PERCUTIAN KE SOLO 1

0

Posted by Leeza | Posted in

Saya sangat bahagia dan gembira....hahaha. Syukur alhamdulilah kerana saya berpeluang untuk pertama kalinya ke luar negara . Solo menjadi destinasi pertama percutian saya ke luar negara. Percutian ini ditemani oleh Kak Norhayati Berahim, Qaisara Seyit, Bibik Sariyanti , Kak Mijah Berahim, Afnan Fauzan dan Fauzul Hakim. Saya bertolak ke KL dan bermalam di rumah Kak NB pada petang 8 Mac 2012. Kami bertolak ke Solo pada 9 Mac 2012 dan 10 Mac 2012. Ada sesuatu yang berlaku namun saya anggap ada hikmah yang kita tidak ketahui atas ujian daripada Allah ini. Namun bertitik tolak dari tarikh ini saya sudah berpatah hati dengan Airasia. Apakan daya sebelum kejadian ini saya telah siap menempah tiket untuk ke Pesta Buku penghujung April dan percutian bersama rakan-rakan pada bukan Jun nanti. Selepas ini, tolong ingatkan saya bahawa saya sudah membenci Lanun Merah ini.

Hendak terbang ke Solo


Solo yang letaknya di Surakarta adalah tempat yang sangat menarik. Ketibaan kami disambut oleh anak teruna Bibik ,Bayu dan dengan menaiki Kijang kami sampai ke rumah Bibik lebih kurang jam 8 malam. Terpegun melihat istana hinggap kami kepunyaan Bibik Sariyanti..cantik dan comel. Memasuki istana kecil ini saya melihat ketekunan Bayu menyediakan tempat penginapan yang selesa untuk kami. Terimakasih buat Bibik, Bayu dan keluarganya. Saya pula yang sudah sedia demam, menjadi makin demam kerana pening kepala yang melampau. Kami dihidangkan dengan makanan yang enak iaitu Bebek goreng. Sayang sekali saya tak mampu menikmatinya akibat pening yang sangat. Jadi malam pertama itu, saya menelan ubat dan terus tidur. Saya berkongsi bilik dengan Kak Mijah.
Rumah Bibik Sariyanti di Grompol Sragen

Keesokannya, pening saya sudah reda dan kami mengelilingi kampung Bibik. Menyelusuri lorong-lorong kami disambut dengan kemesraan penduduk kampung dan suasana yang aman damai. Rata-rata saya melihat penggunaan buluh yang maksimum seperti digunakan untuk membuat gelegar bumbung, balkoni luar rumah, kerusi, pagar, dinding yang beranyam cantik dan tempat menyidai pakaian. Di mata saya , indahnya dan kreatifnya bila buluh digunakan sepenuhnya.
Lorong di kampung Bibik

Buluh yang dianyam dijadikan pagar  rumah


Sarapan ringan kami dihidangkan dengan bubur tepung ghomak. Buat pertama kalinya saya merasa bubur tersebut. Saya tak sempat mengambil gambar...tunggu Kak NB menayangkannya. Isinya berwarna putih, pink dan coklat muda. Ditaburkan gula merah sebagai pemanisnya. Disusuli juga beberapa cucuk telur burung puyuh. Ini makanan kesukaan Hakim. Lebih kurang jam 10 pagi kami dihidangkan dengan makanan yang agak berat untuk menjadi alas perut sebelum perjalanan yang panjang.

Perjalanan kami teruskan dengan mengunjungi Perbukitan Sarangan . Sepanjang jalan menaiki bukit yang tinggi terasa amat sejuk dan nyaman. Tambahan dihidangkan dengan permandangan yang amat cantik . SubhanaAllah..maha suci Allah atas anugerah ini. Jika duduk di tepi jalan mengadap permandangan menghijau cantik, saya tahan!. Sungguh..sangat cantik dan polos.
Permandangan di Bukit Sarangan

Kami akhirnya sampai di Tasik Lawu , taman rekreasi . Oleh kerana hari minggu, maka ramailah pengunjungnya. Terdapat banyak deretan kedai dan tempat penginapan yang disediakan untuk pengunjung. Kami berempat Kak NB, Qaisara , Bibik dan saya menaiki sebuah bot laju untuk mengelilingi tasik tersebut. Air tasik berombak secara semulajadi. Ketika pemandu bot mengambil gambar kami , saya merasa ngeri kerana dalam  hati saya jika pemandu itu jatuh ke dalam tasik, siapa yang akan membawa kami ke tepian ? Hahaha...dalam hati tanpa henti berdoa untuk keselamatan kami semua.Bayaran untuk menaiki bot laju tersebut ialah rupiah 40,000. Kemudian mengambil gambar pula rupiah 10,000.
Menaiki bot laju

Keadaan tasik Lawu yang berombak
 Saya berpeluang menunggang kuda dengan bayaran rupiah 35,000 satu pusingan selama 25 minit. Sesekali kuda itu berlari bila menaiki bukit. Terasa seram jugalah. Saya berasa kasihan memikirkan kuda yang terpaksa membawa saya yang seberat 60kg. Ketika berbual dengan pengendali kuda tersebut, sebanyak 120 ekor kuda digunakan untuk rekreasi ini. Seekor kuda dimaksimakan membuat 7 kali pusingan sehari. Setelah turun dari kuda tersebut, saya menukar pakaian kerana merasakan pakaian saya berbau kuda. Sepanjang tepian tasik saya perhatikan ada rumah lesehan untuk menjamu selera. Rata-rata menu utama ialah sate kelinci, ayam, bebek dan sate landak. Mereka gunakan meja rendah dan duduk di atas lantai yang sudah dihampar tikar. Saya berpeluang melihat rangka pesawat jepang.
Kuda yang digunakan, rupiah 35,000

Menaiki kuda untuk pertama kalinya
 Selesai menunggang kuda saya mencari Kak Yati dan Kak Jah yang sedang bershopping di gerai-gerai yang berhampiran . Kami melihat banyak barangan yang dijual dengan harga yang murah.
memborong sandal kulit rupiah 50,000 sepasang

Bergambar untuk kenangan.

Kami singgah makan tengahari lewat petang itu di Rumah Lesehan Mbak Dwi. Saya tertarik dengan reka bentuk rumah lesehan ini . Dindingnya rata-rata diperbuat menggunakan buluh yang dianyam cantik.Menu pilihan kami ialah ayam kampung penyet, lalapan , tempeh penyek , Kakap asam asin dan saya memesan jus apulkat. Semuanya sangat sedap. Sembilan orang makan lebih kurang RM85.
Rumah Makan Lesehan Mbak Dwi. Kebanyakan dinding diperbuat daripada buluh

Jus Apulkat

Lalapan

Ayam Kampung Penyet

Tempeh Penyek

Kakap asam asin

TERBANG

0

Posted by Leeza | Posted in

Bagai sang burung terbang bebas di awan biru. Bagai Boeing MAS yang membelah awan dengan megahnya....terawang di awan biru. Ya..esok saya akan terbang ke Kuala Lumpur untuk bercuti dengan kak Norhayati Berahim dan Kak Mijah Berahim. Rancangan ke Solo sudah lama kami rancangkan dan insyaAllah ia akan terlaksana dnegan izin Allah juga. PadaNya saya memohon agar perjalanan ini dipermudahkan. Moga kami selamat pergi dan selamat kembali.

Emak saya akan saya tinggalkan dalam penjagaan kakak saya. Sejak semalam saya sibuk menyediakan kelengkapan emak dari pakaian sehingga makanan dan ubatannya sepanjang ketiadaan saya. Namun kakak tidak saya bebankan begitu sahaja kerana penjaga emak akan turun bekerja seperti biasa dan saya akan memberinya cuti bila saya kembali semula nanti.

Inilah kali pertama saya ke luar negera dan Solo menjadi destinasi pertama. Bagaimana agaknya tanah kelahiran Bibik Suriyanti ini ? Biarpun kaki belum sembuh sepenuhnya, langkah tetap saya teruskan juga. :)

PERSADA AKSARA

0

Posted by Leeza | Posted in



Saya sertakan video Persada Aksara yang menyiarkan saya sebagai pengulas novel Kak Norhayati Berahim iaitu Hujanpun Menari. Ini pengalaman pertama dalam hidup saya berdepan dengan kamera TV. Nervous dan gabra sehingga berpeluh-peluh, namun saya bersyukur kerana diberikan pengalaman ini. Terimakasih seluas bintang di angkasa kepada krew Persada Aksara dan Kak Norhayati Berahim dan kawan-kawan yang memberi sokongan padu kepada saya.

Saya gagal meletakkannya tetapi saya sertakan link untuk anda melihatnya. :)
http://www.rtm.gov.my/myklik/index.php?option=com_content&view=article&id=103:persada-aksara&catid=16:dokumentarimajalah

GEMUK

3

Posted by Leeza | Posted in

Sensitif sungguh perkataan ini...maka kita boleh gantikan gebu, montel dan obes. Tapi saya harus menerima kenyataan yang pahit ini bahawa saya sangat gemuk. Baru-baru ini saya telah membeli-belah di Boulevard Hypermarket dan saya tertarik dengan jualan yang berdiskaun 50% hingga 70%. Semasa mencuba blouse dalam bilik 'fitting' baru saya perasan gemuknya saya sehingga saiz L tidak muat. Terasa sangat ketat dan tidak selesa. Maka terpaksalah saya mencari baju-baju bersaiz XL. Agaknya cermin dalam bilik itu cermin penipu kot ? Hahaha masih tidak sedar diri lagi.
Terus saya bermuhasabah diri mencari kesilapan diri. Makan ? Kuantiti pemakanan saya seperti biasa tidak banyak . Setelah mencari dan memikirkan tentang punca dan kesilapan yang saya lakukan maka saya mendapat beberapa rumusan.

1. Masa makan tidak tetap. Saya sering kali lupa makan mengikut masanya dan bila lapar maka makan tidak mengikut masa.Sejak akhir-akhir ini  saya selalu makan tengahari jam 3 petang dan makan malam jam 9 malam. Saya harus mendisiplinkan diri untuk makan jam 12 tengahari dan 6 petang.

2. Jenis makanan saya sejak akhir-akhir ini adalah makanan bergoreng dan mi segera. Hai....tidak pernah serik makan mi segera. Ini menu saya ketika saya penat dan malas hendak memasak. Saya juga suka makan telur dadar dan mata kerbau. Telur juga menggemukkan.

3. Saya juga suka minum air bergula. Gula menyebabkan kegemukan meningkat kerana kandungan kalori yang tinggi. Awal pagi saya minum segelas susu bergula, bekal air sebekas air teh bergula, tengahari air sirap manis, dan malam air milo manis.

4. Saya kurang senaman yang mengeluarkan peluh. Ini juga menjadi faktor menternak lemak-lemak di badan.

5. Sejak saya makan vitamin C Redoxom yang diberi oleh adik saya , Jelitaku Seri Fatihah, selera makan saya mencanak-canak naik. Maka setelah habis sebotol Redoxom saya tidak mengamalkannya lagi. Saya ganti dengan pengambilan buah-buahan dan jus epal yang dikisar sendiri.

Berdasarkan beberapa rumusan mengenai punca kegemukan saya, maka saya harus mencari penyelesaian dan mengubah segala bentuk aktiviti yang menggemukkan. Saya tidaklah mementingkan penampilan diri sangat tetapi atas sebab kesihatan. Obesiti saya ini menyebabkan saya mengidap sakit kaki kanan. Kaki sudah tidak larat menanmpung berat badan yang bertambah. Saya memulakan dnegan program "Walking down the street" tetapi harus saya akui sangat menyakitkan kaki saya yang belum sembuh. Namun saya tetap berusaha untuk mengurangkan berat badan saya dengan mengawal pemakanan dan membuat senaman yang tidak memudaratkan.

GASTRIK

0

Posted by Leeza | Posted in

Saya jarang kena gastrik tetapi bila kena, azabnya tak tahu nak cerita. Saya berjaga-jaga makan , pastikan masa makan saya makan ikut masanya. Pagi tadi selepas memberi mak makan, saya tetiba rasa sakit perut yang teramat. Saya ingat saya makan ketam masak kari yang pedas dan sayur pucuk ubi campur ikan masin masak lemak semalam semasa majlis Maulidur Rasul di sekolah. Sedap tetapi yang sedap itulah selalu memudaratkan. Mula jam 5.30 pagi sehingga jam 11 baru saya lega setelah saya makan berbagai jenis ubat dan yang terakhir saya tawakal makan paracetamol. Sepanjang masa itu, saya berulang alik ke tandas untuk muntah dan buang air. Terpaksalah saya memohon cuti rehat khas secara mengejut pagi ini.Syukurlah kelas saya tak banyak.
Baru saya tahu bahawa saya tidak boleh makan :

1. Makanan pedas.
2. Sayuran berdaun hijau.

Kesilapan saya ialah saya tidak pernah menyimpan ubat gastrik di rumah. Bila dah terkena , teruklah saya dibuatnya. Juga saya akui saya amat jarang berjumpa doktor. Bagaimana Allah nak bantu jika kita tidak sayangi diri sendiri? Saya insaf...dugaan ini kecil sahaja daripada Allah . Lain kali kenalah berhati-hati dengan pemakanan. Tetapi bila SEDAP sangat mengundang selera , saya tolak ke tepi segala pantang larang..hahaha.

COKLAT PENYEK karya Norhayati Berahim

0

Posted by Leeza | Posted in

Penerbit : NB Kara Sdn.Bhd Harga : RM14.90 /RM17.90
Sesuatu yang menggelikan hati saya dengan novel ini ialah ia saya khatam dalam masa tidak sampai 12 jam sahaja. Saya membacanya dalam kereta semasa perjalanan dari Asajaya ke Kuching dan Kuching ke Asajaya.
Novel kedua dalam Siri Sekolah Menengah Budi ini mengetengahkan penggunaan pantun. Banyak pantun yang menarik diutarakan dan kita mampu tertawa apabila enam sekawan berbalas pantun dalam gurau senda mereka. Kumpulan Aneesa bertambah dengan kehadiran Puteri Vidad. Kali ini mereka mengamalkan satu lagi misi membantu insan lain iaitu Nurul yang menghadapi masalah perebutan hak jagaannya oleh kedua ibubapanya. Habibah yang mengenali Nurul menjadi sangat prihatin dan masalah ini kemudiannya diselesaikan oleh rakan-rakannya yang lain. Puteri Vidad telah meminta bantuan ibubapanya dan menggunakan pengaruh Datuk Ahmad dalam dunia perniagaan. Perkenalan dengan Hamidi seorang wartawan juga membantu mereka menyelesaikan masalah ini. Syukurlah ayah Nurul telah sedar dan menarik balik tuntutan hak penjagaan Nurul daripada ibunya ,Puan Nadia.
Kisah kelakar mengenai Johaini , Sarip dan Adli juga menghiburkan kita. Terkadang saya kasihan melihat watak Johaini yang kasar dan memburu cinta remaja. Si Adli pula menjadi terseksa bila Johaini menghadiahkannya sebuah anak patung Pooh Bear yang besar. Mana mungkin seorang remaja lelaki memiliki anak patung di asrama..hahaha. Sebenarnya semua ini terkesan daripada sebuah pantun yang dihadiahkan oleh seseorang yang misteri kepada Johaini. Siapakah yang memberi Johaini pantun tersebut ? Pada tekaan saya , ia dihadiahkan oleh Aneesa....dan saya sendiri tidak pasti adakah tekaan saya ini betul. Saya berharap penulis tidak lupa mendedahkannya  kepada kita dalam bukunya yang akan datang.
Habibah pula telah memasuki pertandingan mencipta dan mereka kad ucapan anjuran sebuah majalah dan hadiahnya ialah 6 keping tiket wayang. Pada akhir cerita , Habibah telah menerima sepucuk surat daripada majalah tersebut tetapi kita tidak tahu keputusannya. Kejayaan Azura juga membanggakan pihak sekolah dan negara. Inilah harapan kita terhadap generasi remaja sekarang, maju seiring akademik dan kokurikulum.
Saya juga kagum dengan peranan guru-guru yang prihatin dan dedikasi dengan tugas mereka. Ini menjadikan anak-anak tidak segan mengadu masalah dan  berkongsi idea dengan mereka. Tahniah kepada Cikgu Maznah, Cikgu Hamid, Cikgu Ranjit dan Puan Khairunisak.
Apakah itu coklat penyek ? Sila membeli buku ini dan baca sendiri. Ia makanan yang sangat mudah dibuat....hasil perniagaan Pie Pie yang sentiasa tidak cukup makan. Pie Pie berpantun pun tidak boleh lari daripada menyentuh soal  makanan ..hahaha.

TELUR REBUS ASAM BOI karya Norhayati Berahim

0

Posted by Leeza | Posted in

Penerbit : NB Kara Sdn.Bhd. Harga : RM14.00/RM17.00

Asalamualaikum dan salam sejahtera....
Diam tak diam, saya berkesempatan menghabiskan bacaan novel ini. Kategori novel ini adalah novel remaja. Apabila membaca novel ini saya seakan dibawa merentasi zaman silam sewaktu berada di asrama. Jika dulu saya sangat meminati siri Enid Blyton  yang banyak mengisahkan kehidupan remaja di asrama dan berharap bahawa suatu hari nanti akan wujud siri sebegini. Alhamdulilah pada usia 40an ini saya menemui siri sebegini yang ditulis oleh penulis Malaysia. Tahniah Puan Norhayati Berahim kerana berjaya merealisikan impian ini.

Telur rebus asam boi , tajuk yang tidak asing untuk sesiapa yang pernah dan sedang menjadi penghuni asrama. Aneesa pendukung watak utama tetapi tidak memonopoli keseluruhan pengolahan  dalam novel. Aneesa mewakili remaja biasa, berasal dari kampung, hidup dalam kesederhanaan yang dijaga oleh seorang ibu tunggal yang gigih mencari wang dengan membuat dan menjual kerepek ubi. Dia berjaya memasuki sekolah elit yang berasrama penuh iaitu Sekolah Menengah Budi dengan kecemerlangan dalam akademiknya sehingga mendapat biasiswa . Kebanyakan pelajar yang memasuki sekolah ini adalah daripada anak orang berada yang bukan sahaja kaya tetapi juga cemerlang dalam kurikulum dan kokurikulum . Azura pelajar berdarah campuran Inggeris dan Melayu merupakan pemain biola yang berpontensi. Pie Pie , remaja cina yang ayahnya tauke ikan ,bukan sahaja baik tingkah laku tetapi rajin berniaga.

Kita diperkenalkan dengan watak Puteri Vidad , anak seorang Datuk yang ternama .Dia anak bongsu yang manja dan sombong. Keengganannya dipaksa bersekolah di situ dan duduk asrama menyukarkan sendiri kehidupannya di asrama. Bila menghuni asrama kita terpaksa mengenepikan segala jenis status dan hidup bermasyarakat dan berdikari. Cabaran hidup di asrama menjadikan kita perlukan kawan untuk bermuafakat dalam apa sahaja masalah yang mungkin dihadapi. Sehinggalah suatu kejadian menyebabkan Puteri Vidad berubah sikap dan menyedari perlunya persahabatan dalam hidupnya. Apakah kejadian yang menimpa Puteri Vidad? Apa lagi yang dapat kita fikirkan bila seseorang remaja lebih suka makan makanan yang dibeli dari luar sekolah? Keluhuran persahabatan Aneesa dan kawan-kawannya mengubah persepsi negatif Puteri Vidad dengan kehidupan di asrama.

Pertemuan Puteri Vidad dengan Afnan seorang kanak-kanak yang mengidap penyakit leukimia menjadi satu cetusan kerja amal kumpulannya. Vidad dan semua rakannya telah berusaha membantu Afnan mendapat penderma untuk membolehkannya menjalani pembedahan tulang sum sum. Malahan hasratnya mengadakan pameran lukisan di sebuah pasaraya juga tercapai setelah Cikgu Hamid ,guru kaunseling meminta bantuan daripada adiknya Hamidi seorang wartawan. Di sini kita terharu dan kagum dengan kerjasama kumpulan remaja ini . Malahan ibubapa Puteri Vidad memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi. Kepercayaan dan sokongan juga diberikan oleh pihak sekolah terhadap usaha mereka ini. Inilah yang memberi inspirasi dan semangat yang tinggi kepada anak-anak ini dalam menunaikan tanggungjawab sosial mereka. Syabas Sekolah Menengah Budi. Cuma saya terkilan kerana usaha dan hasrat mereka ini tidak kesampaian apabila Afnan meninggal dalam tidur. Atas dasar kemanusiaan dan kasih sayang yang telah bersemi, Puteri Vidad telah memohon agar ayahnya menyempurnakan jenazah Afnan. Allah lebih menyayanginya.

Telur rebus asam boi mengenalkan kita dengan watak Pie Pie yang sangat melucukan. Saya tidak berhenti gelak sendirian ketika membaca novel ini. Benar sahabat-sahabatku.....best cerita ini...hahaha. Untuk remaja, banyak info yang diberikan dalam novel ini. Jadi ibubapa perlu dapatkan buku ini untuk bacaan anak-anak anda. Buku ini bukan sahaja untuk pelajar sekolah menengah tetapi juga sesuai untuk pelajar sekolah rendah. Ia dapat memberi inspirasi kepada pelajar sekolah rendah untuk memilih sekolah berasrama sebagai destinasi persekolahan mereka nanti.

Apa istimewanya telur rebus dan asam boi ? Inilah makanan kegemaran penghuni asrama....dan jika anda ingin tahu keenakkannya bolehlah mencubanya di rumah......:).