PESANAN QADIR JILANI oleh Norhayati Berahim

1

Posted by Leeza | Posted in


Siapa dia Qadir Jilani ? Apakah keistimewaan Qadir Jilani sehingga pesanannya menjadi tunjang untuk menegakkan kekuatan dan semangat seorang wanita bernama Hajar Jilani. Inilah dua soalan utama semasa membaca tajuk novel ini. Tidak perlu menggoogle jauh kerana jika kita menghayati novel NB ini dari mula dan akhir kita diperkenalkan siapa dia Qadir Jilani. Dua insan yang berbeza berkongsi satu nama yang sama. Namun seorang memperkenalkan prinsipnya dan diikuti oleh yang seorang lagi menjadi pesanan kepada puteri tunggal yang ditinggalkan.

Abdul Al-Syed Muhiyudin Abu wal-Hussaini a.k.a Abdul Qadir Jilani,putera kepada pasangan Abu Salih dan Ummul Khair Fatimah yang bijaksana sehingga namanya diabadikan kepada Qadir Jilani abah kepada Hajar Jilani ,seorang penulis tersohor. Antara pesanannya yang bukan sahaja menjadi panduan kepada Hajar tetapi juga untuk kita semua pembaca novel ini iaitu :

1. Kita perlu berkata benar walau kebenaran itu pahit.

2. Lidi kalau sebatang akan patah.Tapi bila sudah dikumpul ,kerja akan menjadi mudah.

3. Manusia mempunyai akal yang tidak dimiliki oleh makhluk lain dan akal itu harus digunakan dengan sebaiknya.

Tiga pesanan ini menjadi asas perjuangan Hajar Jilani dalam menghadapi krisis dan problema dalam perjuangannya di bidang penulisan. Dia yang minat menulis dan berazam untuk menyampaikan tarbiyah dan informasi dalam setiap novelnya menghadapi banyak dugaan apabila novel-novel keluaran syarikatnya tidak dipasarkan dengan baik. Masih ada manusia lain yang berhasad dengki dengan kejayaan Hajar Jilani memikat peminat novel seluruh negara.

Abraham mewakili manusia tamak haloba yang berniaga hanya hendak memperolehi kekayaan dengan secepat mungkin. Dia giat mengeluarkan novel-novel sendiri tanpa memperdulikan kualiti novel tersebut kerana pada anggapannya pembaca-pembaca yang ada di luar sana suka membaca novel-novel jiwang karat yang berjodol cinta, rindu, kasih sahaja. Jika ada yang membelinya cuma satu naskhah sahaja dan kualiti rendah ini menyebabkan pembaca menjadi serik untuk membeli novel yang lain. Secara tidak langsung ini menjatuhkan maruah penulis-penulis novel popular lain yang benar-benar berkualiti. Nama Hajar Jilani yang berprestij tinggi menjadi batu loncatan untuk Abraham memasarkan novel-novel keluarannya. Manusia yang tamak akan berusaha apa sahaja carapun untuk memanipulasi keadaan. Begitulah tindakannya menyogok Sitiah yang menyalahgunakan kuasa untuk menyekat kemaraan Hajar Jilani. Dan perlu kita ingat bahawa manusia seperti Abraham dan Sitiah ada berjuta di luar sana, bukan dalam bidang perniagaan tetapi juga dalam pekerjaan dan kehidupan harian kita. Manusia begini lupa satu pintu rezeki tertutup, sepuluh lagi pintu rezeki lain terbuka pada kita. Jangan sesekali mengalah dan berputus asa. Saya sendiri pernah mengalaminya....rasa hampa dan kecewa tidak terucap dengan kata-kata. Sakitnya lebih sakit dari digerit kaca.

Ringkasnya, Hajar Jilani bangkit dengan resolusi baru dan strategi pemasaran yang lebih progresif . Dia berserah dengan Allah, bersolat tahajud dan hajat untuk menggerakkan segala tindakannya mengharungi tiap halangan yang dibentangkan oleh manusia yang jahat. Allah menemukan jodohnya dengan Hadi yang kemudian menjadi pembantu kuatnya dalam bidang pemasaran. Hadi , insan yang mempertahankan prinsip perniagaan yang bersih dari korupsi dan maksiat . Hadi yang juga menghadapi masalah perceraian ibubapanya. Rasa kagum dengan penulisan Hajar Jilani yang menguatkan semangat ibunya Puan Rose saat-saat kehilangan suami yang beralih rasa cinta dan kasih kepada wanita lain. Penghijrahan Hajar Jilani menjadi pemangkin kejayaan masa depannya. Bila sesuatu jalan yang kita lalui kelihatan amat payah dan sukar, maka kita perlu berubah, berhijrah ke arah jalan baru yang lebih menampakkan harapan yang cerah. InsyaAllah.....saya akan berhijrah dan akan berusaha mencari satu dunia yang lebih luas dalam bidang saya sendiri. Terima kasih atas semangat ini.

NB kali ini mengajak kita semua menerokai dunia buku. Kita sekadar membaca sebuah buku yang cantik garapan isi kandungannya. Kita lupa betapa sakitnya seorang penulis melarik jari jemari mengetuk komputer menyulam tiap aksara menjadi satu untaian kisah yang sedap dibaca. Bukan hanya sedap dibaca ,ia menusuk terus ke hati. Diadun bersama tiupan semangat yang menguatkan jiwa yang resah dan yang sedang bersedih di mana sahaja. Kita diingatkan tentang kebesaran ALLAH dan keindahan CINTA ALLAH agar kita tidak terus terpesong dari landasan hidup yang bertaqwa. Penulis ingin karyanya tersebar luas agar ilmu yang disampaikan oleh penulis dapat dimanfaatkan oleh semua golongan generasi tidak kira di mana jua berada. Namun bagaimana hasrat ini akan tercapai dan terlaksana jika ada 'ajibaok' atau penyamun yang menyekat di tengah jalan? Mengapa harus ada manusia yang hatinya tak pernah sedar dan insaf terus menyekat rezeki orang lain. Agaknya bagi manusia ini, semua harta kekayaan dan rezeki di dunia ini dia seorang yang punya dan hanya hak milik mutlaknya.

Karya kali ini bukan sahaja kita membacanya tetapi setiap penulis baru yang ingin pergi lebih jauh lagi harus dan wajib membaca kerana ada nasihat dan panduan untuk menjadi penulis yang lebih baik. Jangan mudah melatah bila ditegur atau dibakul-sampahkan karya kerana ia menjadikan kita menjadi lebih baik. Berubah ke arah yang lebih baik dan bukan melenting menutup kekurangan diri. Jika penulis menjadi lebih bijak, pembaca juga berubah menjadi lebih pandai. Jangan hanya meneka setiap perkataan baru dan jarang didengar....bawa kamus bersama anda. Kita pembaca perlu juga membuat rujukan untuk lebih memahami hasil penulisan seorang penulis yang bijak. Harus saya akui saya banyak bermuhasabah diri saya ketika membaca karya NB kali ini. Saya pernah mempertikaikan penggunaan perkataan 'mertua' dan 'mentua'. Bahasa Melayu nampak mudah namun jika didalami sedalam-dalamnya, alangkah susahnya. Bukannya saya ini sengaja berlagak menjadi terlebih pandai, namun jika musykil ,suarakan dengan hati terbuka. Dan penulis yang baik tidak akan melenting secepatnya. Dia akan membimbing kita kembali....ringkasnya, seorang penulis bukan sahaja medan ilmu tetapi juga seorang guru yang baik. Inilah yang cuba disampaikan oleh NB....hasratnya menjadikan novel popular bukan kosong semata-mata tetapi juga berisi ilmu yang boleh diguna sepanjang hayat.

Apa yang dapat kita bantu dengan penulis sebaik Hajar Jilani ? Banyak bantuan yang dapat kita berikan.

1. Memberi sokongan padu dengan membeli novel-novel penulis Melayu daripada kedai dan pengedar yang sah.

2. Memboikot kedai yang angkuh dan tidak bekerjasama dalam menjual novel-novel penulis Melayu. Bagaimana mengesannya ? Jika ada kedai yang majoritinya lebih kepada novel lain....tak payahlah beli. (hehehe)

3. Membaca karyanya, menghayati tiap isi dan pergunakan ilmu yang disampaikan dengan sebaiknya. Boleh jadikan santapan jiwa yang resah. Cinta bukan segala-galanya.

4. Promosi secara tidak langsung kepada sahabat dan saudara yang minat membaca novel. Beri maklumat bagaimana mendapatkan bekalan novel dengan mudah.

5. Jangan angkuh dan sombong. Tanya diri anda novel mana yang dapat membuat kita berfikir tentang realiti hidup ini.....buat pilihan yang baik.

Syabas NB atas karya islamik ini. Semoga kehidupan kita semua menjadi lebih baik.

Sahabat

0

Posted by Leeza | Posted in


Dalam dunia ini kita perlukan sahabat. Bila ditanya adakah saya punya kawan sekampung yang boleh saya jumpa setiap hari, bersembang, berkongsi dan sebagainya, saya terdiam sebab hakikatnya saya tak punya kawan sekampung. Masa kecil saya bukan masa yang indah. Tiada kenangan yang manis semasa kecil, sering dibuli dan ditinggalkan . Saya pernah dikhianati oleh kawan semasa kecil. Hidup sebagai kanak-kanak yang cacat pendengaran dan bertatih bercakap menjadi seorang yang tidak popular.Orang malu berkawan dengan kanak-kanak sebegini. Sebab itu sebaik habis sekolah rendah, arwah bapa hantar saya ke sekolah di Kuching dan bukannya Simunjan...jauh daripada kawan-kawan sekelas ini. Satu tindakan bijak sebab di bandar saya belajar berdikari dan punyai kawan-kawan pelbagai bangsa dan jantina. Saya gembira sangat-sangat.

Namun rasa phobia disisihkan oleh kawan-kawan masa kecil membuatkan saya berusaha menjadi kawan terbaik. Sikap ini membuat sebahagian kawan mengambil kesempatan.....sehingga dewasa dan tua. Apa lagi bila jumpa orang gila yang sentiasa mengawal setiap gerak-geri dan kemudian menjatuhkan maruah....sehingga saya bayar hutang pelanggannya . Sekarang ,jika orang itu kembali, saya tidak dapat memaafkannya.

Hari ini saya tunaikan permintaan seorang sahabat untuk bertemu setelah hampir 2 tahun hanya berhubung melalui sms dan telefon. Itupun setelah usia anaknya Dania mencecah setahun 4 bulan. Hindarty adalah kawan saya sejak memasuki USM tahun 1997. Dia merupakan adik kerani tempat saya bertugas dahulu. Kami berdua sering bersama , berbincang dalam pelajaran dan sekarang dalam tugas. Kebetulan pula dia mengajar subjek yang sama dengan saya. Dia pernah menjaga ibubapanya sehingga akhir hayat mereka. Dan Allah tentukan jodohnya sebaik ibubapanya meninggal. Dia nasihatkan saya supaya bersabar menjaga orang tua yang sensitif dan selalu sakit. Dia juga rakan travel saya . Teringat tiap cuti kami selalu tiada di Sarawak.....Sekarang dia sudah berkeluarga , saya kenalah faham-faham keadaannya.

Dania, anak Hindarty yang berusia setahun 4 bulan. Besar ini jugalah Aleesya anak Erra Fazira. Eh ...apa kaitan dengan Erra pulak ? :) sebab saya bekas presiden kelab peminat Erra Fazira untuk negeri Sarawak....sekarang sudah letak jawatan. Dah tua....bila Hindarty tanya kau masih contact Erra dan Ella tak? Hanya ikut fanpage di Facebook sahaja. Berbalik pada Dania, dia menurut mamanya,memilih orang yang dia mahu. Masa bersua muka, Dania tidak kekok dipeluk dan dicium. Alhamdulilah. Agaknya dia dapat merasa aura sahabat baik mamanya.

Happy Birthday Putri

0

Posted by Leeza | Posted in


Dyg Putri Erwin berusia 3 tahun pada 9 Jun 2010 yang lalu. Majlis ulangtahun kelahirannya disambut pada hari ini, 12 Jun 2010 jam 3 petang kerana ibubapanya bekerja. Dia memeluk hadiah harijadi daripada Nek Su nya. Dia tak sabar-sabar hendak membuka hadiah ini tetapi saya larang .Saya bagitahu hadiah ini hanya boleh dibuka setelah doa dibaca. Dia mula membaca doa makan ,hahaha. Saya terpaksa jelaskan, kena datuknya yang baca doa. Dia memaksa datuknya baca doa dan menangislah dia bila tidak dilayan. Terpaksalah menyembunyikan hadiahnya ini .

Latihan meniup kek hari jadi. Mahu juga dia berlakon .

Putri, jangan meleleh air liur sudah....

Acara dimulakan dengan bacaan doa daripada datuknya, Abdul Razak. Sebelah datuknya ini ialah anak Mak Temah : Abang Monir, jiran kami.

Selesai bacaan doa, acara meniup kek ulangtahun. Saya nyanyikan lagu harijadi ini...itupun tak habis nyanyi dia sudah meniup api lilin. Dia dikelilingi oleh pakcik dan makciknya sebelah Datuknya.

Kemudian memotong kek pula. Begitu sekali datuknya menahan dia dari merosakkan kek tersebut. Putri ini bukan boleh dijangka tindakannya.

Tetamu yang hadir. Mak dengan Mak Temah. Udak Iza dengan anak-anaknya. (isteri adik Datuknya).

Anak dan cucu-cucu Mak Temah. Yang berbaju merah itu anak Mak Temah, kawan sepermainan saya.

Luqman dengan cucu-cucu Mak Temah sedang menjamu selera.

Sepupu saya , Rahmah dengan anak daranya.

Kek hari jadi Putri. Kek bergambar Barbie. Kelakar bila gambar itu dikatakan kertas oleh bapa Putri. Rupanya guna fonten.

Menu utama , roti canai dengan kuah kacang Dal Ayam. Sedap-sedap. Kakak saya buat dua jenis kuah, satu kuah kacang dal dan satu lagi kuah kacang. Mak saya sukakan kuah kacang.

Kentang goreng. Mak pun baru tahu kentang goreng ini sedap. Pesanan utama kepada saya : belikan kentang goreng ini.

Hotdog goreng bertepung kentucky.

Nugget ayam.

Keropok ayam.

Cheese Ring Snack

Dadih mangga.

Putri mendapat hadiah cekak rambut daripada pak ngahnya Zulqazimi dan pakaian merah ini daripada Nek Ciknya , Saadi. Sebaik dapat hadiah terus bertukar pakaian....kemudian minta diambil gambar dengan kek yang sudah dipotong. 2-3 kali pasang lilin dan tiup.

Kemudian dia menagih hadiah daripada Nek Su. Ta...da....mini laptop untuknya. Keyboard huruf ABC dan ada learning functions. Terpaksa mengajarnya menekan dengan lembut. Kedekut dia ni...

Selamat hari lahir ke 3 sayang dan semoga menjadi anak yang taat kepada ibubapa dan solehah.

Satu Hari Yang Penuh Cerita

0

Posted by Leeza | Posted in


Hari ini semua guru DG41 dan Dg44 menghadapi exam PTK. Saya mengambil PTK /Tahap Kecekapan 2. Mula-mula paper 702/1 (Generik) pada jam 9 pagi saya hadapi dengan hati yang tenang walaupun soalannya kebanyakan pelik-pelik belaka...contohnya bahagian protokol, panggilan kehormat untul VVIP dan barisan duduk untuk tetamu VIP semasa majlis rasmi. Fokus sekali saya menjawabnya sehingga saya siap dalam masa 40 minit. Itupun siap ulang balik soalan 2 kali. Pada jam 11 pagi, paper ke dua 702/2( Guru Mata Pelajaran) , saya sudah mengeluh sebab rata-rata soalannya khusus untuk tugas-tugas guru sekolah menengah. Daripada pakai cermin mata ,saya sudah tanggalkannya dan letak cermin mata di atas meja. Ada satu soalan mengenai ETR untuk subjek biologi SPM , datanya saya langsung tak faham dan tak tahu bacapun. Ingatkan ETR 2.98, tahap yang teruk maka saya jawablah kena adakan program pemulihan. Bila tanya kawan saya yang ajar sains SPM dia kata ETR 2.98 adalah keputusan cemerlang....jadi saya dah salah soalan ini. Kemudian keluar SWOT....saya tak tahu apa itu SWOT. Rasa nak menangis pun ada. Rata-rata soalan tidak ada dalam buku-buku PTK yang dibaca. Sekarang ini saya dah masukkan semua buku-buku PTK dalam almari. Tawakal sahaja, kalau ada rezeki adalah, kalau tak, bye-bye PTK.

Balik dari PTK saya pujuk kawan saya pergi ke Kuching bersama saya. Saya sempat makan nasi di rumah tetapi kawan saya belum makan tengahari lagi. Kami singgah sekejap rumah Cikgu Maimunah untuk saya menyerahkan kertas Sains UPSR sekolahnya yang telah siap saya semak.
Kami makan di FOOD COURT ,SPRING. Makanan di atas ialah pilihan saya iaitu Cheese Baked Chicken Rice ( RM10) Sedap.

Ini pilihan kawan saya , Black pepper Lamb Rice (RM8.50) Okey jugalah rasanya. Minuman pilihan saya , Kiwi Juice (RM2.50) dan kawan saya memilih Carrot juice (RM3.00)
Kami sempat shopping sedikit. Saya membeli novel Layang-layang Bertali Kaca untuk saya hadiahkan kepada Diana yang hendak balik Ke Paris dan hadiah harijadi Putri ke 3.

Lebih kurang jam 4.30 kami pergi ke Pekan Sentosa kerana kawan saya hendak mencari alas kusyen keretanya. Kebetulan kami menggunakan kereta saya . Kawan saya ini pula tersasul memikirkan keretanya sehingga dia meminta Cina kedai memasang alas kusyen itu. Bila saya ingatkan bahawa yang kami guna ialah kereta saya, mengucap panjang dia. Hahahaha....gelihati.
Jam 5.30 petang kami pergi ke airport untuk menemui Diana , rakan sekelas saya semasa di Kolej DPAH Abdillah dulu. Diana berangkat ke KL jam 7.10 pm dan akan ke Paris pada 18 Jun 2010.

Yang berbaju hitam itu ialah Jane Karin Wilson dam berbaju coklat pula ialah Diana. Selamat berangkat Diana.

Sepanjang perjalanan balik, saya dan kawan saya bercerita pasal soalan-soalan PTK lagi....aduhhh. Susah benor nak naik gaji ni.

Karangan UPSR Yang Lucu

4

Posted by Leeza | Posted in

Saya tertarik dengan karangan ini yang saya temui di wall FB sahabat saya. Bila saya baca keseluruhannya....saya tak tahan ketawa . Agaknya inilah daya imaginasi anak-anak sekarang yang masanya suka menonton siri kartun , Ultraman dan transformer. Nanti sesiapa yang sudi baca , sila berikan komen dan apa gred yang anak ini dapat.

Tajuk : Kemalangan jalanraya yang pernah saya saksikan

Pagi itu pagi minggu. Cuaca cukup sejuk sehingga mencapai takatsuhu beku. Sebab itu saya tidak mandi pagi sebab air kolah jadi air batudan air paip tidak mahu keluar sebab beku di dalam batang paip. Pagi itusaya bersarapan dengan keluarga di dalam unggun api kerana tidak tahansejuk. Selepas itu emak saya mengajak saya menemaninya ke pasar. Tetapisaya tidak mahu.Selepas emak menikam perut saya berkali-kali dengan garfu barulahsaya bersetuju untuk mengikutnya. Kami berjalan sejauh 120 kilometerkerana pasar itu letaknya 128 kilometer dari rumah. Lagi 8 kilometer naksampai pasar saya ternampak sebuah lori kontena meluru dengan laju dariarah belakang.Dia melanggar emak saya. Emak saya tercampak ke dalam gaung. Diamenjerit "Adoi!". Lepas itu emak saya naik semula dan mengejar loritersebut. Saya pun turut berlari di belakang emak saya kerana takut emaksaya melanggar lori itu pula. Pemandu lori itu nampak kami mengejarnya.Dia pun memecut lebih laju iaitu sama dengan kelajuan cahaya. Kami pulaterpaksa mengejar dengan lebih laju iaitu sama dengan dua kali gandakelajuan cahaya. Emak saya dapat menerajang tayar depan lori itu. Loriitu terbabas dan melanggar pembahagi jalan lalu bertembung dengan sebuahferi. Feri itu terbelah dua.Penumpang feri itu yang seramai 100 orang semuanya mati. Pemanduferi itu sangat marah. Dia pun bertukar menjadi Ultraman dan memfirepemandu lori. Pemandu lori menekan butang khas di dalam lori dia..loriitu bertukar menjadi robot Transformer. Mereka bergaduh di udara. Emaksaya tidak puas hati. Dia pun terus menyewa sebuah helikopter di GentingHighlands dan terus ke tempat kemalangan. Dia melanggar pemandu feriyang telah bertukar menjadi Ultraman itu.Pemandu feri itu terkejut dan terus bertukar menjadi pemandu ferisemula lalu terhempas ke jalanraya. Pemandu feri itu pecah. Pemandu lorisangat takut melihat kejadian itu. Dia meminta maaf dari emak saya. Diamenghulurkan tangan ingin bersalam. Tetapi emak saya masih marah. Diamenyendengkan helikopternya dan mengerat tangan pemandu lori itu dengankipas helikopter. Pemandu lori itu menjerit "Adoi..!" dan jatuh ke bumi.Emak say menghantar helikopter itu ke Genting Highlands. Bila dia balikke tempat kejadian, dia terus memukul pemandu lori itu dengan begtangannya sambil memarahi pemandu lori itu di dalam bahasa Inggeris.Pemandu lori itu tidak dapat menjawab sebab emak saya cakap orangputih. Lalu pemandu lori itu mati. Tidak lama kemudian kereta polis punsampai. Dia membuat lapuran ke ibu pejabatnya tentang kemalangan ngeriitu. Semua anggota polis di pejabat polis itu terperanjat lalu mati.Orang ramai mengerumuni tempat kejadian kerana ingin mengetahui apa yangtelah terjadi. Polis yang bertugas cuba menyuraikan orang ramai lalu diamenjerit menggunakan pembesar suara. Orang ramai terperanjat dansemuanya mati.Selepas itu emak saya mengajak saya ke pasar untuk mengelak lebihramai lagi yang akan mati. Di pasar, emak saya menceritakan kejadian itukepada penjual daging. Penjual daging dan peniaga-peniaga berhampiranyang mendengar cerita itu semuanya terkejut dan mati. Saya dan emak sayaterus berlari balik ke rumah. Kerana terlalu penat sebaik saja sampai dirumah kami pun mati. Itulah kemalangan yang paling ngeri yang pernahsaya lihat sebelum saya mati..


Apa macam ? Boleh diterima tak ?


HARUMNYA NORJANNAH oleh Kusyi Hirdan

2

Posted by Leeza | Posted in


Penulis novel Harumnya Norjannah, Kusyi Hirdan. Selama ini beliau banyak menghasilkan karya genre kanak-kanak dan remaja . Ternyata sentuhannya dalam novel dewasa yang berat dengan isu semasa menyentuh hati saya. Kita membaca bukan sekadar hendak berjiwang karat tetapi juga memerlukan bacaan yang menyentuh hati dan pemikiran kita. Semoga ia menjadi panduan kepada generasi remaja kita yang bijak pandai agar tahu membezakan yang benar dan yang salah.

Kecil je gambar novel ini kan. Saya cilok dari facebook penulisnya : Kusyi Hirdan. Novel ini ketika diwartakan dalam facebook milik Kusyi, aura ingin tahu dan tarikannya kuat sehingga saya dan Eryz Dwan atau si Atan berebut untuk memesan secara online. Sejak saya menghayati karya pertama Kusyi melalui NB Kara : Galau Di Hati Seri , saya sangat yakin Kusyi tidak menghampakan sebab karyanya padat dengan isi dan peristiwa. Dia tidak bermain di atas anganan atau fantasi tetapi nyata mengungkap segala kisah harian kita dalam masyarakat.

Novel ini tiba di teratak usang saya pada 24 April 2010 yang lalu namun sempat saya baca pada 6 Jun 2010. saya mengambil masa 12 jam menghabiskan bacaan saya ini. Kebetulan saya sibuk membuat ulangkaji untuk peperiksaan PTK saya pada 10 Jun nanti...nampaknya aura tarikan Harumnya Norjannah ini sangat kuat sehingga saya boleh ketepikan PTK buat sementara waktu.

Tahniah Kusyi atas garapan yang kemas ini. Isu yang disampaikan jika diulang baca amat berat dan sensitif namun berjaya diolah dengan begitu santai sekali. Isu Puvanes , janda berbangsa India yang memilih Islam sebagai akidahnya. Bukan sedikit halangan dan cabaran yang harus dihadapi namun Puvanes@Norjannah ini begitu teguh dengan semangat yang jitu untuk mempertahankan akidah barunya. Bukan sahaja isu agama yang diperdebatkan tetapi juga isu budaya dan masyarakat itu sendiri. Saya teringat dengan buku Inggeris yang pernah saya baca 'Around the world in 80 days" ,mereka berdepan dengan isu wanita India ini. Konsep 1 Malaysia ada dinyatakan namun ia berkisar antara masyarakat India dan Melayu sahaja. Puvanes yang nekad keluar dari rumah suami pemabuk dan rela menjadi janda daripada terus hidup menderita didera oleh suaminya itu. Bukan ketabahan Norjannah saja membuat kita berdecak kagum tetapi yang paling menonjol watak wanita hebat ialah watak ibunya, Shanti. Dialah kekuatan dalam keluarga itu . Shanti lah yang nekad mengambil dan menyelamatkan Puvanes dan anak-anaknya dari rumah suaminya, Thiagu. Shanti juga yang gagah berdiri menentang tohmahan dan kutukan masyarakat dengan status janda Puvanes yang dianggap membawa bala dan memalukan keluarga. Biarpun awalnya dia marah dan terluka kerana Puvanes memeluk Islam tanpa pengetahuannya namun kasih ibu mengatasi segalanya. Dia ibu yang banyak berkorban untuk anak-anaknya. Dia menyokong kuat anak-anaknya terutama Puvanes.

Novel ini juga menyentuh tentang fenomena bagaimana ada segelintir orang Islam sendiri yang terpesong akidahnya . Bila iman diri tidak kuat, kemudian disogok oleh kumpulan yang terlatih untuk merekrut ahli baru dalam agama Kristian , maka golongan ini akan cepat goyah pegangannya. Watak Norli yang diperdayakan oleh nafsu dan cinta menjadikan keluarga Nora ditimpa masalah. Bersyukur kerana syntom ini dapat dikesan awal dan bantuan pihak PERKIS maka Norli dapat diselamatkan akidahnya. Kejadian yang sama pernah terjadi kepada ibu mereka Puan Raihanah. Kita bukan sahaja didedahkan dengan berbagai masalah dan konflik dalam hidup keluarga Norjannah , keluarga Nora tetapi juga peranan masyarakat sekitar yang menyokong kuat kehadiran ahli baru dalam Islam. Organisasi PERKIS yang kuat ini menjadikan kita menarik nafas lega jika lebih ramai golongan yang terpesong seperti Ilham, Puan Raihanah dan Norli dapat diselamatkan. Malahan setiap pengakhir episod kita dihidangkan dengan tafsir ayat-ayat Al Quran sebagai panduan.

Kelemahan novel? Rasanya lebih kepada bilangan mukasuratnya yang nipis dan TIDAK PUAS untuk dibaca. Saya nak lagi lah ,Kusyi. Maksud saya , novel ini masih boleh dikembangkan lagi....menarik sangat. Apa kata kalau kita luaskan taubat dengan memberi peluang watak Eddy kembali dan menerima nur Islam? Kenapa watak ARU dimatikan begitu sahaja , begitu juga dengan watak Gopal? Pada akhir cerita , watak Gopal disenyapkan terus. Tentu sahaja saya tidak melupakan watak Shanti yang hebat itu. Jika Shanti memeluk Islam , tentu kita rasa lebih bersemangat. Kenapa watak Puan Mina dan Puan Jaya dibiarkan menjadi pengacau keluarga Shanti ini. Saya tidak suka dengan perangai mereka yang 'menyibuk' hendak mengatur keluarga Shanti tetapi anak-anak mereka dibiarkan pula kahwin lewat. Sekali-sekala kita kena 'ajar' mereka berdua ini...untuk menyedarkan mereka dari sikap bongkak.

Dan pengakhirnya, saya kecewa. Watak heroin tidak berkahwin dengan watak heronya.huhuhu. Sedangkan kita tahu Norjannah ada menyimpan perasaan juga kepada Ilham. Inilah kelebihan Kusyi, dia dapat mencalit apa sahaja warna dalam karyanya....tahniah dan teruskan. Kalau boleh hasilkan karya yang panjang supaya puas kami membacanya.Saya tak puas hati dengan gambar Novel yang sangat kecil di atas...maka saya google dan jumpalah gambar ini yang lebih besar dan lebih jelas. Warna biru itu cantik....teringat dengan sari biru milik Shanti yang menjadi sebab dia mengetahui identiti Puvanes yang sebenarnya.

P/s : Bab 26 tertulis dua kali. Ada sedikit kesalahan editing dari segi nama watak juga.Sedikit sahaja dan tidak mencacatkan novel.

TERBANGLAH SAYANG oleh Aina Emir

0

Posted by Leeza | Posted in


Saya juga membaca novel-novel karya Aina Emir . Terbanglah Sayang merupakan karya terbaru beliau yang saya beli semasa Pesta Buku Antarabangsa KL 2010 yang lalu. Saya sempat menemui beliau di Booth Karnadya .

Novel ini saya habiskan berminggu-minggu kerana sesungguhnya saya tidak dapat menghayati novel ini sepenuh hati. Alasannya satu....isi ceritanya tidak menepati kehendak saya. Ada pendekatan 'western style 'dalam novel Terbanglah Sayang.

Sinopsis serba ringkasnya :
Kisah cinta tiga segi antara Fiya, Inaz dan Arash. Setelah habis membaca novel ini ia dapat dirungkaikan watak Fiya dan Inaz yang bersaing antara satu sama lain. Mereka sepupu yang punya wajah seiras namun berlainan karekter . Pada mulanya saya tidak suka dengan watak Inaz yang digambarkan serba kurang berbanding Fiya yang bijak, lembut, disukai oleh semua orang. Inaz yang digambarkan gedik, suka bersaing dengan Fiya , emosional . Kemuncak perangai Inaz dikatakan 'jahat' bila perkahwinan Fiya dan Faris terbatal pada saat-saat akhir. Inaz dikatakan penyebabnya! Namun pembaca harus baca hingga ke akhirnya sebelum menghukum Inaz dengan perbuatannya ini. Ini kelebihan Aina Emir untuk men'twist' pemikiran dan penilaian pembaca terhadap watak-wataknya.

Yeap! Fiya telah menang. Dia tetap muncul sebagai juara dalam persaingannya dengan Inaz apabila dia berjaya memiliki Arash, lelaki militer yang hebat. Juruterbang pesawat juang no 1 iaitu SUKHOI. Namun setelah apa yang terjadi kepada Inaz , kekecewaan Inaz menyebabkan Fiya terpukul hebat. Walau mereka umpama musuh dan lawan dalam sesuatu persaingan namun rasa kasih sebagai sepupu dan sahabat sejak kecil mengatasi segalanya. Rasa bersalah menjadi balasan yang sangat mahal bila Fiya dan Arash semakin jauh terpisah oleh rasa ego dan rasa bersalah Fiya. Satu demi satu terungkap segala muslihat Fiya dalam mengatasi Inaz. Dia bijak merancang segalanya namun dia kalah dengan perasaan bersalahnya. Inaz mencari bahagia sendiri dengan bantuan Arash. Di sini kita tahu Inaz berjaya mengalahkan Fiya dalam menanggani perasaannya dan sesungguhnya Fiya tidak mampu menandingi setia kasih Inaz terhadap Fiya. Kerana kasihnya terhadap sepupunya ini menyebabkan dia tidak rela sepupunya memilih Faris yang sudah mempunyai kekasih hati. Sayang , watak indah sebijak Fiya rupanya menjadi watak jahat yang bertopengkan kebijaksanaan dan kelembutan. Dia menjadi isteri yang mengabaikan Arash ,suaminya.

Novel ini lebih kepada orang yang sudah berkahwin. Ia mengungkap masalah sensitif hati dan tanggungjawab dalam sesebuah perkahwinan. Penulis dengan beraninya mengungkapkan isu antara nafsu, tanggungjawab dan cinta. Arash dan Fiya , bersatu di ranjang dengan penuh nafsu namun masih ragu-ragu dalam hati adakah ia kerana cinta atau sekadar tanggungjawab semata-mata. Perempuan masih pertahankan rasa ego dan malu mengungkap kata cinta pada suami sendiri, dan lelaki pula tidak berani mengungkap perasaan bimbang cuma bertepuk sebelah tangan. Namun keduanya umpama pasangan yang baru belajar bercinta, bertemu kerana rindu , bersatu kerana sunyi.

Selain itu, penulis juga dedikasikan novel ini untuk golongan pasukan hadapan yang sentiasa memperjuangkan keamanan dan keselamatan negara . Dilema pasangan suami isteri yang terpaksa berpisah jauh kerana berlainan kerjaya....isteri tentera kena memahami tugas suami yang terikat dengan kerjayanya. Sejuta hormat buat isteri-isteri tentera yang turut berkorban demi suami dan negara.

Ringkasnya, novel ini banyak memainkan dilema dan konflik dalaman. Ia banyak bermain teka-teki. Cinta jadi hambar bila tidak dilafazkan. Masing-masing lebih banyak buang masa dengan berteka-teki dalam hati. Nasib baik dah kahwin...jika tidak Arash sudah lama menjadi milik wanita lain.