REMBULAN BERDARAH oleh Anita Aruszi

0

Posted by Leeza | Posted in


Novel Rembulan Berdarah karya Anita Aruszi adalah hadiah daripada adinda Ain Ismail. Terimakasih dik. Jika dia menyatakan sesebuah novel itu best ,tentu tepat citarasanya . Novel ini saya habiskan dalam tempoh 5 hari kerana terpaksa bersaing dengan kerja, sukan dan keluarga.

Kisah di dalamnya tentang cinta, keluarga , harta , persahabatan , kesetiaan, belas ikhsan dan kongsi gelap. Puas....itu yang dapat saya katakan kerana membaca novel ini seperti menonton sebuah telenovela di televisyen. Penulisnya cukup bijak menggarap semua plot sehingga kita hendak tahu banyak perkara. Cinta yang diperkatakan antara Nasriq , Raihana@Duha Maisara dan Zafran tidak terlalu kejiwangan ,malah sukar untuk mengungkapkan kata cinta sewenangnya. Hanya dua hati yang telah bertaut mampu membicarakan cinta dari pandangan mata , hati dan perbuatan. Namun keseluruhan kisah berkisar konflik dalam keluarga , dendam dan tamak menguasai hati Engku Iskandar sehingga dia berkomplot dengan kongsi gelap Black Parade ( Albert Wong) untuk menghancurkan keluarga Zainal Ikram demi harta. Kita diumpamakan menaiki 'roller coaster' ketika membaca novel ini....trajedi yang menimpa terhadap keluarga Raihana sehingga arwah ayahnya dituduh menjadi pembunuh dan meninggal di penjara. Ibunya Maisara pula disuntik ubat sehingga koma dan kemudian menjadi gila di rumah sakit jiwa Ar Raudhah. Dan Raihana sendiri diculik kemudian hendak dijual sebagai pelacur di Thailand. Mujurlah anak yang baru berusia 12 tahun ini sangat bijak untuk melarikan diri dari sebuah lori dan merentasi hutan kemudian menyamar sebagai Duha Maisara yang hilang ingatan.

Cuma watak Asri adik Zainal Ikram yang muncul selepas 12 tahun untuk memperjuangkan nasib Raihana dan mencari dalang sebenar disebalik pembunuhan Zainal Ikram menimbulkan syak wasangka. Katanya cuma 2 tahun ini dia berjaya menjejaki Molin Rahman untuk membongkar wasiat asal Zainal Ikram. Kenapa dalam tempoh 10 tahun dia gagal menjejaki Raihana dan ibunya ? Bukankah dia seorang bekas komando yang kenal rapat dengan pihak polis ? Mungkinkah kerana 2 tahun ini usaha Inspektor Jason menyamar dan masuk dalam A&K Construction sebagai pembantu Estella Wong membuatkan pihak polis berjaya mengaitkan dengan trajedi 12 tahun lalu ? Saya sukakan watak Bustamam seorang ayah yang gila judi , sejahat manapun dia rasa kasihnya terhadap anak angkatnya Duha Maisara membolehkan Duha dilindungi oleh Mama Jun dan pekerja-pekerja kelab malam Blue Ocean. Malahan ketika Black dan konco-konconya mencari Duha Maisara, ayah ini berusaha menyelamatkan si anak. Banyak kisah yang diadun dengan kemas , watak pula tidak terlalu banyak....rahsia demi rahsia dileraikan dengan baik. Penulis berjaya membuat kita tertanya-tanya anak siapakah Nasriq Adli itu dan kenapa Estella ,Reyna dan Albert begitu melindungi Nasriq? Tahniah buat Anita Aruszi kerana berjaya membawa dunia kongsi gelap ala mafia dalam novel ini. Hmmm...kalung permata saphire oren milik Duha yang tercicir bukankah telah diiklankan oleh Erman ? Kenapa Duha Maisara tidak menuntutnya ? Mungkin lebih teruja jika Duha Maisara melihat iklan tersebut dan menuntutnya ? Namun takkan nak temukan watak hero dan heroin semudah ini? Keciciran kalung dan ditemui di rumah lama arwah Munif menyatukan satu campur satu menjadi dua....perfect.

Gaya bahasa , perbendaharaan kata serta struktur ayat yang digunakan juga baik dan mudah difahami. Kesalahan editing juga tiada atau saya terlepas pandang? Secara teknikal , typing error juga rasanya tiada. Ternyata saya mula menyukai karya Anita Aruszi ini.

Persiapan Sebelum Cuti KL

3

Posted by Leeza | Posted in

Ada yang gelak bila saya katakan saya nak buat persiapan .....macamlah saya nak pergi ke bulan. Hahaha....teruja sungguh ini. Saya gembira dapat pergi mengembara jauh dari tempat jin bertendang , tempat lubuk masalah yang tiada kesudahannya. Lagi satu, esok-esok kalau dah terkedang atas ranjang atau bertongkat menggigil jalan tak lurus , tak mungkin saya berpeluang naik belon lagi. Aktiviti naik belon sudah jadi satu aktiviti wajib setiap tahun. Kali ini, hajat hati bukan naik belon sahaja tetapi nak naik gelembong yang besar itu....boleh saya cerita dekat anak-anak bagaimana rasanya naik kenderaan yang menjadi satu sekuen dalam teknologi pengangkutan dunia.

Persiapan pertama ialah kerja yang hendak ditinggalkan. Memandangkan saya akan balik dari KL sehari sebelum tarikh sekolah dibuka semula , segalanya kena disiapkan seawal seminggu. Markah dan laporan 2 orang trainee di bawah bimbingan saya sudah dikemaskinikan. Fail-fail Panitia Sains ,Pusat Sumber, Program Nilam, Perpustakaan serta PEKA Sains juga perlu dikemaskinikan. Khabar yang diterima hujung Mac ,pihak JPN dan PPD akan datang melawat sekolah.Persediaan menunggu mereka perlu agar tidak berlaku ketidak cekapan dalam pengurusan di sekolah. Begitu juga urusan cukai pendapatan diri dan rakan-rakan yang mengupah saya rm10 seorang.

Persiapan kedua ialah urusan rumah yang ditinggalkan. Ingatkan dapatlah meminta salah seorang abang menjaga mak semasa ketiadaan saya beberapa hari namun banyak pula aral dan alasan. Agaknya betullah, anak sepuluh orang mak dapat jaga tetapi mak seorang belum tentu sepuluh orang ini dapat jaga. Saya perlu pastikan rumah dibersihkan dan dikemaskan. Segala keperluan makanan dan peralatan di rumah dilengkapkan. Ubat-ubatan emak dipastikan masih banyak stoknya. Wang belanja untuk mak juga perlu diberikan melebihi kebiasaan. Apa yang pasti walaupun peti ais telah dipenuhkan dengan makanan, terkadang dia tentu teringin membeli ikan atau kuih muih yang dijaja dari rumah ke rumah.Atau dia kena membayar wang kupon kematian ( wang kutipan bila berlaku kematian di kampung) biasanya setiap kematian dia kena membayar rm25 sebab membayar untuk 5 beradik saya....yang wangnya rm5 selalu mereka lupa bayar balik. ( Saya selalu bisingkan hal ini-buat apa nak sibuk dengan mereka yang baliknya berbulan-bulan baru nampak muka) Begitu juga dengan semua bil-bil jangan sampai dia nampak belum berbayar lagi, walau jenuh kita jelaskan due datenya masih lama lagi. Orang tua beginilah...hal remeh selalu dianggap berat. Kalau boleh baginya , hari ini sampai bil, esok mesti jelaskan. Cucunya si Luqman saya dah tugaskan menjaga neneknya dan dia akan tidur bersama neneknya ini. Senakal si Luqman ini, dia pandai menjaga neneknya ketika demam.

Persiapan ketiga ialah beg yang perlu saya kemaskan untuk dibawa ke KL. Sejak minggu lepas mak telah ingatkan saya tentang barang-barang yang hendak dikemas. Antaranya ubat-ubatan seperti panadol, pil gastrik, minyak cap kapak, dan jujub ubat batuk. Pertambahan berat menyebabkan beberapa helai seluar sudah ketat dan tidak selesa dipakai. Begitu juga dengan beberapa helai blouse.....alamatnya seluar dan blouse akan menjadi bahan shopping di KL. Juga tengah buat cabutan undi nak pakai handbag kepit atau handbag selempang . Handbag selempang selesa dipakai ....ringkas dan selamat. Senarai buku yang hendak dibeli di PBAKL juga perlu sebab saya tak mahu membeli buku-buku yang boleh saya dapatkan melalui online. Ertinya , siapa penulis yang saya jumpa saya akan beli novelnya dan dapatkan tandatangan. Hanya yang saya minati sahaja.....yang lain-lain boleh diorder secara online. Sebabnya nanti menghadapi masalah overweight pula...kalau naik belon MAS takpe juga...ni Airasia, everybody can fly, everything can be charge. Barang-barang penting seperti handfon dan kamera mesti awal-awal disediakan.....sebab saya menganggap KL syurga membeli belah tetapi barangan kecil-kecil susah nak dapat... seperti reload xpac dan bateri kamera. Kenalah siapkan awal-awal. Kemudian beberapa cenderahati untuk yang tersayang....tambahan pula dia bakal menyambut harijadinya tak lama lagi. Semoga dia sudi menerimanya.

Jadual cuti saya padat dengan berbagai aktiviti. Setiap hari dan setiap masa. Kalau kebiasaan jam 10 malam mata sudah menguap....sekarang saya berusaha tidur jam 12 malam...itupun sepanjang 2 jam itu asyik gosok mata, menekup mulut menguap dan berbaring berguling-guling atas ranjang. Target nak habiskan stok novel yang sedia ada gagal dilaksanakan . Terdapat 7 novel masih dalam simpanan. Perbelanjaan membeli novel saya tahun lepas sudah mencecah RM1800 ,melebihi had rebat yang diperuntukkan oleh cukai iaitu rm1K. Nanti di PBAKL...berapa agaknya akan saya belanjakan? Disiplin diri kena diperkuatkan , budget kena ditentukan....biarlah rahsia sebab kena tunggu dan lihat.

Sekarang seperti apa yang Kak SRI DIAH katakan seperti menunggu hari akad nikah, begitulah agaknya debaran saya menghitung hari ke Kuala Lumpur. Semoga segalanya dipermudahkan. Cukuplah agaknya pertemuan sekali dalam setahun untuk semua pembaca novel....kerana saya sedar hakikat saya terlalu jauh.

Double Knock Out Bola Jaring dan Bolasepak Antara Rumah Sukan

0

Posted by Leeza | Posted in


Sukan antara rumah sudah bermula. Murid-murid excited terlebih sehingga pelajaran macam tak masuk je dalam kepala. Asyik cerita pasal sukan sahaja. Tengoklah hakimnya , berbaju kurung dan siap berpayung...panas agaknya. Layan je aksi anak-anak perempuan main bola jaring. Saya tak reti main bolajaring sebab di maktab saya main bola baling. Pasal baling-baling , saya pandai je...keh3.



Ini pula aksi anak-anak lelaki main bola sepak. Kalau fokus dekat, refereenya pakai kasut Pua Chu Kang sebab padang sangat lecak. Maklum seharian pagi ke tengahari hujan lebat. Namun semangat berkobar-kobar anak-anak ini seronok sahaja berlari di padang.
Budak yang pakai baju kuning dan seluar merah ini namanya Idris. Nakal dia terlebih, dalam pelajaran selalu buat hal...lemah. Tetapi dia punya otak yang bagus , sekarang semakin maju dalam pelajaran...bagaimana nak handle dia ? Senang je , layan dia macam anak sendiri, kawan dan guru dengannya. Dialah bintang bolasepak rumah Merah hingga terkial-kial ahli rumah saya dibuatnya. Sampai saya ugut dia: Idris, masuk gol, saya sekeh kepala awak....keh3. Dia sengih sahaja sebab dia tahu saya acah-acah je.
Wajah-wajah wira rumah hijau. Semuanya buka baju sebab susah referee nak cam mana satu pasukan yang berlawan. Sibuk je si Fadillah tu....nak ambil gambarpun lewat.
Ini pula penyokong-penyokong yang suka berpaling tadah. Sekejap sokong rumah hijau sekejap sokong rumah merah. Tak boleh pakai langsung.....nyibuk je nak posing sakan. Yang besar-besar tu bekas murid ....masih nakal-nakal macam dulu juga.

Pada akhir perlawanan hari ini, rumah hijau kalah bola jaring dan bolasepak. Kesian mereka....walau bagaimanapun saya beritahu mereka kalah kamu kalah bermaruah.

Pedasnya Sambal Lokan

4

Posted by Leeza | Posted in


Kalau NB dan semua geng pedas tengok ini mesti gelak guling-guling sebab rupa sambal yang saya buat ini ternyata tidak nampak kaw-kaw pedasnya. Hari ini saya masak sambal lokan . Lokan direbus terlebih dahulu dan ambil isinya. Bawang merah, bawang putih ditutuk halus dan dua sudu makan cili kering yang diblend ditumis hingga garing dan timbul baunya. Kemudian letakkan sedikit asam jawa dan kemudian letakkan bawang besar dihiris nipis. Lepas tu baru letak isi lokan dan gaul. Letak sedikit gula, garam dan perisa. Mak yang makan terurut dada. Komen : pedas sangat...sik apat dimakan sambal ko JOT. ( ini nickname saya )keh..keh. Saya sendiri makan...hmmm nyaman....nyaman.... tapi lepas tu lidah dah terjelir,peluh menitis....dan air bergelas habis.

Ini pula makanan mesra orang tua terutama yang tak ada gigi . Kalau ada warga emas di rumah kenalah bertimbangrasa dengan makanan untuk mereka. Sengkuang dan carrot saya racik guna 'pemarut' kemudian saya gaul dengan pitis rojak buah dan sedikit kacang tanah yang diblend. Saya racik banyak sengkuang dan carrot ini dan letak dalam peti ais. Jika mak saya nak makan, bolehlah gaul dengan pitis rojak buah bila-bila masa dia nak. Ini aje kali ini.....terima kasih kak NB sebab bagi resipi....

BIARLAH YM BERBICARA oleh Hanni Ramsul

3

Posted by Leeza | Posted in



Terimakasih kepada sahabat dan adik , Ain Ismail atas hadiah novel ini. Terimakasih juga kepada rakan-rakan lain yang memujuk supaya saya membaca novel ini seperti Nashitah. Apa istimewanya novel ini ?

Biarlah YM Berbicara telah saya tamatkan bacaannya hari ini. Saya usung ke hulu dan ke hilir novel ini. Ketika saya letih menyemak buku dan kertas peperiksaan , saya berhenti dengan membaca novel ini. Begitu juga ketika melayan kantuk di atas katil ,ia menemani saya selalu.

Kisah cinta Nurul Adiya Fatiha merangkumi 3 watak hero iaitu Firdaus majikannya, Charming teman chattingnya di YM dan Kamal abang sepupunya. Jika dilihat keseluruhannya , kisah cinta nampak biasa-biasa sahaja. Namun penulis begitu bijak mengolak jalan cerita dan dialog sehingga saya terus menatapi tanpa jemu. Sesekali terimbau kenangan cinta lama (keh3). Apa yang pasti kesungguhan Firdaus untuk mendapat cinta Adiya sehingga dia terpaksa menyamar sebagai Charming dan mendekati Adiya melalui YM. Misteri kebencian Adiya terhadap Kamal terjawab apabila penulis menceritakan kisah pahit yang berlaku terhadap mereka pada masa lalu.....pada awalnya saya membuat gambaran mungkin Adiya telah ternoda ? Namun spekulasi saya ini tidak sehebat spekulasi di Bursa Saham kerana ternyata penulis tetap mempertahankan kesucian Adiya. Banyak peristiwa lucu sepanjang ranjau cinta Firdaus dan Adiya. Cuma saya geram sangat dengan perangai keras hati dan degil si Adiya ini. Dia suka membuat keputusan terburu-buru.Walau bagaimanapun, sikap dan perangai Adiya menggelikan hati terutama bahagian dia memanjat pokok. Juga watak ATUK. Saya ingatkan atuk itu adalah datuknya tetapi rupa-rupanya kucing......tiap kali ingat kucing saya ingatkan kucing kesayangan Kak Sri Diah , si Dusty.

Persahabatan antara Adiya dan Sherry saya suka sangat. Dalam dunia ini hidup kita akan bahagia jika ada sahabat sebaik Sherry ini yang memahami kita sebaik-baiknya. Tulus persahabatan yang tidak dicemari rasa cemburu , iri dan khianat. Begitu juga kasih abang sepupu seperti Kamal...biarpun tercemar dengan gelojohnya semasa remaja namun sikap protektifnya terhadap Adiya mengharukan kita. Betapa sayangnya Kamal kepada adik sepupunya ini sehingga sanggup mengundur diri demi kebahagiaan Adiya.

Ada satu yang saya rasa sedikit musykil iaitu semasa Charming menelefon rumah Adiya di kampung hendak bercakap dengan Adiya. Dia tidak tahu nama Adiya sebenarnya. Ini musykil bagi saya sebab pada akhir cerita ada dinyatakan bagaimana Firdaus tahu tentang YM Adiya dan nickname Adiya sebagai Ugly Betty. Semasa Charming telefon sepatutnya dia sudah kenal siapa Ugly Betty. Atau mungkin ini cara untuk menunjukkan bahawa dia tidak kenal siapa Ugly Betty sebenarnya ? Bukankah pada masa itu kita tidak tahu siapa Charming sebenarnya?

Jalan cerita yang santai. Gaya bahasa juga menarik. Saya sukakan kata-kata ini : Bukan senang nak lupakan cinta sebab cinta bukan untuk dilupakan. Cinta untuk dipupuk. Kalaupun tak menjadi,masih akan tertinggal di sini sebagai kenangan. Yup....cinta yang tidak berjaya menjadi kenangan .....tak kira pahit atau manis. Hidup kena teruskan juga....dan di luar sana , kemajuan ICT menjadikan YM sebagai era baru untuk bercinta....jika dah jodoh tidak akan ke mana....

Sekarang saya sudah kenal gaya penulisan Hanni Ramsul....dia muncul dengan cerita cinta yang santai.....satu yang baik melalui watak Adiya ialah, dia seorang yang berhati-hati . Dia juga seorang yang tegas membuat keputusan dan tidak mempermainkan hati lelaki-lelaki yang meminatinya. Jika tak suka dia akan terus reject dengan baik. Juga tetap menjalinkan persahabatan dengan ikhlas.

Corat-coret di sekolah

0

Posted by Leeza | Posted in

Hanya seminggu lebih lagi nak cuti sekolah. Kami dah mula sibuk dengan aktiviti sukan. Minggu ini sibuk dengan latihan dan pemilihan wakil rumah. Minggu depan sudah bermula acara padang ,lompat jauh dan lontar peluru. Juga bermulanya pertandingan bolasepak dan bolajaring antara rumah menggunakan sistem 'double knock out'.

Setiap tahun ketika sukan sekolah , team LB, TMS, DW dan MH selalu bersama dalam sebuah rumah sukan. Jika team ini bergabung mesti rumah sukan kami mendapat juara. Sehinggalah pada satu tahun, gabungan ini dipecahkan atas kehendak ramai dengan mencabut undi sekali lagi. Maka TMS terpaksa masuk rumah lain. Bagaimanapun gabungan LB, DW dan MH masih kuat dan rumah saya setiap tahun menjuarai acara perbarisan lintas hormat. Siapa guru kawat kakinya ???? Hehehe....itu tugas LB. Tahun ini DW dan MH sudah berpindah ke sekolah lain. Ketika mencabut undi, entah kenapa LB dan TMS 'terkena' rumah yang sama. Hendak buat bagaimana....kalau dah takdirnya sedemikian.

Pagi tadi TMS menceritakan bahawa suaminya bermurah hati hendak sponsor baju sukan untuk guru-guru rumah HIJAU. Ini gara-gara si TMS yang merungut depan suaminya. Si suami yang menjadi peniaga pakaian dan peralatan sukan, berasa kasihan dan tahun ini , dapatlah baju sukan free. Bukannya apa, serik dengan baju sukan yang dibuat 2 tahun lepas yang jenis kainnya panas....langsung tak menyerap peluh. Saya pun tak ingat kepada siapa saya sedekahkan baju itu yang cuma sekali sahaja saya pakai.

Saya jenis yang suka menyakat rakan-rakan. Cikgu S , PK KK tadi sibuk meminta pekerja am (abg B) memfotostat dokumen-dokumennya sedangkan masa itu saya tengah menerangkan kepada abang B tentang halaman buku kerja yang hendak difotostat. Bila dia kata ",eee,e,e". Saya pun jawab dengan kasar ,"apa e, e? nak 'double knock out ke'?" Terus saya buat double punching ke arahnya...dan dia yang tak menduga tindakan spontan saya, terus terkejut dan mengundur mukanya ke belakang. Saya hanya gelak sebab saya cuma punching ke arah udara sahaja........apa lagi cikgu2 yang ada termasuk PK Hem dan GB gelak besar.....Dia hanya berkata, ,"iskkk budak ini....." Nak tahu apa tindakan abang B ? Dia selamba je sekeh kepala saya dengan katanya ," 'tulah' ko ni dengan orang tua..." hahahaha......terover lah pulak gurauan saya kali ini.

Petang tadi, kami mulakan latihan. Sayangnya rumput di padang sepanjang lutut kerana pekerja tidak memotong rumput atas alasan sekolah ketiadaan minyak . Tadi sempatlah bincang dengan Cikgu S supaya dia gunakan peruntukan sukan sekolah. Susah bila peruntukan pendidikan dipotong. Minggu lepas mesin fotostat yang sekolah-sekolah daerah Asajaya berkongsi pakai ditarikbalik oleh phak PPD atas alasan tiada peruntukan ink lagi. Jika sekolah hendak fotostat kenalah pergi ke PPD yang sejauh 78 km dari sekolah. Saya sempat meminta abang B fotostat 3 buah buku kerja untuk tahun 6, 2 set soalan PEKA dan fotostat buku PEKA untuk semua murid. Kertas kena beli sendiri.

Bila ahli-ahli rumah HIJAU berkumpul, saya dan rakan-rakan gelak guling-guling kerana ahli-ahli semuanya lembut dan kecil-kecil. Bila disuruh berlari pecutan 100m, gaya lari seperti kanggaru kerana meredah rumput yang panjang. Keh keh keh. Bila dilatih lompat jauh, aduhai...jenuh saya menunjukkan caranya. Ada yang melompat sampai 2-3 kali .Ada yang disuruh berlari pada akhirnya speed menjadi slow. Oleh kerana saya tak pandai bolajaring maka saya membantu rakan saya melatih bolasepak....hahahaha. Riuh padang bila LB main bolasepak. Bukannya apa, saya tengah hendak mencari penjaga gol yang pandai.... Bila sudah sibuk di padang, lupa saya dengan kulit yang akan jadi hitam legam dan keletihan. Balik ke rumah sakit seluruh sendi....

Selepas cuti sekolah kami akan sibuk dengan sukan sekolah pula. Pada hari itu maka saya akan sibuk sesibuknya. Awal-awal saya mengingatkan cikgu S agar jawatan MC diberi kepada orang lain. Tidak seronok menjadi MC sebab tidak dapat menjerit di padang bersama anak-anak .Alasan saya bagi peluang kepada orang baru pula....tenaga yang lebih muda dan suara yang lebih merdu.

Coretan tambahan : Anak cikgu Rachel si Abel yang pernah saya masukkan ke dalam blog ini, sekarang belajar di Tadika KEMAS. Pada awal kemasukannya ketika dia diminta mengenalkan dirinya kepada rakan-rakannya, mungkin dia dengar semua murid lelaki ada nama Mohd maka dia pun ikut mengenalkan dirinya : I am Mohd Abel bin Mohd Paul ( Abel ak Paul).I am 4 years old . Hahaha...dan menurut cikgu Rachel si Abel sudah pandai membaca doa makan....keh3.

BILA DAH SUKA oleh Mimie Afinie

1

Posted by Leeza | Posted in


Novel ini dah lapan bulan dalam simpanan dan baru berkesempatan membacanya baru-baru ini. Saya sukakan novel Mimie Afinie kerana gaya bahasanya melucukan. Saya gelak-gelak membaca novel ini.

Bila Dah Suka mengisahkan pahit getir Nurul Huda menempuh alam percintaannya. Juga menceritakan keperitan hidupnya yang tidak mendapat kasih sayang papanya sendiri. Huda membawa diri ke Taiping mencari abangnya Amar setelah kecewa dengan perkahwinan Shazlan dengan kakak iparnya Diba. Malangnya dia diragut sehingga menemukannya dengan Tarmizi . Huda kemudian tinggal bersama keluarga Tarmizi dan menjadi anak angkat Puan Mahani. hari-hari yang membahagiakannya dan dia jatuh hati untuk kali kedua dengan Anuar. Oleh kerana keduanya tidak meluahkan rasa cinta, membuatkan masing-masing salah faham sehingga Huda membawa diri semula ke KL . Anuar pula berkahwin dengan Erin,sepupunya kerana dia menyangkakan Huda dan adiknya Alam saling menyintai. Di KL pula Huda menghadapi sikap cemburu Diba melihat kemesraannya dengan Shazlan yang sudah dianggap sebagai abang sendiri. Kemudian dia balik semula ke Taiping dan sekali lagi dihalau oleh Erin. Akhirnya Huda bahagia dengan menjadi isteri Alam....dan Anuar yang kecewa telah menceraikan Erin. Akhirannya bahagia untuk Anuar apabila dia mendapat teman wanita yang juga bernama Nurul Huda.

Keseluruhan cerita ini bertemakan percintaan yang mungkin tidak akan berjaya ke penghujung bahagia jika pasangan tersebut tidak berterus terang. Hati Anuar dan Huda terpaksa akur dengan takdir apabila Anuar mengambil keputusan mengahwini Erin yang tidak dicintainya. Alangkah indahnya jika Anuar berani mengambil keputusan untuk membatalkan perkahwinannya dengan Erin setelah mendengar pengakuan dan penjelasan daripada Alam tentang isihati Huda yang juga menyintai Anuar, tetapi Anuar tidak seperti itu. Kononnya mempertahankan maruah keluarga Erin . Namun watak Anuar ini menjadi 'jahat' bila sekembalinya daripada berbulan madu, dia berusaha merayu dan menagih cinta Huda kembali. Hakikatnya dia tak mungkin boleh berpatah semula kerana kedudukannya sebagai suami orang menghalang segala hasratnya.

Hati bebas menyintai dan berjuta kalipun jatuh hati segalanya adalah anugerah Allah kepada manusia. Kita diberi peluang untuk tertarik , jatuh cinta berulang kali sehingga pengakhirnya kita ketemu cinta sejati pada jodoh kita. Begitulah Huda.... jatuh cinta kepada Shazlan dan Anuar dan berakhir dengan kekecewaan sehinggalah Allah membuka pintu hatinya menerima cinta Alam dengan ikhlas.

Namun saya tidak puas hati dengan watak Amar Safuan, suami Intan Nurhanis (bekas kekasih Alam ). Wataknya terlalu awal dimatikan sehingga dia tidak sempat menemui adiknya Nurul Huda .Semasa kehilangan Huda , Diba dan Shazlan telah mengiklankan wajah Huda di akhbar-akhbar sehingga Alam mengetahuinya. Adalah tidak logik lelaki seperti Amar Safuan tidak menatap akhbar yang sama dan langsung tidak mengetahui berita kehilangan adiknya, Nurul Huda. Sepatutnya jika dia mengetahui bahawa adiknya hilang melalui akhbar tersebut dia tentu berusaha mencari adiknya di Taiping. Apatah lagi Huda ada menelefon kak Diba memaklumkan di mana dia berada waktu itu.

Bagaimana pula dengan watak papa Nurul Huda ? Kenapa lelaki ini membenci anak-anaknya sendiri dan lebih menyayangi orang lain? Sampai ke akhir saya tidak ketemu jawapan pada persoalan ini. Rasa benci papa kepada kawan Huda, Farhan nampak ketara sangat. Apakah lelaki ini mendendami Farhan ? Seorang ayah sejahat manapun dia tidak mungkin sampai hati menghalau anak gadisnya dengan mengunci pintu pada waktu malam. Walau bagaimanapun rahsia permusuhan antara Puan Mahani dengan sepupunya Aunty Rohana dipaparkan juga akhirnya apabila Ibu naik angin setelah mengetahui Erin menghalau Huda dari rumahnya.

Keseluruhannya watak Nurul Huda ternyata 'kebudakan' bila merajuk lari ke Taiping. Merajuk lagi balik ke KL dan seterusnya bila terluka ke Taiping semula. Pada akhirnya bila dia dihalau oleh Erin dia membawa diri ke Tasik Taiping.....berbaring di atas kerusi tanpa menghiraukan hujan lebat yang turun. Watak ini ternyata terlalu lemah dan terlalu mudah dilukai. Untuk wanita-wanita sahabatku, jangan menjadi terlalu lemah untuk menghadapi segala cabaran hidup ini. Jika banyak kali tersembam jatuh, bangunlah perlahan-lahan dan teruskan langkah ke hadapan. Kita redah cabaran masa depan dengan penuh bersemangat.

Apa yang pasti, bagi sesiapa yang sedang menganyam rasa cinta berbunga , jangan lepaskan peluang untuk meraih cinta anda.....bila dah suka, berterus-teranglah dan pimpin tangan si dia ke jinjang pelamin. Dan kepada pasangan yang sudah berada di mahligai bahagia, jangan lepaskan tangannya kerana anda dah suka...terima segala kelebihan dan kekurangannya dengan hati yang penuh ikhlas. Selamat berbahagia untuk anda semua......