MAKAN ULAR SAWA

0

Posted by Leeza | Posted in

Mr Matthew McKeon

Kita mesti geli kan kalau baca tajuk di atas. Mr Matthew McKeon merupakan mentor untuk program Native Speaker di sekolah kami. Semasa sesi berkenalan dengan staf sekolah, kami berbual santai. Dia memberitahu bahawa dia ingin makan ular. Kami yang mendengar dia menyebut 'ULA' bertanya samada yang dimaksudkannya ialah ulam. Bila dia menjelaskan long reptile , kami semua serentak menjerit snake. Saya geli geleman dan sempat bertanyakannya ,"Are you sure? ". Dia angguk banyak kali. Kami menyuruhnya pergi ke restoran cina di Batu 7 atau nama lainnya Kota Sentosa dan bertanyakan samada mereka menjual masakan ular ini.

Hari ini dia datang agak lewat ke sekolah kami sebab pusatnya ialah di SK Serpan. Saya bergurau dengannya mengatakan dia lewat dan mesti kena potong gaji. hahahaha....saya ini tak mengira sesiapapun, terus sahaja menempelak . Sesiapa yang tak faham mesti menganggap saya ini kasar dan tidak berperi kemanusiaan.

Matthew menceritakan pengalamannya hujung minggu lepas. Dia dan pasangannya telah memandu dan mengembara sehingga Sri Aman @Simanggang. Tiga jam dia memandu dengan kelajuan 80km/j. Dia banyak berhenti di tempat-tempat tertentu dan melihat persekitaran. Wow....saya pun kalah padanya sebab saya tidak pernah memandu sejauh itu. Dia bermalam semalam di Simanggang dan keesokkannya balik semula ke Kuching. Dalam perjalanan itu dia terjumpa seorang penduduk tempatan berdekatan Serian sedang membawa ular sawa yang panjang. Dia pun berhenti melihat. Ular itu telah dipotong kepada beberapa bahagian kecil untuk dijual dan dimasukkan ke dalam plastik. Matthew sudah tentu hendak membelinya untuk dimasak sendiri. Masa inilah saya geli geleman mendengar ceritanya...meremang bulu roma saya.

Semasa Matthew memegang dua plastik ular yang telah dipotong tersebut kiri dan kanan tangannya, dia merasa ular itu seperti masih hidup. Kedua bahagian itu seperti menolak ke dua tangannya berdekatan, saling menarik seolah hendak bercantum. Dia merasa kekuatan ular tersebut seperti ia masih hidup. Apa lagi Matthew merasa seriau dan seram terus melepaskan daging ular tersebut. Tidak jadilah dia membelinya. Saya rasa Matthew serik hendak membeli daging ular yang masih segar sedemikian. Dia hanya berhasrat hendak mencari lauk ular yang sudah dimasak sahaja.

SALAD BUAH-BUAHAN

0

Posted by Leeza | Posted in

Yogurt Berperisa
 Yogurt biasanya masam. Saya tidak menggemari yogurt sebab rasanya yang masam. Sejak saya melihat yogurt ini digunakan untuk membuat Salad Buah-buahan oleh Chef Hanieliza , saya merasakan ia sangat sedap. Dia juga yang memaklumkan boleh guna yogurt Marigold atau Nestle yang halal.
Buah-buahan
 Buah-buahan yang digunakan adalah pelbagai mengikut kesukaan kita. Kalau boleh warna-warnikan supaya anak-anak menyukai buah-buahan. Epal dan buah pir boleh dipotong dadu tanpa membuang kulitnya. Kita juga boleh menggunakan coklat rice, kismis  yang berwarna warni .Saya menggunakan epal ,buah pir, buah mangga (RM4 sebiji) dan anggur sahaja.
Salad Buah-buahan 
Gaul sebati yogurt dan buah-buahan dan jemputlah makan. Kalau banyak, simpan dalam bekas dalam peti ais. Sedap sebagai pencuci mulut.

Santai hari Sabtu

0

Posted by Leeza | Posted in

Setiap hari Sabtu saya mengambil peluang untuk keluar berjalan-jalan sambil menguruskan beberapa urusan seperti pembayaran bil-bil dan bank. Sabtu yang lepas bersamaan 3 April 2011, saya dan sahabat saya Noria ke Kuching. Haluan pertama kami ialah Satok. Semasa saya meletakkan kereta di tempat parkir saya hairan kenapa tempat itu gelap gelita. Saya pasanglah lampu kereta. Rupa-rupanya saya terlupa yang saya menggunakan cermin mata gelap....hahahaha. Inilah bahana orang tak biasa menggunakan cermin mata gelap.Namun saya akui, saya selesa menggunakannya ketika memandu dalam keadaan cuaca yang sangat panas. Saya terserempak dengan si Buntit saya ketika berada di Wisma Satok. Dia kalau nampak saya, terus menerkam dan menjerit nama :NEK SU. hahaha...

Saya dan cucu kesayangan saya, Dayang Putri Erwin ( 4 tahun)
Kebetulan saya mendapat tahu kawan saya, novelis Lily Haslina Nasir berada di Kuching kerana ada program PTS dengan POPULAR yang membuat pameran buku di Tun Jugah, Kuching. Maka selepas berjalan dan makan tengahari saya mengajak kawan saya ke sana.
Bersembang dengan Lily Haslina Nasir(penulis AKU ADA KAMU) dan Nurfarihah Iskandar (penulis Dear Yayah)
Kesempatan yang saya sukai ialah apabila berpeluang menyaksikan demonstrasi memasak oleh Chef Hanieliza. Empat resipi yang dipertunjukkan iaitu, Nasi Goreng Tomyam, Salad Tuna, Yogurt Buah-buahan dan Puding Sekelip Mata. Selepas dia memasak kami yang hadir diberi peluang merasa kesemua masakan tersebut. Alhamdulilah, kenyang saya.
Chef Hanieliza sedang memasak sambil berceloteh
Ini pula hadiah yang diberikan oleh penulis Dear Yayah : Biskut Dear Yayah. Sayang pula rasanya nak makan.Terima kasih banyak-banyak.
Sebelum kami balik, kami membeli-belah dahulu. Biasalah, barangan makanan untuk seminggu. Masa inilah baru tahu bahawa stok minyak masak kehabisan di Samarahan.... isk isk, ini mesti kerja peniaga yang hendak menaikkan harga dan mengaut keuntungan.

Sambal Lumek Kering

0

Posted by Leeza | Posted in

Ikan Lumek Kering
Kalau tiada ikan segar , biasanya saya gunakan sahaja ikan kering untuk dijadikan lauk. Kebetulan pembantu saya , Ani memberi ikan lumek kering ini. Maka saya masak sambal dengan mengurangkan kepedasannya.

Sambal Lumek Kering
Ia dimasak seperti sambal ikan bilis. Lumek ini kena dipotong kecil-kecil dan rendamkan dulu untuk melembutkannya. Setelah tumis bahan-bahan seperti bawang merah, bawang putih, cili,dan asam jawa, maka masukkan ikan ini. Kemudian beri garam sedikit (lumek ini tidak masin) ,perasa dan sedikit gula.

MENGAPA AKU RELA JADI PENGETUA oleh Kusyi Hirdan

0

Posted by Leeza | Posted in



Asalamualaikum warahmatullahi wabarakatu'.
Sesungguhnya bersyukur saya ke hadrat Illahi sebab dalam sibuk macam manapun saya masih berkesempatan membaca novel ini. Apa lagi semakin saya rancak membaca setiap episod semakin terasa tak mahu dilepaskan buku ini walau sesaatpun. Saya berasa watak-watak seperti Ali, Izaz Noraini, Elin, Puan Fatihah, Mak Cik Rohana dan Ustaz Peter semakin dekat dengan jiwa saya. Semangat Izaz Noraini terasa ingin saya pinjam untuk mengharungi setiap hari yang penuh dugaan. Kewibawaannya menjadikan dia seorang ketua yang dinamik sehingga Kolej Elita menjadi termasyur dan semakin maju .


Apa lagi yang harus saya katakan, saya sebenarnya sangat gembira dengan novel ini. Terkadang terfikir bagaimana Kusyi Hirdan dapat memerah otak segigihnya sehingga watak-watak memainkan peranan penting dalam mengembangkan plot cerita. Isu-isu yang disampaikan tidak bosan untuk dihayati.

Hubungan Ali dan Izaz Noraini sangat baik malahan dalam siri ke 3 ini, Ali menunjukkan sikap prihatin yang sangat dikagumi. Pada saat ratu hatinya jatuh sakit Ali sedaya upaya melakukan yang terbaik supaya ratunya itu sihat kembali. Dan amat lucu bila dia mengarahkan semua pembantunya bekerjasama untuk merahsiakan tentang mesyuarat PIBG dan masalah yang ditimbulkan oleh Cikgu Nora. Hahaha...ternyata Ali salah perhitungan kerana warga Kolej Elita seperti pengawal dan penyambut tetamu telah membocorkan rahsia terlebih dahulu kepada Pengetua yang kuat bekerja ini. Sikap Ali ini mengingatkan saya dengan  sepasang sahabat Geng Pizza saya, suami isteri ini selalu berdua dan si suami bersikap sangat protektif seperti Ali.

Antara masalah yang ditimbulkan ialah tentang Cikgu Nora yang menghadapi masalah rumahtangga sehingga menjejaskan prestasi kerjanya. Ini membantutkan hasrat Izaz Noraini yang hendak menjadikannya sebagai pengganti. Namun masalah ini dapat diselesaikan dengan mudah bila Izaz dan Ali berbincang dengan suami Cikgu Nora. Menarik sebab isu yang diutarakan ialah perbezaan pendapatan suami isteri , suami yang merasa rendah diri dengan kedudukan isteri. Juga masalah yang diwujudkan dalam siri ke 3 ini ialah persahabatan Izaz dengan Johana, Maimun dan Naila. Di antara kesemuanya ternyata Johana paling terkesan dengan sikap rajuknya. Johana yang tidak dapat menerima perubahan sehingga dia merasa sensintif, berjauh hati dan bersyak wasangka yang bukan-bukan. Dia tidak menerima bahawa sahabat-sahabatnya mempunyai komitmen masing-masing. Namun Izaz sentiasa berharap persahabatan mereka tetap kekal dan sentiasa berusaha untuk menyatukan semua kawannya. Hati Johana masih perlu Izaz pujuk lagi. Masalah Zara pula adalah kedudukan ayahnya yang hampir muflis. Kejatuhan syarikat ayahnya angkara fitnah menyebabkan Zara bersedia untuk hidup sebagai gadis biasa-biasa sahaja. Namun kumpulan Izaz dan Ali dengan dibantu oleh kumpulan penyiasatan tidak bertauliahnya seperti Elin dan Nancy berjaya merungkaikan komplot yang hendak menjatuhkan empayar perniagaan Tan Sri Zamanis. Ternyata kumpulan pentadbiran Kolej Elita berjaya menyelamatkan keluarga Zara.

Tiga watak jahat dalam siri ini , Tan Sri Khalid, Datuk Hamzah dan Cikgu Safiah , masih menjadi ancaman kepada Kolej Elita. Saya berharap watak Cikgu Safiah menerima padahnya hasil kejahatannya. Saya dapat meneka kemungkinan pada siri yang akan datang Cikgu Sufiah akan menerima pukulan dan tamparan daripada suaminya Datuk Hamzah. Bukankah Datuk Hamzah seorang yang panas baran?
Bagaimana dengan Ustaz Peter ? Dia lelaki yang baik dan romantik kerana menyediakan makanan untuk Izaz Noraini. Dia juga pilihan Puan Fatihah. Namun rahsia hati Izaz Noraini sudah kita ketahui bila dia katakan bahawa dia dan Uztaz Peter tiada keserasian. Dia tidak merasa selesa seperti mana dia selesa dengan Ali, yang saling memahami satu sama lain. Pada saat Izaz hendak meletakkan jawatannya sebagai pengetua, Ali turut menjalankan cara yang sama dengan meletak jawatan serta merta. Ini menimbulkan masalah sedangkan Izaz meletakkan Ali sebagai penggantinya. Lucu pada saat Izaz memujuk Ali untuk kembali ke Kolej Elita. Pada saat ini kita lihat emak Ali dan emak Izaz dapat memahami hati kedua-duanya sudah saling terpaut.Opps belum habis lagi sebab siri ini saya diberitahu akan sampai siri ke 6. Harap nanti Izaz dan Ali bersatu ke jinjang pelamin. Kita tunggu dan lihat nanti......semoga siri seterusnya akan muncul di pasaran tak lama lagi. Tahniah untuk Kusyi Hirdan. Empat bintang saya berikan.

SAGO DARI DARO

0

Posted by Leeza | Posted in

Sago yang sedap
Kawan saya Rofiza Mushairi dari Daro telah mengirimkan sago kepada saya melalui seorang guru yang berasal dari Kampung Jemukan. Sago ada dua jenis dan saiznya. Yang ini adalah sago yang kecil dan rasanya sangat sedap, lemak-lemak masin. Ia diperbuat daripada tepung sago, santan kelapa dan garam dan dibakar.
Ia sedap dimakan begitu sahaja. Dan kita boleh makan dengan pisang. Kita juga boleh memakannya dengan menggaul kelapa parut dan letak gula . Jika anda batuk, anda disarankan untuk banyak meminum air sebab sago ini pecah dalam mulut dan berserbuk. Makanan ini makanan ringan yang boleh dikunyah semasa menonton TV atau membaca novel.

Pagi yang Menakutkan

0

Posted by Leeza | Posted in

2 cermin belakang dewan yang pecah
 Pagi khamis minggu lepas 24 Mac 2011, seperti biasa  saya mengajar kelas Tahun 2 PJK. Giliran lelaki bermain futsal dan ketika kami seronok bermain tiba-tiba Si Ariffin menyepak bola dengan kuatnya sehingga ia melantun dan memecahkan cermin di belakang dewa. Masa itu si Azim pula sedang menjaga gol di bawah tingkap ini. Apa lagi, sebaik bunyi cermin pecah ,Azim dan beberapa murid berlari ke hadapan. Saya begitu cemas melihat keadaan ini apa lagi bila melihat kaca berderai dan terpelanting. Sungguh menakutkan suasana masa itu.
Saya terus mendapatkan Azim dan memeriksa badannya dengan teliti sebab dia yang paling dekat dengan tempat tersebut. Kalaulah Azim lambat bertindak, saya tidak dapat membayangkan apa terjadi seterusnya. Beberapa murid lain yang tidak memakai kasut saya juga periksa dengan teliti. Kejadian ini membantutkan pengajaran PJK dan saya akhirnya dibantu oleh beberapa orang murid membersihkan kaca-kaca tersebut. Bimbang ada yang tercedera jika dibiarkan kaca-kaca tersebut di situ.
Kejadian ini menyebabkan saya terpaksa berunding dengan beberapa orang guru lain untuk membahagi kawasan padang sebagai kawasan untuk mereka bermain. Kejadian ini menyebabkan hati saya masih terkejut dan esoknya PJK kelas Tahun 3 saya tukar kepada permainan badminton sahaja.