BAJU MELAYU HIJAU SERINDIT oleh Syud

Posted by Leeza | Posted in

Novel ini saya beli pada tahun 2010 tetapi baru saya baca beberapa hari lepas. Saya sekarang sedang giat menghabiskan stok buku saya yang banyak. Mana tidaknya setiap kali ke kedai buku saya pasti memborong buku. Begitu juga bila berkesempatan ke KL.

Saya  menggemari novel santai ini. Gelihati dengan cerita yang disampaikan.Ringan dan gaya bahasa yang ringkas . Apa yang saya suka ialah penulis memaparkan kehidupan hero Firas dan heroin Wardah yang mempunyai latar belakang keluarga yang baik-baik dan mengamalkan kehidupan beragama. Benarlah bahawa anak-anak yang lahir dalam kehidupan keluarga yang terurus dan kuat pegangan agamanya pasti terjaga kelakuan dan sopan santunnya.

Wardah yang tersepit dengan kehendak mamanya menyebabkan dia meminta tolong daripada Firas a.k.a Pacai. Daripada pertemuan yang kerap kali terjadi menyebabkan Firas jatuh hati kepada Wardah. Begitu juga Wardah yang lambat menyedari perasaannya sehinggalah dia terlihat Firas duduk dengan seorang gadis cantik di sebuah restoran. Firas yang nakal dan selalu tidak serius telah menempah seutas rantai untuk diberikan kepada Wardah jika dia menyambut hasrat hatinya. Wardah pula beranggapan bahawa Firas membeli rantai untuk seseorang yang istimewa tanpa menyedari bahawa rantai itu adalah untuknya.

Entah bagaimana bermulanya pergaduhan antara keduanya sehingga mereka berpisah untuk sementara waktu. Sayangnya Wardah menganggap Firas mempermainkannya pada saat dia meluahkan isi hatinya. Namun kejadian kemalangan jalan raya yang teruk yang melibatkan sebuah kereta hitam seakan kereta kepunyaan Firas menyebabkan Wardah sangat menyesali tindakannya yang memarahi Firas. Pada hal pada saat itu Firas diserang demam denggi yang teruk sehingga dimasukkan ke hospital. Ini menyebabkan Wardah menangis kerana Firas tidak dapat dihubungi. Kalau dah jodoh tidak akan ke mana. Bagaimanapun, setelah berusaha, akhirnya Wardah dapat menghubungi Firas dan mengetahui bahawa lelaki itu dimasukkan ke hospital  daripada adiknya. Dan seterusnya, cinta mereka bertaut hingga ke jinjang pelamin.

Begitulah indahnya dugaan dalam percintaan pasangan Firas dan Wardah. Restu keluarga dan sokongan kawan-kawan memperlengkapkan hubungan kedua-duanya. Jadi dapatkan di pasaran novel yang mampu mencuit hati ini. Apa yang pasti saya teringat Intan MGM bila membaca novel ini, perwatakan Wardah yang snagat manis seperti manisnya Intan di hati saya setiap kali membaca statusnya di FB. Saya berdoa Intan dan semua gadis-gadis mendapat pasangan yang baik seperti Firas. Selamat membaca....

Comments (0)