remeh tetapi amat penting...contohnya saat pertemuan pertama watak hero dan heroin. Namun keduanya tidak perasan pada pertemuan itu sebab heroin langsung tidak memandang secara terperinci wajah heronya pada masa itu. Hanya pandangan pertama di kilang Sejuk Beku lah yang membuat si hero jatuh  hati kali pertama tetapi tidak kepada heroin. Nyata dalam novel ini  perasaan sebenar heroin tidak terlalu digambarkan hanya setelah berkahwin barulah timbul rasa sayang, cinta dan kelembutan yang ada pada Raniah. Penulis seboleh mungkin menjaga dengan sebaiknya santun seorang wanita Melayu dalam menyemai perasaan kasih kepada kaum sejenisnya yang hakikatnya ramai yang hilang kesantunan  ini. Ibarat perigi mencari timba.

Kita diajak untuk bersabar dalam menghayati novel ini sepenuhnya. Ini kerana setelah beliau mengenalkan beberapa watak dan perwatakan yang menarik , bila kita membaca baris demi baris dengan harapan kita temui jawapan siapakah watak-watak tersebut dan kenapa ia terjadi sedemikian. Namun dipertengahannya beliau banyak memperkenalkan Raniah dan lingkungan kehidupannya. Begitu juga dengan Mukmin dan sekitar masalahnya. Semasa beliau menceritakan kisah masa kecil Raniah , kita kemudian tertanya-tanya apakah yang berlaku seterusnya kepada watak Hanum dan watak Amirul. Kedua misteri ini seterusnya seakan dilupakan bila kita menghayati jalan cerita seterusnya. Tertanya-tanya juga hati kecil saya, adakah penulis sengaja melupakan dua watak ini menjadi tergantung atau ada kisah selanjutnya. Begitu juga dengan Mukmin , saya tertanya-tanya kenapa emak Mukmin merahsiakan hubungannya dengan Bakhtiar dan Nana. Bila membacanya saya tidak dapat lari daripada berprasangka buruk bahawa , emak Mukmin berkahwin dengan Haji Ismail dengan cara menggunakan ilmu hitam. Bimbang suami , Mak Tua dan anak-anak menjadi marah maka beliau menyimpan secara kejap rahsia yang tidak ingin dibongkarnya walau natijahnya , bukan sahaja Mukmin menerima padah tetapi isteri Mukmin juga turut terkena.

Saya akui juga saya tertanya-tanya kenapa Salad Taco menjadi tajuk kerana hampir 70% cerita berkait dengan Roti Canai. Rupa-rupanya semua watak mempunyai kenangan dan kaitan rapat dengan roti canai. Di warung Mak Cik Delima lah pada mulanya pertemuan Hawa dengan Raniah. Seorang wanita berambut merah dan sedang duduk memerhati Raniah melebar roti canai dan kemudian mengambil gambarnya. Dan Salad Taco menjadi lambang pertemuan Raniah dengan Mukmin yang membuka sebuah restoran iaitu 1420. Satu nombor yang mempunyai makna yang sangat mendalam bagi pemiliknya. Apa maksudnya, kenalah rakan-rakan membaca sendiri novel ini. Jika saya ceritakan kesemuanya , rasanya tidak cukup dihelaian blog ini. Mahu bertambah beberapa episod seterusnya. Bak kata krew Aksara dulu, habis satu roll filem dengan hanya saya yang bercakap...

Saya sebenarnya amat sebak membaca kisah Raniah dan ibunya. Betapa degilnya seorang ibu , Mak Cik Delima sehingga perbuatannya itu amat mengecilkan hati Raniah. dari kecil sehingga dewasa , Raniah menjadi anak yang berdikari sehinggakan masuk universiti menggunakan duit sendiri. Perasaan kecil hati seorang anak sebenarnya telah saya rasai bertahun-tahun, dan ini membuat hati saya terguris bila membaca bagaimana  Raniah balik dengan sebak di hati setelah menemui ibunya di Pusat Jagaan Orang Tua. Dan bila Raniah menulis artikel tentang emak Mei Ling, ia menyedarkan Mak Cik Delima betapa dia mengabaikan saat-saat manis masa kecil anak yang harus dikongsinya bersama anak. Biar sibuk manapun, luangkanlah masa untuk hari-hari penting anak seperti majlis penyampaian hadiah dan sebagainya. Jangan kedekut untuk tunjukkan perasaan sayang kepada anak melalui perlakuan. Ini bagus menjadi panduan ibu bapa di luar sana. Dalam menanggani masalah sosial anak-anak zaman sekarang, amat pentingnya ibubapa meluangkan masa bersama anak-anak agar pergerakan dan pergaulan mereka dapat dipantau sepenuhnya. Bukan mengongkong keterlaluan namun berusaha menjadi kawan baik anak-anak dan berubah serta bertoleransi mengikut zaman anak-anak.

Bila terjebak dengan kerja yang tidak halal, ia memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang tinggi untuk mengubah nasib dan keluar dari lingkungan kerja yang banyak menjurus ke arah kemungkaran. Kita didedahkkan dengan perubahan positif pekerja kelab malam seperti Hawa . Kehidupannya amat bahagia dengan suami yang amat menyanjung kehidupan beragama malahan kedua suami isteri ini berjaya membuka minda golongan barat tentang kehidupan Islam . Kejayaan ini amat manis dengan pengislaman Stephanie di Jerman.  Juga betapa akar dan asas yang kuat dalam mendidik anak-anak menjadi perisai yang sangat ampuh sehingga syukur alhamdulilah dalam cabaran yang sangat hebat dengan dugaan dan cabaran persekitaran kehidupan di Jerman, anaknya Raudhah yang remaja akhirnya terselamat. Syukur alhamdulilah walau pada mulanya saya sangat cemas bila Raudhah kembali daripada parti rumah kawannya dalam keadaan sugul dan murung. Bukan hanya ibubapanya mendoakan, secara tidak langsung hati kecil saya turut berdoa agar Raudhah tidak rosak. Walau bagaimanapun penulis tidak lupa menceritakan natijah perbuatan yang jahat untuk menjadi iktibar dan pengajaran kepada kita. Bakhtiar dan anak-anaknya yang tidak tahu status memandangkan nama bapa mereka berlainan sekali akhirnya mati terbakar . Biasanya manusia yang mengamalkan ilmu hitam, syirik dan berkawan dengan syaitan akan mati dalam keadaan yang mengaibkan. Hani perempuan Melayu yang zahirnya ditunjukkan sebagai wanita yang kuat beragama tetapi lahirnya amat kasar, egois dan kuat berprasangka. Ia menjadikan kita memikirkan adakah kita ini tersangat munafik yang menunjuk-nunjuk kebaikan tetapi sebaliknya hati kita sehitam-hitamnya tanpa dikawal.  Perkahwinan Daim yang gagal menyedarkan betapa dia terburu-buru mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Hani yang tidak dikenalinya dengan sepenuhnya. Penulis sama dengan saya amat bersetuju bahawa sesuatu perkahwinan itu haruslah mendapat restu daripa ibubapa terlebih dahulu. Jika tidak, maka akan timbul masalah di kemudian hari. Puan Suhana ibu Daim amat tidak setuju bila Daim mengahwini Hani , bukan hanya kerana dia lebih menyukai Raniah menjadi menantunya tetapi kerana nalurinya dapat mengagak bahawa Hani bukanlah perempuan yang baik.

Roti Canai Salad Taco membicarakan tugas wartawan dan pengusaha kilang makanan sejuk beku. Namun saya amat suka kerana tugas wartawan ini menjadikan penulis dapat mengungkapkan semua bidang, agama, fesyen, makanan, halal dan haram hatta kebajikan sekalipun. Betapa kerjaya ini bukan hanya setakat menjadi wartawan mewah tetapi tugas wartawan yang melaporkan kebenaran dan membantu golongan yang perlukan bantuan kebajikan . Kita diperkenalkan dengan watak Zawi dan saya menjerit terkejut bila tahu siapakah Zawi yang sebenarnya. Patutlah saya hairan kenapa si Raniah asyik berkepit dengan Zawi dan hingga sanggup duduk di atas paha Zawi. Sesuatu yang manis bila Raniah menjadi sahabat yang tidak berputus asa mendoakan dan menegur sahabatnya yang pincang jalan hidupnya untuk berubah ke arah kebaikan. Ini menjadi motivasi kepada kita semua , jangan sesekali tinggalkan sahabat tetapi berdoalah dan jangan berputus asa mengajaknya ke arah kebaikan. Begitu juga dengan watak Janis , seorang wartawan yang banyak mengungkapkan realiti kehidupan masyarakat zaman kini. Walau dia bukan orang Islam tetapi beliau banyak menyumbang ke arah kebajikan. Akhirnya saya dapat mengagak , dia dan Daim berkahwin dan dapatlah Janis memeluk Islam mengikut papanya, Razali Teoh. Watak Janis dan kaitannya dengan Hanum sangat mengejutkan saya.

Sudah panjang meleret ulasan novel yang saya buat ini. Tahniah kepada kakak Norhayati Berahim kerana memperkenalkan cara baru dalam pengolahan watak dan perwatakan. Nampaknya kakak telah melangkah ke satu tahap lagi dengan mengubah pola penceritaan akak. Teruskan akak kerana info-info dan ilmu yang akak selitkan dalam novel ini amat membantu kita semua. Anda di luar sana , dapatkan novel ROTI CANAI SALAD TACO di pasaran sekarang. Atau layari laman web : http://www.nbkara.com.my.

UDA DAN DARA oleh Aisya Sofea

0

Posted by Leeza | Posted in

Novel ini sebenarnya sudah lama saya beli tetapi saya baru sahaja membaca dan menghabiskannya hari ini. Tiga minggu saya membaca novel ini. Novel berkisah percintaan yang diumpamakan uda dan dara antara Siti Mariam dan Izzat Hilman. Mereka berdua kenal sejak kecil tetapi terpisah kerana kejadian penghinaan oleh Izzat Hilman terhadap Siti Mariam yang pada zaman remajanya digambarkan seorang gadis yang gemuk dan tidak menarik. 17 tahun lamanya Siti Mariam menyimpan rasa marah dan dendam tetapi tidak dapat menolak naluri kasih sayang dan cintanya  terhadap Izzat Hliman. Si Hilman pula jatuh hati bila bertemu semula dengan gadis yang pernah dicemuhnya itu. Gadis itu berubah menjadi wanita yang  mempersonakan. Maka bermulalah cinta mahu tapi malu, sehingga kejar mengejar. Si gadis asyik berdolak dalih dengan hatinya..mulut kata benci tetapi hati kata mahu sangat. Hilman pula cinta membuak-buak dan bernafsu.

Pada peringkat pertama ialah hubungan yang bertarik tali , nampak si Mariam tidak matang. Bagaimana bercinta kemudian berpisah ? Ia umpama bom jangka bagi Hilman yang seikhlasnya sayangkan Mariam. Bagaimanapun kita tidak boleh salahkan Mariam kerana dia tahu dan sedar diri bila secara terangan kakak Hilman ,Kak Yah hendak menjodohkan Hilman dengan sepupunya Khalidah lulusan dari Jordan.Kemudian percintaan ini disenyapkan sementara dengan masalah ayah kandung Mariam berhutang dengan Ah Long. Masalah ini membuat keluarga Mariam dalam bahaya dan berada dalam kestressan. Kemudian Hilman terlibat sama sebab dia rapat dengan Mariam. Bila akhirnya Hilman membantu melunaskan hutang ayah Mariam dan dia dengan tegas meminta ayah Mariam tidak lagi menganggu hidup Mariam. Di kesempatan itu  juga dia melamar Mariam menjadi isterinya. Kerana terhutang budi , maka perkahwinan mereka diatur oleh keluarga. Kak Yah pula semakin mengamuklah dia kerana adik kesayangan ingkar dengan kehendaknya. Maka bermulalah episod duka seorang isteri yang terasa diri dikahwini untuk membayar hutang dan tidak disukai oleh kakak ipar.

Banyak juga konflik yang diwujudkan dalam novel ini. Konflik hati Mariam yang berteka- teki samada suaminya sayangkan dia. Sehingga bila mereka dalam saat-saat mengecap bahagia berdua, datang musibah bila rahsia penjualan tanah untuk membayar hutang ayah Mariam dibangkitkan oleh Kak Yah. Kemuncaknya Mariam yang tidak tahu dirinya mengandung terjatuh dari tangga menyebabkannya keguguran. Kak Yah cuba menangguk di air keruh dengan mendesak Hilman mengahwini Khalidah. Hakikatnya Khalidah serba salah dengan tindakan Kak Yah dan masih menghormati perkahwinan Mariam dan Hilman. Namun ada penyelesaian yang menyedarkan Kak Yah dari lena dan sikap obsesnya yang keterlaluan. Pendermaan darah kepada anak lelakinya Jefri yang mengidap demam denggi oleh Mariam yang baru keguguran menyebabkan sengketa  dan dendam ini berakhir dengan manis. Maka kebahagiaan itu dilengkapi dengan kelahiran Arif Hilman. Penulis juga tidak melupakan watak Adam Mukhriz dengan Hawani dan  Luqman Hakim dengan Farah.

Keseluruhannya penyampaian amat sederhana , cinta yang biasa-biasa sahaja. Malahan kali ini semakin jelas bila penulis amat terhad dalam penceritaan

Masak Pada Hari Minggu

0

Posted by Leeza | Posted in

Asam Pedas Kekasih
 Hari Ahad sahajalah masa paling santai untuk saya memasak. Hari-hari biasa saya tidak sempat memasak yang istimewa untuk diri sendiri. Bak kata kawan saya, kalau kau dah kahwin mahu atau tidak ,kau terpaksa memasak juga untuk keluarga. Betul katanya, sebab bila saya seorang saya hanya memasak untuk emak dan untuk diri sendiri terkadang makan terkadang tidak. Kalau lapar sangat, telur dadar menjadi pilihan.

Oleh kerana sudah berminggu ayam  dalam freezer, maka hari ini saya mencuba resipi dalam Buku RESIPI 6 SAHABAT Norhayati Berahim . Resipi Anita @Balqis Nazid menjadi pilihan pertama kerana semua bahannya ada. Sebenarnya bahan-bahan asalnya hendak memasak sup, dan laksa  tetapi saya ingin mencuba kelainan hari ini. Syukur alhamdulilah, sebab ia menjadi , malahan rasanya sangat sedap. Percaya atau tidak saya menghirup kuahnya sehingga licin.

Resipi sendiri : Udang Terung Tumis Manis
 Emak pula tidak menyukai ayam. Lantaran tidak mungkin saya memberinya lauk yang pedas sebegini, maka saya memasak Udang Terung Tumis Manis. Saya gunakan terung, udang, dan gula apong /nipah. Ini makanan kegemaran kami berdua. Resipi ini tidak terdapat dalam mana-mana buku.

Jadi jika anda ingin mencuba resipi Asam Pedas Kekasih, dapatkannya segera. Berbaloi sangat untuk kita mmebeli buku resipi kerana memasak itu sinonim dengan kita sebagai wanita. :)

BANTULAH MEREKA....WATER

0

Posted by Leeza | Posted in

Saya berharap pembaca blog saya sedia membantu mereka ini. Kasihanilah anak-anak ini . Mari kita sama-sama membantu mereka mendapatkan tempat kediaman yang selesa dan selamat. Sesungguhnya hanya Allah yang dapat memberi ganjaran kepada sesiapa yang sedia menghulurkan bantuan.

Saya kongsikan kempen daripada blog kak Norhayati Berahim :

Assalamuailaikum, saya wakil dari grup Ukwah mulai hari ini mahu memulakan kempen mengutip derma yang diberi nama WATER, iaitu kempen Wakaf Teratak Rahmat. Seperti yang pembaca semua maklum, saya dan rakan-rakan grup ukwah sudah dua kali melawat rumah Teratak Rahmat yang terletak di Mata Ayer , Kangar Perlis. Penghuni Teratak Rahmat memerlukan bantuan pembaca semua bagi mendapat kehidupan yang lebih sempurna.
.1. Mendapatkan kelulusan Jabatan Bomba memerlukan pengubahsuaian anti kebakaran berjumlah RM60,000
2. Sistem pendawaian elektrik dan paipan yang baharu berjumlah RM40,000
3. Pengubahsuaian bangunan tempat anak-anak Teratak Rahmat berlindung, seperti kantin, bilik air dan sebagainya memerlukan RM60,00
Wakaf tunai dlm bentuk wang ringgit
Wakaf persegi iaitu 1 kaki RM50. (3200kps)
Masukkan sumbangan anda ke akaun Bank Muamalat 0901-0019362-72-9.  Cek tulis atas nama TERATAK RAHMAT.
Blog: teratakrahmat.blogspot.com
No tel: 019-4776482/0111-4223141
E-mail: teratakrahmat@gmail.com
 
Jadi sahabat-sahabat semua , sudi-sudikanlah menderma dan war-warkan kepada sahabat dan saudara kalian untuk membantu mereka ini. Moga kalian diberkati oleh Allah SWT hendaknya...amin.