Mesranya dia panggil Man

2

Posted by Leeza | Posted in


Beberapa hari yang lepas, saya selalu meluangkan masa menonton TV petang-petang. Biasanya saya akan menonton TV jika Luqman tiada di rumah sebab saya tidak mahu menganggu minatnya menonton siaran kegemarannya Astro Ceria. Petang itu, saya menonton siaran 108 iaitu siaran hindi. Apabila lagu hindi berkumandang, sudah tentu peminat tegarnya akan turut menempel sama. Mak saya yang tengah berbaring boleh bangun dan duduk di sebelah saya menonton siaran hindi ini.

" Mana Man kah ? Lama tak nampak ? " tanya mak saya tiba-tiba.
"Mak ni....tentulah si Man main di ulu dengan kawan-kawannya." jawab saya selamba. Saya ingatkan dia bertanya tentang Luqman.
" Tak....bukan . " katanya lagi.
" Siapa?" saya mengerutkan dahi memerah otak. Siapalah yang mak maksudkan.
" Man dalam TV tu," katanya.
Oh...fahamlah saya yang dimaksudkannya itu ialah Salman Khan, hero hindustan yang diminatinya.

Beberapa minit kemudian keluarlah wajah si Salman Khan dalam iklan TV .
" Mak, tu dia Man ," saya menjerit kecil.
" Mana dia? Aku nak suruh dia buang sampah," Mak terus berkata.
"Apa hal mak ni....takkan nak suruh Salman Khan buang sampah pulak..." kata saya.
" Hahaha...aku ingat si Man kita balik,"
Laa.....ada-ada je mak ni. Dah tu mesra semacam je dia panggil nama si Salman Khan itu dengan nama Man....

BUKAN TAK SUDI oleh Mimie Afinie

0

Posted by Leeza | Posted in


Novel ini telah saya khatam petang tadi. Keseluruhannya okey. Bukan tak sudi khusus untuk pasangan yang sedang bercinta, suka duka bercinta sehingga berjaya ke jinjang pelamin. Kita dikenalkan dengan watak Anis Zulaikha , anak perempuan tunggal dalam keluarganya , yang manja terlebih-lebih. Anis yang dikasihi keluarganya menjadi gadis idaman Omar, sahabat abangnya Fuad. Tanpa disedari Omar adalah Sharif, samseng Kampung Dusun yang sangat dibenci oleh Anis. Beberapa perkara yang menarik dalam novel ini ialah :

1. Watak Anis yang kaya dengan airmata, degil menyemarakkan lagi perjalanan cerita cinta ini.

2. Watak Omar yang tergila-gilakan dengan Anis sehingga pelbagai cara digunakan untuk memikat Anis termasuk mendapat kerjasama daripada Fuad dan keluarganya.

3. Gaya penulisan Mimie Afinie yang santai dan penuh kelucuan membuat kita tersenyum-senyum dan ketawa.

4. Teori mengenai orang berbulu kening yang lebat dan berbulu dada dikaitkan dengan kekuatan seksnya.....wah...saya tak pernah tahupun ada teori mengenai perkara ini.

5. Kekayaan bukan penjamin mutlak kebahagiaan . Salma yang berkahwin dengan Budi yang kaya akhirnya bercerai kerana Budi mempunyai perempuan lain .

6. Kasih ibu bapa menjadikan anak-anak terpelihara keperibadiannya . Datin Marina yang sabar menanggani kenakalan Omar sehingga akhirnya dia insaf dan berubah menjadi baik.

7. Kejayaan penulis mengelirukan pembaca mengenai Sarif Dol dan Omar adalah orang yang sama.

8. Cinta itu buta. Al begitu mencintai Anis sehingga dia tidak peduli dengan perasaan isterinya yang terluka. Kasihan dengan Shiqin.

Tiada isu yang berlainan ,hanya sekitar suka duka pasangan bercinta. Kerenah Anis yang sering memeningkan kepala Omar dan keluarganya. Mujurlah si Omar lelaki yang sabar dan tabah. Kalau baca kisah ini, kita kena sabar dengan watak Anis ini. Saya terasa hendak sekeh sahaja kepala Anis yang bersikap bodoh, keanak-anakan dan menyusahkan ibunya terutama soal kahwin. Ada ke patut , majlis sudah hampir bermula , dia boleh merayu ibunya membatalkan majlis tersebut? Patutlah si Omar risau sangat, sebab tindakan Anis bukan boleh didugapun. Penulis berjaya mewujudkan teka-teki tentang siapakah 'MARSYA'. Rupa-rupanya bukan nama seorang wanita lain tetapi album gambar tersebut membongkarkan identiti Omar sebagai Sharif Dol.

Santai Hujung Minggu

0

Posted by Leeza | Posted in


Oleh kerana Sabtu lepas adalah sekolah gantian untuk cuti raya, maka saya mengambil keputusna untuk keluar ke Kuching pada keesokan harinya. Malangnya , Luqman tidak mahu mengikut kerana dia tidak biasa dengan kawan saya Cikgu Mariam. Jadi saya temankan sahaja kawan saya menemui rakan sekerjanya atas urusan pejabat. Sementara menunggu jam 4 petang, maka kami menonton cerita The Karate Kid lakonan Jaden Smith di pawagam MBO, The Spring. Harga tiket rm11 untuk seorang. Tiga perkara yang dapat kita ambil sebagai renungan ialah :
1. Terlalu banyak bekerja tidak baik....sesekali kita kena berehat untuk diri sendiri.
2. Hidup kadang-kadang menggagalkan kita, terpulang pada kita membuat pilihan samada mahu bangkit semula atau tidak.
3. Tiada istilah pelajar yang teruk, gurunya yang memainkan peranan membentuk peribadi murid-muridnya.

Justeru itu, baliknya saya membeli DVD cerita ini untuk dijadikan koleksi dan tontonan Luqman dan kawan-kawannya di rumah.

Sebelum menonton, kami menjamu selera di Chicken Rice Shop , The Spring. Kami memilih set Twin Delight : RM33 untuk 2 orang.



Ayam frosted.

Ayam dengan sos cheese.

Tauge. Kenapa kat sini rasa sedap pula ? Kalau kat rumah , rasa tak berselera makan sayur tauge.

Saya sukakan ini. Thai Pei Tea. (betul ke tidak ejaan saya ini....maafkan kalau silap)

Sup bebola ikan yang sedap juga. Ini sahajalah lauk-lauk dalam set makanan ini bersama nasi ayam dan dua gelas Pepsi. Ini sahaja kedai Chicken Rice Shop di Kuching.

Susahnya Dunia Buku

3

Posted by Leeza | Posted in

Saya akui yang saya tidak suka dunia politik. Bagi saya dunia politik penuh dengan putar alam, hipokrit, dan penipu. Politik bagi saya adalah tempat orang yang tidak tahu mana sahabat mana lawan...apa sahaja sanggup dilakukan demi kepentingan diri. Kalau lagu 'enjit-enjit semut' ,kita tahu peraturannya ,"Siapa sakit naik atas" . Politik : siapa sakit siapa kalah kena beredar secara bermaruah atau tidak bermaruah. Namun siapalah saya yang menidakkan bahawa hidup ini penuh dengan politik? Hatta dalam kerjaya sekalipun, jika tidak pintar membodek maka susahlah mendapat keistimewaan . Dalam kerjaya pendidikan ,jika semua bersikap mementingkan diri sendiri, alamat anak-anak tidak punya masa depan yang cerah. Matlamat kerajaan dan hasrat ibubapa akan menjadi angan-angan sahaja. Maka akan wujud masyarakat masa depan yang tidak berkualiti.

Selama ini saya menganggap dunia saya lengkap dengan koleksi novel-novel yang mampu dibeli di pasaran. Sekadar memiliki dan membacanya , cukuplah. Begitu mudah dan sederhana saya dalam dunia buku. Buku merupakan hobi yang saya pupuk sejak kecil dan mula dianggap satu kewajipan sejak berpindah ke daerah luar bandar ini. Daerah jin bertendang...kiri kanan dilitupi dengan flora dan mergastua . Kemudian langkah yang terhad selewat jam 6 petang segala kedai ditutup membataskan waktu yang terlalu panjang.

Buku menemukan persahabatan yang meluas melangkaui Laut China Selatan. Makin dieratkan dengan kehadiran dunia cyber yang tiada had sempadannya. Baru saya sedar bahawa saya hanya setitik debu di persada yang luas ini. Ramai lagi yang menggilai novel dan buku di luar sana ,malahan koleksi mereka hanya mampu buat mata saya berpinar-pinar dan berdecak kagum. Lantas semangat saya mencanak-canak untuk memiliki karya-karya tersohor dan terkini. Yang pasti saya bukan sahaja merangkak, berjalan maupun bertatih tetapi terbang selajunya untuk berada di antara golongan pembaca terawal mendapat novel terkini.

Apa kan daya saya orang Sarawak , terbatas mencari buku dan novel terkini. Malahan kedai-kedai buku yang saya lawati ada pula yang tidak menjual buku-buku dan novel terkini. Jika adapun novel-novel itu kelihatan lusuh dengan harga berlipat ganda mahalnya. Sedih sangat melihat keadaan ini. Hanya 3 tahun terakhir ini baru saya tahu kewujudan NB Kara Sdn Bhd. Biarpun penulisnya telah saya kenali karyanya bertahun-tahun lamanya. Hanya mengenali karyanya yang banyak memberi semangat kepada wanita. Pernah satu kali ketika melewati kedai di India Street iaitu Syarikat Al-Bismi , saya ternampak sebuah karya NB .Tanpa berfikir dua tiga kali saya terus menyambar novel tersebut kerana saya serik. Saya serik sebab pernah bertangguh untuk membeli sebuah novel NB di kedai tersebut yang hanya dipamerkan sebuah sahaja. Saya ingat hendak membelinya minggu berikutnya tetapi bila tiba tarikh itu, saya hampa sebab buku itu tiada lagi. Saya membuat kesimpulan bahawa novel-novel Norhayati Berahim panasnya seperti pisang goreng, sentiasa laris dan menjadi rebutan.

Kemudian kedai buku POPULAR diwujudkan di Tun Jugah, di BDC Everise dan di Boulevard namun bilangan novel-novel melayu sangat terhad. Sukar untuk mendapatkan karya-karya NB Kara Sdn Bhd. Kenapa ? Mungkinkah buku-buku NB Kara Sdn Bhd ini terlalu cepat larisnya ? Begitu juga dengan kedai buku My Bookstore , sejak rakan saya tidak lagi bekerja di sana, pilihan novel-novel melayu yang bagus sangat terhad. Saya merasakan seolah-olah buku-buku yang tidak laris di Semenanjung dihantar ke Sarawak untuk dijual. Hanya sejak setahun kebelakangan ini barulah My Bookstore ligat menjual novel-novel yang hebat-hebat termasuk NB Kara Sdn Bhd. Mungkin pihak pengurusan sudah punya hati untuk mendengar permintaan pelanggan seperti saya yang sentiasa bersuara jika tidak puas hati.

Masa yang berubah dan sejak saya tahu bagaimana memesan buku-buku menggunakan talian internet, maka saya tidak perlu risau mencari-cari novel-novel di kedai-kedai buku. Teringat seorang rakan blogger pernah menceritakan bahawa ada kedai buku yang tidak bayar penerbit novel ,malahan berhutang ribu riban , saya menjadi cuak... Timbul rasa marah kerana orang-orang seperti inilah yang membantutkan mood penulis menulis. Bagaimana penulis kegemaran kita hendak senang berkarya jika pasaran buku-buku sangat lambat? Kita yang sentiasa haus dengan bahan bacaan ,turut merasa terjejas. Betapa susahnya dunia buku...dan rupanya politik juga menyerang dalam dunia buku.

Mungkin ada di antara kita beranggapan....eleh, ada aku kisah ? Mungkin bagi kita , kita ke kedai buku, membeli buku dan membayarnya kemudian balik ke rumah. Itu sahaja yang kita lakukan. Kita tak tahu betapa di sebalik karya yang terhasil, kepala penulis sentiasa pening mencari yang terbaik. Paling sedih jika duit yang kita bayar itu tidak sampai ke tangan penulis tersebut serta merta...malahan berbulan-bulan. Jika kita selama ini hanya membaca , tidak salah kita mendoakan penulis tersebut juga. Sekarang saya hanya memesan buku secara talian, kerana ia bukan sahaja mudah dan cepat tetapi paling penting wang itu terus sampai kepada yang hak. Apa yang dapat kita lakukan untuk membantu mereka ini ialah, dengan membekalkan maklumat tentang buku-buku tersebut kepada penerbit. Kita berikan maklumat tentang kewujudan novel-novel di kedai-kedai yang berhampiran dengan tempat tinggal kita. Tujuannya ialah untuk memudahkan rakan-rakan yang suka membaca mendapatkan novel-novel ini selain memudahkan penerbit bertindak untuk memperluaskan pasarannya sendiri.

Meraikan Rumah Baru

2

Posted by Leeza | Posted in

Asalamualaikum semua sahabat dan saudara pengunjung Blog. Jangan terkejut seperti terkejutnya saya dengan rumah ini. Ingatkan salah masuk rumah, rupanya ada yang bekerja semalaman menukang rumah saya ini. Kebetulan semalam saya tidak sihat ,jadi lepas makan ubat terus tidur awal. Itupun terbangun tengah malam untuk makan ubat lagi , dan saya sempat 'scanning' laptop sambil menjenguk facebook dan blog kak Norhayati Berahim. Blog sendiri tak jenguk...hehehe. Jam menganjak 1 pagi saya keluar masuk rumah Kak NB. Kalau dalam realiti mesti kena sergah Pak Seyit dan Teta, masuk rumah orang ,pagi buta seperti ini. Mahu saya sorok diri berbulan-bulan agaknya. Lepas itu tak tahan sebab kepala masih berdenyut, saya sambung tidur semula. Seawal subuh saya bangun dan menjenguk blog kak NB , saya gembira kerana kisah Teta menceriakan hari saya.

Ketika saya sibuk bersiap-siap hendak ke sekolah, sms daripada Kak NB bertanyakan samada saya menjenguk blog saya ke tak? Saya hanya menjawab belum...dan tanya kenapa. Dia pula cuma beritahu, nanti-nantilah jenguk blog. Hati saya tak sedap....entah apa akak maksudkan . Bimbang juga ada sesuatu yang tidak okay di blog saya. Terus saya menjenguk blog saya serta-merta tanpa memikirkan masa yang sangat terhad itu. Wow....wow....cantiknya. Puas saya belek , rumah saya ke ni? Jadi..inilah rupanya kejutan dia untuk saya. Terima kasih kak NB atas hadiah yang berharga ini.

Jadi...bagi meraikan rumah baru ini ,saya buat entry makanan. Mungkin makanan-makanan ini nampak biasa di Semenanjung , dan inilah makanan yang saya makan dekat daerah terpencil ini. Saya bersyukur kerana dianugerahkan Allah rezeki untuk merasai semua makanan yang sedap-sedap. Bersyukur sejuta kali kerana tidak tergolong dalam kalangan orang-orang yang susah dan tidak mampu. Alhamdulilah, ya Allah atas semua rahmatMu ini.
Ais kacang campur di Asajaya. Sebungkus rm2.00. Boleh muat sejag air. ABC ini selalu dibeli pada hari Ahad.

Laksa Sarawak yang bihunnya terlalu lembik. Saya tidak berapa suka kerana tidak menggemari bihun terutama yang terlalu lembik. Harganya rm3.50. Boleh makan berdua sebab kandungannya banyak.

Nasi ayam dengan ayam goreng. Tiada salad. Ia juga dibeli di Asajaya.Rm3.50. Kegemaran mak saya dan Luqman. Selalunya makan berdua juga sebab nasinya banyak. Saya selalu beli dua bungkus untuk kami bertiga. Ini makanan yang selalu saya beli samada hari sabtu atau ahad.

Makanan kegemaran saya, tomyam seafood. Ini masakan anak saudara saya, Norahimah. Saya selalu juga masak makanan ini menggunakan paste segera tomyam Mak Nyonya.

Rezeki hari ini di sekolah. Pemberian Ustazah Jaqof :Ustazah Norafidah dan Ustazah Zulzilawati. Ketupat daun palas Kedah dan Kelantan. Dulu, masa mula-mula makan saya tak tahu bagaimana membuka ketupat ini...rupa-rupanya mudah sahaja.

Dan ini penemannya, kuah kari ayam. Yummmy....

Siapa merasmikan makanan ini ? Tentulah si Liza Bujang....hehehe. Saya pilih ketupat yang kecil-kecil. Makan ini sahaja saya dah kenyang sampai tengahari. Alhamdulilah.

Ini pula yang buat saya lupa dengan keadaan diri yang baru kebah demam. Makanan kegemaran saya, buah kuini. Ini saya minta daripada murid-murid Tahun 6. Mereka memperolehinya dari pokok-pokok kuini yang terdapat di kawasan sekolah. Tengoklah, siap ada nama Idris atas buah...hahaha. Idris ni nakal...bila saya marah dia mesti pujuk . Biasalah anak-anak....merekalah racun merekalah penawar.

TERAWIH TERAKHIR oleh Anuar Kamaruddin

5

Posted by Leeza | Posted in


Bismillahirahmanirahim.....Dengan Nama Allah Yang Pengasih dan Penyayang saya mulakan ulasan ini semoga saya mampu membuat ulasan yang terbaik untuk novel Terawih Terakhir karya Anuar Kamaruddin. Jika penulis ini berusaha untuk menjadi lebih baik dalam penghasilan karyanya maka saya sebagai pembaca juga mahu membuat ulasan yang lebih baik untuk karya-karya penulis yang ada.

Terawih Terakhir tajuknya sudah memberi gambaran pengakhiran yang duka ,kita disediakan dengan suatu kemungkinan yang menyedihkan. Namun saya ingin mengulas dari sudut kebaikan dua watak utama iaitu Anwar Arasy dan Qushairi. Anwar Arasy watak utama yang digambarkan dengan kebaikannya, ketaatannya kepada kedua ibubapa, kemurahan hatinya terhadap anak-anak yatim di Darul Arasy yang diasasnya,kewarakannya dalam mengerjakan solat dan ibadah puasa seakan-akan dia lakukan semuanya di saat bersedia menyambut kematiannya. Ya.....ada yang tak puas hatikan? Anwar Arasy sudah setahun lebih mengetahui hakikat penyakit Barahnya daripada Dr. Ehsan merangkap sahabat baiknya juga. Sebagai manusia biasa , jika diberitahu bahawa kita mengidap penyakit kronik yang kritikal ini dan kemudian diberitahu jangka hayat kita sekian-sekian, maka kita pasti berusaha untuk membuat segala kebaikan, bertaubat dan bersedekah sebanyak yang mungkin. Inilah keistimewaan insan seperti Anwar Arasy...... Sikap Anwar yang saya kagumi ialah ketabahannya menghadapi penyakit dan melalui saat-saat terakhir kehidupannya. Dia pergunakan segalanya sepenuhnya.Juga rasa kasih yang tinggi sehingga merahsiakan penyakitnya daripada pengetahuan ibubapa hatta kekasihnya arwah Balkish semasa hayatnya. Apa yang disampaikan oleh AK dalam perjalanan hidup Anwar Arasy pada saat-saat akhirnya ini adalah untuk menjadi teladan kepada kita yang hidup . Jika ada di antara kita yang berpenyakit baik ringan atau berat, kritikal atau tidak, kronik atau tidak....yang pasti kita kena bersedia dengan kematian yang datang bila-bila masa. Bagi yang sihat dan merasakan dirinya sihat, kita tidak boleh angkuh dan leka kerana MATI itu pasti. Apa sahaja amalan Anwar Arasy adalah sebahagian panduan untuk kita jalani hidup ini, bersolat bukan sahaja yang wajib malahan sunat , berpuasa dan bersolat terawih, mengunjungi masjid dan surau, berjemaah, mengaji, bersedekah dan banyak lagi. Benar....berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya .Mungkin ada yang kata ," kau tak rasa bagaimana azabnya mendapat sakit." Sahabat dan saudaraku,sakit bukan bererti harus mengalah begitu sahaja. Jangan salahkan takdir. Jika sakit bukan bererti dunia kita terus gelap gelita, terasa kita disingkirkan , tiada kasih sayang, dalam hati bernyanyi lagu 'lonely', apa lagi untuk mengabaikan kebersihan diri seperti tidak mandi,tidak makan dengan sempurna, berduka dan meratap hiba.Jangan berhenti berharap. Apa sahaja rasa, baik amarah, susah hati atau sedih ,bawalah berwuduk dan bersolat. Itu antara yang diajar dalam novel ini. Terima kasih.

Terawih Terakhir melahirkan watak yang paling kacak bagi saya, paling baik berbanding Anwar Arasy iaitu Qushairi. Sejak awal episod sehingga akhir, terserlah kebaikan Qushairi. Watak inilah yang mencetuskan emosi sedih, duka, pilu, sayu dalam diri saya. Watak inilah yang membuat airmata saya jatuh bukan lagi setitis demi setitis namun alirannya tanpa henti...sehingga dada sakit sekali. Hidung saya tersumbat bagai terkena selesema seminggu....mata menjadi merah dan bengkak. Bila ditegur oleh emak saya, saya bohongi dia mengatakan baru bangun tidur. Apa yang menariknya watak ini ? Qushairi , sahabat karib Anwar Arasy sejak mula menjaga Anwar dengan penuh kasih sayang . Dia prihatin dengan setiap perkembangan kesihatan sahabatnya. Dia sahabat yang sangat bertanggungjawab. Saat dia risau ketika Anwar keluar berjalan sendirian membeli buku-buku bacaan untuk Darul Arasy, kita dapat selami perasaannya ini. Saat dia menjaga Anwar Arasy koma beberapa hari di hospital, kita rasa kagum dengan sikapnya ini. Persahabatan yang tulus dan ikhlas seperti yang ditunjukkan oleh Qushairi inilah yang kita semua idamkan dalam dunia ini. Sahabat yang baik adalah sahabat yang mengajak kita mendekatkan diri dengan ALLAH SWT. Inilah contoh sahabat sejati yang takkan meninggalkan kita tatkala dilanda musibah. Bagaimanakah kita boleh mendapat sahabat seperti ini? Dengan doa....ya dengan doa. Hulurkan salam dan kebaikan kepada semua kawan di sekeliling kita , walau mungkin ada yang mengkhianati kita, namun dengan doa , pasti ada yang menjadi sahabat sejati. Bila membaca dan memikirkan erti persahabatan ini, saya menangis.....menangis sedih dan seribu kali rasa syukur saya lafazkan kerana saya dihadirkan dengan seseorang yang banyak mengubah saya untuk mendekati ALLAH. Padanya saya banyak meminta nasihat dan menimba ilmu . Terima kasih untuk dia yang menjadi sahabat dan juga mereka yang sentiasa ada di sisi.

Pengolahan cerita , rasa sedih sebentar untuk kita menangis kemudian kita diberi masa rehat untuk bertafakur memikirkan hadis dan nas, kemudian kita bersedih lagi . Sesuatu yang istimewa ialah hadis, nas, cerita sirah Nabi , tazkirah semuanya saling berkaitan dengan peristiwa yang disampaikan . Tiada ruang untuk menyelak sesuatu yang ganjil atau tidak logiknya. Kita dibawa menghayati saat-saat terakhir seorang Anwar Arasy. Bagaimana kedua ibubapa menanggani hari-hari dengan ketabahan biarpun hati sentiasa digayuti rasa bimbang dan duka . Ibubapa manalah yang tergamak membiarkan anak tersayang ,apa lagi anak tunggal dilanda derita . Jika ada ibubapa di sana yang mempunyai anak-anak berpenyakit, kita doakan mereka sentiasa diberkati ALLAH dengan ketabahan. Jangan sisihkan anak-anak ini.

Ada satu episod yang terpaksa saya ulangi dua kali iaitu episod 47. Episod ini adalah gambaran mimpi Anwar Arasy. Pada episod 46 , saya dilanda tanda tanya saat Pak Cik Syawal mengenggam erat tangan Qushairi dan kemudiannya memberikan CD kalam Allah. Terdetik dalam hati saya, adakah Pak Cik Syawal melihat sesuatu pada wajah Qushairi. Saya mendoakan agar mereka berdua ini selamat sampai ke kampung. Bila tiba ke episod 47, hati saya bersorak gembira. Kemudian saya rasa pelik, bagaimana si Qushairi boleh kemalangan sedangkan dia hanya berjalan kaki balik ke surau mencari telefonnya yang tercicir....Bila baca episod 48, baru saya berdecit geram. Chait....mimpi sahaja rupanya. Nasib baik mimpi Anwar Arasy ini tak panjang dan meleret-leret. Tapi kan.....sempat buat kek cawan pula Hajah Yatimah. Vogue mak Anwar ini....kalau bahulu baru ada suasana kampungnya kan.

Banyak info yang kita dapat dalam novel ini. Ada tanda-tanda kematian , tapi tak banyak sangat. Gambaran ghaib yang berkaitan dengan kematian ,ia mungkin dilihat oleh insan-insan terpilih sahaja. Semasa arwah datuk saya meninggal , saat-saat akhirnya ketika saya berdua dengannya, saya melihat seperti satu cahaya di kepala arwah datuk .Cahaya yang bukan dari lampu pelita....takkan saya lupakan saat itu. Semasa 40 hari mendekati ajal, nama yang tercatat pada daun yang gugur di Arasy akan didampingi oleh Malaikat......inilah agaknya maksud gambaran ghaib yang disampaikan.

Tahniah kepada Anuar Kamaruddin . Sekalung pujian kepada sifunya Norhayati Berahim dan juga kru-kru NB Kara seperti editor Anida dan pembaca pruf , Suraya . Jalinan bahasa yang cantik , garapan unsur-unsur islamik dan untaian plot cerita yang terikat kemas menjadikan Terawih Terakhir adalah novel islamik yang sangat baik. Apa yang ingin saya katakan bahawa novel ini berjaya menitiskan airmata keinsafan dan bukan untuk menangisi kisah cinta sesama manusia. Inilah novel yang kita alu-alukan dalam zaman 2020 ini , jika kita menitiskan airmata janganlah kerana duniawi , apa lagi untuk cinta sesama manusia. Apalah ertinya anugerah popular kerana menjadi penulis airmata dan novel terlaris jika apa yang kita mahukan pembaca tangisi hanyalah semata-mata kerana lelaki atau perempuan. Kenapa tidak kita tulis sesuatu kisah yang boleh menitiskan airmata keinsafan, sedar diri kita tidak sesempurna mana dan sesungguhnya setiap amalan kita entah cukup atau tidak untuk memudahkan laluan ke SYURGA. Bila kita dijemputNya sempatkah kita bertaubat ? Adakah kita sebertuah Anwar Arasy yang dijemput setelah selesai TERAWIH TERAKHIR. Tahniah Anuar Kamaruddin kerana usaha sebaik ini. Saya tunggu kelahiran karya islamik yang lain daripada anda. Pesanan saya, kurangkan penggunaan dua topi iaitu kopiah dan tanduk. Jika anda sudah menjadi penulis Islamik, tanggungjawab anda bukan terhenti setakat itu sahaja....malahan ia berlarutan. Jika ada rasa 'suka' pada sesuatu, kurang-kurangkanlah kesukaan itu.

Untuk semua peminat novel, jika membaca novel Terawih Terakhir bukakanlah hati dan minda . Jangan baca terlalu laju, bimbang anda tertinggal maksud dan penghayatan. Novel ini bukan novel Ramadhan yang biasa , namun hayati dan letak diri kita untuk memikirkan , bagaimana caranya kita menyambut saat kematian kita ? Bagaimana dengan persediaan kita ? Selamat beramal.

PESANAN QADIR JILANI oleh Norhayati Berahim

1

Posted by Leeza | Posted in


Siapa dia Qadir Jilani ? Apakah keistimewaan Qadir Jilani sehingga pesanannya menjadi tunjang untuk menegakkan kekuatan dan semangat seorang wanita bernama Hajar Jilani. Inilah dua soalan utama semasa membaca tajuk novel ini. Tidak perlu menggoogle jauh kerana jika kita menghayati novel NB ini dari mula dan akhir kita diperkenalkan siapa dia Qadir Jilani. Dua insan yang berbeza berkongsi satu nama yang sama. Namun seorang memperkenalkan prinsipnya dan diikuti oleh yang seorang lagi menjadi pesanan kepada puteri tunggal yang ditinggalkan.

Abdul Al-Syed Muhiyudin Abu wal-Hussaini a.k.a Abdul Qadir Jilani,putera kepada pasangan Abu Salih dan Ummul Khair Fatimah yang bijaksana sehingga namanya diabadikan kepada Qadir Jilani abah kepada Hajar Jilani ,seorang penulis tersohor. Antara pesanannya yang bukan sahaja menjadi panduan kepada Hajar tetapi juga untuk kita semua pembaca novel ini iaitu :

1. Kita perlu berkata benar walau kebenaran itu pahit.

2. Lidi kalau sebatang akan patah.Tapi bila sudah dikumpul ,kerja akan menjadi mudah.

3. Manusia mempunyai akal yang tidak dimiliki oleh makhluk lain dan akal itu harus digunakan dengan sebaiknya.

Tiga pesanan ini menjadi asas perjuangan Hajar Jilani dalam menghadapi krisis dan problema dalam perjuangannya di bidang penulisan. Dia yang minat menulis dan berazam untuk menyampaikan tarbiyah dan informasi dalam setiap novelnya menghadapi banyak dugaan apabila novel-novel keluaran syarikatnya tidak dipasarkan dengan baik. Masih ada manusia lain yang berhasad dengki dengan kejayaan Hajar Jilani memikat peminat novel seluruh negara.

Abraham mewakili manusia tamak haloba yang berniaga hanya hendak memperolehi kekayaan dengan secepat mungkin. Dia giat mengeluarkan novel-novel sendiri tanpa memperdulikan kualiti novel tersebut kerana pada anggapannya pembaca-pembaca yang ada di luar sana suka membaca novel-novel jiwang karat yang berjodol cinta, rindu, kasih sahaja. Jika ada yang membelinya cuma satu naskhah sahaja dan kualiti rendah ini menyebabkan pembaca menjadi serik untuk membeli novel yang lain. Secara tidak langsung ini menjatuhkan maruah penulis-penulis novel popular lain yang benar-benar berkualiti. Nama Hajar Jilani yang berprestij tinggi menjadi batu loncatan untuk Abraham memasarkan novel-novel keluarannya. Manusia yang tamak akan berusaha apa sahaja carapun untuk memanipulasi keadaan. Begitulah tindakannya menyogok Sitiah yang menyalahgunakan kuasa untuk menyekat kemaraan Hajar Jilani. Dan perlu kita ingat bahawa manusia seperti Abraham dan Sitiah ada berjuta di luar sana, bukan dalam bidang perniagaan tetapi juga dalam pekerjaan dan kehidupan harian kita. Manusia begini lupa satu pintu rezeki tertutup, sepuluh lagi pintu rezeki lain terbuka pada kita. Jangan sesekali mengalah dan berputus asa. Saya sendiri pernah mengalaminya....rasa hampa dan kecewa tidak terucap dengan kata-kata. Sakitnya lebih sakit dari digerit kaca.

Ringkasnya, Hajar Jilani bangkit dengan resolusi baru dan strategi pemasaran yang lebih progresif . Dia berserah dengan Allah, bersolat tahajud dan hajat untuk menggerakkan segala tindakannya mengharungi tiap halangan yang dibentangkan oleh manusia yang jahat. Allah menemukan jodohnya dengan Hadi yang kemudian menjadi pembantu kuatnya dalam bidang pemasaran. Hadi , insan yang mempertahankan prinsip perniagaan yang bersih dari korupsi dan maksiat . Hadi yang juga menghadapi masalah perceraian ibubapanya. Rasa kagum dengan penulisan Hajar Jilani yang menguatkan semangat ibunya Puan Rose saat-saat kehilangan suami yang beralih rasa cinta dan kasih kepada wanita lain. Penghijrahan Hajar Jilani menjadi pemangkin kejayaan masa depannya. Bila sesuatu jalan yang kita lalui kelihatan amat payah dan sukar, maka kita perlu berubah, berhijrah ke arah jalan baru yang lebih menampakkan harapan yang cerah. InsyaAllah.....saya akan berhijrah dan akan berusaha mencari satu dunia yang lebih luas dalam bidang saya sendiri. Terima kasih atas semangat ini.

NB kali ini mengajak kita semua menerokai dunia buku. Kita sekadar membaca sebuah buku yang cantik garapan isi kandungannya. Kita lupa betapa sakitnya seorang penulis melarik jari jemari mengetuk komputer menyulam tiap aksara menjadi satu untaian kisah yang sedap dibaca. Bukan hanya sedap dibaca ,ia menusuk terus ke hati. Diadun bersama tiupan semangat yang menguatkan jiwa yang resah dan yang sedang bersedih di mana sahaja. Kita diingatkan tentang kebesaran ALLAH dan keindahan CINTA ALLAH agar kita tidak terus terpesong dari landasan hidup yang bertaqwa. Penulis ingin karyanya tersebar luas agar ilmu yang disampaikan oleh penulis dapat dimanfaatkan oleh semua golongan generasi tidak kira di mana jua berada. Namun bagaimana hasrat ini akan tercapai dan terlaksana jika ada 'ajibaok' atau penyamun yang menyekat di tengah jalan? Mengapa harus ada manusia yang hatinya tak pernah sedar dan insaf terus menyekat rezeki orang lain. Agaknya bagi manusia ini, semua harta kekayaan dan rezeki di dunia ini dia seorang yang punya dan hanya hak milik mutlaknya.

Karya kali ini bukan sahaja kita membacanya tetapi setiap penulis baru yang ingin pergi lebih jauh lagi harus dan wajib membaca kerana ada nasihat dan panduan untuk menjadi penulis yang lebih baik. Jangan mudah melatah bila ditegur atau dibakul-sampahkan karya kerana ia menjadikan kita menjadi lebih baik. Berubah ke arah yang lebih baik dan bukan melenting menutup kekurangan diri. Jika penulis menjadi lebih bijak, pembaca juga berubah menjadi lebih pandai. Jangan hanya meneka setiap perkataan baru dan jarang didengar....bawa kamus bersama anda. Kita pembaca perlu juga membuat rujukan untuk lebih memahami hasil penulisan seorang penulis yang bijak. Harus saya akui saya banyak bermuhasabah diri saya ketika membaca karya NB kali ini. Saya pernah mempertikaikan penggunaan perkataan 'mertua' dan 'mentua'. Bahasa Melayu nampak mudah namun jika didalami sedalam-dalamnya, alangkah susahnya. Bukannya saya ini sengaja berlagak menjadi terlebih pandai, namun jika musykil ,suarakan dengan hati terbuka. Dan penulis yang baik tidak akan melenting secepatnya. Dia akan membimbing kita kembali....ringkasnya, seorang penulis bukan sahaja medan ilmu tetapi juga seorang guru yang baik. Inilah yang cuba disampaikan oleh NB....hasratnya menjadikan novel popular bukan kosong semata-mata tetapi juga berisi ilmu yang boleh diguna sepanjang hayat.

Apa yang dapat kita bantu dengan penulis sebaik Hajar Jilani ? Banyak bantuan yang dapat kita berikan.

1. Memberi sokongan padu dengan membeli novel-novel penulis Melayu daripada kedai dan pengedar yang sah.

2. Memboikot kedai yang angkuh dan tidak bekerjasama dalam menjual novel-novel penulis Melayu. Bagaimana mengesannya ? Jika ada kedai yang majoritinya lebih kepada novel lain....tak payahlah beli. (hehehe)

3. Membaca karyanya, menghayati tiap isi dan pergunakan ilmu yang disampaikan dengan sebaiknya. Boleh jadikan santapan jiwa yang resah. Cinta bukan segala-galanya.

4. Promosi secara tidak langsung kepada sahabat dan saudara yang minat membaca novel. Beri maklumat bagaimana mendapatkan bekalan novel dengan mudah.

5. Jangan angkuh dan sombong. Tanya diri anda novel mana yang dapat membuat kita berfikir tentang realiti hidup ini.....buat pilihan yang baik.

Syabas NB atas karya islamik ini. Semoga kehidupan kita semua menjadi lebih baik.