Teluki Itu Untuk Aku oleh Nazawati Abd Manaf

Posted by Leeza | Posted in


Novel ini adalah hadiah perkenalan daripada Kak Noor Halijah , seorang peminat novel yang tegar dari Kuala Lumpur. Pertemuan kami semasa READ MALAYSIA 2009 di The Mines, membuat saya sangat mengkagumi beliau kerana dia memang istimewa . Bayangkan semasa kami berjalan-jalan meninjau novel-novel , dia memperkenalkan novel yang bagus dibaca. Dan kak Noor boleh jadi promoter novel yang berkaliber semasa pameran sebegini.

Siapa Nazawati ? Saya pun tak kenal siapa dia namun saya percaya pada kualiti novel jika jalan ceritanya bagus. Cuma cover novel ini tidak menyerlah pandangan....kena berikan sentuhan yang lebih menceriakan.

Teluki itu untuk aku mengisahkan cinta tiga segi yang membawa tragedi yang melukakan persahabatan. Cinta boleh menjadi penawar juga menjadi racun yang sangat berbisa sehingga memesongkan kewarasan pemikiran. Sepuluh tahun Seri Kurnia membawa diri ke UK dan akhirnya dia kembali ke Malaysia untuk berdepan dengan luka semalam yang belum sembuh sepenuhnya. Persahabatannya dengan Firdaus Ikram dan Tajul Ajmal sejak kecil lagi tercalar semasa usia belasan tahun akibat tragedi orang tua mereka. Ayah Firdaus dan Ibu Seri ketangkap basah oleh Seri pada suatu petang dan dia hampir menjadi mangsa ayah Firdaus yang ketika itu masih khayal. Paling menyakitkan ialah ketika ibunya sendiri sanggup membantu ayah Firdaus memperkosa dirinya. Namun ia gagal kerana ditemui oleh ayahnya Iskandar dan umi Firdaus. Seorang anak gadis yang berada dalam ketakutan kerana hampir diperkosa, kemudian pahitnya bila ibu membantu si perogol dan seterusnya dibelasah ayahnya sendiri dan dibuang keluarga. Kejadian ini menyebabkan umi Firdaus terus mati kerana serangan jantung. Firdaus yang memangku arwah uminya berikrar bahawa dia akan mendendami seluruh keluarga Seri.
Kepulangan Seri dibantu oleh sahabatnya Ajmal dan terus mendapat pekerjaan sebagai arkitek di Juta Bumi Holdings milik Tan Sri Kamarul. Kebetulan Seri merupakan arkitek yang berjaya di UK. Namun kepulangannya mengundang duka yang mendalam sebab tanpa diduga, Firdaus Ikram rupanya juga menjadi arkitek di Juta Bumi Holdings. Tan Sri Kamarul pula menggabungkan keduanya dalam beberapa projek mega sehingga mereka berdua acap kali bergaduh dan sebagai perempuan Seri banyak menitiskan airmata. Lelaki apa tahu tentang kelukaan hati perempuan yang dicap sebagai perempuan kotor dan murahan. Sehinggalah ketika mereka berdua menguruskan projek resort di Kota Bharu, entah angkara siapa menyebabkan mereka berdua tertangkap khalwat di sebuah chalet milik Tan Sri Kamarul. Saya menyangka Seri diperangkap oleh Zamil ,playboy dan juga anak kepada Tan Sri Kamarul namun sangkaan saya silap. Malam itu juga keduanya terpaksa berkahwin secara rahsia di sempadan Thailand demi menjaga reputasi syarikat yang berurusan dengan negeri yang tegas menjalankan undang-undang Islam.
Sebagai suami isteri mereka akhirnya tinggal sebumbung namun tidak sebilik. Perang masih dilancarkan malahan Firdaus menggunakan hak sebagai suami untuk menyekat pergerakan Seri. Walau berteman airmata, namun banyak peristiwa yang tanpa sedar mengikis rasa benci dan dendam antara keduanya sehingga cinta itu berkumandang di udara. Tanpa sedar, Zamil membuahkan rasa cemburu di hati Firdaus seperti Julia yang mencalarkan hati Seri. Daripada seorang sahabat, menjadi musuh dan akhirnya menjadi kekasih tanpa disedari masing-masing. Saya suka sebab rasa cinta tidak diluahkan dengan mudah namun dari perbuatan dapat ditafsirkan perasaan itu di hati masing-masing. Ketika Firdaus demam , Seri dengan penuh kasih dan sayang menjaga suaminya dengan baik. Begitu juga semasa Seri tercedera kaki di tapak projek, Firdaus menjaganya dengan baik . Mereka berdua menzahirkan rasa kasih melalui masakan dan nota di atas meja makan.
Tapi sayangnya, ada insan lain yang menyintai Seri menderita dan menjadi tidak waras. Ajmal, seorang sahabat kesayangan Seri dan Firdaus rupanya menderita sakit jiwa dalam menyintai Seri. Sukar saya huraikan tema ini namun penulis berjaya membuat saya berfikir tentang watak Ajmal. Kenapa dia menjadi 'sakit jiwa'? Dia berpelajaran , seorang lelaki yang lengkap pakejnya ,handsome, penyayang dan berada. Sepuluh tahun dia berada di sisi Seri memberi kekuatan kepada gadis ini ,namun kenapa dia mensiakan sepuluh tahun ini untuk memiliki Seri ? Semuanya terjawab setelah tragedi sepuluh tahun lalu terbongkar. Semuanya angkara Pak Mustafa ,ayah Ajmal yang menyintai ibu Seri . Dia memberi ibu Seri minuman dicampur pil khayal dan pil kuda ,namun minumannya diminum dengan tidak sengaja oleh Sulaiman ,ayah Firdaus. Itulah punca semuanya, dan kemungkinan rahsia ini sudah diketahui oleh Ajmal. Tragedi itu bukan hanya menghancur hidup Seri dan Firdaus tetapi juga jiwa Ajmal. Peristiwa khalwat di chalet Kota Bharu adalah rancangan Ajmal tetapi kuasa Allah, dia tautkan jodoh Seri dan Firdaus. Rasa gila Ajmal membuat dia mengutus surat ugutan kepada Seri. Namun saya tidak faham peranan watak Murad , pengawal keselamatan Juta Bumi Holdings dalam kemelut ini. Mungkin Nazawati ingin mengelirukan pembaca dengan membuat Murad nampak seperti suspek namun sehingga akhir, watak Murad dimatikan begitu sahaja.
Penghujung cerita ketika Ajmal bertindak hendak memperkosa Seri yang masih 'perawan', Firdaus muncul menyelamatkan isteri kesayangannya . Pada masa inilah terbongkar rahsia sepuluh tahun yang lalu. Siapa yang kata lelaki dan perempuan tidak boleh menjadi sahabat baik ? Bagi Seri, Ajmal adalah sahabat kesayangannya, sahabat yang dipercayai sehingga tiada wujud rasa cinta itu di hatinya. Namun sayangnya tidak di hati Ajmal. Dia seperti 'like father like son'. Jika ibu Seri menjadi wanita idaman Pak Mustafa, anaknya Seri pula menjadi idaman Ajmal. Keduanya sama-sama jahat, hipokrit dan berpura-pura. Dia mempunyai dua personaliti.
Kemaafan adalah satu keindahan dalam menikmati kebahagiaan. Walaupun telah banyak terluka Firdaus dan Seri tetap memaafkan Ajmal dan berazam merawat Ajmal hingga sembuh.....sebab rasa sayang terhadap sahabat. Saya terkilan kerana ibu Seri meninggal tanpa mengetahui cerita sebenar di sebalik tragedi 10 tahun tersebut.Lebih melukakan hati bila anak kesayangannya Seri masih tidak memaafkan ibunya.

Teluki itu untuk aku , bunga teluki ( carnation) adalah bunga kegemaran Seri Kurnia. Ia menjadi simbolik luahan rasa cinta Firdaus sebagai ganti kata 'i love u'. Ia mahal bila sukar dilafazkan dan pemilik rasa cinta ini sepatutnya rasa bangga kerana mendapat cinta di hati lelaki ego seperti Firdaus. Seperti kata Seri : ....demi cintanya, segalanya aku serahkan.

Berapa bintang saya nak berikan ? Tepat kata Kak Noor ,novel ini memang best. Thanks kak Noor . Saya puas hati sebab penulis ini bijak mengolah cerita walaupun kecacatannya tercatat pada watak Murad ( pengacau ) . 4 bintang untuk novel ini. Semoga Nazawati tetap terus berkarya. Tahniah dan semoga terus berjaya.

Comments (1)

Salam kak liza,

terima kasih utk email kak liza ttg review ni.
utk ulasan kak liza ttg TIUA penuh variasi sekali.
kalau diri saya sendiri agak sukar sukar utk menceritakan semula kisah TIUA dari A-Z,
tapi kak liza berjaya melakukannya.

utk kak liza saya sgt berterima kasih utk komen ini.
Insya Allah mana2 ada kekurangan dalam dalam penulisan saya, saya akan baikinya.

Nota dan komen: Rujuk pada surat arwah ibu Seri, ianya sesuatu yg mengesankan pada Seri.Akhirnya kemaafan diberikan untuk seorang ibu, juga buat arwah ayahnya.

Watak Murad? Haha..saya no komen. Mmg ianya watak 'pengacau'.Utk membuat kekeliruan sebenarnya. Tak lebih dari itu.

Watak Ajmal~ Saya sebenarnya 'admirer' dengan watak ini.Seorang kawan boleh di cari, tapi seorang sahabat setia sukar di cari ganti.Peristiwa tersebut dan perasaannya pada Seri cukup memakan jiwa.Sayang sekali saya 'terpaksa' buat watak Ajmal begitu.

Watak Seri dan Firdaus ~ Masa menulis sejujurnya saya sukar sekali untuk 'berada' dalam jiwa keduanya.Terutamanya watak Seri.Penceritaan ganti diri pertama bermakna saya sendiri perlu 'menjadi' Seri, betapa sukarnya nak capai perasaan itu.tapi itulah..setiap kali Seri rasa 'sakit' saya perlu berasa dalam situasi itu.begitu juga dalam situasi sedih, marah, luka..uawaa..tak terkata di sini bila saya harus mengambil semua perasaan itu!

~Saya cuma mengharapkan cerita ini meninggalkan kesan untuk semua...

~Nazawati~