
Ini geramak sejenis spesies ketam. Saiznya kecil sebesar ibu jari sahaja. Ia banyak di dapati di sungai terutama masa air surut . Baru-baru ini ia dijumpai masa banjir di kampung Ulu Semera. Banyak spesies geramak ini. Kalau geramak kebun ,bentuknya segiempat . Geramak ini tak boleh di makan. Jika geramak kebun ,boleh dimakan. Masa kecil dulu ketika mengikut arwah bapak dan emak saya ke kebun biasanya saya dan abang-abang akan mencari geramak kebun untuk dibakar sebagai lauk makan tengahari. Rasa seperti ketam tetapi tak banyak isi sebab saiznya kecil. Geramak ini pula selalu saya ambil sebagai mainan bersama kawan-kawan. Kami mencari geramak di tepi-tepi parit. Cuci bersih-bersih dan kemudian sepitnya akan diikat dengan benang panjang. Kami akan buat perlumbaan antara geramak. Bila kami penat bermain, ia akan dilepaskan kerana kami tahu esoknya kami akan mencari geramak yang lain lagi. Bila fikir semula sekarang, betapa kerapnya kami menyeksa kaum geramak ini.
Ini pula gawang atau guang.Jika dilihat pada bentuknya ia seperti gabungan kala jengking dan lobster/udang. Jika ekor kala jengking melentik ke atas , ekor gawang pula melentik ke bawah. Ia tidak merbahaya dan tidka menyengat seperti kala jengking. Saya tak tahu nama standardnya dalam Bahasa Malaysia. Sebenarnya gawang di atas kehilangan sepasang sepit besarnya. Ia ada dua pasang sepit, sepasang besar dan sepasang kecil. Ia spesies yang dijumpai semasa banjir. Dulu masa banjir, ia menjadi aktiviti wajib saya dan kawan-kawan. Abang-abang saya pun rajin mengajak saya mencari gawang ini untuk dimakan. Kami menggunakan perahu, abang saya akan mengayuh perahu dan saya duduk ontok-ontok di tengahnya. Abang yang seorang lagi akan mencari gawang ini menggunakan sebatang kayu atau buluh . Bila jumpa, kami ambil sepit-sepitnya sahaja, dan ia dilepaskan. Menurut arwah datuk saya ,Judin,sepit gawang ini dipercayai sebagai penawar sakit asthma. Kita bakar atau rebus sahaja sepitnya dan isinya sedap sangat. Berpasir dan rasa seperti isi ketam.Mungkin ada benarnya sebab penyakit semput @lelah @asthma anak saudara saya Azmi sembuh kerana selalu makan gawang. Sekarang badan gawang diambil juga untuk dimasak kicap. Syaratnya kena tarik bahagian salur najisnya yang bertanah. Pun juga, biarpun setiap tahun banjir, spesies ini menghadapi kepupusan. Semakin susah hendak didapati lagi sekarang. Malahan ketika saya mengajar anak-anak murid saya baru-baru ini dan bertanyakan mereka pasal gawang , majoriti tidak mengenal haiwan ini. Nasib baik saya tunjukkan gambar. Saya teringat semasa saya di Daro dahulu. Selepas air surut, di jalanraya depan rumah sewa saya banyak sungguh gawang ini menjalar. Geramnya saya masa itu, terasa hendak mengutipnya dan ambil sepit tetapi malu dan segan memandangkan saya guru baru dari Kuching. Warga di situ teruja kalau ada cikgu baru dari Kuching datang, sehingga ketika saya mengajar , ramai guru yang bertenggek di tepi tingkap melihat saya mengajar. Pegawai -pegawai pelajaran pula selalu datang melawat termasuk jemaah nazir dari Sibu. Semput saya sepanjang tahun kerana selalu diselia semasa mengajar.hahahaha.
Sabtu lepas saya mengambil anak saudara saya yang sulung , Zarina dan anak angkatnya Asmara balik ke kampung.Ahad pula kenalah menghantar mereka balik semula ke Kuching. Yang mengikut tentulah Putri dan neneknya. Kakak saya ini hendak membeli beberapa barang keperluan rumah. Jadi, Zarina mencadangkan untuk pergi ke Livina ,gudang peralatan rumah yang mengadakan jualan murah sempena Tahun Baru Cina. Inilah pertama kali saya memandu sendiri ke Livina. Yang lucunya , si Zarina co-pilot saya ini pun silap memberi arah jalan. Saya yang terus memandu akhirnya membuat u-turn di traffic light jambatan tol. Wah...ramai sungguh orang yang pergi ke sana. Saya terpaksa memarkir kereta jauh di tepi jalan. Itupun nasib baik ada ruang kosong. Murah harga barang-barang tersebut. Saya membeli sebuah bekas beras yang boleh memuatkan 12 kg . Tudungnya pink dan badannya warna putih dan dihiasi bunga rose. Cantik. Harganya RM29.90. Satu lagi yang saya sambar ialah rak pinggan mangkuk untuk sinki 2 tingkat warna putih, RM19.90. Jadi jumlah perbelanjaan saya hari itu tak sampai RM50.00.
Apa yang pasti, dua kanak-kanak ini suka sahaja dibawa berjalan-jalan. Putri , cucu saya ini pantang melihat saya berpakaian cantik sedikit , madang sahaja nak mengikut. Tengoklah badannya yang tambun, buntit...hahaha.
Sabtu yang lepas saya dan kawan balik dari Kuching menggunakan feri . Semasa kami menunggu feri , kami berdua bercakap-cakap sambil melihat permandangan sekitar. Dekat feri ada sederetan kuarters lama Jabatan Pertanian. Sepatutnya ia tak sesuai didiami sebab keadaannya sudah usang benar. Titiannya agak tinggi. Kanak-kanak di atas berusia dalam lingkungan 3-4 tahun sahaja. Dia bermain basikalnya ini di titian usang tanpa diawasi. Sesekali kami berdua Noria menjerit dan mengurut-urut dada melihat dia cuba mengayuh basikalnya ketika tersangkut pada papan yang tidak rata. Hampir-hampir ia terjatuh dari titian tersebut.
Anak kecil ini bermain seorang diri dan dalam hati kami berdua berkata , celaka sungguh ibubapanya membiarkan anak kecil ini bermain sendirian. Apa akan jadi jika anak kecil ini jatuh dari titian tersebut? Kemungkinan ia boleh patah dan nasib tidak baik , mungkin kepala terhantuk pada ketulan batu dan serpihan kayu yang tajam di bawah titian tersebut. Saya teringat dengan Putri. Ke mana sahaja dia pergi kami tidak membiarkannya bersendirian. Malahan neneknya kakak saya tidak yakin saya membawa Putri berjalan keseorangan . Si Azim yang sudah berada di Tingkatan 1 pun jika mengikut saya ke mana-mana bermalam , paling lamapun cuma dibenarkan semalam sahaja. Agaknya sudah terantuk baru tengadah. Atau manusia suka menyesal di kemudian hari. Ke mana perginya ibu anak kecil ini. Oh ada....dan dia cuma ....
-
-
-
-
-
duduk
termenung
dan
tempatnya
di atas balkoni
-
-
-
jika terjadi sesuatu,
mampukan dia
terjun dan menyelamatkan anaknya ?
-
-
-
kita doakan saja yang baik-baik.
Setelah sekian lama membaca novel ini akhirnya ia saya khatam minggu lepas. Terlalu banyak dugaan yang saya hadapi ketika membaca novel ini . Antaranya kesihatan mak saya yang tidak menentu menyebabkan saya keletihan sedangkan novel ini saya usung ke mana sahaja saya pergi. Terkadang ia tergeletak di sisi bantal saya tanpa saya menyelak isinya, terkadang ia berpanas dalam kereta ketika saya usung ke bandaraya Kuching, dan terkadang ia tersadai sepi dalam bakul mengajar saya. Pun juga novel ini ketika ia hampir saya habiskan , anak saudara saya si Rina pula tersalah ambil dan bawa balik ke Kuching. Jadi seminggu ia berada di Kuching dan saya menyusul kemudian mengambilnya. Dalam seminggu ini, Rina dan Arie pula yang mendahului saya menghabiskan novel ini...uwaaaa. Mereka sepakat memberi komen : Best Usu...menangis kami ,sedih benar.
Sayang seorang Qaiser karya ke 3 milik Anuar Kamaruddin menampilkan kelainan daripada karyanya yang sebelumnya iaitu Blog Priasetia dan Terawih Terakhir. Apa yang ingin saya katakan karya ini best sangat dan saya puas menangis dalam menghayatinya. Itu salah satu faktor saya lambat menghabiskannya.
Qaiser dan Qistina dua nama yang cantik digandingkan menjadi sepasang sejoli yang romantik. Qaiser ,lelaki lindungan Kaabah dan Qistina perempuan yang berbeza perwatakan dengan Qaiser dipertemukan dalam keadaan Qitina yang lucu, siap melatah lagi tu. Pertemuan yang nyata menjatuhkan 'voque' Qistina gara-gara desas-desus tingkat 14 (tingkat surau untuk Bank Wira) yang dikatakan berhantu. Dora dan Laura , jula-juli bintang 7, dua sahabat Qistina mendesak dia ke tingkat 14 untuk menemui lelaki yang menepati ciri-ciri lelaki idamannya. Sejak pertemuan itu Qistina yang sudah jatuh hati pandang pertama sentiasa berusaha untuk mendekati Qaiser malahan telah mengubah ciri-ciri berpakaiannya , malahan gaya hidupnya sedikit demi sedikit turut berubah. Begitu hebat panahan asmara cinta pandang pertama. Dora dan Laura menjadi penasihat secara informal kepada Qistina sehingga timbul beberapa perkara lucu yang dilakukan mereka seperti berpakaian ala perempuan Arab.
Dalam proses merapatkan dan mengemaskinikan ikatan hati dua insan ini, penulis juga menekankan kekeluargaan kedua belah pihak. Keluarga Qaiser yang baik, penyayang dan penuh dengan kebahagiaan. Irfan dan Umairah dua orang remaja yang menjadi anak saudara kesayangan Qaiser. Mereka berdua ini terlalu rapat dengan Pak Su mereka sehingga mereka lebih suka berkongsi segala masalah mereka dengan beliau . Masalah Umairah yang menggantung satu semesternya menjadi tandatanya Qaiser sehingga dia menyiasat . Namun ia gagal mengaitkan dengan masalah Umairah sehinggalah Allah takdirkan Huzaimi Kamal bekerja dengan Qaiser di Bank Wira. Saya sendiri tidak menduga Huzaimi dan Kamal adalah orang yang sama sehingga kehadiran burger menyingkap segala teka-teki ini.
Watak Qaiser ini watak lelaki idaman semua wanita. Terserlah sifat-sifat yang bertanggungjawab dan atas nama kebaikan ini pula menjadikan ia mudah diperdaya oleh perempuan hipokrit seperti Natrah. Saya tidak menyangka suaminya ialah Luqman Hakim ,ayah kepada Qistina. Sukar saya membuang imaginasi saya yang mengada-ngada ketika membaca novel ini. Saya seakan menonton teledrama hidup di mana, watak Qaiser adalah bayangan watak Anuar sendiri dengan Irfan didokong oleh Azim Kamaruzzaman , dan watak Umairah pula seperti watak anak saudaranya si Piah. Kuzyril pula mewakili watak Hazami. Dan Qistina ????? Entah , saya tak dapat menduga siapa Qistina dalam dunia realiti. Hahaha..hebatkan imaginasi saya ini....dan ia membuat saya tersenyum-senyum sendiri. Namun pada saat-saat akhir hampir ke penghujungnya, saya tak henti-henti menangis. Saya menangis dengan watak Irfan dan Umairah. Saya begitu tersentuh dengan nekad Irfan untuk membantu pak cik nya. Ini cukup membuktikan betapa eratnya hubungan mereka dengan Pak Su nya ini. Kalaulah ada anak saudara saya yang sangat menyayangi saya seperti Irfan dan Umairah, alangkah bahagianya hidup saya.
Watak antagonis , Syafiq dan Natrah ternyata akhirnya kecundang dalam jalan yang songsang. Syafiq yang kita tahu mempunyai rasa cinta kepada Qistina namun saya percaya cinta tidak ikhlasnya ini berlandaskan nafsu serakah mahukan harta milik Qistina yang merupakan anak tunggal kepada Luqman Hakim, pengusaha tekstil yang kaya. Si Natrah pula ,ingatkan dia menyintai Qaiser maka dia berusaha untuk merebut hati Qaiser semula tetapi rupa-rupanya dia ingin menjerat Qaiser untuk menjadi pak sanggup kepada anak dalam kandungan, hasil perbuatan zinanya.
Pengolahan semua watak sampingan cukup menceriakan. Plot cerita juga berkembang dengan baik dan teratur. Penulis juga menyelitkan info tentang penyakit yang dialami oleh Qaiser iaitu penyakit SLE -Systemic Lupus Erythematosus. Qaiser pula jenis manusia yang menyembunyikan sakitnya daripada keluarga ,atas alasan tidak mahu keluarganya bimbang dengan keadaan kesihatannya . Umairah yang menyiasat setelah menemui botol ubat dalam kereta Pak Su nya ,tidak pula dikembangkan hasil siasatannya oleh penulis. Ternyata Umairah seperti gagal untuk mengorek rahsia Pak Sunya ini. Qaiser bijak menyembunyikan keadaan penyakitnya.
Syabas Anuar Kamaruddin kerana berjaya menghasilkan sebuah karya cinta yang hebat berlandaskan Islamik . Percintaan secara Islamik indah dan romantiknya berbeza. Yang penting kehadiran seorang Qaiser berjaya mengubah gaya hidup Qistina . Pun juga secara tidak langsung mengubah perangai negatif Puan Zabedah, ibu Qistina yang materialistik. Sikap dermawan Qaiser terhadap Mak Cik Anggerik sangat mengkagumkan sedangkan ia pertemuan kali pertama. Pendek kata dalam ulasan yang panjang, novel ini berbaloi dibeli dan patut dimiliki oleh semua pembaca. Benar ia karya penulis lelaki , penulis baru pula....tetapi tulisannya kian mantap. Kelainan itu yang dikehendaki. Sentuhan Anuar Kamaruddin ini lembut, dan dekat di hati. Saya berdoa , semoga Anuar Kamaruddin dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus menulis. Saya juga berdoa dia diberi kekuatan mental untuk menghadapi segala dugaan hidup terutama ranjau dalam penulisan . Selamat meneruskan perjuangan Anuar Kamaruddin.

...dan cintapun tersenyum ,akhirnya saya khatam pada minggu lepas. Karya ke tiga Nora Ismail di bawah penerbitan NB KARA menampilkan kelainan dalam tatacara dan bahasa yang digunakan. Pertama kali yang ingin saya luahkan ialah , saya seakan menonton sebuah sinetron kerjasama Malaysia dan Indonesia dalam novel ini.
Teruja sebenarnya ketika membaca novel Nora Ismail ini , saya turut hanyut dalam bahasa Indonesianya. Ini kerana saya terbiasa membaca novel-novel penulis Indonesia seperti Mira W, Pramoedya dan lenggok bahasa yang berlainan menarik sekali. Tanpa saya sedari ketika membaca dan menghayati saya seakan turut terserap dialek Indonesia ini. Ya Ampun, penuh penghayatan sekali.
Jalan cerita yang sangat santai dan menarik. Kisah dua manusia yang berlainan negara , sesama Islam dipertemukan untuk jatuh cinta biarpun permulaannya bukanlah seindah pelangi. Umpama anjing dan kucing sentiasa bergaduh dan saling mencaci. Namun hubungan yang sering berkait menjadikan dua hati semakin bertaut. Namun kisah cinta ini takkan menjadi luar biasa jika tidak disulami dengan halangan dan rentangan. Dugaan yang datang bertubi menguji keimanan dan keteguhan cinta sejati ini. Dua halangan yang cukup berat seperti Cinta dari Akhil ,kawan abang Surihani ,Hizar dan kemalangan yang menyebabkan Ervan menjadi cacat, kehilangan tangan kanannya. Cinta Akhil tak mampu menggugat kesetiaan dua hati yang sudah saling memiliki namun kenyataan rendah diri dan kecacatan fizikal lebih menghentam dan mengganas sehingga mampu membuat dua hati ini berkecai, dan meratap hiba. Saat keduanya bergaduh, saya tersenyum dan bayangannya cukup jelas di mata saya. Saat keduanya romantis, saya juga dapat rasa kemanisannya , dan saat perpisahan membuat jiwa saya memberontak...sedih, kecewa dan marah. Marah dengan sikap Ervan yang keterlaluan namun dalam masa yang sama saya tahu bagaimana rasa rendah diri itu. Ia membunuh jiwa.....jiwa saya dan insan-insan yang sayangi saya. Namun Ervan harus bersyukur , kerana dia dilahirkan dalam keberadaan yang mampu mengatasi segala masalahnya dengan mudah. Dia akhirnya mendapat tangan bionik yang dapat membantu tangan kanannya berfungsi seperti tangan asli. Kasih sayang kedua ibubapanya menjadikan Ervan seorang anak yang manja dan akhirnya kembali selari dalam jalan yang benar dan diredhai Allah.
Paling saya suka ialah bahagian Ervan belajar solat daripada Surihani. Sejuk hati saya dengan kerendahan hati Ervan untuk kembali ke jalan yang benar. Bangga saya dengan watak hero yang mengakui kesilapan diri dan sedia menerima bantuan dan ajaran orang lain hatta daripada wanita yang selalu mengejeknya. Pun juga sikap tanggungjawabnya ketika dia sanggup tidur di luar rumah Surihani kerana bimbangkan keselamatan Surihani tinggal seorang diri , sangat berwibawa dan 'gentleman'. Inilah lelaki idaman setiap wanita , yang prihatin dengan kebajikan wanita tersayangnya. Dan kita manusia tak mampu mengelak untuk sesekali terbabas yakni kesumbangan Ervan dan Surihani. Cinta....jika dua insan berduaan yang ketiga ialah syaitan. Ikhtibar untuk semua pasangan bercinta , jangan terlalu hanyut dengan kasmaran yang melampau sehingga lupa batas-batas agama kita.
Apa lagi istimewanya novel ini ? Nora Ismail memperkenalkan dunia batik yang menjadi sumber rezeki Hizar di Pulau Besar. Pun juga perwatakan Akhil sebagai watak antagonis terlalu melampau negatifnya. Alangkah eloknya jika Akhil mampu disedarkan dan dihantar ke pusat pemulihan ketagihan arak. Saya teringin info sebegini untuk menyedarkan insan-insan yang ketagihan alkohol dan bagaimana mahu menangganinya. Cuma ketrampilan Akhil yang menghidu gam menjadi terlalu drastik , seakan dia sudah menyediakan setin gam sebagai cara untuknya membunuh diri. Sedih melihat manusia seperti Akhil mensia-siakan kehidupannya. Bagaimanapun Nora Ismail juga menyelitkan info tentang Pulau Besar. Dan percaya atau tidak saya boleh teringin hendak makan ayam penyet gara-gara si Ervan ini sukakan ayam penyet. Kecur liur dibuatnya.
Gaya bahasa teratur dan banyak menggunakan bahasa Indonesia namun kewujudan nota kaki untuk menyatakan maksud perkataan tersebut sangat-sangat membantu. Ada sedikit typing error juga dalam novel ini yakni nama ibu Akhil ketika saat peminangan Surihani , Puan Jamilah ditaip Puan Salmah. Hanya itu sahaja kesilapannya. Syabas pihak editor NB Kara kerana amat teliti dalam proses pengeditan novel ini.
Komen lain yang tak mungkin saya tinggalkan ialah tentang hasil tangan Nora Ismail dalam membuat cover novel. Menarik dan cantik. Hahaha..dan kereta EVO...aduhai...sangat bertepatan dengan status Ervan yang kaya dan ganteng.
Terimakasih Nora Ismail sebab menulis novel yang sangat menghiburkan ini. Dan cintapun tersenyum mampu membuat saya ceria dan tersenyum dengan pengakhirannya yang manis. Tahniah Nora Ismail....teruskan menulis.
Setiap tahun menjelang Disember dan Januari , musim hujan melanda. Masa inilah sumber makanan laut sukar didapati, seiring dengan banjir kilat. Pada 7 Januari , hujan turun sepanjang malam dan air sudah melimpahi sungai. Ia seakan pertanda memberitahu kami untuk berjaga-jaga dan bersedia. Sesungguhnya sejak banjir dua kali berlaku pada tahun 2009, saya sudah mengambil langkah berjaga-jaga. Almari-almari novel saya pindahkan ke tingkat atas. Perabut dan peti ais telah saya letakkan di atas susunan bata setinggi 3 keping. Bimbang banjir melanda minggu lepas, saya telah meletakkan sofa di atas kerusi makan dan kerusi kayu.
Seperti yang diduga berdasarkan almanak cuaca Sarawak, pada 14 Januari 2011 (Jumaat) banjir berlaku dan kali ini air berjaya masuk ke dalam rumah walaupun saya sudah mengempang setiap pintu dengan simen. Setelah diteliti dan diselidik, rupa-rupanya air masuk dari celahan tiang . Rumah saya berdekatan dengan jalan,setiap kali lori lalu pasti rumah bergegar juga. Malam itu saya dan emak tidak dapat memelapkan mata kerana risau. Hujan lebat sepanjang malam sehingga terpaksa saya meletakkan besen-besen di tempat yang selalu bocor. Dan malangnya , malam itu juga berlaku angin kuat dari belakang rumah . Ini bererti bahagian tengah mengalami kebocoran teruk, air hujan yang masuk macam rumah tidak berbumbung. Teruk jugalah mengelap kawasan yang basah. Bila jam 4 pagi, anak saudara saya menelefon mengajak mengalihkan kereta kerana air sudah mencecah jalan raya. Saya dapati kereta saya separuh tayarnya sudah ditenggelami air. Saya dan Awg Ridzuan (abah Putri) mengalihkan kereta ke jalan besar di belakang kampung. Nasib baik ada dia, tidaklah geli sangat meredah air dari hujung kampung sampai ke rumah. (rumah saya di depan kampung ). Saya dapati orang kampung semuanya bangun dan tidak tidur .Kami menjadi orang terawal melarikan kereta. Paginya saya meredah air lagi untuk ke sekolah.
Bahagian dapur yang ditenggelami air. Pandai-pandailah memasak dalam air sebegini...sejukkkk.
Ruang makan ,hanya tinggal dua kerusi sebab yang lain digunakan untuk meletakkan barang-barang.
Bilik mandi, bahagian yang terawal dimasuki oleh air dan juga bahagian yang terakhir air surut.
Jam 2 pagi saya membangunkan ke dua anak saudara saya ini, Luqman dan Azizi kerana melihat air sudah masuk ruang tamu melalui celahan tiang. Terpaksalah mereka menyimpan tilam ke tingkas atas dan tidur di kerusi. Saya suruh mereka tidur di tingkat atas , tak mahu pula...jawapnya, takut.
Gambar diambil jam 4 pagi.
Beginilah keadaan di ruang tamu. Nasib baik kali ini tidak berapa teruk sangat dan bilik tidur mak tidak dimasuki air.Alhamdulilah...Mak saya sihat pula masa banjir ini dan dia menurut sahaja bila saya minta dia duduk di atas katil sahaja.
Gambar diambil tengahari 14 Januari 2011.Jalan raya depan rumah ditenggelami air.
Kawasan parking saya ditenggelami air. Kawasan ini menjadi kesukaan anak-anak bermain air.
Anak saudara saya Mohd Zulkhazimi (AJIM) yang baru balik dari asrama Pesantren Taib Mahmud , datang bermain air bersama Luqman yang nakalnya tidak terkata. Luqman tebang 3 pokok pisang dan saya angin bila dia cuba hanyutkan batang pisang yang besar itu belakang rumah dan hampir sahaja pecah batang paip bilik air. Belum lagi pakaiannya sudah sebesen basah. Mesin basuh sudah saya letak di tempat tinggi, terpaksalah saya mencuci tangan di sinki dapur. Dua kali saya mencuci kerana terlampau banyak.
Ini dia , budak yang suka bermain air . Di balkoni rumah pun boleh menjadi tempat berendam.
Ajim membawa adiknya si Zul yang berumur 4 tahun . Zul ini tidak seperti Ajim yang masa umur sebegini suka bermain air. Pernah mendoakan : mudah-mudahan rumah nenek banjir, dapat main air. Doa budak kecil sampai saya meraung ..hahaha.
Budak kecik ini tengok sajalah...hahaha. Dia demam dibawa mamanya meredah air masa balik dari sekolah. Rumah kakak saya selamat dari dilanda banjir.
Sudah lama saya tidak mengupdate blog. Bukannya malas tetapi masa dan keadaan tidak mengizinkan. Terlalu banyak dugaan yang mendatang menjelang awal 2011 namun kesabaran tetap saya pertahankan.
Mak saya seperti biasa terkadang ok dan terkadang tidak. Keadaan kesihatannya yang tidak menentu menyebabkan saya amat sibuk. Kasihan saya melihat dia mengaduh kesakitan. Bila sekolah dibuka saya amat risau dengan dia yang akan ditinggalkan semasa saya bekerja. Kakak sulung saya pula terpaksa menjaga cucu yang bersekolah. Syukur alhamdulilah, Allah perkenankan doa saya, permudahkan niat saya. Akhirnya saya mendapat seorang pembantu yang bekerja dari jam 7 pagi hingga 1250 untuk menemani dan menjaga mak saya. Barulah jiwa saya tenang bekerja.
Kemudian tanpa saya duga saya sebenarnya telah mengabaikan kesihatan diri. Saya lupa diri saya semakin berusia dan antibodi semakin lemah. Maka dengan ditemani seorang kawan saya menjejaki kembali klinik pakar membuat pemeriksaan. Sakitnya tak terkata....dan hati hancur luluh menyedari hakikat diri yang sudah tertakdir sebegini. Namun saya takkan mengalah semudah ini....biarpun terpaksa menggunakan alat sokongan . Selagi hayat masih ada saya akan tetap teruskan perjuangan mendidik anak bangsa kita.
Di sekolah saya tumpukan sepenuhnya pada kerja. Mungkin dunia kerjaya ini sahaja yang dapat memberi saya ketenangan dan kegembiraan. Namun saya sedar , seakan keadaan sudah tidak sama lagi. Bila kawan-kawan bergurau dengan niat hendak mengusik saya, saya sudah tidak ambil peduli....mungkinkah mereka perasan keadaan ini ? Bila mereka gelak dan ketawa, saya seakan merasakan mereka ketawa mengejek dan ini membuat saya berjauh hati dalam-dalam. Saya bersabar sahaja dan langsung tidak membalas kata-kata gurauan yang terkadang sangat melukakan hati.
Keletihan masih saya rasai setiap hari. Seawal 4 pagi saya bangun untuk memasak makanan lunch , kemudian mengurus Luqman ke sekolah dan kemudian memastikan mak makan pagi dan makan ubat.....hingga larut malam melelapkan mata. Apa lagi bila tidur yang seperti tidur-tidur ayam membuatkan saya sangat-sangat letih. Bersabar sahajalah dengan keadaan ini kerana saya sedar hanya saya yang ada untuk menjaga mak. Bohonglah jika saya tidak merasa moody kerana saya hanya manusia yang lemah. Apa-apapun juga, doakanlah saya ketabahan ini......ketabahan yang tidak akan goyah.