Pengembaraan Luqman

Posted by Leeza | Posted in

Semalam saya berbaring di kerusi panjang di ruang tamu sambil membaca novel 'Percayalah' lantas tertidur. Saya terkejut daripada lena saya yang sepicing cuma, apabila terdengar riuh suara mak saya dan anak-anak buah saya ,Zizi dan Wan.
"Apa hal?" saya bertanya kepada keduanya.
"Usu, Luqman ikut Lintai ke laut guna perahu." Wan tanpa menyempat terus mengadu. Angin kepala saya dengan berita sebegini.
" Eh, Zizi, cepatlah cari dan suruh dia balik." Saya terus arahkan Zizi.
Saya langsung tidak terfikir apa yang digunanya untuk mencari,hanya berjalan kaki? Juga tidak bertanya sejak bila Luqman mengikut Lintai? Saya tidak mampu berfikir dengan lanjut. Saya melihat mak sudah menangis mengenangkan intan payungnya ini. Tidak lama kemudian , ayah dan mak tirinya pun balik dari mengambal (mencari lala bamboo) . Keduanya turut risau bila diberitahu tentang Luqman dan Ujang (adik tirinya yang berusia 11 tahun). Saya suruh si ayah mencari mereka menggunakan motorsikal. Si Zizi balik dengan kepenatan.
" Sorry Usu, tak dapat cari. Tak jumpa." Zizi mengadu dengan wajah yang merah dan berpeluh. Saya berasa kasihan dengannya.
"Tak apalah Zi, kita tunggu je lah dia balik."
Jam 4 petang, ayah Luqman pun balik dengan berita menyatakan yang Ujang dah balik dengan basikal. Dia balik dengan Amirul menggunakan basikal Yus. Bila keduanya sampai, saya terus ajukan soalan kepada keduanya tentang Luqman.
" Luqman ikut perahu. Dah larang dia jangan ikut, dia tak mahu."kata Ujang dengan wajah kepenatan. begitu juga dengan Amirul yang tidak berbaju, dan comot.
"Kenapa kamu berdua tipu nenek pagi tadi? Kenapa kamu langsung tidak makan dan minum terus menghilang diri?"Saya terus bertanya pada Ujang. Dia terus diam dan seterusnya dia menerima kemarahan emaknya.
"Kalau kau nak sangat ke laut, kau kerjalah cari ambal, mak duduk rumah sahaja." marah maknya.
Kakak saya pun bising. Mak sudah menangis. Kebetulan air baru pasang bererti Luqman dalam pelayaran balik. Dari kampung saya ke laut harus menggunakan sungai dan di muara sungai ada 'gate' tali air. Gate itu sudah acap kali mengorbankan nyawa kerana dipercayai ada buaya di lubuknya. Entah betul ataupun tidak. Bila saya naik ke atas saya dapati emak tengah bersiap-siap.
"Mak nak ke mana ni?" Saya ajukan soalan padanya.
"Aku nak cari Luqman," katanya tegas.
"Mak, janganlah. Mak sendiri jalan tak berdaya. Jangan risau. Ayahnya ada. Kita tunggu sekejap lagi, mesti Luqman sampai." Saya memujuknya.
"Mak, berdoalah mak...."
Tidak lama kemudian, terdengar suara kakak saya bising di rumahnya yang kebetulan di tepi sungai. Pasti Luqman dah sampai, hati saya memanjat rasa syukur. Alhamdulilah dia dah balik.
Ayahnya terus ke bahagian ulu kampung, ke rumah Lintai. Mengikut kakak, perahu yang diguna nampak uzur sekali. Mereka berempat di dalamnya dengan Boboi dan Yus. Seterusnya, Luqman dipukul ayahnya dengan ranting kayu, itupun dia melengahkan masa balik ke rumah. Saya tahu dia takut untuk balik kerana saya. Pukulan ayahnya tidak berkesan langsung, sehingga dua tiga kali ayah dan mak tirinya mengusul dia suruh balik. Saya sendiri langsung tiada rasa marah seperti mula-mula mendengar berita tadi. Kerisauan saya mengatasi segalanya. Saya berpesan dengan mak, " kalau mak marahkannya, marahlah. Suruh dia mandi bersih-bersih dan makan."
Saya tahu si nenek takkan marah melampau. Berbeza dengan saya kalau sudah marah, dan inilah yang paling Luqman takuti. Sejak dia melarikan diri dalam hujan ketika saya naik angin dulu, saya berhati-hati untuk memarahinya. Semalam lebih kurang jam 6 petang dia balik dengan mengunakan jalan belakang, merentasi semak dan parit belakang rumah. Dia terjenguk-jenguk juga takut saya muncul. Dia tahu jam 6 saya sudah berada di bilik bersedia untuk solat Maghrib. Faham sangat dia dengan rutin harian saya, dan saya sengaja tidak memunculkan diri depannya. Biarlah tenang dahulu baru saya nasihatkannya.
Hari ini dia tidak ke mana-mana. Saya sesekali menjenguk mereka berdua di rumah ayahnya. Kakak saya tidak berhenti marahkannya. Dia muncung dan merungut : "orang tua tu, asyik marahkan aku je..."
"Kau 'tingai'(nakal), tentulah wa kau marah.."Sahut saya. Dia terus diam.
" Ada Lintai bagi ikan dan udang?" Saya tanya mereka pagi ini.
Keduanya menggeleng kepala. " Hah..tengok, apa gunanya kamu ikut dia ?"
"Usu mampu bagi kamu berdua makan. Ayah dan mak kamu pun dapat bagi makan. Nenek kamu dah tua, jangan susahkan hati nenek kamu. " Saya jelaskan dengan ringkas.
"Lepas ni jangan ke mana-mana. Ini hukuman usu kerana kesalahan kamu semalam. Semalam usu tak pukul, kali ini jika main jauh-jauh lagi, usu cari kamu dan heret kamu balik. Jangan anggap usu cakap je...." Saya bagi amaran tegas.
Mereka berdua diam. Saya tahu Luqman faham kalau saya berkata tegas begini ertinya saya amat serius. Setakat ini saya belum keluarkan 'rotan sakti' saya , juga saya belum pernah memukulnya. Jadi hari ini dia hanya bermain guli. Itupun dia terpaksa mengorek guli-gulinya yang dibakar oleh neneknya dua hari lepas gara-gara takut dengan pemeriksaan pegawai kesihatan.
Saya tahu Luqman telah mengembara dan dia memperolehi pengalaman ke laut. Di laut dia dibawa dengan sebuah bot nelayan yang agak besar dan mengikut mereka menjala ikan dan udang. Katanya , pemilik bot itu adalah saudara sebelah nenek. Pasti orang kampung dan pemilik bot itu terkejut dan tertanya-tanya dengan kehadirannya. Apa lagi dia pergi dengan berpakaian tidur. Cuma saya tidak suka dengan caranya yang berbohong dan bertindak senekad ini. Saya tahu anak saudara saya ini memang berani berbanding dengan yang lain. Tempoh berpantang sunat dia boleh memancing dan menjerat burung kuak. Namun saya tahu kelemahannya dan seberani dia di luar rumah seperti abangnya yang bekerja sebagai askar, namun dia amat penakut bila berada di dalam rumah saya seorang diri......takut apa?? Tahu sahajalah....

Comments (1)

klu lah ikram pun seberani begitu, mau separuh mati saya balun agaknya. Berbeza ngan suami yg approachnya more pd psichology. membaca kisah luqman, boleh bygkan serba sedikit karektor ank sedara kak liza. may be a bit mencabar nak melayan kerenah luqman!!