Di Ambang 2010

6

Posted by Leeza | Posted in


Koleksi novel yang belum dibaca

Beberapa tahun yang lalu ,saya pernah menulis email kepada seseorang yang saya anggap kakak menggunakan tajuk 'Di Ambang ........' dan saya menerima balasan email yang penuh dengan nada kemarahan . Kemudian seterusnya setiap kali saya cuba 'bermesra' dengannya, dia pasti menghamburkan kata-kata yang melukai hati saya. Tuhanku, begitu paranoidnya prasangka orang terhadap saya sehingga dia sekeluarga mengatakan saya 'bermasalah'. Sejak itu saya hilang kepercayaan kepada manusia dan menumpukan sepenuh kehidupan saya dengan keluarga , buku dan kerjaya. Saya tidak peduli jika ada yang mengatakan saya bermasalah. Apa yang pasti saya tidak menyusahkan orang lain dan tahu menjaga hati orang.

Kemudian dari dunia buku, saya menerokai kembali dunia cyber yang sudah lama saya tinggalkan, sejak 2000. Itupun kerana 'SI PANJANG' yang sering menyekat kebebasan saya melayari internet sekolah sehingga menyukarkan tugasan saya. Bosan dengan kedekutnya lelaki ini dengan harta kerajaan, sedangkan saya bukan melayari laman-laman web yang sembrono dan dilarang keraspun, maka saya membeli broadband celcom yang terkadang menjadi 'berukband'. ( ini si Salbiah Salleh dan NB yang bagi gelaran). Sudah tentunya saya melayari laman blog novelis kesayangan saya ,kak NB. Bermula dari situ saya melayari semua laman blog dari sudut link di blognya. Baru saya terbuka dengan mata yang bersinar-sinar bahawa di dunia luar melangkaui Laut China Selatan, ramai rupanya kaki novel dan ulat buku. Kemudian saya mengenali banyak laman penerbit buku yang pelbagai dan memudahkan saya memesan secara online buku-buku yang sukar saya dapati di pasaran. Sekurang-kurangnya saya menjadi pembaca terawal novel-novel terbaru di pasaran(antara beratus orang yang ada di Malaysia) Dunia buku saya kian luas dan luas....saya lupakan luka semalam.

Bukan hanya buku yang menjadi ikatan hati dan jiwa tetapi juga persahabatan yang terjalin dengan ramai penulis cendikiawati dan juga ramai rakan blogger yang pelbagai dunia mereka....menjadikan hidup ini kian menarik, fantastik dan unik. Saya mengenali dunia surirumah , kisah anak-anak , kisah sedunia dan juga informasi yang disampaikan dengan gaya berbeza. Melalui pembacaan menjadikan seorang surirumah mampu menulis blog, malah lebih canggih dari saya.Contohnya ,sahabat saya, Ibujunes bila berchatting dengannya, dia laju menaip dan saya pula dengan dua jari telunjuk masih terkial-kial menaip. Namun ilmu yang saya dapat bukan sedikit namun banyak....malahan bertambah padat. Terimakasih pada sifu saya, NB yang selalu sabar mengajar saya menggunakan teknik dalam berblogging. Beliau juga pengkritik saya yang paling 'BISA' dan sehingga kini saya berhati-hati menggunakan kata dan frasa dalam menulis blog. Begitu juga dalam mengulas buku-buku yang saya baca, saya perlu mencari info tentang apa sahaja yang saya hendak tulis. Jangan sesekali menghentam keromo hasil tulisan orang lain kerana mereka bukan sahaja memperjuangkan masa , keringat dan segala kepenatan itu demi menambah koleksi ilmu dan bacaan yang sedia ada di pasaran. Tugas mereka bukan hanya menambah rm dalam poket sendiri tetapi juga mendidik anak-anak bangsa dan semua warga pelbagai generasi melalui bacaan. Jangan ingat nenek tidak boleh melakukan kesilapan....terkadang kecetekan ilmu dan kurang membaca boleh menyongsangkan jalan hidup sendiri.

Masa kian berlalu , banyak yang saya hadapi sepanjang 2009. Dugaan yang sangat berat dalam menjaga 4 orang anak saudara yang semuanya lelaki dan menempoh alam remaja. Kemudian menjaga ibu yang sudah berusia dan selalu sakit. Syukur alhamdulilah atas segala kekuatan yang dikurniakan oleh ALLAH kepada saya dalam menyara dan mendidik anak-anak ini. Bukan sahaja dugaan Allah beri malahan rezeki , kejayaan dalam kerjaya,kebahagiaan dan ketenangan hati diberikanNya dengan persahabatan dan kasih sayang. ALLAH berikan pahit kemudian manis dihujung lidah. TERIMA KASIH YA ALLAH.

Tahun 2010, biarpun usia kian bertambah namun saya lalui dengan tenang dan semangat yang membara. Tahun 2010 ,biarpun ramai meramalkan prestasi sekolah akan merosot namun saya pantang mengalah sebelum saat yang terakhir . Setiap tahun saya menyenaraikan 10 target untuk capaian saya. Tidak guna berazam jika tidak berusaha. Azam akan jadi angan-angan sahaja .
Apakah 10 target tersebut? Dalam kerjaya saya senaraikan 5 dan peribadi pula 5 target. Biasanya setiap target saya tercapai kecuali satu. Hanya orang-orang tertentu sahaja tahu apa yang belum tercapai itu...hehehe. Saya perlu banyak berdoa setiap kali solat. Namun sebenarnya saya takut juga jika ia tercapai sebab dunia itu pasti berbeza dan mencabar. Mampukah saya ? Mungkin saya bukan insan terpilih.



SK Jemukan yang menjadi tempat suka dan duka.

Dunia buku tidak akan saya lupakan sebab ia menjadikan saya berpijak di bumi nyata. Sekarang saya mempunyai 25 novel dan buku yang belum saya baca. InsyaAllah, tahun 2010 saya banyak masa terluang kerana kerajaan telah menghentikan Skim Baucer Tuisyen kerana ketiadaan dana. Pemberhentian itu bermakna murid-murid tidak ada kelas di sebelah petang lagi. Hanya Tahun 6 sahaja diberikan kelas tambahan secara percuma atas ikhsan guru-guru sendiri. Ketiadaan kelas tuisyen bermakna sumber pendapatan tambahan guru-guru juga tiada, mungkin ada yang mencari kerja luar sebagai menampung kekurangan ini. Kalau program ini diteruskan saya boleh mendapat RM500 sebulan untuk kelas Tahun 6 sahaja. Tidak mengapalah, bukankah rezeki itu ALLAH yang tentukan? Pandai-pandailah berjimat cermat dalam era kemelesetan ekonomi ini.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN 2010. SEMOGA TERCAPAI SEGALA IMPIAN DAN DIREDHAINYA.

Bila Bersendirian

2

Posted by Leeza | Posted in

Bila kepala pening dengan masalah keluarga yang sentiasa bertimpa-timpa, selalu ada keinginan untuk tinggal bersendirian. Bukannya saya tidak pernah bersendirian, selalu sangat. Saya mula hidup bersendirian sejak tahun 1990 di Daro. Siapa kata saya berani sangat tinggal bersendirian? Saya pernah tidur berpeluh sehingga pagi kerana takut dengan hantu. Betullah masa itu , sibuk dengan cerita orang pukau, amalan ilmu hitam, dan dalam masa yang sama berlaku kematian datuk dengan cucunya tidak jauh dari rumah sewa saya. Bayangkan rasa ngeri saya apabila terjumpa plastik berisi kain-kain putih tersangkut di parit depan rumah saya. Bau mayat tak tahu nak cakap. Akhirnya , saya angkut selimut dan bantal tidur rumah Kak Rosiah jiran sebelah. Semasa tinggal di Kuarters Guru pula, siangnya saya tidak rasa bosan sebab ada kawan baik, Lucy Tiong ( Tiong juga namanya macam Madam T ).Namun malam yang panjang, sunyi mencengkam jiwa....akhirnya saya angkut bantal ,selimut dan tilam ke rumah Lucy , tidur di sana. Paginya dinihari sebelum subuh saya sudah berjalan pulang , sehingga terserempak dengan Boss saya yang taichi awal pagi. Kehkehkeh. Siapa tidak seram jika rumah itu besar sangat. Ruang tamunya boleh diletak meja ping pong untuk saya bermain. Hairan kan....bagaimana saya tidak pula takut ketika berjalan balik ke rumah yang jauh pada dinihari yang gelap tanpa menggunakan lampu suluh?

Lima hari saya menjaga rumah abang yang sedang bercuti. Saya tidak dibelenggu rasa takut. Kesepian dan kebosanan membuat saya sakit. Walau duduk di kampung , rumah yang biasa-biasa sahaja , namun suasana kampung yang damai dan adanya cucu manja saya si Putri, rasa bosan dan sepi itu tidak mengintai walau secuitpun. Awal pagi saya sudah bangun, mandi mencuci pakaian. Kemudian saya uruskan bunga-bunga dan halaman rumah. Menyiram bunga-bunga sudah mengambil masa sejam. Kemudian saya bersarapan dengan biskut kering dan teh O. Lepas itu buka laptop sambil tengok TV, siaran Astro ...macam-macam cerita saya tengok. Makan pula ala kadar sebab saya malas memasak bila duduk seorang diri. Sehingga pening kepala kerana bosan, saya boleh pula bersenam dengan basikal . Hehehe, bersenam dengan kain batik pun boleh jadi....Nasib Danial tak tinggalkan PSP nya. Jika tak...saya boleh main sekali. Keluar rumah ? Saya tidak suka berjalan jika bersendirian. Jika saya tua esok saya nak duduk rumah orang-orang tua , boleh saya habiskan masa dengan kawan-kawan senasib. Tidak mahu saya duduk dengan budak-budak yang belum tentu sabar menjaga kita yang sudah tua.

Beberapa hari lagi sekolah akan dibuka....seronoknya. Saya suka bekerja. Kesepian bukan sahaja membuat saya sakit, malahan membantutkan minda saya berfikir. Malahan hobi membaca pun saya tak mampu nak buat kerana hilang keseronokan dan penghayatan.

My Dear Farid Asyraf

3

Posted by Leeza | Posted in

Saya sekarang berada di rumah abang saya yang ke 5, SB . Saya ditugaskan menjaga rumah kerana mereka sekeluarga bercuti di KL selama 5 hari. Setiap kali mereka bercuti , saya sering kali menjaga rumah . Terkadang mak mengikut saya terkadang dia tidak mahu. Dulu semasa saya belum mempunyai lesen dan tiada kereta, saya rasa bosan sangat terperap di dalam rumah. Bas pula tiada. Hari-hari bosan melihat ayam dan ikan di dalam peti ais sehinggakan bila mereka balik bercuti kakak ipar saya bertanya samada saya masak ke tidak. Mana taknya makanan banyak yang tidak luak. Pernah juga saya termimpi semua barang dalam rumah habis dicuri orang, sehingga saya turun ke bawah jam 3 pagi.....terlebih fikir sehingga menggigau. Kalau saya memasak, saya gunakan satu perkakas sahaja iaitu kuali. Hehehe...tidak pandai saya menggunakan belanga yang berkaca-kaca. Apa lagi microvave dan mesin basuhnya....takut terosakkan barangan orang. Kali ini saya berseorangan menjaga rumah. Alamatnya saya masak 2-3 hari sekali. Takkan tak makan? Oh...makan itu wajib tetapi kalau duduk seorang, makan roti dan mi segera sudah mengenyangkan. Kalau malas, keluar ke Semariang Mall , beli makanan siap. Duduk seorang malas saya nak goreng ikan atau masak ayam....tidak berselera .

Bukan ini yang saya nak cerita. Farid Asyraf ialah anak kedua abang D saya. Berumur 16 tahun baru dapat keputusan PMR kelmarin. Keputusan PMR nya sangat mengecewakan 1A 5B dan 2C. Mak dan ayahnya pastilah kecewa, kakaknya bising dan saya sebagai mak Usu nya pun marah juga. Saya marah sebab dia tidak belajar. Saya tahu kemampuannya. Dia boleh dapat lebih daripada itu. Dia anak yang baik , sangat baik perangainya. Pendiam dan rajin membantu. Semalam dia mencuci pakaian semua ahli keluarga menggunakan mesin basuh. Dia sudah dididik untuk menguruskan hal-hal maintenance rumah, hatta membuang sampah, mencuci halaman rumah, membuka dan mengunci pintu dan gate juga menukar air mineral. Tidak pernah membantah walau sepatahpun. Jika dimarah dia hanya tunduk mendengar segala kemarahan dengan sabar. Hatinya? Siapa tahu luka di dalam ? Setiap kali saya sampai, saya hanya perlu matikan enjin dan serahkan kunci kereta sebab dia sudah sedia menunggu untuk mengeluarkan semua beg saya dan letak ke bilik. Perkara pertama dia hulurkan ialah tangan untuk bersalaman. Dia ingin menjadi arkitek. Dan masih ada dua tahun untuknya berusaha agar laluan ke arah cita-cita tersebut menjadi satu laluan lurus. Saya sedar dalam 3 tahun ini saya kurang menumpukan perhatian kepadanya sedangkan saya tahu kelemahannya. Saya lupa bahawa dia juga memerlukan perhatian saya. Dulu semasa UPSR setiap hujung minggu saya meluangkan masa dengannya, membimbing setiap pelajarannya. Bila PMR , saya langsung tidak bertanyakan pelajarannya. Hanya berpesan "Abang, rajin-rajin belajar." Dia cuma angguk kepala.

Kelmarin dia mengambil keputusan PMR tanpa menggunakan IC. Mamanya pun tidak bertanya ke mana IC nya. Semalam kami keluar makan di Orient Kitchen, sebuah restoran di Satok sehingga jam 1030 malam. Bila sampai di rumah mereka sibuk mengemas barang-barang. Barulah perasan bahawa IC Farid hilang. Ditanya bila kali terakhir menggunakan IC, sehari sebelumnya. Suasana menjadi panas. Abang dan kakak saya sudah naik angin sebab esok flight ke KL awal pagi. "Abang ,ingat betul-betul mana Abang letak IC tu ...." Saya memujuknya dengan suara yang lembut.
"Ada dalam poket seluar track ini..." Dia tunjukkan seluar track warna coklat muda. Seluar itu sudah dicuci dan kemas berlipat.
" Kalau ada, tentu mama jumpa sebelum masukkan dalam mesin. Atau ia ada dalam poket tu tak tercicir di mana-mana.." Kemudian bla...bla..bla. Kakaknya Farah pun kena juga....keduanya sudah masam muka.....mata sudah merah.
Jam 12 malam ke dua beradik ini menggunakan lampu picit mengelilingi rumah dan mencari di kawasan bunga, manalah tahu ia tercicir. Saya menyelongkar bilik Farid . Akhirnya sehingga jam berapa masih tidak dijumpai...Farah dan Farid memunggah balik semua pakaian dari beg kerana mama dan ayahnya akan meninggalkan mereka jika IC tersebut tidak dijumpai. Saya minta abang dan kakak solat....mohon bantuanNya. Apa-apapun tidak dapat kita bertindak sewenangnya, apa lagi mengikut rasa marah kepada mereka. Kalau sudah hilang, saya sanggup membantu buat laporan polis dan membuat semula IC nya di Pejabat Pendaftaran. Semalaman kami tidak tidur. Farah dan Farid tidur dengan tangisan. Farah merasakan mamanya selalu menyalahkannya jika adik-adiknya bersalah.

Seawal jam 5 pagi saya bangun dan terus mencari di luar rumah. Dalam hati tidak putus-putus berdoa agar IC itu dijumpai. Dalam rumah pun sama, saya tetap mencarinya. Kemudian saya terus mencari dalam bilik Farid. Kakak ipar saya pun mencari sama. Dia menyeluk satu persatu poket seluar track Farid. Entah bagaimana, IC itu dijumpai dalam poket seluar track bewarna biru tua dan bukannya warna coklat.Seluar itu pula berlipat kemas dalam beg yang hendak digunakan ke KL. Ertinya , Farid terlupa di mana dia meletakkan IC. Bersyukur sangat-sangat. Kakak ipar menangis....katanya "kakak solat semalam Su....banyak kali.." Saya suruh mereka semuanya sujud syukur. Saya suruh anak-anak itu solat dan bersyukur sangat-sangat. Namun keceriaan untuk pergi bercuti langsung tiada. Hati mereka telah luka. Saya mohon dengan Farah, janganlah ambil hati dengan apa yang ibubapa marahkan...jadikan iktibar. Dia kakak sulung harus bertanggungjawab terhadap adik-adik. Saya hanya nasihatkan Farid," Lain kali Ed, hati-hati. IC amat penting. Jangan sesekali cuai sebegini."

Banyak iktibar yang saya dapat dalam hal ini. Doa adalah senjata kita yang paling kuat sekali. ALLAH tunjukkan kekuasaanNya. Saya juga sedar, bahawa Farid perlukan perhatian. Tidak mungkin dalam jangka masa yang sangat pendek dia boleh melupakan di mana diletakkannya IC tersebut. Semasa kakak dan abang memarahi Farid, saya tidak mampu membantu apa lagi untuk campur tangan. Cuma jika dia sampai membelasah , saya pasti campur tangan. Selagi dia memarahi dan menasihati saya biarkan sahaja. Saya berjanji pada diri sendiri, bahawa anak-anak ini masih perlu dibimbing untuk menjaga diri sendiri.

PERCAYALAH oleh Ruby Hazri

0

Posted by Leeza | Posted in


Novel Percayalah hasil karya Ruby Hazri ini selesai saya khatam dua hari lepas. Entah kenapa saya malas hendak membuat ulasan tentang novel ini seberapa segera yang biasa saya lakukan setelah selesai sesebuah novel saya baca.

Kawan saya rata-rata mengatakan ceritanya sangat menarik dan dia terbawa-bawa dengan kisah cinta di Jerman ini. Melalui novel ini sedikit sebanyak saya mengetahui tempat-tempat menarik di Jerman yang menjadi latar tempat untuk novel ini. Hakikatnya saya sebenarnya sudah berpuluh tahun menyusuri Jerman melalui surat-surat sahabat pena saya HEIKE BACKER. Keistimewaan yang ada kepada Ruby Hazri ialah dia pernah tinggal di Jerman sehingga dia mampu menceritakan segala kehidupan harian pelajar-pelajar Malaysia di sana. Tahniah sebab banyak info tentang rutin harian dan pengalaman pelajar-pelajar di rantau yang mampu dihuraikan dengan sejelasnya.

Bila huraian dan penceritaan menggunakan bahasa Jerman diselitkan, ia menggugat kefahaman dan kebanyakan pembacanya adalah rakyat Malaysia yang tidak pernah mengembara seperti saya. Namun di belakang novel ada dinyatakan maksud setiap perkataan asing tersebut ,namun adalah lebih baik jika dibuat nota kaki seperti yang dilakukannya dalam novel sambungan. Penggunaan nota kaki bagi menjelaskan maksud bahasa asing di mukasurat yang sama boleh membantu pembaca memahami cerita.

Tema percintaan antara dua benua , namun serumpun bangsanya iaitu Danial Wolfgang dan Nur Atiqah Sulaiman terbina melalui permainan suara hati yang terpendam. Terlalu lambat penulis jadikan kedua cinta ini bertemu dan bersatu. Perjalanan cerita panjang lebar dan sentiasa ada halangannya. Bukan halangan pihak ketiga tetapi halangan bila kedua-duanya tidak meluah rasa dan timbul sikap salah faham. Gerammmmm sangat bila si Danial lambat sangat bertindak dan keras hati si Atiqah pula membantutkan hasrat hati Danial untuk merapati. Saya tidak dapat menghalang diri dari mengutuk bila Atiqah enggan menerima penjelasan Danial dan sebaliknya membuat keputusan untuk Danial menjauhkan diri. Begitu juga bila bungkusan buku agama yang Danial kirimkan tidak dibuka sepenuhnya, sehingga surat luahan hati Danial tidak sempat dibaca oleh Atiqah. Setelah mereka berkahwinpun ,Atiqah tidak juga membuka bungkusan tersebut. Kita tidak diberikan peluang oleh Ruby Hazri untuk menatap apakah reaksi Atiqah setelah menatap surat cinta dari Danial ini. Kita pembacanya sahaja yang tahu apa yang tertulis pada surat itu . Agaknya mencukupi jika hanya kita pembaca sahaja yang tahu isi hati Danial. Sehingga akhir cerita , Atiqah masih tidak tahu ada surat terselit dalam buku agama tersebut.

Watak-watak sampingan seperti Dewi menjadi sahabat keduanya yang sangat tulus sehingga kita tidak tahu adakah Dewi tidak punya sedikitpun perasaan cintanya kepada Danial? Kamal yang menjadi watak hitam, sanggup membawa kesesatan akidah kepada Danial. Dendamnya terhadap Atiqah yang berjaya mengubah dan menyedarkan Danial menjadikan kita sentiasa berdebar-debar setiap kali Atiqah berjalan pulang bersendirian. Bahaya di rantauan dapat kita perhatikan melalui ketegangan ini. Dalam kumpulan pelajar ini wujud watak 'ustaz' yang dipegang Fairuz yang sentiasa menjaga agar teman-teman seagamanya tidak terpesong di tanah asing, alhamdulilah. Jika ada sepuluh Fairuz di tanah asing, tidak perlu ibubapa risaukan anak-anak di luar negara. Watak Khairil pula yang menyimpan rasa secara diam-diam terhadap Atiqah dapat kita lihat isihatinya apabila dia bersusah payah membantu Atiqah memperolehi biasiswa belajar ke luar negara. Bukannya Atiqah buta untuk menyelami isihati Khairil atau sesiapa yang menyukainya seperti Prakash @Abdul Syahid , namun Atiqah tetap pada hati yang satu. Cinta bila sudah menakhluki hati , sejuta wajah tampanpun di depan mata takkan mampu menukar segenap rasa yang ada. Apa lagi ditambah dengan keromantikan turunnya hujan salji mencetus segala rasa cinta yang ada. Seakan kita dibawa ke Korea sekejap.....kisah cinta Winter Sonata.... saat Yu Jin dan Jun Sang dalam turunnya hujan salji, mata bertaut senyum terukir dan dua hati menyatu menyanyikan degupan yang sama.

Ada beberapa perkara yang saya ingin sentuh ialah tentang jarak masa antara Jerman dan Malaysia. 7 jam beza masa antara kedua negara ini dan kita tahu Malaysia mendahului Jerman. Kenapa semasa Atiqah menelefon ibunya pada Hari Raya Aidilfitri tercatat dialog Atiqah (ms 246)mengatakan Jerman sudah menyambut hari raya Aidilfiri dan Malaysia pula keesokan harinya? Bagaimana Jerman lebih dahulu menyambut hari raya aildilfitri dari Malaysia? Jika ditentukan oleh Turki sekalipun ia tak mungkin raya lebih awal dari Malaysia.

Penggunaan ayat sentiasa berbunga-bunga. Ruby menggunakan gaya NOOR SURAYA. Di hujung setiap episod ada pantun empat kerat. Jika ada pembaca yang suka bahasa ringkas ,mereka mungkin rasa bosan membacanya. Saya sendiri ingin mengatakan bahawa saya tidak dapat menatap novel ini lama-lama dalam satu masa...jiwa saya resah gelisah. Bukan tidak suka tetapi saya tegang untuk menghayati bahasa dan ayat yang berbunga-bunga. Namun saya teruskan bacaan saya....kisah cinta di tanah asing. Tanpa disedari ia menggunakan banyak perulangan dalam menghuraikan cerita.

Sekarang kita tunggu apa pula kisah selanjutnya dalam PERCAYALAH....Akhirnya.

Kerana Tanah

0

Posted by Leeza | Posted in

Keistimewaan Bumiputera ialah memiliki tanah untuk berkebun dan tempat kediaman. Taraf kekayaan seseorang diukur dengan berapa hektar tanah yang dimilikinya. Penduduk kampung yang memiliki tanah tidak semuanya mengusahakan untuk pertanian. Tanah-tanah milik Melayu di kampung saya mungkin dua pertiganya telah dijual kepada kaum lain. Tanah di sebelah rumah mak saya telah dimiliki oleh Cina dari Kuching. Untuk apa tanah itupun saya tidak tahu. Namun saya cukup risau kerana suatu masa dulu ketika saya mula berjinak dengan internet tahun 1997 ,saya pernah membaca satu artikel berkenaan dengan bahayanya kepada masyarakat Melayu era baru. Namun siapalah saya, hanya sekadar orang kampung biasa. Saya tak mampu menjadi pejuang Malayan Union . Kerana tanah beberapa hubungan kekeluargaan menjadi retak dan dingin.

Entry ini sengaja saya tuliskan hari ini setelah saya balik dari mengunjungi rumah Pak Cik saya yang dikhabarkan tidak berapa sihat kebelakangan ini. Arwah isteri pertama pak cik yang saya panggil 'Pak Yang' merupakan kakak mak saya. Mak saya mempunyai 4 adik beradik dan semuanya perempuan. Dua kakaknya telah meninggal. Walaupun Pak Yang dah berkahwin semula, hubungan kami masih rapat. Setiap hari raya , adik beradik saya tidak melupakannya setiap kali berziarah. Cuma saya yang tidak mengira masa untuk menjenguknya. Kebetulan hari ini saya membawa mak dan kakak saya ke klinik untuk pemeriksaan bulanan . Rumah pak cik saya ini tidak jauh dari klinik dan kami pun singgah sekejap. Pak Cik meluahkan isi hatinya dengan keluarga seorang mak cik saya yang tidak pernah menjenguknya. Apa lagi anak-anaknya semua hidup senang. Saya mengorek rahsia daripada mak saya tentang kenapa hal ini terjadi. Jawapannya kerana tanah. Mereka bertelagah kerana tanah. Sedangkan arwah ayah saya semasa hidupnya lebih banyak mengalah kepada adik-adiknya yang inginkan tanah pusaka peninggalan arwah datuk dan nenek sebelah arwah ayah. Malahan semasa hayatnya beliau tidak pernah makan hasil kebun tersebut dan membiarkan adik-adiknya merasa semuanya. Walau sukar untuk memahami, namun saya terima keputusan arwah ayah sebab saya tahu kenapa. Sebab arwah ayah tidak mahu adik-beradik bergaduh hanya kerana tanah. Arwah ayah ingin anak-anaknya berusaha mencari harta sendiri kerana dia tiada berharta. Dia tinggalkan ilmu pelajaran untuk kami teruskan kehidupan. Mak saya biarpun dia yang menjaga arwah ayahnya, dan arwah datuk amat rapat dengan kami terutama saya ( cucu kesayangan atuk ) tidak diberikan datuk dengan tanah yang luas. Malah bahagiannya paling kecil berbanding dengan yang lain. Namun kepuasan yang saya dapat rasa ialah kenangan saya dengan arwah datuk takkan dapat dirasai oleh semua sepupu saya.

Dan kerana tanah jugalah , hubungan adik beradik di kampung saya terlerai. Bila sikap tamak menguasai maka manusia mudah lupa dengan talian darah yang ada. Bukan tidak berpengetahuan agama yang tinggi namun status Ustaz belum mencukupkan ketebalan iman seseorang yang mudah rapuh hanya kerana tanah. Kemudian ketua-ketua yang menjadi pemimpin berbekalkan cop jawatan dan tandatangan ,menghalalkan surat-menyurat untuk jual beli tanah-tanah di kampung. Broker akan berkongsi dengan pemilik tanah 50-50%. Kemudian bayaran komisen untuk ketua-ketua dan peguamnya ditolak dari pendapatan 50% bahagian pemilik tersebut. Bukankah menyedihkan? Saya teringat bila pak cik saya menjual tanah arwah datuk saya, dia seakan takut kami 'celik' campurtangan urusan jual beli ini. Tidak hairanlah bila abang saya mengamuk dan merajuk panjang suatu masa dahulu.....Allah maha Adil...dan setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Tidak berkatlah kehidupan orang yang memakan harta anak-anak yatim.....dan saya melihat segalanya dengan penuh keinsafan.

Jika suatu masa nanti kita kehilangan tanah melayu, maka terpaksalah kita menumpang di tanah air kita sendiri. Waktu itu ke mana tuju anak-anak kita ?

Hartz Chicken Buffet

3

Posted by Leeza | Posted in


1 Maal Hijrah 1431 yang lalu, saya dan rakan-rakan bujang saya , CT dan NOR makan di Hartz Chicken Buffet Sarawak Plaza. Bayaran untuk seorang ialah RM17.70 untuk dua jam. Kami bertiga tidaklah kuat makan , tetapi teringin juga nak merasa makanan-makanan di sini setelah lama tidak mengunjungi restoran ini. Dulu masa saya dan NOR belum mempunyai lesen memandu dan tidak punya kenderaan sendiri , kami berdua selalu berjalan-jalan di kawasan sekitar Sarawak Plaza, Riverside dan Tun Jugah. Kami terkadang menggunakan bas dan kadang-kadang hanya berjalan kaki dari kawasan Bazaar India Street . Sekarang amat berbeza...bila sudah pandai memandu dan punya kenderaan sendiri ,agaknya kawasan ini setahun sekali baru berkesempatan diselusuri. Kenapa terbalik situasi ini? Apa yang pasti saya dan NOR amat malas memandu dan keluar bersendirian.

Hari ini saya ke restoran ini lagi tetapi saya membawa keluarga abang saya makan di Hartz Chicken Buffet di Satok. Sejak pagi tadi ketika hendak bertolak, saya menelefon abang Hamdan saya di Kampung Bako untuk bersiap-siap awal dan bertemu janji di restoran ini sekitar jam 12 tengahari. Saya sebenarnya menunaikan permintaan anaknya yang bongsu Ahmad Fakhry (10 tahun) yang teringin makan di restoran ini. Dia menelefon saya balik memastikan adakah benar ajakan saya sebab dia memikirkan ayahnya sengaja mengenakannya. Saya tahu anak-anak saudara saya ini sentiasa melengahkan masa untuk bersiap-siap . Abang saya sudah dua hari demam dan tidak berselera makan. Ketika sampai dia tidak mahu masuk ke dalam. Dia suruh saya bawa tiga anaknya sahaja . Saya tahu abang rasa berat hendak menyusahkan saya. Namun saya katakan saya sudah berniat hendak belanja mereka sekeluarga makan di restoran itu. Keluarganya kan susah, manalah mampu hendak membawa anak-anak makan di restoran sebegini.

Menu restoran ini pelbagai namun masakannya tidak sedap. Apa yang sedap ialah ayam. Ada ayam goreng pedas, ayam goreng crispy, ayam roasted, badal goreng, hato goreng, bawang goreng bertepung, keledek, kentang dan pelbagai lagi. Cuma satu menunya yang sengaja tidak disediakan banyak iaitu fish fillet goreng. Kedekut betul. Saya cuma sempat merasa secubit yang dikongsi dengan Fakhry. Seronok melihat anak-anak makan dengan berselera. Saya fikirkan Fakhry yang montel badannya akan mengambil berlonggok ayam di pinggan tetapi meleset sama sekali. Alhamdulilah , mereka tahu adab makan yang tertib. Dia mengambil sedikit setiap jenis makanan dan jika habis barulah dia mengambil makanan yang lain. Saya sukakan lasagne. Makaroni goreng tidak sesedap restoran di Sarawak Plaza. Saya tidak ketinggalan dengan sup cream brinjel. Saya memang sukakan sup walau rasanya tidaklah sesedap manapun. Dua jam diperuntukkan namun mereka hanya mampu makan sejam sahaja. Abang saya akhirnya mahu juga makan sedikit setelah dipujuk. Saya bancuhkannya air teh panas untuk membuka selera.

Sebenarnya saya hendak berkongsi beberapa kisah lucu ketika saya membawa kawan-kawan saya yang pertama kali menjejaki restoran ini.
1. Kedua-duanya mengambil ayam berlonggok di pinggan masing-masing. Saya yang tahu keadaan ini akan berlaku hanya duduk memerhati sahaja sebab saya tahu di penghujungnya saya terpaksa membantu mereka menghabiskan ketulan ayam tersebut. Ini orang tua yang mengalahkan kanak-kanak...kehkehkeh. (mereka tak baca blog saya)

2. Seorangnya mengambil piring (untuk letak aiskrim) dan memenuhkannya dengan kelapa kering di tepi mesin aiskrim tersebut. Bila ditanya , dia kata sotong halus. Saya sudah gelak guling-guling sebab apa yang dia ambil ialah kelapa untuk topping aiskrim.

3. Seorang lagi tercari-cari di mana letaknya ais untuk mengambil minuman bersoda. Pada mesin itu terdapat 6 pilihan air dan di tengahnya adalah untuk ketulan ais. Akhirnya dia mengaut ais-ais yang jatuh di bawah...iskkkk...wekkkkk kotornya. Saya terpaksa membantunya menukar gelasnya itu dan mengajar bagaimana mengambil ais pada mesin tersebut.

4. Seorang lagi kawan saya , mengambil dengan banyaknya bawang besar goreng bersalut tepung kerana dia memikirkan sotong goreng bersalut tepung. Bila dia duduk di meja saya berpura-pura bertanyakan apa yang dia ambil. Dia dengan bangganya menyatakan sotong. Saya suruh dia merasa dulu, dan bila dia makan, saya sehingga sekarang tidak dapat melupakan mimik mukanya saat itu. Kehkehkeh.

5. Seorang lagi kawan saya mengambil aiskrim dan puaslah dia menolak mesin itu tetapi aiskrim tidak juga keluar. Bila ditolong dan pandai, dia terlambat pula menadah piring sehingga aiskrim itu jatuh ke lantai...aduhh tak tahu mana nak letak mukanya saat itu.

Bila kita pergi ke tempat yang baru dan asing, jadilah pemerhati yang bijak. Jika tidak tahu, bertanyalah supaya tidak sesat jalan. Kesilapan tidak dapat dielakkan. Setiap hari pasti ada sahaja perkara baru yang kita pelajari. Saya bersyukur sangat-sangat kerana biarpun saya tahu anak-anak saudara saya, Fakhry , Fahmi dan Faziyanni adalah anak-anak yang suka makan, namun bila berada di tempat awam seperti ini, mereka cepat belajar dan tahu membawa diri.

Namun restoran Hartz Chicken Buffet tidak elok dikunjungi selalu. Bukan kerana harganya mahal tetapi kandungan kolestrolnya amat TINGGI. Kita kena berjaga-jaga dengan pemakanan kita.

Shopping

1

Posted by Leeza | Posted in

Kita sedia maklum ekonomi tengah meleset sekarang ini. Semua orang tahu dan beringat. Minggu lepas hari gaji untuk kakitangan awam dan bonus rm500 untuk DG41 ke atas sudahpun dikeluarkan. Bagi pihak yang telah menerima rm250 sebelum hari raya aidilfitri dulu telah mendapat rm250 lagi. Bijak Najib membahagi semua sama rata rm500, kadar yang paling sedikit dalam pemberian bonus tahunan untuk kakitangan awam. Bila begini ada yang mengeluh bila berbillion rm disalurkan ke luar negara untuk bantuan bencana alam.....banyak. Golongan yang berada tentu tak merasa jika rm50 dibelanjakan ,berbeza dengan golongan yang sebaliknya yang terpaksa mengira setiap sen yang dibelanjakan. Apa-apapun rm 500 seribu kali syukur untuk ibubapa yang mempunyai anak-anak ramai.

Semalam saya membawa Luqman dan Ujang (adik tirinya) pergi shopping 'Back To School' di Unaco, Kota Samarahan. Kali ini saya tidak mempunyai banyak tanggungan memandangkan Wan dan Zizi telah tamat SPM. Abang saya yang mempunyai anak sekolah menengah ada menyatakan yang dia hendak memberi beberapa helai seluar sekolah untuk Luqman tetapi saya tahu saiz Luqman menyukarkan dia menggunakan pakaian pemberian sepupunya. Kalau dia beri saya akan simpan untuk kegunaannya masa depan. Saya membeli dua pasang pakaian sekolah untuk Luqman dan sepasang pakaian sekolah untuk Ujang. Begitu juga keperluan yang lain seperti tali pinggang, singlet, stokin ,kasut, beg sekolah dan alatulis. Ini tanggungjawab saya kepada Luqman dan sedekah untuk adiknya. Semuanya tak sampaipun rm200. Bagi saya kedai yang saya pergi itu memang cukup murah harganya. Jika di bandar Kuching, seluar jenis jeans itu harganya lebih rm25 berbanding di kedai itu rm19.90. Baju pula cuma rm10. Singlet cuma rm2.40. Stokin sekolah 4 pasang rm3. Pakaian sekolah saya tak pentingkan jenama mahal , asal selesa dan tahan. Cuma kasut, Luqman tidak berkenan dan terpaksalah membawanya ke kedai kasut di Asajaya. Kedai ini saya biasa membeli barang, harga berpatutan dan dapat ditawar harganya lagi.

Saya juga mengambil peluang untuk shopping untuk diri sendiri. Handbag saya tak beli sebab sudah dapat 3 buah tahun ini. Saya membeli dua helai blouse dan beg dokumen untuk kegunaan diri sendiri. Alatulis juga perlu ditambah dan diganti. Back to school juga. Kasut juga saya beli untuk turun kerja. Koleksi novel juga saya tambah beberapa buah.

Makanan merupakan shopping wajib bagi saya. Setiap minggu saya akan pastikan stok makanan basah sentiasa mencukupi seminggu. Begitu juga barangan dapur dan kegunaan harian. Rumah saya perlukan stok beras 40 kilogram sebulan. Saya tidak membeli beras mahal kerana 'sik nyaman dan sik kenyang'. Juga tidak mampu....hehehe.

Lelaki selalu mengeluh melihat perempuan shopping. Semalam saya mengangkut 4 anak saudara lelaki. Mereka yang bantu saya menolak troli dan membawa bakul. Mereka geleng kepala melihat barang-barang yang saya ambil. Saya katakan kepada mereka kena budget duit juga. Mereka bertanya : Usu tak semak harga ke? Pakai ambil je. Saya terangkan yang saya dah 'survey' harga terlebih dahulu dan di situ barang-barangnya murah.

Apa yang pasti, kita kena bijak berbelanja semasa kemelesetan ekonomi ini. Namun kalau teringin makan sesuatu biarpun mahal jangan disekat sebab bila kita sudah terkedang atas katil, kita tak mampu menikmati makanan yang enak sekalipun.....Kedekut biarlah berpada-pada.