Salam pembaca yang dikasihi.
Tak terasa memakan tahun juga saya tidak mengemaskini blog kesayangan saya ini. Bukannya apa, sibuk bukan satu alasan yang kukuh memandangkan saya aktif di facebook. Agaknya itu sebab saya berasa berat hati dengan blog kesayangan ini.
Tahun 2014, apakah anjakan paradigma yang hendak ditampilkan ? Apakah usaha yang hendak dilakukan untuk mencapai target dalam kerjaya, peribadi , dan dunia akhirat ? Segalanya perlu diteliti dengan penuh antap supaya tidak tertinggal dan tidak terlebih di satu pihak sahaja. Juga kesihatan diri dan keupayaan diri perlu diambil kira terlebih dahulu. Memanjakan diri juga perlu tetapi jangan sampai menternak lemak sehingga malas merajai hati dan setiap sendi.
Dunia buku, masih mendapat tempat utama dalam diri saya. Saya suka membaca dan sentiasa berhati-hati memilih bacaan saya. Sekarang terdapat lambakan novel-novel cabul yang temanya terlalu kebudakan . Kita dimomokkan dengan dunia perasaan yang melampau hingga ketepikan cara hidup halal dan sihat. Target saya, sebuah buku seminggu, alhamdulilah sejak akhir tahun 2013 telah dapat saya praktikkan. Sepanjang Januari 2014 saya telah membaca empat buah buku antaranya :
i. Bukan Kerana Aku Tak Cinta
ii. Aku Bukan Mitress
iii. Ulu Yam Ke Liverpool
iv. Bisik-bisik Gelora
Komen saya pasal buku-buku ini ? 2 Bintang sahaja sebab sedap dibaca tidak menusuk ke hati. Ada beberapa perkara tidak saya setujui dalam semua buku-buku ini. Sayapun dah malas hendak buat review sekarang ini.
Okay, rasanya setakat ini dulu celoteh saya ini . Semoga berjumpa lagi.....jaga diri ya.
Sayang semua.....
Novel setebal 435 mukasurat ini adalah cetakan semula daripada novel lama yang telah ditambahbaikkan. Isinya lebih tebal daripada yang lama. Bagi saya membaca karya kak Norhayati Berahim sejak dulu hingga sekarang seumpama meniti tangga kedewasaan. Jadi bila membaca karya lamanya ini , sudah pasti ada ketidakpuasan yang dirasai. Hanya satu alasan iaitu, kita sudah tua dan perlukan karya yang berat dan lebih berisi.
Saya gembira sebab bila novel ini ditambahbaikkan, ia diisi dengan ilmu pengetahuan dan nilai-nilai murni yang lebih padat. Nasihat dan pengajaran dalam novel ini membuka minda dan menjadi satu medium harapan kepada kaum yang satu ini. Semoga insan-insan yang lari dari personaliti originalnya kembali ke pangkal jalan sebelum terlambat. Tidak kiralah mereka yang lembut atau yang kasar. Ya Allah berikan mereka hidayah untuk bertaubat sebelum ajal maut menjemput. Seumpama doa Nicky terhadap rakan-rakannya Dolly dan Iskandar ...begitu juga doa kita kepada rakan-rakan kita yang lain...amiin.
Saya mengenali watak Atia yang baik namun saya tidak menyukai kelembutannya yang tidak mampu menolak sikap Azali. Namun seperti pesalah yang telah sedar dan bertaubat, Azali harus diberi peluang untuk membetulkan kesilapan yang banyak dilakukannya terhadap Atia. Tiga kali tamparan yang Azali hadiahkan kepada Atia biarpun tidak sengaja , membuat saya tidak menyukai watak ini. Walau bagaimanapun, saat-saat terakhir Nicky yang banyak menginsafkan Azali untuk lebih menyayangi Atia. Cinta Nicky dan Atia yang tidak kesampaian membuat jiwa saya sendat dengan pengakhiran yang menyedihkan. Inilah novel yang berakhir dengan kisah duka dan kematian. Kak Norhayati Berahim bagaimanapun akhiran ini disudahi dengan keredhaan untuk menjalani kehidupan yang lebih positif. Apa yang pasti untuk kita, hidup ini perlu diteruskan juga samada secara rela ataupun tidak. Siapa kita yang mampu melawan takdirNYA ?
Bacalah novel yang penuh dengan nilai pengajaran ini. Semoga menjadi panduan kepada insan-insan yang mengubah penampilan anugerah Allah dan semoga kembali ke pangkal jalan....amiin.
Asalamualaikum, ketemu lagi kita di arena review buku ini. Sudah lama saya menyepi diri dari segala aktiviti blog . Jika dibandingkan dengan segala novel karyawan beliau ,kak Norhayati Berahim membuat kelainan yang drastik kali ini. Novel thriller ini mengajar banyak perkara tentang ilmu agama dan kehitaman hati manusia. Jangan diukur pada ketebalan novel 935 mukasurat kerana setiap mukasuratnya membuat jalinan cerita menjadi semakin menarik. Saya sendiri berhati-hati menyelak mukasurat novel ini, bimbang terlangkau kisah dan isinya. Mungkin ada di antara anda merasakan novel-novel beliau sangat berat isi dan tema yang disampaikan namun jika mendekati novel-novel beliau dan membuat kajian sejenak anda akan perasan dengan mudah bahawa tiada isu yang sama disampaikan oleh beliau.
Secara keseluruhannya mengisahkan bagaimana seorang ibu mertua sangat mendendami menantunya dan sanggup mengenakan menantunya dan cucu-cucunya sendiri dengan menghantar saka untuk mengacau ketenangan dan keselamatan mereka. Sesungguhnya novelis mengajar kita untuk tidak membelakang kekuasaan Allah dan hanya dengan bergantung pada Allah, syaitan dapat ditewaskan. Ketika saya membaca novel ini saya tenggelam dalam bacaan saya, merinding bulu roma saya kerana saya sendiri pernah melihat peliharaan seseorang ketika mengubat mak saya suatu masa dulu. Juga ketika dia menjalankan upacara tolak bala dia mengisyaratkan saya jangan melintas di hadapannya , seakan di hadapannya itu peliharaan-peliharaannya berjalan.... astagfirullah.
Berbicara mengenai watak, saya menyukai watak Cikgu Maimun. Ketabahannya dan kebaikannya merupakan lambang seorang ibu yang terhebat. Walau dikecam dan diancam, beliau tetap tabah dan tidak mendendami ibu mertuanya yang jahat itu. Kasihnya pada suami dan anak-anak membuatkan beliau bangkit dan bertahan. Kelembutannya dan kebaikan beliau menyebabkan anak-anaknya sentiasa menahan hati. Hanya keimanan dan ketakwaan dapat melawan dan menepis sebarang gangguan sihir dan syaitan. Kita sebaik-baik makhluk Allah , bila melakukan kebaikan dijanjikan syurga dan syaitan sudah pasti tetap menjadi penghuni neraka. Maka , kita jangan takut kepada syaitan dan berpeganglah pada Allah . Hanya ayat-ayat Al Quran yang dapat menepis segala serangan syaitan tersebut.
Watak pembantu yakni Nek Nyonya dan Tok Walid mewakili generasi tua yang berpengalaman dan padat dengan ilmu di dada. Malahan mereka mempunyai makrifat yang tajam sehingga dapat menyelami isi hati dan menghidu kemungkinan yang buruk. Mereka menjadi pakar rujuk dan tidak membiarkan keluarga ini teraniaya.
Begitu dasyatnya dendam seorang perempuan apabila cintanya ditolak. Nek Peah yang obses terhadap Tok Fakar sehingga bertahun mendendami ahli kerabat Tok Fakar. Mungkin dia sengaja menyetujui pernikahan anaknya Musa dengan anak Fakar iaitu Cikgu Maimun bagi memudahkan dia melaksanakan dendamnya itu. Sifat dengki dengan kehidupan Nonya dan Fakar menjadikan dia kehilangan kewarasan. Inilah manusia yang telah hitam hatinya dan tidak insaf, malahan jauh terpesong daripada jalan Allah. Sehinggakan kehidupan tuanya yang penuh dengan amarah dan hasad dengki menyebabkan dia dipulaukan oleh orang-orang kampung. Sebagai manusia kita hendaklah sentiasa mendekatkan diri dengan Allah, membersihkan jiwa dengan bersolat dan mengaji supaya syaitan tidak berpeluang untuk menetap dalam setiap ruang sendi dan pembuluh darah kita sehingga kita mudah terpesong. Bagi saya , Nek Peah , kalah dikaki syaitan dan cintanya bukan cinta luhur tetapi cinta nafsu serakah. Dia seakan lupa hayatnya dipinjamkan oleh Allah....semoga kita tidak sejauh ini tersesat dalam kegelapan. Kasihan melihat dia terbongkok-bongkok, malah ke sana sini meminta wang untuk membeli ayam hidup bagi dijamu kepada syaitan peliharaannya. Rasa kasihnya telah lenyap dari hati.Namun anak-anaknya tidak ada yang mengikut kejahatannya. Malahan cucu dan anak-anaknya sentiasa berusaha untuk menasihatkannya kembali ke pangkal jalan. Baginya dia sangat berkuasa dan dia lupa ilmu sihir syaitan itu ada kelemahannya. Manusia dikurniakan akal dengan berpaut pada pertolongan ALLAH SWT mampu mengalahkan kesihiran dan kejahatan syaitan ini. Sedih bila pengakhirnya seorang manusia yang patutnya menjalani hari-hari tua dengan kasih sayang cucu-cucu dan anak menantunya yang baik-baik tidak dapat diselamatkan , malah terbakar hangus oleh olahannya sendiri. Moga kita semua dijauhkan dengan pengakhiran yang sebegini.....matikanlah kita dalam keadaan yang beriman amiin ya rabbi.
Hubungan Hana dan Dani bagi saya , sangat melucukan. Kali ini watak Dani dijadikan hero yang sangat nakal juga gatal..hahahhaa. Dia dianggap lelaki playboy walau hakikatnya kita tahu Dani hanya menyintai Hana sahaja. Dan Hana rupanya sangat membenci Dani sejak belajar di universiti lagi. Kesilapan Dani menyukarkan segala usahanya untuk mendekati Hana. Namun mereka berdua ini berjaya disatukan oleh kedua ahli keluarga . Perkahwinan mereka ini berjaya menamatkan sumpahan Nek Peah sehingga terbakar sendiri. Sesungguhnya syaitan tidak suka umat manusia membina masjid. Syukur setelah berkahwin Hana mulai menyintai suaminya.
Kemudian watak-watak lain dengan pelbagai peristiwanya menjadi teladan untuk kita . Watak Ayu , gadis yang dirogol oleh ayahnya sendiri, memberi kita jalan untuk membantu agar mangsa seperti Ayu dapat menjalani hidup dengan baik. Watak Naemah yang kahwin muda , bila hilang pergantungan terpaksa berusaha mencari nafkah menyara anak-anaknya. Watak Azimah dan Basri yang mengalami konflik rumahtangga bila Basri kahwin secara senyap bagi membantu wanita OKU. Wanita walau mulutnya mengizinkan suami berpoligami tetapi hakikatnya hati tetap terluka juga.
Saya tetap memberikan bintang sepenuhnya pada novel ini kerana ia mengajar kita supaya jangan takut pada syaitan dan jangan tunduk pada nafsu dan bersihkan hati selalu. Kesabaran tetap membuahkan hasil yang sangat manis..insyaAllah. Kepada penulis, jangan berhenti menulis dan semoga menghasilkan lebih banyak kisah masyarakat yang boleh menjadi ikhtibar kepada generasi di sekeliling kita. Tahniah kakak!.
DERMA ANDA DIPERLUKAN..
40 orang kanak-kanak di SK Jemukan dan 30 peserta di Kampung Ulu Semera
akan bertadarus setiap hari dan malam di bulan Ramadhan. (dua tempat
berasingan) Mereka akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Kami
memerlukan bantuan :-
1. Telekung untuk penduduk miskin di kampong Ulu Semera dan kampong Jemukan
2. Wang bantuan untuk penduduk miskin dan yang sakit
3. Sedikit sagu hati dan barangan akan diberi pada setiap perserta yang mengambil bahagian di pagi raya.
4. Sedikit sagu hati kepada AJK surau yang memantau tadarus itu dijalankan.
Derma boleh dimasukkan ke dalam akaun Maybank Liza Bujang 161190100716
Email kami di nbkara@yahoo.com atau di elleezb@yahoo.com segala transaksi untuk rekod kami (atau inbox saya )
Tahun ini saya mempunyai seramai 37 orang murid yang bakal menduduki UPSR 2013. 24 orang murid perempuan dan 13 orang murid lelaki. Sehingga saat saya menulis ini saya sebenarnya sangat risau dengan pencapaian anak-anak ini. Dalam peperiksaan pertengahan satu baru-baru ini, hanya 11 orang sahaja yang lulus daripada 37 orang tersebut yang memnghasilkan 29% sahaja lulus. Pencapaian ini snagat rendah, teruk, dan bahaya kerana SPR adalah minima 35%. Jika keputusan sebegini yang dapat, ertinya sekolah saya menjadi SPR (Sekolah Prestasi Rendah). Setiap saat saya memikirkan bagaiman hendak meningkatkan keputusan ini. Ini bererti saya terpaksa bekerja lebih kuat daripada tahun lepas.
Bila Mamat (bukan nama sebenar) mendapat A dalam Sains baru-baru ini, ia bagai titisan air gunung yang sejuk menyirami kepanasan. Damai dan terbitlah harapan. Bagi saya , harapan sangat perlu kerana ia memberi inspirasi dan motivasi kepada individu untuk tidak berputus asa berusaha. Maka saya perlu berkorban terutamanya masa saya untuk membantu mereka.
Walaupun ada program dijalankan untuk membantu anak-anak ini, namun saya kurang setuju. Penglibatan tenaga pengajar yang lain saya khuatiri menganggu fokus anak-anak, bimbang mereka tidak faham dan terkeliru. Tidak baik berprasangka atau prejudis. Baiklah saya benarkan juga, dan ikut arahan. Namun bulan Jun selepas cuti penggal pertama saya akan ambil alih kelas ini untuk dijalankan pemulihan dan bimbingan secara intensif. Setiap usaha memerlukan doa dan harapan. Semoga usaha saya ini mengubah persepsi dan perangai anak-anak ini. Saya mahu mereka ramai yang lulus. Sekurangnya 80% lulus yakni seramai 30 orang untuk lulus.
Saya dikhabarkan bahawa pada cuti penggal pertama bulan Mei dan Jun nanti, pihak sekolah akan membuat kelas tambahan secara intensif. Saya tentu sahaja tidak dapat menyertai program ini kerana saya mempunyai program percutian sendiri. Tiketpun sudah dibeli. Namun tidak mengapa kerana saya membuat kelas tambahan setiap hari sabtu selain program kelas yang biasa setiap petang isnin. Ya harapan sangat perlu agar lebih ramai anak yang lulus. Dengan harapan hidup menjadi lebih bervisi dan kebosanan ternyah jauh dari minda.
Saya akui saya malas mengemaskinikan blog saya ini. Hahaha...rajin di Facebook malas di blog. Sepatutnya tak bolehlah begini kerana sebelum wujudnya facebook, blog inilah menjadi persada untuk menulis dan bercerita apa sahaja.
Baru-baru ini sahabat baik saya yang sudah saya anggap saudara saya , kakak saya pulang ke kampung ke duanya iaitu Ulu Semera. Saya sangat gembira dan teruja. Saya suka mereka datang ke rumah saya. Maka sebelum kedatangan mereka , berkemaslah saya dengan rajinnya. Setiap kali cuti sekolah saya akan buat kerja pembersihan yang agresif. Anak saudara , emak dan cucu saya kata macam nak sambut raya. Saya suka melihat rumah saya bersih, teratur dan selesa. Itulah sebabnya wujud pepatah Inggeris : HOME SWEET HOME. Selama lima hari kakak saya datang , 25hb hingga 29 hb Mac, kami banyak luangkan masa bersama.
25 Mac , saya mengambil mereka di Lapangan Antarabangsa Kuching, di pertengahan jalan saya tukar pemandu sebab si cilik Qaisara sudah merungut bilalah nak sampai. Hahaha..saya memandu dalam 60-80km sahaja. Apa lagi Kak NB yang ambil alih, maka dalam tempoh sejam sudah sampai ke Ulu Semera. Kedatangannya kali ini diiringi Qaisara, Danish dan Bibik Sari.
Saya nak buat surprise kek birthday pada Kak NB yang menyambut harijadinya 26 Mac tetapi surprise tak menjadi sebab si Buntit saya, Putri dah rosakkannya. Petang itu dia hantar kek itu ke rumah (saya mengirim dengan ibunya yang balik kerja) : Umi,ini kek Umi. Nek Usu kirim dengan emak. Isk....budak ini. Hahaha...gelak besar Kak NB.
26 Mac , kami bertolak ke Santubong, menginap di Damai Beach Resort. Kami menyewa chalet semalam RM270. Dalam chalet tersebut ada 2 buah katil queen size.Cukup besar malah bilik menyerika yang besar kami gunakan sebagai tempat bersolat. Sebelum ke Damai, kami singgah di Muzium Kucing Si Qaisara tidak puas melihat replika dan pameran kucing-kucing yang ada di situ.
Tidak dapat diduga semasa kek birthday kak Yati tiba di meja semasa kami dinner, Bibik Sari mendapat berita bahawa ayahnya meninggal di Solo. Selesai dinner kami balik ke chalet dan berbincang untuk membuat majlis tahlil dan baca yassin untuk arwah ayah Bibik. Tolong sedekahkan al fatihah untuk arwah Pak Kasan Rejo. Kesian pada Bibik yang tidak sempat melihat arwah ayahnya, namun kami berharap Bibik tetap tabah dan sentiasa rajin mendoakan untuk arwah ayahnya.
27 Mac , kami check out awal dan membawa anak-anak ke Kampung Budaya , Sarawak. Mahal tiket masuknya, dewasa RM60 dan kanak-kanak RM30. Namun kami gembira melihat keseronokan Qaisara dan Danish terutama semasa persembahan jam 11.30 itu. Kemudian kami bertolak balik ke Ulu Semera untuk bersiap-siap dengan majlis tahlil dan baca yassin.Alhamdulilah dan terimakasih kepada penduduk Ulu Semera terutamanya kumpulan zikir darul Ikhlas yang sedia membantu menjayakan majlis ini. Ustaz Mohd Sabri juga turut meluangkan masa mengimamkan solat Isyak berjemaah.
28 Mac dan 29 Mac sebelum balik, kami berjalan-jalan dan shopping di Merdeka Plaza. Medan Satok dan The Spring. Tentu sahaja terubuk masin dan kek lapis menjadi pilihan sebagai ole-ole.
Permandangan ke Santubong |
Di depan replika rumah melayu sarawak depan muzium Kuching |
Hahaha..macam-macam gaya mereka ini |
Di hadapan air terjun di Persada Alam |
Tidur keletihan |