Showing posts with label Soal Hati. Show all posts
Showing posts with label Soal Hati. Show all posts

LAMANYA TAK KEMASKINI BLOG

0

Posted by Leeza | Posted in

Salam pembaca yang dikasihi.
Tak terasa memakan tahun juga saya tidak mengemaskini blog kesayangan saya ini. Bukannya apa, sibuk bukan satu alasan yang kukuh memandangkan saya aktif di facebook. Agaknya itu sebab saya berasa berat hati dengan blog kesayangan ini.
Tahun 2014, apakah anjakan paradigma yang hendak ditampilkan ? Apakah usaha yang hendak dilakukan untuk mencapai target dalam kerjaya, peribadi , dan dunia akhirat ? Segalanya perlu diteliti dengan penuh antap supaya tidak tertinggal dan tidak terlebih di satu pihak sahaja. Juga kesihatan diri dan keupayaan diri perlu diambil kira terlebih dahulu. Memanjakan diri juga perlu tetapi jangan sampai menternak lemak sehingga malas merajai hati dan setiap sendi.
Dunia buku, masih mendapat tempat utama dalam diri saya. Saya suka membaca dan sentiasa berhati-hati memilih bacaan saya. Sekarang terdapat lambakan novel-novel cabul yang temanya terlalu kebudakan . Kita dimomokkan dengan dunia perasaan yang melampau hingga ketepikan cara hidup halal dan sihat. Target saya, sebuah buku seminggu, alhamdulilah sejak akhir tahun 2013 telah dapat saya praktikkan. Sepanjang Januari 2014 saya telah membaca empat buah buku antaranya :
i. Bukan Kerana Aku Tak Cinta
ii. Aku Bukan Mitress
iii. Ulu Yam Ke Liverpool
iv. Bisik-bisik Gelora

Komen saya pasal buku-buku ini ? 2 Bintang sahaja sebab sedap dibaca tidak menusuk ke hati. Ada beberapa perkara tidak saya setujui dalam semua buku-buku ini. Sayapun dah malas hendak buat review sekarang ini.

Okay, rasanya setakat ini dulu celoteh saya ini . Semoga berjumpa lagi.....jaga diri ya.
Sayang semua.....

RENTETAN 2012

0

Posted by Leeza | Posted in

Asalamualaikum semua sahabat pembaca ,
Bila diingat kembali tahun 2012 , saya amat bersyukur kerana banyak yang manis daripada  kedukaan. Biarpun di awal 2012 saya diduga dengan banjir dan keadaan kesihatan emak dan diri sendiri. Sesungguhnya Allah uji kita kerana menyayangi kita dan ujian ini bila kita mampu menghadapi dengan redha dan tabah seakan dosa-dosa kita terhapus satu persatu.
SAKIT yang datang tiada siapa mahu memintanya. Ia mengajar kita untuk lebih menghargai diri sendiri . Apa sahaja yang kita lakukan ia bertitik tolak daripada kesihatan diri. Syukurlah , walau perit dan sakit dirasa dengan keadaan kaki yang bermasalah, namun emak tidak saya abaikan. Pun begitu juga tugasan di sekolah mampu saya lakukan. Malahan saya mampu mengembara jauh. Kaki ini masih mampu berdiri gagah dan diseret. Ya, kerana kaki yang sakit ini menyebabkan pilihan kasut dan sandal sangat terhad. Saya setiap kali melewati kedai-kedai kasut mengambil masa yang lama membelek kasut . Bukan saya seorang yang cerewet atau seorang yang tidak menghargai masa , tetapi terpaksa . Jika tersalah pilih, diri sendiri merana. Kadang kala berjam-jam di kedai kasut , sepasangpun tidak dibeli. Kawan saya Noria dah mengangkut dua tiga pasang , saya hanya menggaru kepala yang tidak gatal...hahaha. Namun saya amat bersyukur kerana sakit ini membuat saya mengawal pemakanan saya. Berhati-hati dengan diet yang ada.

KAPAL TERBANG yang acap kali menjadi kenderaan yang saya naiki dalam tahun 2012. Tujuh kali sudah saya turun naik kapalterbang. Jika anggaran RM400 darab 7 , bererti saya sudah membelanjakan hampir RM3000 untuk menaiki kapalterbang. Syukur alhamdulilah. Bak kata Cikgu Fizi, dia sudah ketagih melancong. Begitulah yang saya buat...saya sangat gembira kerana berpeluang bercuti . Paling bahagia dengan kakak kesayangan saya , Norhayati Berahim. Air Asia sakitnya kerana caj bagasi melampau. Malaysia Airlines juga yang terbaik. Selepas ini saya memilih Malaysia Airlines kerana senang, mudah dan murah. Air Asia dengan caj teresembunyi terkadang harganya lebih mahal daripada Malaysia Airlines.

Pada setiap awal tahun saya menanam tekad yang ampuh untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang bagi sekolah saya dalam mata pelajaran yang saya ajar. Syukur alhamdulilah dan sangat-sangat gembira kerana keputusan UPSR Sains di luar jangkaan. Target saya hanya 70% tetapi berjaya menggapai 85%. Malahan seorang murid menumpang yang selalu ponteng setelah dimotivasikan oleh saya menjadi kerap ke sekolah dan keputusannya ialah dia lulus Sains. Walau kelulusannya menambah peratusan sekolahnya tetapi saya sangat gembira , dia daripada zero telah lulus dengan jayanya. Semangat ini akan dibawa ke tahun hadapan dengan mengatur strategi yang lebih baik lagi.

Kerja-kerja amal, biarlah sahabat-sahabat tahu apa yang telah saya lakukan bersama kawan-kawan. Kejayaan semuanya akan diteruskan ke masa hadapan. Saya berasa rezeki saya berkat bila memperuntukkan sebahagian kecil gaji saya untuk tujuan ini. Jangan takut untuk memberi dan membantu kerana Allah ada janjikan yang lebih  untuk kita. Berusahalah membantu mereka yang memerlukan bantuan kita.

Kejayaan yang sangat manis...bahagia berterusan . Terimakasih kepada semua sahabat di mana jua berada. Hati tetap mendoakan kalian moga terus bahagia, sihat walafiat dan sukses dalam jua yang diceburi. Moga ikatan ukhuwah kita terjalin erat dan berpanjangan. amiin.

HAPPY BIRTHDAY TO ME

0

Posted by Leeza | Posted in

Asalamualaikum warahmatullahi wabarakatu'

Syukur alhamdulilah kerana atas izin Allah SWT maka hari ini genaplah usia saya ke 44 tahun. Tiada rancangan hendak meraikan hari ulang tahun melainkan memanjatkan doa kepadaNya moga dipermudahkan segala urusan saya seharian. Saya sangat PENAT dari segi fizikal dan mental. Kudrat saya tidak seberapa kerana kaki saya belum sembuh sepenuhnya. Namun apakan daya saya harus bertahan dan sakit itu terpaksa diketepikan.  Namun sejak akhir-akhir ini biarpun saya sedar emak tidak sihat namun segala kata-katanya amat melukakan hati saya. Namun siapa saya sebagai anak untuk membalasnya? Dia ibuku..syurga di tapak kakinya. Jadi, seminit sahaja cukuplah saya menangis ketika mengacau bubur nasi emak di dapur. Ya Allah tabahkan hati hamba mu ini. Saya tahu allah memberi dugaan ini kerana bagi Allah saya mampu menangganinya. Setiap kali terjadi setiap kali itulah saya berighstifar dan mengingatkan bahawa emak sakit.

Terimakasih kerana begitu banyak ucapan selamat dan doa dititipkan oleh rakan-rakan lewat FB saya. Terimakasih kepada kakak kesayangan saya yang seawal subuh mengucapkan selamat hari lahir dan doakan saya. Saya tahu beliau sentiasa mendoakan saya dan keluarga. Saya sebenarnya sudah mendapat hadiah hari lahir dengan penganugerahan perkhidmatan cemerlang 2011 pada minggu lepas. Dan APC ini adalah untuk kali yang ke 3. Syukur alhamdulilah atas rezeki yang Allah bagi kepada saya. Ia menjadi pendorong semangat untuk berusaha lebih baik lagi demi kejayaan anak-anak didik dan sekolah.

Kita berhak untuk merasa bahagia dan saya sangat bahagia dengan semua yang ada di sekeliling saya. Saya bahagia melihat emak makan dengan berselera, tidur dengan nyenyak walau malamnya dia berjaga...hahaha. Saya bahagia dengan apa yang saya ada , semoga ia terus berkekalan. Ketabahan ini kerana dorongan semangat yang kawan-kawan berikan. Juga doanya ...dia yang selalu mendengar rintihan hati saya...terimakasih tidak terhingga. Hanya Allah yang dapat membalas semuanya.

Kala hati mahu berbicara....

0

Posted by Leeza | Posted in

Asalamualaikum....
Pada saat hati mahu berbicara , seribu kata ingin diluahkan namun sayangnya jari jemari bagai kaku untuk mengetik setiap abjad pada papan kekunci. Setiap saat yang berlalu merenung diri dan mendengar dentuman guruh di langit yang menangis , setiap kali itulah hati dan bibir tak putus melafazkan ayat-ayat cinta untukNYA yang satu memohon perlindungan dan belas ikhsanNYA agar musibah yang melanda seluruh kampung kami reda .Janganlah kami diduga dengan dugaan yang tak mampu kami tangani. Kuatkanlah iman kami agar tidak lupa mengingatiMU.
Kini adalah kali kedua rumah saya dimasuki air . Dalam masa yang sama , penjaga emak berhenti kerana saya menegur kelewatannya datang kerja memandangkan saya terpaksa turun awal ke sekolah. Sementara belum ada penjaga, saya terpaksalah bekerja keras setiap awal pagi menyiapkan keperluan mak, memandikannya dan memasak makanannya sepanjang hari. Jadi, kakak saya yang menjaga dua cucu tidaklah terbeban sangat. Kasihan jugalah melihat emak yang terpaksa bersusah payah seawal pagi berulang-alik ke rumah kakak.
Sekarang saya selalu menyiapkan kerja sekolah di sekolah sahaja. Di rumah selain sibuk dengan mengemas rumah dan melayan emak , saya mula meluangkan masa membaca buku-buku yang saya beli. Nampaknya banyak buku yang saya tak buat lagi reviewnya. Saya mengikut mood juga. Jika saya ada mood, saya tak ambil masa yang lama menulis review. Moga saya dapat dikuatkan hati menulis review buku-buku kerana saya minat menulis. Apa yang saya baca saya nak kongsi bagaimana perasaan saya terhadap satu-satu buku yang saya telah baca.
Hari ini buat pertama kali saya mengajar Tahun 1 dan Tahun 2, Dunia Sains Teknologi KSSR, subjek baru, murid pun baru. Seronok melihat anak-anak kecil ini. Mereka berminat sungguh belajar dan saya suka....:) Ini secara tidak langsung menaikkan semangat saya mencanak-canak. Semoga mereka menerima pengajaran saya dengan baik.

Muhasabah Diri

1

Posted by Leeza | Posted in

Asalamualaikum sahabat-sahabat pembaca...
Saya akui saya terlalu lama membiarkan blog saya ini tiada perkembangan terbaru. Terlalu banyak cerita ingin saya kongsi bersama pembaca. Tak mengapa, nanti-nanti saya akan sampaikan juga apa yang berlaku dan membuat kita bukan sahaja saya dan keluarga saya tetapi semua pembaca akan bermuhasabah diri dengan setiap kejadian yang menimpa.
Baru-baru ini saya mengidap sakit kaki. Kaki kanan saya sebenarnya sudah lama sakit tetapi saya biarkan sahaja kerana saya berfikiran ia hanya disebabkan kasut, penat berjalan atau penat memandu. Pun juga saya tetap bersenam menggunakan basikal dan stepper. Urat yang keletihan dan sedia tegang semakin tegang dan sakit. Kawan-kawan kata saya gout tetapi saya telah memeriksa dan doktor tidak mengatakan ia gout. Kesimpulannya sakit kaki ini berpunca dari kecederaan lama dan saya pula selalu berlanggar kepala lutut samada di bucu katil, atau di pintu. Saya juga selalu tergelincir di sekolah tetapi tidak sempat jatuh cuma , kepala lutut ini adalah terhempas di titian belian di sekolah.
Saya berjumpa doktor pakar tulang dan diberi rawatan SONOTRON. Kawan baik saya yang memandu kereta . Saya ingat bertambah baik , dan Isnin itu saya pun turunlah ke sekolah tanpa memohon cuti. Baru beberapa langkah dan membawa bebanan yang berat, beg kerja, laptop dan bakul bekalan air...saya sudha tidka boleh bergerak kerana kaki saya tiba-tiba mengejang. Allah saja yang tahu betapa sakitnya. Anak-anak murid saya yang berada di tahun 2 yang membantu memapah saya ke Bilik Guru. Tolak ke tepi rasa malu, dengan bantuan jaga sekolah, seorang tukang urut dibawa ke sekolah untuk mengurut kaki saya. Bila diurut, rasa meraung kesakitan ...sakit sungguh. Namun saya dapat menggerakkan kaki dan memandu pulang ke rumah dengan kelajuan 40km sejam. Keesokkannya , saya memohon cuti kerana saya hendak berurut 3 hari berturut-turut. 
Sekarang, sudah seminggu selepas peristiwa itu, namun kaki saya masih lagi sakit. Saya bergerak perlahan dan memandupun tidak terlalu kerap sangat. Namun saya menjaga mak saya yang uzur, pergerakan itu perlu walau lambat. Cuma terkadang mak saya yang tidak mengerti bila sakit, dia marah-marah kalau saya lambat bergerak mendapatkannya bila dipanggil. Saya terkadang tidak mampu memandikannya .....sedih kan. Rasa sakit itu tidaklah saya layan sangat, sebab saya tiada pilihan lain. Bila bangun tidur jam 2, 3 dan 4 pagi saya pastikan bangun dengan perlahan , kendurkan kaki dulu baru saya turun dari katil. Juga mengamalkan memakai selipar di dalam rumah kerana rumah saya waktu paginya sangat sejuk. Dan setiap kali mandi saya masak air panas terlebih dahulu. Air ais sudah saya jauhi. Ketika bersolat duduk, saya menangis pada mulanya sebab bersolat sedemikian ..dalam usia yang masih muda bagi saya. Kekuatan hati perlu bila diduga sebegini. Saya seringkali menganggap ini peluang saya bersyukur dan menginsafi keadaan diri. Taubat dengan setiap dosa yang mungkin telah saya lakukan. Inilah satu jalan untuk membasuh segala dosa itu...dengan tabah menghadapi ujian Allah. Ya Allah...ampunilah segala dosaku. Tabahkanlah hatiku menghadapi segala dugaan ini. Sembuhkanlah penyakitku agar dapat ku berbakti kepada ibuku dengan lebih sempurna....amin.

Hati Menangis

0

Posted by Leeza | Posted in

Beberapa hari ini saya amat sibuk dengan kursus. Nantilah saya ceritakan tentang kursus tersebut. Waktu saya menulis catatan hari ini, saya terbangun jam 3 pagi kerana menangis dalam tidur. Saya bangun dan keluar bilik kemudian saya sambung menangis lagi. Apa yang saya sedihkan sangat sehingga menangis berleretan ini ? Ceritanya amat panjang dan berlarutan serta berleretan menjadi fobia sehingga kini. Namun duka dan luka yang terlalu lama dipendam itu menjadi sesuatu yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila. Ia terlalu peribadi untuk diceritakan kepada sesiapapun sebab orang takkan faham apa yang ada di hati kita.
Saya tidak pasti dan tidak faham tentang mimpi ini. Namun saya tahu biarpun hati saya kecewa olehnya, saya masih menyayangi dan merinduinya. Atau adakah ia simbolik dengan apa yang terjadi sekarang ? Apakah ia berkaitan dengan tindakan saya menutup akaun Facebook untuk sementara waktu ? Segalanya menjadi tandatanya. Namun mimpi ini membuat saya masih menitiskan airmata.....dada terasa amat sebak dan sakit.

Biarlah saya ceritakan tentang mimpi ini. Saya bertemu semula dengannya setelah berpisah terlalu lama, pertemuan tidak sengaja. Ketika saya menghampirinya , tiba-tiba dia berpaling dan melarikan diri. Saya mengejarnya tanpa sempat berselepar . Saya terus mengejar tanpa peduli kaki saya berdarah terkena batu dan kaca tajam. Namun di satu bahagian bayangnya sudah menghilang. Saya sangat kecewa dan menangis balik ke rumah. Reaksi wajahnya tidak menampakkan dia membenci saya....dia gembira , tersenyum namun nampak kesedihan yang amat.  Setiap kali saya kesedihan saya mengingatinya dan berdoa kepada Allah moga dia dipelihara sentiasa. Saya sayang dia, saya juga sayang semua yang pernah rapat dalam hidup saya. Tidak pernah ada rasa benci biarpun mereka meninggalkan saya tanpa sebab.

KECEWA

0

Posted by Leeza | Posted in

Julai sudah sampai ke penghujungnya, dan rasa kecewa ini seakan tidak dapat terbendung. Ingin rasanya saya meraung menggegar dunia untuk lepaskan rasa kecewa ini namun hanya mampu menyimpan rasa kecewa ini dalam-dalam di sudut hati kecil. Sehingga hati ini seakan bergoncang menahan kepedihan teramat. Apa yang saya kecewakan ? Banyak  dan satunya menyangkut soal kerjaya. Namun saya sering bermuhasabah diri untuk bertahan dan terus bersabar, mungkin tiada rezeki saya. Mungkin janji Allah berlainan untuk saya. Mungkin ada yang berkata , berusahalah. Saya mempunyai banyak idea dan cara untuk berusaha namun saya tersekat di sini. TERSEKAT dan terpaksa. 
Sebenarnya ALLAH tahu yang terbaik untuk saya. Mungkin jika begini , kesannya tak tertanggung oleh saya..maka diperlahankan perjalanan saya. Meskipun saya sangat malu....malu dengan diri yang tidak berupaya. Malu dengan diri yang sepi dalam keriuhan. Dalam sesuatu hubungan saya mengenal untuk memahami isyarat dan petanda. Orang mungkin segan mahu mengatakan tidak, lalu dihaluskan cara penolakan tersebut. Tidak mengapalah....inilah seni perhubungan berhemah.
Apa yang saya sibukkan sekarang ? Saya sibuk dengan projek Kembara Ukhwah Ke Utara sehingga 12 Ogos 2011. Jika ada peluang saya akan turut serta tetapi tentu sahaja menyusahkan kawan-kawan saya. Tidak mahulah menimbulkan rasa serba salah , maka saya doakan dari jauh sahaja. Memadailah saya berusaha untuk meminta dan mengumpul dana untuk program ini. Lagipun saya terikat di sini. Sebolehnya sekarang saya mengelak temujanji hari Ahad kerana hari itu tiada sesiapa menjaga ibu saya. Jika terpaksa juga , saya terpaksa korbankan hari Sabtu untuk menukar giliran ini. Satu hari dalam seminggu saya mesti keluar dari rumah ini. Saya perlukan udara segar dan ia adalah hari untuk saya melunaskan semua urusan rasmi yang terkumpul seminggu. Terkadang letih sebab terkejar ke sana sini, berebut dengan masa. Itupun masih ada orang sanggup mencemuh sebab tidak jaga mak untuk hari itu. MasyaAllah....Tuhanku tabahkanlah hatiku ini.
Isnin sampai Jumaat adalah masa kerja saya. Itupun sekarang saya rasa mutu kerja terjejas sedikit sebab masa-masa tertentu bila tidak masuk ke kelas sambil buat kerja-kerja library saya boleh tertidur dalam duduk. Dasyat sungguh keletihan ini. Namun dalam tidur dan terjagapun otak saya masih bekerja untuk berfikir dan berusaha mengatasi masalah yang timbul dalam kelas Tahun 6 sekarang. Semua guru mengeluh kerana kelas ini tidak menampakkan hasil yang positif. Saya terpaksa gunakan rotan dan menetapkan target apa mereka boleh capai. Bukan memaksa tetapi inilah hakikat kebolehan mereka. Saya sebagai guru yakin anak-anak ini mampu lulus dengan cemerlang dan bintang inilah yang perlu digilap dengan sungguh-sungguh. Jika lepas UPSR sebenar nanti baru saya berhenti rehat....selagi belum 13,14 dan 15 September 2011, selagi itu saya takkan berhenti. Cuma masa saya amat terbatas...:( 
Semoga segala yang saya usahakan tidak sia-sia...cukuplah kejayaan anak-anak murid ini menjadi hadiah untuk diri saya sendiri. Tentang kehidupan peribadi saya, saya cuba bertahan , saya kena redha barulah hati tidak bersedih. Ini bahagian saya...moga di akhirat nanti segalanya ini menjadikan saya senang lenang dan bahagia itu tetap ada walau hanya sedikit dan kecewa itu melaut luasnya.

Ulasan Cuti Penggal 1, 2011

0

Posted by Leeza | Posted in

Syukur alhamdulilah kerana cuti selama dua minggu telah kulewati dengan tenang dan tenteram. Tiada rasa bosan melanda memandangkan perkataan bosan dan tensen telah lama ku buang jauh-jauh dari lipatan hati dan minda. Benar kata kak Yati bahawa kita harus bersyukur dengan apa sahaja yang kita miliki.

Biarpun emak saya masih sakit akibat terjatuh kali ke dua, saya tetap jalani kehidupan melayani dan menjaganya seperti anak kecil saya. Dia pula lebih mahu saya berada di sisinya sentiasa. Bersyukurlah kerana saya tidak menempah tiket bercuti ke mana-mana kali ini. Sudah menjadi kelaziman setiap kali cuti sekolah saya pasti keluar dari Sarawak bercuti di mana-mana samada secara solo atau berteman. Maka saya hanya luangkan masa ke Kuching setiap kali membeli keperluan harian. Saya bawa anak saudara dan cucu saya menonton wayang dan makan-makan.

Namun jauh di sudut hati, saya mulai terasa sesuatu tanda-tanda yang mungkin saya tak perasan sama sekali. Ini kali kedua 'dia' buat saya begini. Tak mengapalah...jika ini sebagai isyarat untuk saya tahu diri, saya seharusnya mengerti dan faham-faham sendiri. Jawapannya tidak logik sungguh ketika saya meminta penjelasan. Lantas saya sedar diri bahawa saya hanya menjadi tempat ketika dia memerlukan sahaja. Pendekata dipergunakan secara tidak langsung. Maka saya seakan tahu diri bahawa saya harus bersendirian seperti sedia kala....Bukan dia sahaja tetapi ada orang lain juga bertindak serupa. Amat sedih rasanya bila perkara sebegini berlaku. Kawan datang dan pergi dalam hidup saya. Namun saya tidak mengeluh dan tidak mahu keadaan ini menjadi duri dalam hati saya. Saya harus bersyukur dan menghargai persahabatan. Saya bersyukur kerana kasih saya biarpun jauh sentiasa ada dan menceriakan saya. Thanks to my Geng Pizza and my dear idolas.Juga terimakasih buat geng kolej saya yang tidak pernah mengabaikan saya setiap kali ada kesempatan kami bertemu. Itulah...saya harus bersyukur sentiasa sebab dalam satu kekurangan Allah bagi kelebihan untuk menawar duka.
Jelasnya cuti ini amat bermakna dalan hidup saya. Bukan sahaja saya diuji dengan kesihatan yang tidak baik malah diuji dengan kesabaran menjaga ibu yang sakit. Malahan cuti ini membuat saya bermuhasabah diri tentang kekurangan diri. Ia juga menyedarkan saya tentang erti kejujuran dalam persahabatan. Sedih sebenarnya bila kawan buat kita sebegini, namun apa boleh buat inilah resam kehidupan yang harus kita tempuhi sebagai manusia. Tingkatkan sahaja keimanan dan banyak-banyak mengingati ALLAH yang tak pernah berhenti mencintai kita.

HAPPY BIRTHDAY TO MYSELF

0

Posted by Leeza | Posted in

Asalamualaikum warahmatullahi wabarakatu'.
Sejuta syukur ke hadrat ALLAH SWT, kerana dengan izinNYA , maka usia saya sudah mencapai 43 tahun sekarang. Saya tidak pernah meraikan hari lahir saya ,malahan pernah banyak kali melupakan hari ini. Bukan sengaja melupakan tetapi TERLUPA.
Saya bersyukur sangat-sangat kerana masih mampu bertahan ke saat ini menjaga mak yang tidak menentu kesihatannya. Apa lagi sering menguji kesabaran dengan karenahnya . Syukurlah kerana saya antara yang terpilih menjaga ibu sendiri. Bila saya sudah ketiadaan pembantu. saya sering berat hati hendak meninggalkannya. Namun segala keperluan beliau telah saya sediakan awal-awal. Hanya mengharap pada anak saudara yang bujang dan sering menimbulkan masalah. DOA....itulah senjata saya kini untuk menghadapi segala dugaan .
Apabila meniti ketuaan ini, saya sedar semakin mendekatnya saat kematian. Saya banyak memikirkan betapa saya banyak kekurangan. Betapa saya mengharapkan rakan-rakan yang memahami takkan pernah berputus asa untuk membantu dan menasihati saya. Saya mempunyai satu hasrat , dan hasrat ini saya usahakan juga sedaya upaya. Saya harus mencari jalan untuk mencapai hasrat ini dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan mak saya. Allah will show me the way, InsyaAllah.
Semoga saya semakin penyabar dan tabah menghadapi kehidupan ini. Semoga saya tidak akan mengamalkan sikap negatif dan dijauhi penyakit hati . Semoga saya tidak menjadi seorang yang pelupa dan takbur dengan nikmat Allah.....dan saya berusaha untuk menjadi sebaik-baik insan yang ada. Syukur alhamdulilah, saya mempunyai persahabatan yang setia menemani dalam suka dan duka. Saya teringin persahabatan ini berpanjangan hingga ke akhirat.....di sana saya mahu menjadi sahabatnya . Lantaran sahabat-sahabat saya ini begitu hebat dalam ilmu agama , saya takut saya ketinggalan di sana. Saya takut ini akan menjauhkan saya dengan mereka. Maka atas kesedaran ini, diri sendiri yang serba jahil, kenalah berusaha keras untuk menyaingi langkah mereka ke Syurga. InsyaAllah. Hanya saya minta, jangan pernah berhenti doakan saya.
Terimakasih Ya Allah, kerana memberiku kehidupan ini dan memberi peluang untukku bertaubat dan memperbaiki diri sendiri. Terimakasih sahabat-sahabatku, kerana sentiasa ada di sisi.

EMOSI

1

Posted by Leeza | Posted in

Semalam saya menghadiri jamuan perpisahan guru-guru yang berpindah dari SKJ. Salah seorang guru itu pengikut setia blog saya ini. Dia menyuarakan rasa hairannya kenapa saya malas mengemaskini blog saya ini. Ya, saya sudah semakin malas menulis di blog ini biarpun banyak cerita yang hendak saya kongsikan bersama. Kali ini biarlah saya kongsi emosi saya sejak akhir-akhir ini.

Jika salah mempunyai perasaan seperti ini, maafkan saya. Saya hanya manusia biasa. Mungkin apa yang saya luahkan ini hanya sebahagian kecil yang mampu saya ceritakan atau yang mampu saya gambarkan kerana saya bukan penulis yang bijak bermain dengan kata-kata. Perbendeharaan kata saya amat terhad. Hati pun semakin kecil sekecil-kecilnya.

Mungkin kerana saya tidak mempunyai sesiapa untuk berbual-bual mengenai hati maka segalanya saya pendamkan dalam-dalam. Ya, saya ada ramai kawan namun ada keterbatasan yang tidak mampu saya langkaui. Saya sering mengingatkan kawan-kawan saya sudah sedia terbeban dengan masalah masing-masing yang sedia ada. Pada satu tahap saya hendak menangis namun saya tidak mampu. Dan jika tidak hairanlah jika ketika menonton TV , jika lelucon yang tersiar biarpun tidaklah lucu saya akan ketawa sebesar-besarnya . Jika sedih saya menangis sepuas-puasnya. Semua dilakukan SENDIRI. Tahu kenapa saya berperangai sewel seperti ini ? Kerana masa itu saya dapat luahkan semua saki baki yang terpendam entah beberapa lama biarpun sedikit tanpa dikesan oleh sesiapapun terutama Mak yang sakit.

Meraon ? Satu aktiviti yang kalau boleh saya lakukan saya akan lakukan dengan sepenuh hati. Asal ia membahagiakan saya. Namun saya tak mampu meraon. Jika keluar saya sudah sediakan senarai yang saya hendak cari dan beli. Jadi itu bukan meraon namanya tetapi membeli keperluan. Semalam contohnya, saya mencari buku kerja untuk murid-murid saya tetapi hanya dapat menemui kelas Tahun 5 sahaja. Untuk Tahun 6 pula tiada yang sesuai dan terpaksalah menunggu buku tersebut tiba di kedai . Itupun dengan kepala yang berdenyut kesakitan. Kemudian saya membeli ubat mak dan lampin pakai buangnya. Hanya jenis TENA sahaja yang sesuai digunakannya dan jenis ini tiada di kedai yang biasa saya membeli dengan harga yang agak murah RM12.50 sepaket. Jadi terpaksalah mencari di tempat lain dengan doa yang tidak putus-putus moga ia ada. Alhamdulilah , saya menemuinya walau harganya RM12.90 sepaket. Jadi saya membeli untuk keperluan 3 minggu kerana saya bercadang 3 minggu lagi baru keluar ke bandar. Kemudian makanan untuk kudapan mak sebab dia selepas makan nasi suka makan makanan ringan seperti buah-buahan , manisan kering, roti yang lembut, puding dan sebagainya. Segalanya untuk dia.

Saya mengaku saya cemburu bila membaca status kawan-kawan saya di facebook. Ada yang merancang hendak main bowling, pergi spa, makan pizza, BBQ , dan sebagainya beramai-ramai bersama kumpulan kawan-kawan. Saya jauh dan tidak dapat ikut serta. Jadi Facebook ini tidak bagus....buat saya makan hati sahaja. Maka saya ambil keputusan saya hendak mengurangkan facebook ini. Biarlah saya tidak tahu apa orang lain buat agar saya tidak terasa terlalu down. Saya tak mahu berfikiran , untungnya orang lain...aku ???? Nak shopping pun berebut hendak balik teringatkan mak . Sebabnya , jika mak ditinggalkan dia terpaksa menghangat sendiri bubur nasinya dan entah apa-apa yang dia lakukan mungkin melelahkannya sendiri. Apa lagi dia tidak kenal ubat sendiri termasuk kakak saya terkadang blur dengan ubat emak. Jika begini bagaimana hendak meninggalkannya nanti semasa Pesta Buku ?

Andai mempunyai perasaan cemburu dan sedih ini salah, ampunkan saya kawan-kawan. Namun saya tahu kawan-kawan saya ini terkadang tidak sayang saya pun....ya lah saya ni jauh. Saya saja yang sayang teramat-amat.

Dugaan 2011

1

Posted by Leeza | Posted in

Sudah lama saya tidak mengupdate blog. Bukannya malas tetapi masa dan keadaan tidak mengizinkan. Terlalu banyak dugaan yang mendatang menjelang awal 2011 namun kesabaran tetap saya pertahankan.

Mak saya seperti biasa terkadang ok dan terkadang tidak. Keadaan kesihatannya yang tidak menentu menyebabkan saya amat sibuk. Kasihan saya melihat dia mengaduh kesakitan. Bila sekolah dibuka saya amat risau dengan dia yang akan ditinggalkan semasa saya bekerja. Kakak sulung saya pula terpaksa menjaga cucu yang bersekolah. Syukur alhamdulilah, Allah perkenankan doa saya, permudahkan niat saya. Akhirnya saya mendapat seorang pembantu yang bekerja dari jam 7 pagi hingga 1250 untuk menemani dan menjaga mak saya. Barulah jiwa saya tenang bekerja.

Kemudian tanpa saya duga saya sebenarnya telah mengabaikan kesihatan diri. Saya lupa diri saya semakin berusia dan antibodi semakin lemah. Maka dengan ditemani seorang kawan saya menjejaki kembali klinik pakar membuat pemeriksaan. Sakitnya tak terkata....dan hati hancur luluh menyedari hakikat diri yang sudah tertakdir sebegini. Namun saya takkan mengalah semudah ini....biarpun terpaksa menggunakan alat sokongan . Selagi hayat masih ada saya akan tetap teruskan perjuangan mendidik anak bangsa kita.

Di sekolah saya tumpukan sepenuhnya pada kerja. Mungkin dunia kerjaya ini sahaja yang dapat memberi saya ketenangan dan kegembiraan. Namun saya sedar , seakan keadaan sudah tidak sama lagi. Bila kawan-kawan bergurau dengan niat hendak mengusik saya, saya sudah tidak ambil peduli....mungkinkah mereka perasan keadaan ini ? Bila mereka gelak dan ketawa, saya seakan merasakan mereka ketawa mengejek dan ini membuat saya berjauh hati dalam-dalam. Saya bersabar sahaja dan langsung tidak membalas kata-kata gurauan yang terkadang sangat melukakan hati.

Keletihan masih saya rasai setiap hari. Seawal 4 pagi saya bangun untuk memasak makanan lunch , kemudian mengurus Luqman ke sekolah dan kemudian memastikan mak makan pagi dan makan ubat.....hingga larut malam melelapkan mata. Apa lagi bila tidur yang seperti tidur-tidur ayam membuatkan saya sangat-sangat letih. Bersabar sahajalah dengan keadaan ini kerana saya sedar hanya saya yang ada untuk menjaga mak. Bohonglah jika saya tidak merasa moody kerana saya hanya manusia yang lemah. Apa-apapun juga, doakanlah saya ketabahan ini......ketabahan yang tidak akan goyah.

Ahad : Just Stay At Home

0

Posted by Leeza | Posted in

Hari ini mak saya nampak lebih sihat dari hari-hari yang sudah. Cuma saya rasa pening-pening sedikit. Sejak akhir-akhir ini kesihatan diri saya tidak begitu baik. Setelah berjumpa doktor pakar, semangat saya seakan merudum . Sejujurnya tidak ingin melalui kembali detik-detik bergantung dengan pil-pil dan berulang-alik ke doktor pakar setiap minggu. Namun apa harus saya lakukan, apa pilihan yang saya ada? Sekarangpun saya sesekali culas memakan ubat yang diberikan oleh doktor. Juga saya tidak mahu memberatkan otak saya untuk memikirkan langkah-langkah yang harus diambil seterusnya. Ya...keputusan itu di tangan saya sendiri.

Hari ahad hari yang santai. Saya mulakan sarapan pagi dengan bihun tomyam untuk menghabiskan saki baki tomyam semalam yang ketiadaan ayamnya. Alhamdulilah kerana masih diberi kesempatan oleh ALLAH untuk hidup sihat dan menikmati juadah seperti ini. Saya perlukan ketenangan untuk memikirkan langkah-langkah seterusnya. Saya tahu ia menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Banyak sebenarnya. Namun saya belum bersedia untuk berkongsi galau hati ini dengan ahli keluarga saya. Keputusan di tangan saya......dan saya harus mengalih hala tuju tugas ini. Ah...lupakan sahaja. Bukankah hari ini hari Ahad , hari untuk kita bersantai dan bergembira. Maka, biarlah saya tenggelam dengan novel terbaru dari NB kara ini...novel Nora Ismail. Saya berharap setelah membacanya saya dapat kembalikan senyuman dalam diri saya sekarang....semoga dapat kembalikan semangat yang kian merudum ini.

Geram

0

Posted by Leeza | Posted in

Dah lama rasanya GERAM
bukan takde otak, ada ,malah bijak dan sempurna
Bukan tak pernah meluah rasa GERAM
pernah tetapi hujungnya kena GERAM balik

Bukan salah ibu mengandung
manusia ni hatinya ada HITAM juga
darah mengalir sama warna
lahir dari rahim yang sama

Bukan aku tak tahu
besar ganjarannya
apa aku kisah
itu bahagian aku

Aku cuba meraung
tapi aku takut orang kampung kata aku GILA
akhirnya GERAM sorang-sorang

betullah pisang setandan
masaknya tak sama
Tapi kan
aku tahu Allah sayangkan aku
Banyak dia bagi
Dia bantu aku
Masa aku tak boleh keluar
dan duit aku habis
tiba-tiba ada rezeki

Aku tak pernah meminta
Dari yang kaya raya
terpulanglah kalau kau nak bagi
sebab itu tanggungjawab kau
Tapi jangan mengungkit
kemudian hari

Pun aku sedar kau jijik
menjejak rumah buruk aku
sekadar jaga hati kau munculkan muka
ikhlaskah?

GERAM nya aku
esok-esok
janganlah rasa GERAM ini jadi DENDAM
subhanallah
Bantulah aku YA ALLAH

Coretan Sabtu

1

Posted by Leeza | Posted in


Sabtu yang santai hari ini ,saya tidak ke mana-mana . Kelmarin sepulang dari sekolah saya singgah ke rumah sekejap untuk menyimpan beg-beg sekolah dan menunggu Luqman pulang dari sekolah. Kami berdua terus bergegas ke Asajaya untuk membeli barang-barang dapur dan stok makanan basah. Alhamdulilah , saya membeli udang merah (payak) rm6 sekilo, anak ikan bawal (kilat) rm5 sekilo, ikan kembong besar sekilo, ikan tongkol dua ekor , dan ayam. Saya membeli banyak makanan ini memikirkan bahawa hari Ahad ini saya membawa Luqman ke Kuching untuk membeli baju-baju rayanya dan Isnin pula saya bertugas seharian membawa beberapa orang murid Tahun 6 ke Program Motivasi anjuran Majlis Guru Besar di Dewan Suarah, Kota Samarahan.

Seharian pagi ini saya sibuk mengemas dapur termasuk membersihkan stok makanan saya agar petang Selasa nanti mudah saya memasak lauk-lauk untuk kenduri awal Ramadhan . Biasanya kami setiap rumah akan menghantar hidangan bertalam untuk dua orang ke surau. Tugas membawa 'rintang'/ moreh ini tentulah anak bujang saya ini, Luqman.

Jika berada di rumah, bukannya boleh duduk diam sahaja. Namanya perempuan , mesti banyak kerja rumah yang hendak dilakukan. Berlainan dengan Luqman sebab dia budak lelaki. Usia sudah 13 tahun tetapi masih kebudak-budakan. Seharian ini dia dan kawan-kawannya sibuk membuat layang-layang. Gambar di atas kawasan kerja dialah di koridor depan rumah. Layang-layang itu dia beli di Asajaya dengan harga rm1.20 sahaja . Tetapi layang-layang ini agak berat dan tidak sesuai dimainkan. Dia menggunakan plastik dan lidi penyapu membuat layang-layang tersebut. Jenuh melihat dia membuang plastik sampah saya, maka saya sembunyikan plastik tersebut. Plastik itu saya beli rm8 sepaket.

Sabtu inilah masa untuk makan sedap-sedap. Bagaimanapun sekarang makan udang dan ikan rebus sahaja sudah menyelerakan. Syaratnya mesti ada sambal. Hari ini saya membuat sambal goreng ikan taai salai. Ikan ini hanya didapati dari Lawas dan Limbang.

Pun begitu kegiatan berfacebook tak pernah dilupakan untuk menjenguk aktiviti kawan-kawan. Ramadhan akan menjelang minggu depan, rasa tidak sabar menunggunya. Semoga dipermudahkan Allah dalam menjalani ibadah puasa ini....ya rabbbal alaamiin.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat berpuasa dan bertarawikh untuk semua sahabat dan saudara saya. Rajin-rajinlah memasak untuk jamuan keluarga semasa bersahur dan berbuka.

Mood Merudum

2

Posted by Leeza | Posted in

Minggu ini merupakan minggu yang kacau bilau dalam hidup saya. Saya tak sangka keletihan teramat menyebabkan mood saya merudum jatuh....dan seterusnya sintom-sintom demam mula menyinggah memberi pertanda. Biarpun demikian tidak saya layan rasa lesu ini kerana saya harus kuat untuk melaksanakan tugas rutin di rumah saya, memasak, mengemas, mencuci dan memastikan makan minum serta ubatan emak sentiasa terjaga rapi.

Kaki pula sakit seperti tak larat hendak menekan klaj kereta. Kalau tak driving, habis siapa nak hantar ke sekolah? Agaknya berat badan bertambah maka setiap pagi menimbang berat di meja da masa balik pun sama juga. Kelesuan badan tidak terkata. Mata pula asyik berat setiap pagi. Tambahan pula hujan pagi menambahkan kedinginan tubuh sehingga terpaksa menggunakan jaket sukan dan jaket sejuk. Kemudian berdesing telinga mendengar rakan sekerja komen pasal jaket sukan berhood yang tidak sesuai digunakan. Saya suka jaket berhood ini sebab boleh merentasi hujan renyai-renyai semasa pergi ke kelas di bangunan sebelah. Hanya guna sahaja hood jaket tersebut untuk mengelakkan basah kuyup. Saya tahu saya tak sihat sebab itulah badan lesu, pinggang sakit dan mata asyik mengantuk sahaja.

Kesibukan minggu ini dengan PEKA UPSR untuk Sains dan kemudian menyemak kertas Sains Pra UPSR menguras habis tenaga dan minda. Kemudian latihan latih tubi Sains UPSR , tambah menyedihkan bila murid-murid dengan sambil lewa sahaja untuk berusaha malahan tidak datang kelas tambahan makin memburukkan semangat dan jiwa. Jika disenaraikan semua kerja saya tidak pernah ada kesudahannya. Jika sebegini teruknya , terasa menyesal memilih opsyen pencen umur 58 tahun. Masih ada 16 tahun untuk bergerak ke hadapan.

Bagaimana dengan hobi yang merupakan terapi minda dan terapi jiwa? Saya sudah membahagi dua hobi ini iaitu menonton TV dan membaca novel. Sejujurnya harus saya akui bahawa saya lambat menghabiskan sesebuah novel kerana jalan cerita yang hambar dan biasa-biasa sahaja. Berlainan dengan novel-novel NB yang saya akan habiskan dengan naluri teruja ingin tahu kesudahannya. Namun apakan daya saya, NB membataskan novelnya diterbitkan dalam beberapa bulan. Tunggu sahajalah novelnya dikeluarkan tidak lama lagi.

Sekarang saya mengamalkan rutin yang baru. Di sekolah adalah sepenuhnya tumpuan untuk kerja-kerja saya. Terkadang jam 7.00 pagi hingga 1250 tidak mencukupi untuk menyiapkan tugasan. Mata sudah semakin rabun menyebabkan cepat penat ketika menyemak hasil kerja murid-murid. Di rumah pula saya menumpukan kepada kerja-kerja di rumah. Mak saya ,kalau saya tidak masak dia tidak berselera makan. Dia sudah boleh masak sendiri tetapi saya pastikan makanannya telah siap saya masakkan sebelum turun ke sekolah.

Bercuti...berjalan ....dan bersantai, entah bilalah saya dapat menikmatinya. Mungkin cuti hujung tahun nanti agaknya.....insyaAllah.

FACEBOOK : Menghulur Salam Di Alam Maya

0

Posted by Leeza | Posted in


"Usu, masuk facebook !" Acap kali anak-anak saudara menyuruh saya menyertai Facebook. Namun saya tidak berminat. Pernah saya membuka akaun Friendster tetapi tidak aktif. Begitu juga dengan Tagged . Saya suka melayan blog peribadi saya, belajar sedikit demi sedikit bagaimana berblogging.

"Za, kau takde facebook Za?" itu soalan yang ajukan oleh Kak NB suatu hari. "Apa benda facebook ni?" hahaha...canggih jawapan saya kepadanya. Dia gelak guling-guling. Bingung si Liza ni. Dia pun seperti biasa memberi ceramah percumanya ,apakah facebook itu.

Maka, bermulalah saya merangkak-rangkak membuka akaun facebook. Siap tanya dengan cara lurus nak pakai nama samaran ke atau nama sebenar. Kalau nak cari kawan lama, gunalah nama sebenar.

Jeng, jeng, jeng....ikan gonjeng . Facebook memainkan peranannya sekelip mata. Tetiba dunia saya dibuka seluasnya dan setiap yang menyapa adalah kawan-kawan lama. Tak cukup itu, si mak takde facebook, si anak digunakan untuk menyapa. Gembira teramat sangat sebab semua yang pernah hadir dalam hidup saya muncul kembali. Rasanya semua kawan-kawan saya. Adakah musuh saya masuk dalam kategori friends ? Rasanya tak ada sebab orang yang tidak sukakan saya akan melancarkan perang sebelum sempat saya hulurkan bunga. Apa susahkan...kalau tak sudi saya pun tak rugi. Jika kau sudi menyentuh hatiku aku kan selalu dekat denganmu. Suka lagu ni....lagu lama bukan lagu indie. ( Afi dan Nana...aunty akan belajar dengar lagu indie ni )

Antara SK HJ Kelali ,Semera sehingga USM,Penang...saya tidak melupakan SMK TUN ABG HJ OPENG sebab dunia Openg sungguh istimewa. Cikgu Ayub, Cikgu Yamin, Cikgu Masduki, Cikgu Mahmud, Cikgu Julaihi, Cikgu Rosini, Cikgu Jasmin , Madam Camelia, Cikgu Sossamah dan ramai lagi begitu dekat dengan hidup saya. Sayangnya tapak Openg lama telah tiada untuk kita selusuri jalan kenangan.

Siapakah jejaka di atas ini ? Dia adalah antara anak kecil yang selalu saya sayang dan saya ingati. Banyak kisah sebenarnya menyingkap kelahiran dia, dan saya adalah orang yang paling gembira bila papanya mengkhabarkan kelahiran dia sewaktu saya sedang menunggu keputusan STPM. Percaya atau tidak, saya masih menyimpan gambar-gambarnya semasa kecil. Bukan tidak pernah saya melayari maklumat tentangnya di internet, pernah namun saya tidak percaya itu adalah dia, anak saudara saya yang pendiam dan pemalu. Bumi bukankah berputar pada paksinya? 360 darjah dia berubah. Ketika hari ini saya menerima sms papanya tentang dia, saya terkejut amat sangat. Dalam hati berkata : Afi jadi pelakon ? Termenung sejenak, siapa yang dia warisi? Papa ke mamanya? Sesungguhnya saya banyak kehilangan peluang untuk melihat Afi membesar ,begitu juga dengan adik-adiknya. Dulu saya rajin tulis surat, bila dah meningkat umur malas pula saya menulis. Apa lagi penglibatan dia dalam dunia lakonan. Sekarang dah tahu, saya mengintai peluang untuk menyaksikan lakonannya. Dan seperti review novel yang saya baca , saya juga akan buat review drama lakonannya. Hanya dia....sebab dia anak saudara kesayangan saya. Saya mendoakan dia tidak larut seperti garam di lautan . Kalau boleh mahukan dia seperti ikan, isinya lemak manis biarpun berenang dalam lautan garam. Doa saya, Afi berjaya dalam hidup, tidak mengabaikan pelajarannya, bekerjaya profesyional dan seni ini biarlah sebagai sambilan sahaja. Semoga Afi tidak mengabaikan solatnya.....begitu juga dengan adik-adiknya , Nana dan Ami.

Inilah facebook...menemukan kembali yang terpisah jauh, mentautkan semula hati yang terlerai, menghimpunkan persahabatan ukhuwah .Pergunakan ia sebaiknya...jadikan medannya penyebar ilmu dan tazkirah . Saya terima setiap persahabatan lama dan baru yang dihulurkan....cuma bekas2 itu tidaklah diterima....tak mahu memercikkan kembali bara yang telah padam. Buka kamus baru edisi 2010..hahaha.

Sibuk Sangatkah?

0

Posted by Leeza | Posted in

Sudah lama saya menyepikan diri dari menulis di blog ini. Bukannya mengembara ke manapun hanya duduk di daerah ini sahaja. Kalau diikutkan hati, seribu perasaan ingin diluahkan dalam blog ini namun sejak saya mengenal diri , sebahagiannya harus disimpan menjadi rahsia peribadi.

Bermula minggu yang melukakan hati...hari-hari terasa hidup di atas bara api...panas dan asyik kata-kata yang pedas keluar dari bibir. Namun kejadian ini, membuat saya bermuhasabah diri tentang rahmat di sebalik semua dugaan ini. Jangan pernah berhenti berharap kerana ia membangkitkan rasa semangat untuk terus berjuang. Bukankah dunia pendidikan ini telah dipilih sebagai jalan hidup. HIJRAH.....sudah tiba masanya untuk mengorak langkah ke dunia baru yang lebih mencabar. Jika tidak sekarang ,sampai bila-bilapun takkan berubah sedangkan hati sudah dicemar dengan rasa kecewa. Bersabarlah hati kerana rezeki untukmu sentiasa ada.

Jika berduka pandanglah wajah-wajah mulus dan tulus milik anak-anak ini. Dan ternyata anak-anak didik saya juga yang melenyapkan rasa kecewa dan duka itu. Saya kembali tertawa dan nikmati keseronokan bersama mereka. Semangat mendidik kembali mencanak dan berkobar-kobar. Umpama hujan lebat yang turun tanpa hentinya sebegitu jugalah idea dan teknik-teknik mengajar....segalanya perfect dan menyeronokkan. Target pembelajaran harian mencapai had ke maksimumnya ....tanpa diduga , harapan yang malap di tahun 6 menjadi cerah tiba-tiba. Anak-anak itu daripada 25% lulus Sains melonjak kepada 72%, kemudian 84% dan yang terakhirnya 94%....tolak dua murid yang buta huruf : Hasiman dan Firdaus.Itupun mereka boleh dapat D. Senakal-nakal Iziary dan Nazreen, mereka kembali menyejukkan hati. Saya kembali berazam untuk mengekalkan kecemerlangan sekolah ini seperti tahun lepas. Mungkinkah tahun ini merupakan tahun terakhir saya di sini? HIJRAH....itu yang sering berlegar-legar dalam kepala saya.

Setelah sekian lama sihat walafiat, saya mendapat demam yang berlarutan dengan batuk beberapa minggu. SUDAH TUA...antibodi badanpun lemah. Inilah dugaan ALLAH. Bagaimana penat dan sakitnya kepala, saya tetap teruskan hari-hari mengajar. Tak ingin memanjakan diri dan meminta cuti. Cuma kebiasaan membawa sekotak tisu dan sebotol air mineral ke hulu hilir seakan menjadi fenomena yang biasa. Dengan anak-anak saya bersabar sangat-sangat tetapi menjadi lebih sensitif dengan staf sekerja. Baru-baru ini saya teringin hendak makan sebiji epal, saya mengarahkan murid saya meminta dari guru RMT kerana masa itu saya sibuk dengan data program nilam yang perlu dikemaskinikan. Malangnya cikgu itu bergurau salah tempat...diberinya saya sebiji epal bantut yang kecut dan buruk. Saya terasa sangat sedih dan kecil hati sungguh-sungguh. Saya bawa balik ke rumah, dan letak di atas meja. Ketika menjamah makan tengahari, tetiba saya menangis melihat epal bantut itu. Hina sangatkah saya sehingga ketika selera ingin makan epal diberikan epal buruk? Namun sejak itu saya sudah tidak tersenyum lagi dengan guru tersebut...hilang hormat saya kepadanya. Dalam hati berkata, patutlah hidupnya tak pernah senang-lenang...suka mempersendakan orang. Saya berighstifar....sejahat itu saya membuat 'sumpahan' kepadanya hanya kerana sebiji epal. Begitulah sensitifnya saya saat kesibukan dan kesihatan yang tidak menentu.

Hujung minggu ini saya akan bertolak ke Kuala Lumpur atas urusan kerja. Saya berdoa Allah permudahkan segalanya kerana saya tidak mahu berleretan di kemudian hari. Kemudian minggu depan keluarga kesayangan saya akan datang ke Sarawak....saya menghitung hari ke saat itu. Rindunya saya pada si Teta....

Hati Terpilu

0

Posted by Leeza | Posted in

Pesta Buku Antarabangsa KL 2010 telahpun tamat semalam. Biarpun saya hanya sempat menghadirinya selama dua hari namun saya dapat merasai bagaimana sebuah pesta buku berlangsung. Bagi yang baru pertama kali ke pesta buku seperti saya ini bagai rusa masuk kampung lagaknya. Masa itu dalam hati berkata : Kalaulah ada Kak Noor kan best....hehehe tapi segan pula nak call dia. Cuma kasihan juga dengan booth-booth islamik di seberang sungai yang lengang. Takkan orang jual Al Quran nak menjerit-jerit : Al Quran ! Al Quran!. Pihak penganjur perlu usahakan lagi cara pengaturan booth-booth tersebut.

Setiap suka pasti ada dukanya. Jangan terlalu suka ketawa kerana esok-esok pasti menangis. Sekembalinya ke Sarawak, entah bagaimana tercetus sesuatu yang kurang menyenangkan .Perkara ini kecil sebenarnya tetapi pihak kedua sengaja memanjangkan isu. Saya terus mengambil tindakan mendiamkan diri sahaja kerana ia lebih baik.

Apapun juga , hidup kena teruskan. Ke mana hala tuju kena tentukan juga. Saya merasakan sesuatu yang tidak ceria lagi.....namun wajah anak-anak itu mengikat hati dan perasaan saya. Setahun dua mungkin dapat bertahan kemudian ke mana lagi kaki ini hendak melangkah? Saya perlukan suasana baru, cabaran yang baru dan ......hari ini saya mengambil CRK (Cuti Rehat Khas) untuk melepak bersama Layang-layang Bertali Kaca dan mengisi borang-borang kenaikan ke DG44.

Bila Komputer Sakit

4

Posted by Leeza | Posted in

Dah lama saya tak ada kan? Seminggu dah laptop saya rosak. Masalahnya : Display flickering. Skrin rosak. Nasib baik masih dalam tempoh warranty. Laptop saya seperti di ataslah, saya beli sama dengan abang saya si Guru Besar . Dia siap tanya asal latop saya cepat rosak. Saya diam je sebab saya banyak habiskan masa dengan laptop ini untuk buat kerja-kerja saya. Sabtu lepas saya hantar ke kedai. Hari-hari seterusnya saya gelisah. Banyak kerja saya tertinggal dalam laptop itu yang saya lupa save dalam pendrive. Kemudian saya tak dapat online. uwaaaaaaa.

Isninnya, saya pinjam laptop sekolah untuk seminggu. Tujuannya nak buat kerja. Sayangnya laptop ini , 'Si Panjang' dah block dengan kod rahsianya. Saya tak boleh akses internet. Itu gunanya 'Si Panjang', memblock kemudahan harta kerajaan. Makmal komputer di sekolah saya ,takde guru nak guna internetnya. Kalau adapun, saya lah yang guna baru-baru ini untuk pengajaran sains saya. Itupun guna LCD, Projektor dan pendrive. Alhamdulilah, baik pula moodnya bantu saya buat persediaan agar semua alat itu siap digunapakai. Agaknya dia serik kena marah saya masa mesyuarat yang lepas.

Laptop sekolah ini beratnya, sampai senget bahu saya. Hari-hari kena usung ke sekolah. Rupa-rupanya dalam beg , ada 3 buah buku manual. Patutlah berat. Beg dokumen saya ,telah saya tak pakai sebab berat. Saya tengah cari beg yang ringan....tapi masih belum jumpa. Madam komplen saya bawa banyak barang ke sekolah. Mana tak banyak sebab saya bawa balik buku-buku latihan murid-murid saya. Ye lah, kan laptop takde, daripada saya bosan baik saya buat kerja manual. Saya rindu dengan blog saya, rindu dengan kawan-kawan, rindu dengan kak NB ( blognya) dan saya sedar hidup saya tak lengkap tanpa komputer.

Diam tak diam saya habiskan membaca 3 novel seminggu. Wah....ligat. Saya dah kenal gaya Noor Suraya menulis novelnya setelah selesai membaca BIRU UNGU CINTA. Pun juga NB dengan RANTING CINTA SI PLATO, dia punya cirinya tersendiri. Apa-apapun NB style dah lama saya suka ,dah dekat di hati....sejak saya ligat mencari koleksi novel lamanya dulu , novel terbitan creative. Dah lama saya tak menulis blog, saya ketandusan idea. Apa-apapun, kalau pasal novel, laju je idea saya bercerita......sayangnya ada yang tak suka.

Hampir saya membeli laptop yang baru. Minggu lepas saya dah terbayangkan netbook warna merah....harga rm1299. Kiranya minggu ini saya nak beli , tup tup tup, ALLAH sayangkan saya, khamis petang budak kedai call beritahu laptop saya dah siap dibaiki. Mereka gantikan skrin yang baru. Alhamdulilah.......Terima kasih kak NB , katanya kalau rumah kami dekat, dia nak pinjamkan laptop pink si Teta. hahahaha.....terima kasihlah kak....Za bukannya jenis suka pakai barangan orang, takut rosak pula . Harta kerajaan inipun, lambat je saya guna kerana memang tak selesa pakai bukan milik sendiri. Agaknya saya masih simpan kata-kata arwah Pak Cik Zailani, ayah guru saya : You should use your own things, buy it and make it your own property. Never borrow from others....Masa itu saya masih bersekolah ,manalah ada duit sendiri. Keluarga saya miskin tak berharta, arwah marahkan saya kerana anaknya guru saya pinjamkan satu buku rekaan corak 'crosstich' ,saya cuma nak guna sebagai contoh untuk mereka sendiri corak saya. Hanya sehari saya pinjam, hanya sekali itu....ia mengubah terus prinsip saya. Namun kenapa ada orang yang tak faham-faham tentang 'buku'? Kalau dah minat membaca novel, janganlah pinjam. Pergilah beli sendiri, buat koleksi sendiri. Kalau tak suka ,boleh jual sebagai buku terpakai. Dan kalau jual buku terpakai, jangan mainkan orang yang berminat nak beli buku tersebut....mungkin orang tersebut nak buat koleksi. Kalau tak kerana minat, baik cari buku baru yang lagi cantik dan kemas. Geram saya dengan penjual buku terpakai yang suka main-main sebegini.....

Apa yang saya merepek ini.....hahaha, bacalah isi hati dari jiwa yang bercelaru. Bila komputerku sakit, jiwa saya juga kekosongan. Ye lah, komputer itukan boyfriend saya sekarang....

Berhati-hati dengan RIDSECT

1

Posted by Leeza | Posted in


Sejak CHIKUGUNYA dan DENGGI bermaharajalela, Ridsect selalu menjadi benda keperluan di rumah saya. Saya lebih suka guna Ridsect daripada Sheltox sebab ia kurang berkesan. Tapi entah kerajaan nyamuk terutama nyamuk Aedes yang dianggap nyamuk ELITE , agaknya sudah membuat alat khas kalis spray aerosol ini, maka susah nak jumpa bangkai-bangkai nyamuk bergelimpangan selepas dispray. Saya tetap jadikan ia simpanan tetap di rumah saya sebab selain nyamuk, semut , lipan , penyengat ( sejak arwah kakak saya mati disengat 'ramang', saya dah lancarkan perang kepada mereka ini) hatta lipan rajin sangat nak ajak saya ber'dating'. Hahaha...baru semalam si lipan menjenguk bilik tidur saya....terer ia memanjat rumah saya yang bertingkat ini.

Semalam saya terkejut apabila diberitahu tentang seorang sahabat yang saya anggap 'abang' pasal nama ayahnya sama dengan nama ayah saya....agaknya saya ketinggalan berita. Dua minggu lepas semasa 'black out' , dia hendak membuang tin ridsect ini ke dalam tong sampah. Dia membawa lilin sebelah tangan, dan tin ridsect lagi sebelah tangan. Di tengah jalan, dia dihalang oleh anaknya meminta tolong dia membuka gula-gula. Jadi dia kepitlah ridsect di celah ketiak dan lilin di tangan kiri. Entah bagaimana, tiba-tiba tin tersebut meletup dan api menjurus ke arah mukanya. Dia sempat mengelakkan anaknya daripada terkena api tersebut. Jadi, terbakarlah muka, tangan, bahu dan ketiaknya. Dua minggu dirawat di hospital. Kesian dia. Sudahlah sebelum kejadian tersebut dia terlibat dengan kemalangan jalan raya semasa berebut menghadiri peperiksaan OUM nya. Semoga abang J semakin sembuh.....

Saya teringat mak saya. Saya teringat yang dia rajin mengumpul tin-tin ridsect ini. Kononnya nak jual kepada pemborong besi buruk. Harganya rm0.20 untuk sekilo. Mak saya dalam usia emasnya , masih suka mencari duit biarpun ia tidak seberapa. Balik sahaja saya ceritakan kepada Luqman dan mak saya tentang RIDSECT ini. Saya pula terus membuang Ridsect di tempat pembuangan sampah Asajaya. Jauh saya buang sampah...hehehe. Takkan saya nak buang ke dalam sungai pula....kan saya mengajar anak-anak murid saya : CINTAI SUNGAI KITA. Sebab di kampung saya tiada tempat pembuangan sampah....semua buang sampah ke dalam sungai.

Jadi berhati-hatilah dengan benda-benda yang boleh terbakar seperti RIDSECT ini. Bukan sahaja ia boleh meletup tetapi juga bahaya untuk anak-anak kecil. Elakkan trajedi dengan berhati-hati.