Posted by
Leeza
|
Posted in
My Family
Saya akui saya malas mengemaskinikan blog saya ini. Hahaha...rajin di Facebook malas di blog. Sepatutnya tak bolehlah begini kerana sebelum wujudnya facebook, blog inilah menjadi persada untuk menulis dan bercerita apa sahaja.
Baru-baru ini sahabat baik saya yang sudah saya anggap saudara saya , kakak saya pulang ke kampung ke duanya iaitu Ulu Semera. Saya sangat gembira dan teruja. Saya suka mereka datang ke rumah saya. Maka sebelum kedatangan mereka , berkemaslah saya dengan rajinnya. Setiap kali cuti sekolah saya akan buat kerja pembersihan yang agresif. Anak saudara , emak dan cucu saya kata macam nak sambut raya. Saya suka melihat rumah saya bersih, teratur dan selesa. Itulah sebabnya wujud pepatah Inggeris : HOME SWEET HOME. Selama lima hari kakak saya datang , 25hb hingga 29 hb Mac, kami banyak luangkan masa bersama.
25 Mac , saya mengambil mereka di Lapangan Antarabangsa Kuching, di pertengahan jalan saya tukar pemandu sebab si cilik Qaisara sudah merungut bilalah nak sampai. Hahaha..saya memandu dalam 60-80km sahaja. Apa lagi Kak NB yang ambil alih, maka dalam tempoh sejam sudah sampai ke Ulu Semera. Kedatangannya kali ini diiringi Qaisara, Danish dan Bibik Sari.
Saya nak buat surprise kek birthday pada Kak NB yang menyambut harijadinya 26 Mac tetapi surprise tak menjadi sebab si Buntit saya, Putri dah rosakkannya. Petang itu dia hantar kek itu ke rumah (saya mengirim dengan ibunya yang balik kerja) : Umi,ini kek Umi. Nek Usu kirim dengan emak. Isk....budak ini. Hahaha...gelak besar Kak NB.
26 Mac , kami bertolak ke Santubong, menginap di Damai Beach Resort. Kami menyewa chalet semalam RM270. Dalam chalet tersebut ada 2 buah katil queen size.Cukup besar malah bilik menyerika yang besar kami gunakan sebagai tempat bersolat. Sebelum ke Damai, kami singgah di Muzium Kucing Si Qaisara tidak puas melihat replika dan pameran kucing-kucing yang ada di situ.
Tidak dapat diduga semasa kek birthday kak Yati tiba di meja semasa kami dinner, Bibik Sari mendapat berita bahawa ayahnya meninggal di Solo. Selesai dinner kami balik ke chalet dan berbincang untuk membuat majlis tahlil dan baca yassin untuk arwah ayah Bibik. Tolong sedekahkan al fatihah untuk arwah Pak Kasan Rejo. Kesian pada Bibik yang tidak sempat melihat arwah ayahnya, namun kami berharap Bibik tetap tabah dan sentiasa rajin mendoakan untuk arwah ayahnya.
27 Mac , kami check out awal dan membawa anak-anak ke Kampung Budaya , Sarawak. Mahal tiket masuknya, dewasa RM60 dan kanak-kanak RM30. Namun kami gembira melihat keseronokan Qaisara dan Danish terutama semasa persembahan jam 11.30 itu. Kemudian kami bertolak balik ke Ulu Semera untuk bersiap-siap dengan majlis tahlil dan baca yassin.Alhamdulilah dan terimakasih kepada penduduk Ulu Semera terutamanya kumpulan zikir darul Ikhlas yang sedia membantu menjayakan majlis ini. Ustaz Mohd Sabri juga turut meluangkan masa mengimamkan solat Isyak berjemaah.
28 Mac dan 29 Mac sebelum balik, kami berjalan-jalan dan shopping di Merdeka Plaza. Medan Satok dan The Spring. Tentu sahaja terubuk masin dan kek lapis menjadi pilihan sebagai ole-ole.
 |
| Permandangan ke Santubong |
 |
| Di depan replika rumah melayu sarawak depan muzium Kuching |
 |
| Hahaha..macam-macam gaya mereka ini |
 |
| Di hadapan air terjun di Persada Alam |
 |
| Tidur keletihan |
Posted by
Leeza
|
Posted in
My Family
Qaisara Seyit ,6 tahun, adalah anak yang sangat baik budi pekertinya. Dia melucukan, manja dan berfikiran tajam. Selama mengenalinya dan tidur dengannya, dia merupakan anak yang sangat berdikari dan bijak.
 |
| Aktiviti pertama : Berenang |
 |
| peace |
 |
| Bermain dengan kawan dari Jakarta |
 |
| bermain seorang diri pun ok. |
 |
| Model Jayakarta Hotel sedang rock climbing |
 |
| concert lepas mandi. |
 |
| berendam di jakuzi |
 |
| Naik keretapi di trans mall |
 |
| Naik keretapi Si Bolang dengan uminya. |
 |
| Berurut spa dengan uminya hahaha.. |
 |
| Paling menyentuh perasaan bila dia yang selalu manja ,memanjakan uminya. membuat facial dengan air jakuzi kepada uminya. Moga tetap menjadi anak yang solehah kepada umi dan baba , Qaisara Seyit. |
Posted by
Leeza
|
Posted in
My Family
 |
| Gambar diambil selepas banjir ke dua. |
Setiap hari Putri akan ke rumah saya menghabiskan masa menonton TV dan tidur petang dengan saya. Saya bukannya biasa tidur petang tetapi kerana dia hendak tidur terpaksalah berpura-pura tidur di sebelahnya. Selepas banjir ke dua, saya sibuk membersihkan rumah dan Putri yang degil enggan dilarang muncul juga di rumah saya. Jadilah dia mandur kecil yang selalu mengarah saya mencuci dengan cepat. Angin jugalah mendengar suaranya komplen itu dan ini. Tengah bekerja tiba-tiba dia bertanya dengan lembut. "Nek Su, nek su dah makan kah? " Itu intronya. Bila saya mengiyakan dia minta tolong saya ambilkan nasi dan air dari rumahnya di depan rumah saya. Bila saya menyuruh dia mengambil sendiri, dia enggan dan takut neneknya mengamuk. Walau nakal tetapi keletahnya menghiburkan hati saya.
Hari ini dia demam sehingga tidak dapat bersekolah. Sekolah tadika itu jauhnya lebih kurang setengah km dari rumah. Oleh kerana saya lewat balik dari sekolah ,jam 1 petang, maka dia saya suruh berjalan pulang mengikut jiran . Cuaca yang panas jam 11.30 tengahari itu , dengan jarak yang jauh berjalan kaki dan dia tidak menggunakan payungnya, si Putri terus demam setiba di rumah. Dia kan tidak biasa berjalan kaki sejauh itu. Bila dia demam, maka pakej penyakitnya pun turut menyerang, iaitu muntah, cirit birit,sakit kaki dan tangan....apa lagi kakak saya yang kelam kabut dibuatnya. Jadi, selepas Tahun Baru Cina , terpaksalah dia menunggu di sekolahnya sehingga saya balik dari sekolah jam 1 petang setiap hari. Teringat arwah abang ipar, datuk Putri yang dipanggilnya Atok Janggut.....kalau dia ada Putri takkan sesusah ini. Al fatihah untuk arwah. Begitulah yang saya rasa ketika arwah kakak saya pergi buat selamanya....namun kena redha dan hidup harus diteruskan . Moga kedua arwah ini aman di sana.....amin.
Posted by
Leeza
|
Posted in
My Family
Baru-baru ini, suami kepada satu-satunya kakak saya yang masih hidup menderita sakit. Puaslah dia berubat secara moden dan tradisional namun penyakitnya tidak juga berkurangan . Malahan penyakit lelahnya semakin teruk sehingga pada satu tahap dia sukar untuk bernafas. Dia dikejarkan terus ke hospital bahagian wad kecemasan. Akibat kondisi kesihatannya semakin teruk dia didiagnosis mengidap TB. Lantas dia diasingkan ke wad pengasingan penyakit berjangkit menggunakan ambulans. Menurut abang saya yang memangku dia dalam ambulans, wajahnya sudah membiru. Kalaulah dia masih di Ulu Semera, mungkin kita hanya mendengar cerita sahaja tentangnya.Alhamdulilah. Namun setelah dia menjalani xray dada, perut dan tulang, doktor mengesahkan dia mengidap kanser paru-paru dan sel kanser itu sudah merebak ke tulang. Apa yang dapat saya ceritakan ialah, ketika abang ipar saya ini dikhabarkan oleh doktor , dia berpesan kepada anak sulungnya , Zarina agar dia adik beradik tidak bergaduh . Ringkas sahaja namun memberi pengertian yang mendalam....kedua beradik ini nanti terpaksa saling bergantung untuk teruskan hidup dan menjaga ibu yang juga berpenyakit darah tinggi.
Saya teringat mak saya. Beliau sudah lama uzur , selalu sakit-sakit dan sekarang ingatannya sudah semakin merosot. Beliau mudah menangis sekarang dan mudah juga marah-marah. Saya selalu dimarahinya tanpa sebab, sehingga pasal memberi ubatpun dia marahkan saya. Sabar sahajalah...hahaha.
Kanser selalu berakhir dengan kematian. Bagaimanakah persediaan kami semua dengan keadaannya. Sayangnya penyakit ini lambat dikesan. Walau bagaimanapun kami semua berusaha untuk mencari ubat alternatif lain. Semua ahli keluarga kena berkorban. Bila ketua keluarga ini tumbang, seakan patah sayap kami semua. Saya sudah lama berdikari sejak kehilangan arwah bapa saya. Dan saya harus memberi sokongan kuat kepada kakak saya sendiri. Walau dalam masa yang sama saya menjaga emak yang tidak berdaya.
Semalam saya bermimpi. Mimpi mainan tidur namun apa yang saya rasa ketika bermimpi itu benar-benar menggugat jiwa saya. Pada saat nyawa di hujung tanduk , ketika harapan untuk hidup terlalu tipis, saya teringat kepada dua orang yang ditinggalkan. Satu : emak saya....beratnya hati mahu meninggalkannya dalam keadaannya tidak berdaya....namun apa kan daya, saya akan mati juga. Dua : kak Norhayati Berahim. Saya tidak dapat bercakap dengannya namun saya sempat meninggalkan mesej suara memohon maaf atas segalanya dan minta dia sampaikan salam kepada semua kawan. KEMUDIAN ..........saya terjaga dan berpeluh-peluh. ALLAHUAKBAR....kematian itu terlalu menakutkan....namun ia pasti akan datang bila-bila masa sahaja. Mungkin peritnya perasaan abang ipar saya itu. Setiap malam dia menangis dalam telefon ketika bercakap dengan cucunya Putri. Si Buntit itu hanya tahu Atok Janggutnya di hospital, sakit dada. Apa-apapun, kami kena redha dengan ketentuan Illahi....
Posted by
Leeza
|
Posted in
My Family
 |
| Bersama Makcik Dyg Noriah , Ariza , Noria dan Aida. |
Saya hanya berkesempatan berjalan raya pada 5 Syawal. Saya harus memikirkan penjaga mak juga seorang ibu dan berkeluarga . Dia tentulah perlu beraya bersama keluarganya.Jadi saya memilih hari sabtu untuk berjalan raya ke Kuching. Kebetulan sahabat saya Ariza akan balik ke Bintulu keesokannya . Saya membawa beberapa buah tangan yang saya beli dari pasar tani Sampun . Saya tidak pandai ke rumah sahabat baik tanpa membawa apa-apa sebagai buah tangan. Lagipun rumah yang saya akan ziarah adalah rumah yang selalu menjadi tempat saya lepak setiap hujung minggu. Makcik selalu mengambil saya dari asrama pada hari Jumaat dan menghantar saya balik pada petang Ahad. Biarpun saya dan Riza tidak lagi sama sekolah selepas SPM , namun kebiasaan ini berterusan sehingga tamat pengajian saya di maktab perguruan. Pasal makan minum tidak usah dikatakan lagi, terlalu banyak jasa keluarga ini kepada saya. Jadi setiap kali Ariza atau Kak Madzalina balik bercuti dan kebetulan sayapun punya masa terluang , kami akan bertemu di rumah ini. Rumah lama di Jalan Pisang Barat juga banyak mencipta kenangan kami bersama. Bersyukur saya sebab pada syawal ini berkesempatan mengunjungi makcik memohon ampun maaf dan minta dihalalkan segala-galanya.
 |
| Di rumah Anie, kawan baik Aida di Kampung Semerah Padi. |
Setiap tahun beraya ke Kuching, rumah Anie tidak kami lupakan. Cuma tahun lepas sahaja kami tidak menziarahi Anie sekeluarga. Bila sudah dua tahun tidak ke rumah itu, maka sesatlah kami. Anie menyediakan laksa dan nasi minyak serta rendang untuk menjamu tetamunya. Dia juga membuat sup kulat yang sedap. Emak Anie yang duduk di sebelah saya sangat ramah bercerita. Seronok bersembang dengan makcik ini. Anie yang rajin memasak mengajar cara membuat ikan bilis kering bergula. Kemudian saya teringat ikan bilis buatan makcik yang sedap. Jika diberi kesempatan mahu juga saya belajar memasak dengan emak angkat saya ini.
 |
| Bersama kawan baik dan kawan sekelas di Kolej , Hajibah Ibrahim |
Ini pertama kali saya ke rumah Adib @Hajibah. Adib memberikan panduan arah ke rumahnya melalui facebook. Berpandukan Aida sebagai co-pilot, akhirnya saya berjaya ke rumah Adib. Seronok sebab dapat mengenali Adib dan suaminya. Kebetulan mereka juga menyediakan beberapa juadah seperti spaghetti, salad kentang, sate, rendnag ayam , nasi minyak dan rendang daging. Terimakasih kepada Adib dan suami yang menjamu kami makanan yang enak-enak. Kami menziarahi 5 buah rumah hari ini dan ketika balik bapa Aida memberi kami buah kalak dan durian...alhamdulilah. Terimakasih pakcik .
Posted by
Leeza
|
Posted in
My Family
Salam ramadhan rakan-rakanku...
Keadaan emak semakin lemah. Hari ini dia tidak dapat duduk dan hanya berbaring di atas katil sahaja. Kasihan sungguh saya melihatnya. Menurut cerita penjaga emak, dia asyik bertanyakan saya yang tiada di rumah semasa saya bekerja. Dia asyik bersungut saya yang asyik bekerja, sedangkan saya sedaya upaya balik cepat sebaik habis masa kerja saya, jam 12.50 tengahari. Serba salah saya dengan penjaga emak ini sebab dia tidak memanaskan makanan tengahari emak saya. Semua makanan telah saya masak sebaik saya selesai bersahur setiap pagi. Beberapa kali saya berpesan minta dipanaskan makanan emak sebelum memberinya makan. Bagaimana saya tahu ? Emak mengadu kepada saya. Perut emak tidak berapa selesa jika makan makanan yang sejuk. Hari ini saya menyuap sendiri emak makan kerana kondisinya yang sangat lemah. Saya juga sering berpesan supaya mengelap badan emak saya jika dia tidak sihat dan menukarkan pakaiannya dengan pakaian baru. Juga setiap hari kena tukar kain alas tilamnya . Sayangnya hari ini saya melihat emak masih berpakaian tidurnya , dan kelihatan bau kencing. Aduhhhh ..perit rasa hati saya. Jika ada orang lain yang mahu bekerja menjaga emak, sudah pasti saya berhentikan kakak ini. Saya bersihkan mak saya , mengelap badannya dengan air bersabun yang suam dan tuala basah. Juga memastikan badan dan kakinya disapu losyen supaya tidak kering . Juga menukar lampin pakai buangnya. Dia sudah umpama bayi kecil......Saya akui keadaan ini yang sedang saya utamakan dan saya berusaha sebaik mungkin membahagiakan mak saya. Apa sahaja yang akan datang , saya terima dengan redha. Semangat menyambut raya langsung tak terlintas di hati saya.Jika abang-abang saya mengharapkan sesuatu dan kecewa dengan persiapan raya saya, terpulanglah. Saya keletihan hendak melayan mereka , saya sudah tidak larat kerana emak tidak mahu ditinggalkan . Saya sering berdoa agar masa tua saya nanti dipermudahkan olehNya.
Posted by
Leeza
|
Posted in
My Family
 |
| Dari kiri :Yan,Emy,Azim,Fakhry,Fahmi dan Syed |
Saya mengatur aktiviti cuti sekolah selama 2 minggu dengan teliti memandangkan saya menjaga emak yang sakit. Cuti Gawai 1 Jun saya mengambil peluang membawa anak-anak saudara dan cucu-cucu saya keluar untuk menonton wayang dan makan di The Spring, Kuching. Hahaha...asyik Spring je. Ia tempat pilihan saya kerana ia di pertengahan jarak antara Sweetheart of Kuching dan Samarahan. Ini sahaja yang mengikut saya. Kami makan dulu di KFC sebelum menonton wayang jam 1230 tengahari.
 |
| Dua orang cucu saya, Syed Najmi dan Syed Akmal |
 |
| Anak saudara saya ,Ahmad Fakhry 12 tahun. Si Buntit dalam keluarga. Anak bongsu abang Den |
 |
| Tiga orang budak ini yang mengikut saya menonton Pirate Of Carribean. Sementara anak saudara yang remaja ,Fahmi, Yan dan Azim menonton cerita KARAK. |
 |
| Selepas tengok wayang, kami shopping sekejap. Saya membeli tempat penyidai pakaian rm29.90 dan dua hadiah birthday untuk Aidit dan Putri..Sempat juga membeli donut di Big Apple untuk dibawa pulang. |
Yang pasti saya gembira melihat keseronokan mereka ini . Cuma Luqman sayangnya tidak mahu mengikut bila diberitahu rancangan ini. Yang mengikut saya dalam kereta ialah Azim, dan dua cucu lelaki saya yang saya ambil dari Kampung Meranik, Samarahan. Azim pula dari Semera. Anak-anak abang Den pula dihantar oleh ayah mereka ke Spring.
Posted by
Leeza
|
Posted in
My Family
Betapa besarnya pahala anak yang terpilih menjaga ibubapa yang uzur. Namun adakah kita juga mudah mendapat dosa bila sesekali tanpa kita sedari kita menyinggung hati orang tua kita.
Saya sebenarnya mempunyai banyak perkara yang ingin saya kongsi bersama pembaca blog. Ruangan review novel terbiar begitu sahaja. Mengapa saya menjadi sangat malas? Apa sahaja bila difikirkan bagai menjadi satu alasan. Namun saya terlalu letih. Rutin saya menjadi sangat sibuk sejak sebelum ke KL untuk PBAKL lagi. Mak saya semakin memerlukan perhatian saya. Dalam masa yang sama sejak 1 April , pembantu rumah saya , Anizan telah berhenti kerana bekerja di kilang TAIYO. Ketiadaan pembantu dan kondisi mak yang sangat lemah menyebabkan dia terjatuh. Tangan kirinya tercedera. Kami hendak membawanya ke hospital namun dia berkeras enggan. Begitu cuak hatinya hendak mendapatkan rawatan hospital. Mungkin kerana dia sudah patah hati dengan layanan hospital yang tidak begitu baik. Saya pernah marahkan misi hospital mata kerana dia marahkan mak saya yang tidak dapat membaca huruf ABC untuk pemeriksaan mata. Bagaimanalah mak saya kenal huruf jika dia seorang yang buta huruf. Kemudian banyak kali membuat pemeriksaan mata , dia dijadikan bahan ujikaji doktor-doktor pelatih. Dia datang sebelum jam 8 pagi tetapi diberi giliran jam 1 petang...makin lemahlah badannya kerana letih dan lapar. Ini membuatkan kami menghentikan pemeriksaan matanya.
Syukur alhamdulilah setelah saya dan kakak sulung saya mencari dapatlah seorang pembantu baru, warga indonesia dan suaminya pula ada persaudaraan dengan mak. Dia diberikan gaji RM300 sebulan. Dia ditugaskan menjaga mak saya semasa ketiadaan saya. Kakak saya sering sibuk dengan urusan keluarganya jadi tak dapat membantu tengokkan mak. Dalam keadaan uzur ini, mak seakan tidak mahu ditinggalkan oleh saya. Semasa saya di KL baru-baru ini, dia demam, tak dapat bangun dan tak boleh tidur. Bila saya balik dan melihat wajah saya , dia menangis. Saya tahu mak begitu sayangkan saya. Meskipun layanannya kepada saya masa mudanya dulu amat mengecewakan saya, namun saya tahu mak saya adalah teratas dan segalanya bagi seorang anak.
Pada saat dia semakin sembuh dan sihat, dia boleh bangun sendiri. Sayangnya saya terlepas pandang keadaannya yang tak duduk diam. Siang dia tidur dan malam dia berjaga.Jadi seperti senikata lagu nenek si bongkok tiga, hehehe. Saya siangnya balik sekolah selalunya akan berada dekat dengannya melayan kehendak dia. Jika dia baring di bilik setiap 10 minit saya menjenguknya di bilik dengan pintu yang terbuka. Sehinggalah , satu petang dia amat gelisah sekali. Lampin pakai buangnya sudah lunyai dikerjakannya. Malamnya dia beberapa kali membangunkan saya, samada bertanyakan waktu atau meminta air. Pada jam 2 pagi saya terbangun tidur dan melihat dia sedang menyelongkar almarinya mencari sesuatu.Setelah ditegur dia tidur semula. Saya keletihan sebaik balik dari Kota Samarahan kerana seharian menjalani program perayaan Hari Guru peringkat daerah Samarahan,terus tidur dengan lenanya. Jam 4 pagi tetiba saya terasa jantung saya bagai terhenti mendengar bunyi bising benda jatuh. Saya terus bangun dan terjun katil melihat mak saya terlungkup atas lantai berdekatan pintu. Sebetulnya dia tidur dengan saya di atas katil. Saya terus memangkunya dan memeriksa kepalanya . Saya bertanyakan bahagian mana dia sakit.Tangan belum seratus peratus sembuh sudah terjatuh lagi. Saya berusaha mengangkatnya untuk dibaringkan ke atas katil. Namun kudrat saya terhad. Saya keseorangan pula di rumah. Saya terus berdoa dengan mak dalam pelukan saya....Ya Allah, kau berikan ku kekuatan untuk aku mengangkat emakku ini. Dengan lafaz Bismillah dan Allahu Akbar, saya dengan mudah mengangkat mak saya dan letakkannya perlahan di atas katil. Terasa putus urat perut dan pinggang. Namun segalanya saya ketepikan. Saya terus bangunkan kakak saya di rumahnya. Masa itu jam 4 pagi, gelap gelita...rasa takut dengan ular di luar rumah tak terlintas langsung. Saya tugaskan kakak saya menelefon semua adik beradik saya. Saya penat hendak menerangkan keadaan emak dan salah seorang abang saya bertanya : Bagaimana emak boleh jatuh..ha? Saya hanya menyatakan keadaan emak yang tak dapat duduk diam.
Abang sulung saya balik dan abang yang jadi Guru Besar pun balik. Saya mengharapkan ada cadangan untuk membawa mak ke hospital untuk dapatkan rawatan. Sehinggalah abang saya yang bekerja sebagai guard di UNIMAS balik bersama keluarganya , dia mencadangkan bawa mak ke rumahnya untuk dapatkan rawatan tukang urut di Kampung Meranek tempat kediamannya. Mak mulanya enggan namun setelah saya yakinkan bahawa saya akan bercuti sehari untuk menemaninya, barulah dia bersetuju. Tepat sekali, dia meraung kesakitan pada malamnya. Menurut tukang urut , mak saya ini sudah banyak kali jatuh . Malamnya dia langsung tidak dapat tidur kerana kesakitan. Saya sendiripun sama. Masa itu tak terucap keletihan dan kesakitan saya alami. Dada saya yang masih sakit terasa sakit semula. Namun waktu itu, kepentingan diri dan keadaan diri menjadi tempat ke dua. Masa itu mak perlukan saya,. Bukankah dia telah begitu berkorban jiwa raganya semasa melahirkan saya? Dan alhamdulilah biarpun memang sakit, namun emak saya nampak semakin pulih. Dia juga sudah dapat melelapkan matanya.
Ya, bila begini saya perlu mengubah segala rutin hidup saya. Selagi mak saya masih ada, selagi dia sihat. saya tetap utamakannya dalam hidup saya. Jiwa yang sensitif saya abaikan. Meskipun terkadang tercalar melayan bisikan iblis untuk merasa cemburu, namun atas nasihat seseorang saya ketepikan ia. Jangan melayan sangat perasaan negatif kerana pada saat-saat ini saya perlukan kekuatan jiwa raga saya untuk menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang anak. Saya tahu semua pembaca dan semua rakan sentiasa bersama saya dengan doa dan memberikan saya kekuatan. Terimakasih...
Posted by
Leeza
|
Posted in
My Family
Ibu saya bernama Puan Amoi binti Judin, berusia 79 tahun. Minggu lepas dia terjatuh sehingga tangannya terseliuh dan bengkak. Saya ingatkan keadaannya tidaklah berapa teruk sangat tetapi kembalinya saya daripada KL saya dapati keadaannya sangat teruk. Tangannya yang asal cuma lebam menjadi lebih bengkak dan besar. Dia tidak menggerakkan tangan kirinya. Pada saat saya melawatnya di rumah kakak sebaik sampai ke rumah, dia menangis melihat saya. Hati saya sangat sedih melihat keadaannya.Memandangkan saya terpaksa menghadiri satu kursus pemantapan pengajaran dan pembelajaran sains 5P di Dewan Suarah Samarahan seharian maka beliau terpaksa saya tinggalkan di rumah kakak saya. Menurut kakak, dia langsung tidak tidur. Dia risaukan rumah yang ditinggalkan.
Sebaik saya balik dari kursus, saya terus mengambilnya dari rumah kakak menggunakan kerusi roda. Kasihan saya melihat keadaannya. Badannya panas petanda dia demam. Semalaman itu saya langsung tidak tidur kerana saya hendak memastikan suhu badannya menurun. Alhamdulilah dia dapat melelapkan mata setelah beberapa hari dan malam tidak tidur. Selain sakit, saya tahu jiwa dan semangatnya sangat lemah kerana ditinggalkan oleh saya. Sedar atau tidak dia berusaha agar saya tidak meninggalkannya. Mana mungkin saya berhenti kerja hanya kerana hendak menjaganya sentiasa. Jika tidka bekerja , bagaimana kami berdua hendak hidup? Siapa yang akan bagi makan? Secara perlahan-lahan saya memujuk dan memberitahunya bahawa saya perlu bekerja untuk kelangsungan hidup kami berdua. Seharian itu, saya memohon cuti rehat khas untuk merawatnya dan mengembalikan semangatnya yang hilang.
Betapa lemahnya semangat emak saya kerana dia seakan enggan bangun bila merasa kesakitan. Begitu juga sudah tidak pandai untuk memegang barang dengan tangan kanannya, hatta untuk mengorak langkahpun seakan tidak berdaya. Namun sebagai anak kena banyak bersabar dan bijak menanggani masalah ini. Saya pujuk dan paksa dia untuk bangun duduk ketika hendak makan. Sesekali saya letakkan makanan di tangan kanannya. Keadaannya yang lemah menyebabkan beliau sangat berat. Pernah satu kali ketika saya memapahnya ke bilik dia boleh melurut ke bawah. Nasib baik saya sempat menyambar badannya dari jatuh.
Alhamdulilah, bila dipujuk banyak kali dan dengan bantuan beliau dapat duduk, bangun ,berdiri dan berjalan. Segalanya perlu dengan bantuan. Malahan makannya juga teratur dan berselera. Demam beliaupun sudah kebah dan tiada masaah tidur . Kesimpulannya, beliau sangat lemah kerana kurang tidur. Adakalanya bila fikirannya terganggu dia boleh menanggalkan lampin pakai buang dan kemudian cadarnya basah dengan air kencingnya. Bila begini , saya tetap menyalin dengan sabar. Terkadang bergurau juga dengannya. Ishhh mak tak malu ye ....hehehe.
Sekarang, beliau beransur pulih semangat dan fizikalnya. Setelah dua minggu tidak membuang air besar kerana kesakitannya, akhirnya dia dapat membuang air besar secara normal. Saya masih tetap menyuapkannya makanan dan minuman. Jika abang atau kakak saya datang mengunjungi emak dalam masa makannya , saya suruh mereka menyuap mak makan. Biarlah mereka berpeluang berbakti dengan emak. Namun sayangnya , sehingga saat ini impian ini tidak kesampaian. Pada saat saya melihat emak menitiskan airmata saya tahu hati emak amat terluka dan sedih. Mungkin kerana saya mungkin juga kerana orang lain ....sebab saya mungkin tanpa sedar layanan terkurang. Ampunkan saya emak kerana hanya setakat ini sahaja mampu saya lakukan untuk emak....semoga emak cepat sembuh dan cergas seperti biasa.
Selamat hari ibu, emak dan semoga Allah mengurniakan emak kesihatan yang baik dan umur yang panjang. Doakanlah wahai sahabat-sahabat, semoga emak saya cepat sembuh dan semoga saya tetap tabah menghadapi segala dugaan ini...amin. Selamat hari ibu untuk semua ibu-ibu di dunia ....tanpa mu ibu , siapalah aku.
Posted by
Leeza
|
Posted in
My Family
Mak saya sudah uzur. Sakit tua , terkadang dia baik dan terkadang dia uzur sangat. Jika baikpun sedikit cuma. Dia rasa sakit sangat kerana keupayaannya sudah amat terbatas. Lemah anggota badan. Makanpun dengan bubur nasi. Sayur-sayuran kena dicincang halus dan tidak pedas. Jika dia makan ayam, isi ayam kena disiat-siat halus untuk memudahkannya makan.
'Muli' bermaksud tidak duduk diam. Tidak betah hendak berada di satu tempat. Sekarang ini dia sukar untuk tidur malam, amnesia. Jadi dia akan tidur waktu siang. Bila saya yang tidur di sisinya terlelap dia akan bangun sendiri dan berjalan-jalan dalam rumah. Terkadang dia menyelongkar almari dan mencari entah apa-apa barangnya. Saya selalu mengintai kelakuannya, bimbang dia terjatuh ke apa. Terkadang saya menyimpan tawa dalam hati melihat perangainya yang lucu itu. Terkadang saya buat-buat bangun, dia akan cepat kembali di tempat tidurnya. Bila sudah begini, tidur saya terganggu, tidak cukup rehat. Inilah pengorbanan mak yang harus kita balas. Dia sudha menjaga kita sejak kecil bertahun-tahun. Sekarang dia sakit dan uzur, giliran si anaklah menjaganya.
Satu malam... saya terlelap . Keletihan sebab di sekolah saya sibuk sangat dengan tugasan di sekolah. Tiba-tiba saya terkejut sehingga terduduk saya dari tidur mendengar bunyi ridsect jatuh. Bising sekali. Rupa-rupanya mak saya terjatuh di sudut almarinya. Aduhai mak...mengeluh jugalah saya dengan kenakalannya ini. Bila ditanya, dia menyatakan dia nak cari makanan. Saya tahu dia berbohong sebab saya melihat laci almari terbuka. Terkadang dia melucukan. Rambutnya diikat satu tinggi ke atas , dan dengan berkemban dia akan membawa handbeg saya ke dapur jam 4 pagi. Saya waktu itu berada di dapur memasak. Bila ditanya mak nak ke mana? Katanya , dia bimbang duit saya dalam handbeg itu dicuri orang. Alahai mak saya...dalam sakitnya masih memikirkan soal kebajikan anak-anak.
Posted by
Leeza
|
Posted in
My Family

Sabtu lepas saya mengambil anak saudara saya yang sulung , Zarina dan anak angkatnya Asmara balik ke kampung.Ahad pula kenalah menghantar mereka balik semula ke Kuching. Yang mengikut tentulah Putri dan neneknya. Kakak saya ini hendak membeli beberapa barang keperluan rumah. Jadi, Zarina mencadangkan untuk pergi ke Livina ,gudang peralatan rumah yang mengadakan jualan murah sempena Tahun Baru Cina. Inilah pertama kali saya memandu sendiri ke Livina. Yang lucunya , si Zarina co-pilot saya ini pun silap memberi arah jalan. Saya yang terus memandu akhirnya membuat u-turn di traffic light jambatan tol. Wah...ramai sungguh orang yang pergi ke sana. Saya terpaksa memarkir kereta jauh di tepi jalan. Itupun nasib baik ada ruang kosong. Murah harga barang-barang tersebut. Saya membeli sebuah bekas beras yang boleh memuatkan 12 kg . Tudungnya pink dan badannya warna putih dan dihiasi bunga rose. Cantik. Harganya RM29.90. Satu lagi yang saya sambar ialah rak pinggan mangkuk untuk sinki 2 tingkat warna putih, RM19.90. Jadi jumlah perbelanjaan saya hari itu tak sampai RM50.00.

Apa yang pasti, dua kanak-kanak ini suka sahaja dibawa berjalan-jalan. Putri , cucu saya ini pantang melihat saya berpakaian cantik sedikit , madang sahaja nak mengikut. Tengoklah badannya yang tambun, buntit...hahaha.
Posted by
Leeza
|
Posted in
My Family

Kegemaran Luqman ialah memancing udang. Setiap kali dia mendapat wang yang diberikan oleh rakan-rakan saya, dia gunakan sebahagian wang tersebut untuk membeli joran. Saya tidak kisah dia memancing asal dia tahu menjaga keselamatan diri dan balik ke rumah masa makan. Petang ini dia muncul dengan pakaian yang basah lencun dan berbau lumpur. Sah....dia baru lepas menangguk udang di sungai. Dengan wajah yang sangat gembira dia menunjukkan hasil yang diperolehinya , seplastik udang. Ia memenuhi dua bekas plastik yang besar ini dan beratnya saya anggarkan 2 kilogram. Saya tahu dia bimbang saya naik angin dengan keadaannya yang kotor tersebut. Saya tidaklah sekejam itu sebab saya tahu Luqman boleh dibentuk dengan lemah lembut. Kebetulan rumah saya ada tetamu, maka saya beritahu dia apa yang perlu dilakukannya.
Pertama : Bersihkan udang dan masukkan ke dalam bekas untuk disimpan dalam freezer. Kami bersetuju untuk masakkan udang ini esok kerana hari ini sudah ada lauk , ketam masak asam pedas.
Kedua : Dia harus mencuci pakaian kotornya dengan sabun kemudian rendam dalam baldi untuk saya cuci keesokkan harinya.
Ketiga : Dia harus mandi dan membersihkan kotoran dan bau busuk badannya.
keempat : Dia harus membuang sampah sarap.
Alhamdulilah...sebab semua tugas ini dia lakukan dengan baik. Saya puas hati...dan gembira.

Luqman tengah membersihkan udangnya dengan dahi yang bertampal plaster kerana buat accident masa membuat stunt basikal.....tak pernah serik-serik.
Inilah rezeki Luqman dan alhamdulilah kami bertiga dapat merasai hasil yang dia dapat.
Posted by
Leeza
|
Posted in
My Family

Selama Luqman tinggal dengan saya, barulah kelihatan pakaiannya terurus sedikit. Mula-mula dulu semasa awal ketiadaan arwah emaknya, pakaiannya entah di mana sehingga seluar dalam pun tidak ada. Pakaian hariannya saya gunakan bakul dan mudah untuknya mengambil. Beberapa bulan tiap hari saya menyusun pakaiannya, seluar sama seluar, baju sama baju kerana dia mempunyai perangai yang suka menyelerakkan pakaian. Bila saya tarik telinganya dan paksa dia mengemas dan menyusun barulah tabiat buruknya berkurangan. Satu lagi perangai yang saya tidak suka ialah meninggalkan pakaian di mana sahaja tempat dia menanggalkannya. Kalau sudah suara saya bising barulah sekarang dia terbiasa, pakaian basahnya diasingkan dengan pakaian yang kering di tempat yang disediakan. Setiap kali dia terjun ke dalam sungai dan menyusur sepanjang sungai dengan baju yang basah dan kotor, saya takkan mencucinya. Saya pastikan dia mencuci sendiri dan membersihkan bau yang busuk dan kotoran tersebut sendiri.

Telah lama saya mencari almari jenis ini untuk Luqman. Ia mudah dan ringan digerakkan dan dibersihkan selalu. Ini penting jika berlaku banjir mengejut di kampung saya. Ia mudah diselamatkan. Kelmarin saya akhirnya menemui almari ini dijual murah di Parkson, Spring dengan harga rm59.90. Gembira Luqman dengan almari baru ini. Dia memasang sendiri dan membersihkan sendiri almari tersebut. Saya mengajarnya menentukan cara menyimpan pakaian supaya mudah untuknya menyimpan dan mencari pakaiannya sendiri.

kelihatan dia mempunyai banyak seluar pendek dan seluar panjang untuk dipakai harian tetapi , seluar pendek berpetak yang dipakainya itu juga yang digunakan hari-hari. Dia mempunyai dua helai seluar ini. Begitu juga dengan t-shirt hitam yang digunakannya. Nampak hitamkan? Kegiatan hariannya memancing . Turun pagi balik makan tengahari dan turun lagi sampai senja. Tak apalah, dia tak ada aktiviti lain selain memancing bersama kawan-kawannya sendiri.
Posted by
Leeza
|
Posted in
My Family
Benarlah kata orang , menjaga orang tua kena banyak bersabar dan sentiasa tabahkan hati. Kesihatan mak tidak menentu , terkadang baik terkadang tidak. Kudrat tuanya semakin lemah namun dia berusaha untuk bangun sendiri. Dia juga akan masak air sendiri. Itulah mak saya yang tidak pernah duduk diam sahaja .Jam 11 pagi setelah selesai mengemas rumah, mencuci pakaian dan memasak untuk mak, saya bertolak ke Kota Samarahan untuk mengambil wang di bank kerana wang belanja harian saya sudah sedikit. Tambahan pula saya perlukan wang untuk menguruskan kenduri tahlil untuk arwah datuk dan nenek saya sebelah mak. Hati saya tidak teringin ke mana-mana dan ingin cepat pulang sahaja. Setelah membeli barang keperluan dapur dan buah-buahan mak saya, saya terus balik. Di Tambirat saya singgah membeli 3 jenis ikan kesukaan mak saya.
Sebaik sampai di rumah , saya terus berikan mak saya makan bubur cendol dan buah betik. Dia dengan riang mengkhabarkan bahawa dia ada membuang air besar sebelah pagi. Saya hanya menjawab, alhamdulilah mak. Ketika saya sibuk menyiang ikan-ikan dan menggoreng salah satu jenis ikan tersebut, mak terus menyatakan dia hendak membuang. Sehingga habis ikan itu saya siang, dia memanggil saya meminta diambilkan ubat sabun untuk melancarkan proses pembuangannya. Ingatkan dia okay, rupanya dengan muka pucat dia keluar dari tandas dan berbaring di lantai. Saya terkejut dengan keadaannya. Katanya banyak darah keluar. Saya suruh dia bertahan dulu dan ketika saya memeriksa tandas , sah..banyak darah yang keluar. Saya jadi panik.... terus memanggil kakak saya yang sibuk menanam padi di halaman rumahnya. Abang ipar saya membantu mengangkat mak ke ruang tamu. Saya terus buat keputusan untuk membawa mak saya ke hospital.
Jam 6.15 kami sampai ke hospital unit kecemasan setelah meminta ehsan pengawal feri untuk memberi laluan kepada kami. Kami lambat sedikit kerana abang saya di Meranek meminta diambil .Katanya dia nak mengikut sama. Sebaik sampai ke rumahnya, dia boleh pula memberitahu dia tak dapat ikut kerana perutnya sakit...saya suruh dia berehat di rumah kerana tak mahu nanti keadaannya melarat.
Di unit kecemasan ada langkah-langkah dan peraturan yang harus diikuti. Ramai sungguh orang menunggu. Selepas kaunter penerimaan di no 1, kami terus mendaftar di kaunter 2. Selepas itu kena tunggu giliran di bilik rawatan 3. Ini bukan tugas doktor tetapi tugas pegawai yang akan menentukan kes serius dan kes ringan. Mak saya sudah semakin layu di atas kerusi roda. Tambahan pula dia muntah-muntah di dalam kereta. Abang-abang saya sudah gelisah dan angin bila ada pesakit india yang datang kemudian didahulukan oleh mereka. Abang saya menganggap konsep satu Malaysia tidak relevan dalam keadaan kecemasan. Siapa yang dulu kenalah dahulukan mengikut giliran. Sepatutnya kebajikan warga emas perlu dititik- beratkan. Saya hanya diam sahaja memerhati keadaan. Setelah giliran mak saya di bilik 3 , tibalah dia berjumpa doktor sebenar di bilik 4. Alhamdulilah setelah diperiksa doktor didapati pendarahan mak telah berhenti. Dia dibenarkan keluar dan ubat yang diberikan hanyalah sebotol ubat sembelit. Mak berjumpa doktor tepat jam 9 malam. Kami kemudian bertolak balik jam 915 malam. Salah seorang abang saya baru hendak keluar rumah untuk menjenguk mak di hospital . Kami memintanya tidak payah datang kerana kami hendak terus balik ke kampung. Abang saya yang sulung meminta mak bermalam di rumahnya atas alasan dekat dengan hospital tetapi mak bertegas tidak mahu . Jadi, tugas sayalah yang menjaganya semalaman ini. Ketika saya menulis pos ini, keadaan mak saya belum stabil lagi. Dia asyik membuang air besar . Bersyukur sangat saya kerana saya dalam cuti sekolah. Bersyukur sangat kerana saya tidak ke KL seperti yang saya rancangkan. Sesungguhnya Allah maha mengetahui dan menggerakkan hati saya.
Ya ALLAH, peliharalah kesihatan mak saya dan berikan saya kekuatan untuk menjaganya...amin.
Posted by
Leeza
|
Posted in
My Family

Syawal 1431H disambut dalam keadaan tergesa-gesa. Raya tahun ini tidak begitu menyeronokkan saya sebab mungkin saya keletihan dan begitu risaukan dengan prestasi anak-anak murid saya yang menghadapi UPSR selepas raya. Siapalah yang tak risau jika hanya 12 orang daripada 27 orang yang datang kelas tambahan. Nak buat macam mana jika ibubapa tidak bekerjasama. Lagipun raya VS UPSR ,tentulah raya yang menang.

Inilah sebahagian daripada keluarga besar saya. Tahun ini abang Hamdan sekeluarga beraya dengan saya dan mak. Yang pakai baju melayu hitam depan sekali itulah Luqman anak saudara yang dalam jagaan saya. Nampak putih pula dia di sini. Kalau realitinya dia sentiasa hitam sebab tak p[ernah lekat di rumah waktu siang.

Ini sebahagian kek lapis raya tahun ini. Saya cuma beli dua jenis sahaja iaitu kek lapis puncak kasih dan kek lapis evergreen. Yang lain-lain diberi oleh abang-abang saya.

Ini pula isi dulang rumah saya untuk hidangan di surau petang raya ke dua. Hidangan ini akan bertukar dengan hidangan orang lain. Ada stail baru tahun ini iaitu menggunakan pakej beg kertas dan tidak perlu menggunakan dulang lagi. Nampaknya adat lama akan sedikit demi sedikit akan pupus.
Tetamu yang datang ramai datang pada hari pertama ,ke dua dan ketiga. Selepas itu rumah kembali sunyi dan seperti biasa sahaja. Syukur alhamdulilah sebab makanan banyak yang habis. Cuma kek masih ada lagi. InsyaAllah ia akan habis juga. Duit raya pula hanya hari pertama sahaja sudah habis diagihkan kepada kanak-kanak dan warga emas. Alhamdulilah mak saya masih ada untuk meraikan syawal tahun ini.
Posted by
Leeza
|
Posted in
My Family
Sudah masuk hari ke6 Ramadhan kita lalui dan saya pula seakan malas hendak mengemaskini blog saya dengan coretan terbaru. Semalam saya bermimpi bertemu dengan Kak NB. Masa itu dia sibuk dengan laptop dan kameranya. Dia beritahu saya : Updatelah blog za....ambil gambar dan menulislah. Saya rindukannya ...rindu sangat.
Ramadhan juga sinonim dengan dugaan dan kesabaran. Allah wujudkan banyak dugaan baik dalam suka mahupun duka, apalagi berkaitan dengan emosi kita sebagai manusia. Namun siapalah kita manusia ini yang terkadang tersasar dari landasan kesabaran.
Tahun ini saya berpuasa bertiga dengan mak dan Luqman sahaja. Tahun lepas adalah si Ridzwan, anak abang, Hairul dan Azizi abang kepada Luqman menambah bilangan keluarga. Jadi tumpuan lebih kepada Mak dan Luqman. Syukur alhamdulilah sebab Luqman ini jenis makan satu jenis lauk sahaja. Jika ada 5 jenis laukpun, dia akan rasa sedikit dulu kesemuanya dan dia akan pilih satu sahaja yang dia suka. Syaratnya mesti ada lauk berkuah. Juga kegemarannya setiap tiba bukan ramadhan ialah air soya...mesti ada 2 bungkus.
Antara kerenah dia yang menguji kesabaran saya ialah :
1. Malam lepas maghrib dia keluar. Dia pakai songkok dan kata pergi ke surau untuk terawih. Saya suruh abang ipar saya ( pakcik Luqman) tengokkan. Apa yang saya dengar dia merayau dengan kawan-kawannya sahaja dan bukan berterawih.
2. Main mercun tak kira siang atau malam. Macam-macam idea kreatif dalam bermain mercun papan yang kecil itu. Kononnya lebih jimat, lebih power dan lebih bising. Dia gunakan tempayan , pasu bunga saya yang kosong , dan botol mineral. Nasib baik dia tak bakar masa solat, jika tidak mahu saya kejar dengan rotan.
3. Selalu last minute cakap benda-benda yang dia perlukan untuk kerja sekolahnya. Contohnya dia mahukan kentang tengah malam buta....mana nak cari kentang malam-malam? Rumah saya tak pernah ada stok kentang sebab takde sesiapa suka makan. Kalau si Wan ada , maka hantu kentang sentiasa dapat stoknya.
4. Malas cuci kasut sekolah. Saya biarkan sahaja dan awal-awal saya cakap kasut baru hanya didapati tahun depan sahaja. Kalau malas cuci, maka pakailah kasut hitam legam tu . Nanti awek-awek cun akan ketawakan kamu. Dalam senyap neneknya akan cuci kasut tersebut...geram.
Jika diingat balik kisah Luqman masa ramadhan tahun lepas....dia sudah kena tumbuk oleh 'samseng tahi kucing' , tahun ini alhamdulilah dia tak senakal tahun lepas. Jika dia tahu saya hendak ke Asajaya, dia pasti mengikut. Disuruh memilih kuih-muih, tak juga dia mahu. Jadi tahun ini belanja kuih-muih saya kurang. Cuma belikannya air soya sahaja. Yang lain saya masak sendiri. Cuma stok mi segera dan telur mesti ada sebab masa sahur Luqman selalu suka makan mi dan telur sahaja.
Luqman ada ayah kandung ? Ada...dekat je rumah dia. Sebelah rumah saya sahaja. Ayahnya pencari pepahat atau ambal ( sarawak) ...namun tidak pernah memberikan walau semangkuk untuk anaknya makan. Susah sangat ke memberikan anak sendiri makan dan minum ? Patutlah hidup tidak pernah senang......kalau kita kedekut dengan kasih sayang pada anak sendiri , suatu hari nanti masa kita tua , jangan menyesal jika si anak juga berkira dengan kita.
Posted by
Leeza
|
Posted in
My Family

Hari ini keluar dengan anak-anak saudara dan cucu yang seorang ini, Asmara 5 tahun. Memula pergi ke Pasar Minggu Satok untuk mencari apa-apa sahaja yang berkenan di hati. Sepanjang jalan si As ni kerjanya asyik mengunyah. Apa yang dimakannya ialah spring potato, seringgit secucuk. Saya pernah meletakkan spring potato ini dalam facebook yang dibuat oleh anak saudara saya, si Nor. Lagipun emak si As ini menyambut birthdaynya semalam, jadi saya buat 2 in 1, belanja makan KFC. Siapa punya pilihan? Si As dan Luqman.

Tujuan utama keluar hari ini ialah shopping baju raya Luqman. Minggu depan puasa maka saya tak larat nak melayan kecerewetan Luqman ini dalam bulan Ramadhan. Nanti puasa saya tidak lengkap 100% kalau asyik marah-marah sahaja. Baju yang dipakainya ini saya beli tahun lepas. Itupun setelah bergaduh baru dia setuju memakai baju T yang saya beli di Sogo ini. Nak tahu dia nak pakai baju apa? Baju bolasepak yang Daniel tak gunakan lagi. Bayangkan saiz baju budak umur 8 tahun dia yang umur 13 tahun nak pakai? Seluar dan baju Daniel ada beberapa helai dia guna untuk main seharian.

Ini Ladies Mushroom yang saya jumpa di Pasar Satok. Rm3 sepaket. Mushroom yang digoreng bertepung dan diletak mayonaise dan sos cili. As kata lebih sedap daripada KFC.

Seluar skinny ini kami beli di India Street. Saiz 26 yang paling kecil, jenama Paul Smith (imitation) harganya rm39.90. Dia suka sebab seluar ini melekap dengan kakinya.Kemudian kami merayau mencari baju melayu namun tidka jumpa jenis kain satin. Dia tidak suka jenis berpetak atau bergaris, miang katanya. Begitu juga dengan baju T. Punyalah susah nak jumpa yang berkenan di hatinya. Cantik di mata kita, langsung tak berkenan di matanya. Cebikan bibirpun memanjang je bila saya angin. Itulah sebabnya saya membawa Rina, Ary dan As...untuk melayan kecerewetan Luqman ini. Penat berjalan , saya ajak makan di KFC . Hidung dan mata sayapun sudah berair....selesema punya hal.

Selepas kenyang, bincang punya bincang ke mana haluan selepas ini, si Luqman mencadangkan Tabuan Jaya. Saya terus membawa mereka ke Stutong, Tabuan Jaya. Di sana, nasib baik jumpa dua tshirt yang dia berkenan. Tshirt berhood ini sejak tahun lepas dia idamkan. Harganya rm19.90.

Tshirt polo hitam ini dia mahu setelah dipujuk. Saiz S dan harganya rm18.90. Lega saya sebab akhirnya dia jumpa juga apa yang dia berkenan. Kalau tidak...alamat raya tahun ni ada orang pakai baju lama.
Posted by
Leeza
|
Posted in
My Family

Luqman menjahit seluar sekolahnya
Fesyen 'skinny' ini sudah lama popular di kalangan remaja. Saya perasan bahawa fesyen skinny ini sudah dipopularkan oleh Hairul abang Luqman yang ke 2 beberapa tahun lepas. Kemudian diturunkan kepada adiknya Azizi. Sehinggalah Luqman mewarisinya. Jika ditanya pendapat saya tentang fesyen ini, tak suka saya menengoknya...sungguh hodoh dan selekeh. Saya pernah bising dengan Azizi bila seluar sekolahnya dikecilkan kakinya.
Tahun lepas, saya pernah naik angin bila keluar shopping dengan Luqman, Azizi dan Redzuan kerana seluar skinny ini. Redzuan pernah bermasam muka dengan saya kerana saya tidak meluluskan seluar pilihannya. Bagaimanalah saya hendak menyetujui jika mata saya sakit melihat seluar jeans yang berconteng ,koyak dan pudar warnanya. Begitu juga dengan Azizi, bila saya membebel dia memilih fesyen seluar yang saiznya lebih besar dari saiz pinggangnya. Ini nak pamerkan punggung dan seluar dalam koyak, leter saya. Dan Luqman pula dialah yang paling saya angin sebab dia hendakkan seluar skinny berpetak lagak orang remaja yang sudah besar. Bukannya saya tidak mahu menunaikan kehendaknya tetapi saiz badannya terlalu kecil sedangkan seluar itu hanya untuk yang berbadan besar dan tinggi. Dia pula bersaiz budak berumur 10 tahun.
Sekarang saya sudah jenuh menegur kegilaan Luqman kepada fesyen skinny ini. Bermula dengan seluar jeans yang dikecilkannya, kemudian seluar baju melayu. Nasib baik baju melayu tidak diskinnykan. Apabila mak saya komplen ketiadaan jarum dan benang , saya sudah tahu siapa punya angkara. Sekarang dia kecilkan seluar sekolahnya. Tiap malam dia menjahit seluar sekolahnya kerana cikgu-cikgunya tidak pernah berhenti mengarahkan jahitan ini dibuka. Sehingga sehelai daripada seluarnya koyak sebab selalu dibuka jahitan dan dijahit tanpa henti. Saya sudah letih menegur dan menasihatinya, maka saya biarkan sahaja. Minggu lepas dia membawa sehelai seluar yang tidak dikecilkan di dalam beg. Dia akan menggunakan masa cikgu lelaki yang selalu mengarahkannya membuka jahitan.
Bila menjadi seorang ibu menjaga anak saudara bukan sedikit dugaannya. Terima kasih kepada kakak NB yang selalu memberi semangat dan nasihat dalam menanggani karenah Luqman. Pada mulanya bila berdepan dengan kenakalan Luqman, saya akui saya hampir berputus asa. Namun saya sedar masa depan Luqman terletak di tangan saya. Bagaimana saya hendak menghalaunya dari hidup saya jika dia sendiri menyerah diri, makan minum di rumah saya. Sedikit demi sedikit saya menanggani kenakalannya. Dia sebenarnya memerlukan perhatian dan kasih sayang. Baru saya faham kenapa neneknya memanjakan dia terlampau. Sejak neneknya sakit saya menumpukan sepenuh perhatian dan masa saya kepada mereka berdua. Bermula awal pagi jam 5 saya sudah membangunkan Luqman. Masa itu dia akan bangun , mandi, bersiap-siap ke sekolah. Namun hampir sejam itu , kena sabar dengan sikap suka bermalas-malasan depan TV . Seusai cerita animasi Jacky Chan baru dia bergerak ke sekolah. Ayahnya saya tugaskan menghantar dengan motosikal. Alhamdulilah ayahnya tidak pernah culas menghantarnya ke sekolah.
Penyakit Luqman ada dua iaitu malas ke sekolah dan selalu keluar malam. Penyakit malas ke sekolahnya saya atasi dengan berbincang bersama guru-gurunya di sekolah. Sekarang jika sehari dia tidak hadir, guru kelasnya sudah menghantar sms kepada saya. Dan penyakit keduanya, saya sudah kunci rumah jam 7 malam. Tiga hari berturut-turut saya buat demikian dan pada hari ke empat dan seterusnya Luqman mengunci sendiri pintu-pintu tersebut. Alhamdulilah senang saya menjaganya sekarang. Saya berdoa agar Luqman tetap senang dijaga dan saya takkan berputus asa terhadapnya. Biarpun apa orang kata bahawa saya sengaja menempah masalah dan beban, bagi saya Luqman sudah ditakdirkan untuk menjadi anak saya. Doakanlah saya untuk terus tabah menanggani anak seperti Luqman ini.
Posted by
Leeza
|
Posted in
My Family
Kalau rumah saya dikunjungi oleh tikus, saya dapat mengesan kehadirannya. Kalau sudah sampai tahap masuk ke bilik saya, tentu sahaja saya angin dibuatnya. Kebiasaan mak saya yang uruskan pembunuhan tikus tersebut. Namun kerana dia tidak sihat ,maka terpaksalah saya uruskan sendiri. Saya memasang perangkap dengan berumpankan kelapa dan letak di dalam bilik abang saya yang bersebelahan dengan bilik saya. Mungkin kerana bilik-bilik atas tidak diduduki maka tikus tersebut bermaharajalela. Awal saya meletakkan perangkap tersebut .
Sedang saya sibuk menggoreng jejemput pisang di dapur untuk minum malam kami tiga beranak, si Luqman berlari mendapatkan saya memberitahu yang perangkap telah mengena. Saya mengajaknya kerana saya cukup geli dengan tikus. Tepat jangkaan Luqman, seekor tikus yang besar telah masuk dalam perangkap.
Sekarang tiba masa untuk membunuhnya, satu perkara yang saya tidak sampai hati nak lakukan. Mula-mula masak air satu cerek sehingga mendidih. Kemudian tuang ke atas tikus di dalam perangkap itu sehingga ia mati. Kalau sudah mati masukkan ke dalam plastik dan buang ke dalam sungai. Nasib baik Luqman sanggup untuk membunuhnya. Kesian mendengar ia menjerit kesakitan....Tugas memasukkannya ke dalam plastik ialah mak saya....geli saya menengok ekornya. Kemudian Luqman membuangnya ke sungai. Satu masalah dengan budak ini ialah , saya terpaksa temankannya ke sungai kerana dia takut. Tak masuk dek akal langsung sebab selama ini dia suka berjalan malam sehingga jam 9 dan 10 malam baru balik. Sejak beberapa minggu ini saya pastikan pintu dikunci seawal 7 malam untuk menghalangnya keluar rumah pada waktu malam. Malam esok si Luqman mengajak memasang perangkap tikus lagi. Perangkap itu kena dicuci dan dijemur terlebih dahulu untuk menghilangkan bau tikus.
Posted by
Leeza
|
Posted in
My Family

Pada petang Sabtu yang lalu, 10 Julai 2010, abang Saidi membawa mak ke Kuching untuk rawatan klinik kerana emak menghadapi penyakit sembelit dan sakit pinggang. Kemudian emak dihantar ke rumah abang Sabri untuk check up darah bagi mengesan kandungan garam dalam darahnya pada pagi 12 Julai 2010. Paginya abang Sabri menelefon saya memberitahu bahawa emak bermalam semalam lagi di rumahnya. Namun petang itu dia menelefon saya memberitahu bahawa emak minta dihantar pulang. Hati saya rasa tak sedap. Adakah apa-apa berlaku kepada mak ? Saya terus menyediakan segala keperluan mak saya, masakkannya bubur nasi, ikan, sup sayur, kemas tempat dia berbaring di ruang tamu dan persediaan yang saya buat ini amat membantu sekali kerana selepas itu, ramai yang melawat mak.
Tepat jam 6 petang, mak saya tiba dihantar oleh abang saya dengan menantunya. Dia balik berusung di atas tilam. Wajahnya pucat sekali dan mata terpejam. Saya dapat mengawal rasa sedih dan marah pada masa itu. Sebaik mak dibaringkan, saya terus merasa dahinya dan suhu badannya panas sekali. Tanpa berlengah saya terus mengambil besen, air suam dan tuala. Saya basahkan dan saya lap terus mukanya, badan dan kakinya. Saya tuamkan tuala itu di kepalanya.Kemudian saya terus tanyakan soalan tentang ubat yang diberikan kepada emak untuk mengelakkan saya memberi ubat yang sama . Saya dapati abang dan kakak ipar saya gelabah dan takut . Mak sakit tenat, tentulah takut. Saya terus berikan mak saya panadol yang saya lumatkan kemudian letak air supaya ia cair dan cecair magnesium trisilate ( ubat angin/gastrik) . Beberapa minit kemudian, mak saya sedar dan boleh bercakap-cakap. Saya terus mengarahkan abang-abang saya melayan mak bercakap sementara saya mengambil bubur nasi dan ikan goreng. Ketika tangan kanan memegang pinggan dan tangan kiri memegang secawan susu, saya terdengar kecoh mak saya pengsan lagi. Masa itu, saya hanya mampu menghadap wajah dia. Saya terus usap badannya dengan tuala basah. Kemudian sapu dengan minyak yang pernah diberikan oleh seorang pawang. Keadaannya semakin uzur, saya pasrah jika masa itu Allah hendak mengambil mak saya tetapi doa saya biarlah dia pergi dalam keadaan selesa dan tidak sesakit itu. Semua beradik berkumpul, sepupu2 saya pun balik sama. Salah seorang kakak sepupu saya, Saadiah yang pernah mengajar saya 'lip reading' adalah bekas jururawat. Dia yang banyak membantu dengan memberikan air sedikit demi sedikit. Jangan putus memberi mak air , katanya. Kami berikan mak makan air bubur. Semuanya dalam bentuk cecair. Malahan ubatan yang bentuk pil pun dihancurkan. Dia juga diberikan 'pampers' sebab mak tak boleh bangun. Tahukah anda bagaimana rasanya ketika menyuap air ke bibir mak, dan mengelap bibirnya dengan tisu, airmata saya menitis sedikit demi sedikit. Tuhan, jika di seluruh dunia ini ada anak yang melukai hati ibunya, saya TERSANGAT MARAH DAN SEDIH.
Keesokan petangnya, mak mahu dihantar ke klinik setelah dipujuk banyak kali. Kami membawanya ke Klinik Desa Semera untuk mendapat surat rujukan jika penyakitnya semakin tenat. Kebetulan yang bertugas ialah Awang Erwandy, yang saya sudah biasa kenal. Dia teruskan berikan mak saya water drip (air garam) dan pil kepala pusing. Saya pun tak tahu nama sainstifiknya. Beberapa minit kemudian , alhamdulilah mak saya sedar dan boleh buka mata. Menurut Awang Erwandy mak saya demam panas dan kurang air. Balik dari klinik, dia sudah minta duduk di atas kerusi. Kemudian sempat dia marahkan kami sebab tak bawa dia awal-awal ke klinik. Hahahaha....sedangkan dia sendiri tidak mahu dibawa ke klinik sejak awal.
Sekarang saya menjaga mak saya dengan ketat. Seminitpun saya tak biarkannya. Ubatannya saya jaga. Ubat yang wajib untuk mak ialah pil darah tinggi dan ubat cecair untuk angin . Dia kena makan dan pastikan perutnya tidak kosong. Saya jaga semua pemakanannya. Begitu juga hal remeh-temeh. Syukur alhamdulilah sebab saya diberi peluang untuk menjaga mak saya. Mulai hari ini saya takkan biarkan dia keseorangan ke rumah anak2nya yang lain. Seawal pagi, saya bangun untuk masak bubur nasi untuk mak , makanan, air panas diletak dalam dua termos, pakaiannya, dan sebelum saya ke sekolah, saya pastikan dia makan pagi, kemudian makan ubat-ubatnya. Bila saya bekerja , kakak saya yang tinggal di depan rumah akan menjaganya pula. Tugas ini akan disambung oleh saya sebaik balik dari sekolah. Tiada lagi rasanya masa untuk saya berjalan-jalan pada hujung minggu. Biarlah saya sebegini demi untuk mak saya. Mak tiada dua tiga di dunia ini. Mak tiada terjual di kedai manapun. Masa mak sihat , nikmati masa-masa dengan mak kita. Masa mak masih hidup, hargai dia sebab tiada kita tanpa mak. Dia yang melahirkan kita. Bukankah kedudukan mak lebih mulia? Dengar cakap mak sebab hidup kita akan lebih berkat dan direstui oleh doa mak.
Semasa mak saya sakit, malam itu ramai penduduk kampung datang membaca surah yassin untuk mak saya. Anak-anak saudara mak juga datang dan mereka banyak membantu kami menguruskan mak. Dua sepupu lelaki saya, Abang Besar dan Abang kecik sanggup datang dari jauh . Adik mak cuma tinggal seorang. Adik beradik sebelah arwah bapa juga melawat semasa mak di klinik. Mereka ini semua datang dengan mata merah....sakit mata. Mak saya sekarang asyik risau dia kena jangkitan sakit mata. Hairan saya, dalam mamainya tahu juga dia mereka ini sakit mata. Syukur alhamdulilah...hanya kepada Allah saya mohon untuk membalas jasa mereka ini bagi pihak keluarga saya. Dua malam berturut-turut, adik mak bermalam menjaga mak saya. Adik bongsu mak ini agak rapat dengan mak saya. Hanya mereka berdua sahaja yang hidup daripada empat beradik. Jadi beginilah keadaan kami berempat (Luqman, saya, mak dan adik mak) tidur selama dua malam itu...tidur berkelambu sebab nyamuk banyak.