"Za, tahun 2010 ini 'ong'nya sik bagus kan?" kata rakan sejawat saya. Terkedu saya dengan kata-katanya ini.
"Kenapa, iskkk tak baik tahu buat kesimpulan awal begini. Kan 2010 masih panjang?" Saya menidakkan tuduhannya ini.
" Ye lah...sik pernah-pernah , Ustaz pandai marah pula." katanya dengan gelak tawa. Terkejut saya, sebab setahu saya yang paling pemarah di sekolah ialah saya.Ustaz paling cool orangnya. Dia yang selalu sabar biarpun disakat saya banyak kali. Dia juga peka dengan mimik muka saya....kalau saya dah kata sepatah-sepatah dia tunjuk muka susah hati. Adik saya ini sensitif juga orangnya.
" Asal dia marah? biar betul..."
"Isu jadual waktu...." kata rakan saya.
"Agaknya dia tensen sebab mereka kan kena atur jadual elok-elok. Mungkin korang nyakat dia tak?" Mereka ketawa-ketawa dan fahamlah saya ada unsur mengusik terlibat sama.
"Ong" sering dikaitkan dengan feng shui. Kawan saya ini melayu Islam tetapi suka menyebut ong. Saya sering berasa geram dengannya sebab kalau berlebihan sudah berlainan pula jadinya.
Bulan Januari baru beberapa minggu. Mungkin ada di antara kita terasa panasnya bahang sesuatu yang tidak elok berlaku. Saya sendiri ada juga kejadian yang tidak dapat dielakkan. Hal keluarga biasalah, ada berbagai-bagai masalahnya. Takkan nak pejam mata begitu sahaja. Biarpun saya lepaskan namun seperti melepaskan layang-layang, setinggi manapun , kita masih kejap berpaut pada talinya agar ia tidak terbang tanpa haluan.
Jangan sesekali berfikiran negatif , itu yang sering saya ingatkan diri sendiri. Baru-baru ini seorang kawan saya memberitahu tentang 'mulut' rakan sekerjanya. Saya terperanjat sebab fenomena ini tidak berlaku di tempat saya. Bersyukur saya sangat-sangat sebab warga SKJ semuanya seperti saudara mara. Kami tiada rasa 'yang pelik-pelik', harmoni dan aman damai. Jika berguraupun kami tidak cepat melenting sebab sudah lali dan faham perangai masing-masing. Pernah dulu orang mengata di belakang saya, saya buat selamba sahaja. Biarlah apa orang nak kata, saya tetap dengan kerja saya. Kalau saya melenting dan kerja terbiar, siapa yang susah? Saya juga yang susah....bukankah saya kena cari makan untuk menyara keluarga saya?
Biar apapun.....ong ke tidak ong, hidup ini kena teruskan juga. Masih ada esok lusa lagi. Kita berusahalah kerana dunia ini luas. Kerja kena ikhlas, jangan mudah berputus asa. Teruskan langkah ke depan. Jika masa lalu ada kepahitan, bermuhasabah dan berubah untuk jadi lebih baik. Berdoa banyak-banyak...jangan berhenti daripada terus berdoa. InsyaAllah, kita akan dikurniakan ketenangan untuk menghadapi hari-hari esok . Semoga semua rakan saya dan novelis-novelis Malaysia terus sukses dengan kerjaya dan kehidupan masing-masing. Ini semua peringatan pertama adalah untuk si Liza B ini.

11 Januari 2010 merupakan hari ulangtahun Kak Noor . Pertemuan pertama kami ialah pada 7 Jun 2009 ketika Pesta Buku Mines. Waktu itu saya masih mamai sebab berada di sana dengan orang yang tak dikenali. Namun persahabatan dan kemesraan yang Kak Noor hulurkan amat menyenangkan hati. Entah kenapa dia begitu cepat mesra dengan saya. Saya pula seperti mengenalinya sudah lama. Ketika dia menemani saya berjalan-jalan shopping buku di situ dia rancak mempromosikan buku-buku yang ada. Saya kagum dengannya. Tak sangka dalam dunia buku saya jumpa orang yang suka membaca. Alhamdulilah. Selamat Hari Jadi Kak Noor. Semoga dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki, sihat walafiat, bahagia dan ceria di samping keluarga dan sukses dalam apa sahaja yang Kak Noor lakukan. Tiada hadiah mampu saya hulurkan hanya doa saya untuk Kak Noor setiap hari.
12 Januari 2010 genaplah usianya 4 tahun. Qaisara Seyit Kara ,puteri tunggal Puan Norhayati Berahim dan Tuan Seyit Kara ini semakin manis setiap hari dan dia menghiburkan kita dengan kerenah manjanya. Pertama kali saya mengunjungi rumahnya pada petang 7 Jun 2009.....saya terus mencarinya di bilik dan dia sedang tidur lena kerana tidak sihat. Tengok dia seperti melihat anak orang putih. Walau dijelaskan banyak kali, mak saya tetap mengatakan suami Kak NB adalah orang putih. hahaha...ye ajelah. Badannya tinggi lampai seperti anak berusia 4 tahun waktu itu dan dia hanya berusia 3 tahun. Kini dia berusia 4 tahun , tentu ketinggiannya bertambah. Pertemuan pertama kami tidak banyak saya mendengar dia bercakap kerana dia hanya tersenyum dan memerhati. Namun saya sempat memujuknya makan ubat supaya demamnya cepat sembuh, boleh kita pergi swimming. Terus-terang saya katakan saya tidak pandai bercakap dengan anak-anak kecil. Namun dengan Teta saya bercakap dengannya seperti saya bercakap dengan Danial , menggunakan campuran BM dan BI. Sepanjang mengenalinya dan bersama dengannya, saya gelihati dengan keletahnya terutama ketika dia sujud dengan Danish semasa solat di surau Sunway Pyramid.
Untuk Teta, saya telah kirimkan sesuatu untuknya sebagai hadiah harijadi. Hadiah hati seorang mak cik dan seorang guru. Hanya hadiah yang biasa-biasa sahaja untuknya...semoga ia menceriakan anak saudara saya ini. Selamat menyambut ulang tahun ke 4 anak saudaraku . Semoga diberkati dan dilindungi ALLAH SWT selalu hendaknya. Semoga menjadi anak yang solehah dan berjaya suatu masa nanti.....amiinnnn .
Pengalaman 20 tahun mengajar namun bagi subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan hanya 1 tahun sahaja. Itupun tidak berturut-turut. Dua tahun lepas saya mengajar PJK tahun 1. Tahun ini saya diberikan kelas PJK tahun 3. PJK ini adalah subjek yang tidak disukai oleh guru-guru perempuan. Pagi tadi kelas saya bermula. Saya menggunakan pakaian sukan . Tentulah fenomena ini menimbulkan gelak tawa di kalangan staf sekolah saya. Mana taknya hari Jumaat guru lelaki berbaju melayu lengkap dengan songkok dan sampin, guru perempuan bertudung dan berbaju kurung. Saya pula gunakan pakaian sukan. Hendak bersalin pakaian tak sempat kerana kelas saya penuh sehingga balik untuk hari Jumaat.
Agaknya ibubapa mereka tidak yakin bila saya yang mengajar PJK, ada sebahagian murid tidak menggunakan pakaian sukan seperti yang dipesan kelmarin. Namun bila sebaik loceng kelas bermula berbunyi, saya telah mengarahkan murid-murid bersedia dengan pakaian sukan mereka. Wah...saya suka sangat melihat wajah-wajah mereka yang ceria. Disiplin kelas ini begitu baik, beratur dan keluar kelas dalam barisan. Saya cuma jumpa sebiji bola , bola sepak. Cukuplah walau dalam hati saya menyumpah juga sebab bola-bola yang lain tidak dipam. Bila tiba di dewan, pintu pula tertutup rapat dan terkunci dari dalam. Aduhhh....wajah murid-murid sudah muram. Sementara menunggu Pak Cik D berusaha membuka pintu dewan, saya gunakan kawasan tempat letak kereta yang kecil untuk membahagikan mereka kepada 5 kumpulan dan membuat aktiviti senaman memanaskan badan.
Apa langkah-langkah bersenam saya nak buat ya ? Saya tak tahu sebab tidak pernah belajar bagaimana menjadi guru PJK. Saya mulakan dari kepala, kemudian bahu, kemudian tangan, kemudian pinggang dan akhirnya kaki. Bila dewan dibuka, saya sambung aktiviti dalam dewan. Saya tidak gunakan padang sebab selepas hujan padang basah dan berair. Licin dan kotor.
Kemudian pengajaran dan pembelajaran saya semakin lancar. Cuma bila saya arahkan "lari bebas" , mereka lari dalam bentuk bulatan. Hahahaha....tak apalah. Mereka baru mengenali saya dan cara saya. Bola yang sebiji saya boleh gunakan pelbagai kemahiran seperti menyambut, melantun, menggelek dan mengelecek bola. Penglibatan mereka saya penuhkan semuanya.
Apa yang pasti, saya pergunakan masa sejam ini sepenuhnya. Saya bergerak seaktifnya dan menunjuk cara terlebih dahulu sebelum mereka melakukan kesemua aktiviti tersebut. Saya gembira sebab inilah peluang saya bermain bersama mereka. Inilah masanya saya bersenam dan bersukan . Sekurang-kurangnya saya dapat mengurangkan berat badan yang bertambah kerana cuti sebulan.
Pada akhir kelas ini, saya melihat wajah-wajah mereka yang ceria dan senyuman biarpun basah dengan peluh di muka dan badan. Bila saya keluar dewan, saya diberi tepukan dan 'thump up sign' daripada guru-guru lelaki yang rupa-rupanya lepak di luar dewan. Tidak saya perasan kehadiran mereka dan fahamlah saya mereka ini mengintai saya mengajar PJK rupanya. Keh3...masih senakal budak-budak mereka ini. Saya pula tidak peduli apa-apa di luar dewan sebab seronok mengajar dan bermain dengan budak-budak.

Novel kedua , sequel kepada novel 'Percayalah' hasil nukilan Ruby Hazri merupakan novel yang cukup lama untuk saya habiskan. Ini kerana bait-bait ayatnya yang berbunga-bunga , cantik dengan pengolahan bahasa membelai jiwa membuatkan saya tersenguk-senguk mengantuk. Bukan ceritanya tidak bagus tetapi saya jenis yang kurang sabar hendak mengetahui penyudah cerita.
Kesinambungan kisah cinta Nur Atiqah Sulaiman dengan Danial Abdul Rahman Wolfgang yang penuh dengan duri-duri . Kisah cintanya ini lebih mencabar, lebih dramatik dan lebih memikat jiwa. Kita dihidangkan dengan sepahit-pahit dugaan buat seorang isteri yang hanya menyintai seorang lelaki iaitu suaminya.
Biarpun tidak digambarkan secara terangan , cukup dilahirkan dengan kata-kata hati seorang Atiqah dalam melahirkan rasa cemburu dan tidak yakin dengan cinta Danial. Inilah menyakitkan hati saya dengan kedegilan dan kebodohan Atiqah dalam mencurigai Danial. Seorang Danial pula adalah gambaran seorang lelaki yang menyintai isteri sepenuh jiwa raganya dan tidak peka dengan naluri isteri sehingga hal ini membawa trajedi kepada Nur Atiqah yang sedang mengandung. Seribu kata tak mampu saya luahkan dalam bahagian ini bila turut menangisi nasib Atiqah yang koma dan kehilangan anak dalam kandungannya. Bukan ia membawa derita kepada Atiqah sahaja tetapi beribu sesalan kepada Danial. Demi kasihnya , dia terpaksa menjauhi Atiqah dalam soal cinta di ranjang atas sebab kesihatan. Kebahagiaan mereka tergugat bila pada saat menguruskan visa Danial ke Malaysia , terdapat masalah dengan surat pendaftaran perkahwinan mereka. Keadaan ini merumitkan keadaan sehingga Atiqah terpaksa pulang bersendirian meninggalkan Danial menguruskan urusan visanya. Rindu yang membara rupanya belum dapat diakhiri dengan pertemuan bila Danial ditimpa trajedi kapal terbang terhempas di Baotou, China. Keadaan Danial yang hilang ingatan, menyukarkan dia kembali kepangkuan keluarganya. Isteri yang ditinggalkan menanggung derita dan kepayahan mengandung dengan kesakitan tulang belakang kesan kemalangan lamanya. Apa lagi bila diberitakan kembalinya suami tercinta kepangkuan Illahi Yang Esa. Demi anak yang perlukan kasih seorang ayah , dia terpaksa menerima lamaran majikannya yang juga menyimpan seribu impian buatnya. Dan si Khairil dengan cinta tulus ikhlasnya merelakan kebahagiaan abadi buat Atiqah bila dia melepaskan isterinya untuk kembali bersatu dengan Danial yang sedang pulih ingatannya.
Pengolahan novel ini padat dengan peristiwa, tragis yang melambangkan dugaan buat pasangan bercinta. Juga erti pengorbanan buat yang tersayang dan seterusnya , penulis memberi gambaran kepada kita bahawa cinta tidak semestinya berjalan di atas landasan yang rata dan licin. Terkadang cinta boleh jadi seperti 'roller coaster'. ( Kali terakhir saya mendengar istilah ini dari seorang kawan lama yang maksudnya sungguh memualkan dan buat saya berisghtifar banyak kali ). Kemudian setiap watak di sekitar pemeran utama memainkan peranan yang bukan sedikit dalam menaikkan semangat dan memberi sokongan dalam melayari kehidupan. Inilah realitinya bila kita hidup punya keluarga dan sahabat handai . Mereka takkan membiarkan kita terkapai-kapai keseorangan dalam hujan airmata. Watak Kamal yang mulanya jahat sudah menjadi baik sejak berkahwin dengan Dewi , sahabat Atiqah dan Danial.
Keseluruhannya, novel ini lebih baik daripada novel pertama 'Percayalah'. Namun penggunaan bahasa bersastera, membuat saya terasa amat mengantuk. Untuk peminat buku dan jiwang karat hayatilah novel ini. Cintanya lebih logik dan berbunga sepanjang musim. Jika anda menangis, hayati sepenuhnya jiwa seorang isteri dalam saat kehilangan cinta dan membawa benih cinta dengan penuh derita kesakitan tulang belakang. Saya sukakan novel ini.....kerana cintanya kembali bersatu pada penghujung duka.
Benarlah kata orang bahawa kasih ibu sepanjang hayat. Mak saya yang uzur dan berusia 78 tahun merupakan orang yang paling sibuk dan kecoh pada awal pagi persekolahan ini. Seawal jam 4 pagi dia sudah bangun membangunkan cucunya Luqman di rumah sebelah. Saya marah juga sebab jam 4 pagi yang gelap itu bahaya menunggu di luar rumah. Kebetulan malam tadi seekor ular tedung yang besar ditemui di tepi luar rumah saya. Bila saya bangun, saya dapati Luqman sudah bersiap dengan pakaian sekolahnya. Alhamdulilah sebab dia tidak banyak kerenah pagi ini. Abangnya Hairul yang menghantarnya ke sekolah. Jam 630 pagi dia mesti sudah ada di sekolah. Saya pun awal juga pagi ini. Jika mengikut kebiasaan saya, jam 7 pagi baru bertolak ke sekolah. Di kampung manalah ada masalah jalanraya sesak.
Bila tiba di bilik guru, saya terus menukar alas meja saya menggunakan alas yang baru dibeli. Nampak bersemangat sahaja rupanya. Cuma saya sahaja yang beralas meja dan saya mempunyai alasan untuk berbuat demikian. Saya sukakan meja yang kemas dan cantik. Lagipun permukaan meja saya penuh dengan calar, maklum meja lama dan bekas orang lain. Manalah kami ada peruntukan untuk memperolehi meja yang baru. Apa tah lagi kami menggunakan kerusi kayu yang digunakan oleh murid sebagai kerusi kami. Kerusi yang tidak berkusyen. Bilik guru juga tiada penghawa dingin hanya dua buah kipas siling dan dua buah lampu. Serba sederhana persekitaran tempat kerja kami. Syukur alhamdulilah. Walaupun begitu saya bersyukur walau hanya punya dua rak lama yang saya warisi daripada bekas guru sekolah ini dahulu. Satu saya letakkan di atas meja dan satu lagi saya letakkan di bawah meja. Itupun tidak mencukupi untuk meletakkan buku-buku rujukan dan buku teks.
Kemudian Penolong Kanan terus memberikan arahan bahawa minggu ini adalah tugas kumpulan saya. Saya terus sahaja mengatur jadual tugas harian setiap ahli saya. Kebetulan papan tugasan yang saya buatkan tahun lepas masih berfungsi dengan baik. Jadi, hanya perlu menukar nama dan hari bertugas sahaja. Agak mudah sebenarnya tugas saya. Saya mengarahkan para pengawas untuk mengawasi setiap kelas membersihkan kelas masing-masing. Bila saya bersembang dengan rakan saya, seorang daripadanya , menyatakan bahawa tahun ini dia nampak seperti malas sedikit. Bukan malas sebenarnya tetapi tugasan ini semakin mahir dan lali bagi kami. Mengajar tidak perlu gunakan buku rujukan tetapi menggunakan semua yang ada di dalam otak. Segalanya sudah serasi dengan diri. Ini menjadikan ia nampak mudah dan senang. Tengah saya sibuk mengajar Sains Tahun 4, tetiba PK kurikulum mengetuk pintu kelas dan menjelaskan bahawa dia mahukan saya menjadi guru pembimbing untuk pelatih Pendidikan Jasmani pula yang bakal praktikum 18 Januari nanti selama 3 bulan. Aduhhh...saya sudah malas kerana bererti saya kena keluar sekolah untuk 2 hari menghadiri taklimat di IPTAR dan kemudian menyelia mereka pula....Dia pula kalau nak arahkan tugas inipun tunggulah saya habiskan masa pengajaran saya ,macam tak menyempat pula.
Tahun ini bilangan murid ialah 234 orang murid dari kelas Prasekolah sehingga tahun 6. Guru pula seramai 21 orang dan 9 staf sokongan. Tahun 6 cuma 27 orang murid sahaja menandakan peratusan untuk seorang murid itu agak besar. Sukar untuk menandingi kehebatan keputusan UPSR 2009.
Peruntukan pendidikan sudah dipotong. SBT ( Skim Baucer Tuisyen) tidak dijalankan lagi. Kokurikulum hanya dijalankan peringkat sekolah sahaja. Kemudian ada ura-ura menyatakan bahawa bayaran BISP ( Insentif Untuk BI, Sains dan Maths) juga diberhentikan. Rezeki saya kuranglah tahun ini. Awal-awal lagi kami membuat program simpanan berkumpulan. Terdapat dua kumpulan simpanan ini dengan bayaran rm100 setiap bulan. Siapa cetinya? tentulah si Liza ini...hehehe yang tidak tahu malu masa menagih wang kutu.
Apa-apapun dugaannya, ceria sentiasa dalam menjalankan tugas harian. Saya tidak suka memberatkan keadaan. Kita ini semakin berusia, perlukan pengurusan masa untuk tidak menimbulkan stress yang boleh mengundang pelbagai penyakit.
Dua anak saudara saya sudah tamat SPM ,bererti cuma tinggal Luqman sahaja yang dalam tanggungjawab saya. Dia ini tidur rumah ayahnya tetapi pakaiannya semua di rumah saya. Dia makan-minum dan mandi di rumah saya. Sebenarnya saya dan mak serba-salah dengan keadaannya . Kami berhasrat hendak serahkan tangggungjawab mengurus Luqman ini kepada ayahnya sepenuhnya. Namun kami berdua tidak sedap hati memandangkan ayahnya jenis yang tidak kisah anak ada ke tidak di rumah waktu malam.
Pagi tadi saya uruskan pendaftaran Luqman di Sekolah Menengah di kampung. Nasib baik juga saya dapat parking di dalam iaitu di kawasan Flat Guru. Dia dapat masuk kelas Tingkatan 1 Inovatif. Semua bayarannya ialah rm65.50 kerana dia menggunakan talileher abangnya.
Apa yang ingin saya ceritakan ialah kerenahnya yang suka memakai satu jenis pakaian sahaja. Kalau hendak ke Asajaya, ke Kuching dan kenduri, pasti sehelai seluar faded yang sendat dan baju T transformer warna hitam itu yang dia pakai. Pagi tadi dia masih berkelubung dengan kain tuala sebab saya sudah menetapkannya pakai seluar jeans dan baju t biru-merah yang saya belikannya di KL dulu. Bila saya lihat neneknya terkedek-kedek membawa 'uniform'nya, saya cepat-cepat mengambil pakaian ini dan menguncinya dalam almari. Sakit hati betul dengan perangainya yang satu ini. Kemudian bila diberitahu dia kena menggunakan uniform sekolah untuk melapor barulah dia bergerak dan mula berkemas. Dia jantung pisang neneknya, jika tidak, ada yang kena rotan awal pagi ini.
Kami selesai melapor jam 10 pagi. Itupun saya membantu beberapa orang ibubapa mengisi borang buku teks anak-anak mereka. Yang saya hairan bagaimana pula orang yang tidak kenal saya boleh panggil saya 'cikgu'. Uwaaaahaha. Mungkin betul kata bekas pensyarah saya bahawa kami kaum guru sudah ada tanda cop 'cikgu' di dahi.
Sebaik sampai di rumah , saya belum siap parking kereta di rumah, si Luqman sudah meluru keluar , membawa semua buku-bukunya dan kemudian bersiap-siap. Ke mana lagi tujuannya kalau ke rumah orang kenduri kahwin di kampung. Laju sahaja dia berjalan, tanpa sempat saya menegur bila saya nampak dia memakai uniform transformernya itu. Aduhai mak...sayangkan cucu sanggup buka almari saya. Selesai pergi kenduri saya memeriksa semua buku dan menyimpan fail Luqman. Cemas saya bila mendapati kad pengenalannya tiada dalam fail. Saya kelam kabut mencari di dalam kereta dan semua begnya tadi namun tiada berjumpa. Saya berjalan keluar dan dari jauh saya melihat kad pengenalan dan 6 keping gambarnya bertaburan di bawah kereta. Ini tentulah gara-gara dia berebut keluar kereta tadi. Bila dia balik agak lewat dia menceritakan yang dia kenyang makan di majlis kenduri tersebut dan menyertai acara berjoget lambak . Rupa-rupanya berjoget buat dia tidak sabar.
Petang, saya sudah melapik semua buku teksnya dan menyuruh dia menulis sendiri namanya pada semua buku teks dan buku tulis. Kemudian dia mengemaskan buku-buku dalam begnya mengikut jadual yang saya minta dari guru kelasnya tadi. Saya menyuruh ibu tirinya menjahit logo sekolah pada pakaiannya. Kemudian dia berhasrat hendak menjahit seluar sekolahnya supaya sendat. Alasannya seluar itu besar. Saya terus marahlah kerana seluar itu adalah saiz paling kecil dan paling fitting dengannya. Panjangnya pun mengikut ketinggiannya, tidak perlu dilipat lagi. Rakan-rakannya yang lain berlipat kaki seluar tersebut. Tahu sahajalah seorang cikgu, pastilah keluar ceramah panjang-panjang.
Inilah cabaran saya, dia yang bongsu dan dia yang terakhir saya jaga. Dia juga yang paling nakal dan paling hebat. Perangainya amat mencabar kesabaran. Jika saya abaikan dan lepaskan sepenuh tanggungjawab ini kepada ayahnya, anak ini akan menjadi cepat rosak. Saya sudah tetapkan jadual belajarnya selepas maghrib sehingga jam 830 malam. Terpaksa saya luangkan masa saya untuknya. Kenalah duduk bersamanya setiap malam bagi memastikannya belajar.
But don't expect it to be blue- the name has nothing to do with the colour of our closest celestial neighbour.
Semalam pasti ramai yang meraikan tahun baru dengan cara yang tersendiri. Ada yang menyaksikan pertunjukan bunga api di Putrajaya. Semalam saya tidur awal kerana hujan yang dingin dan keletihan. Setelah lima hari rumah saya tinggalkan, saya menguruskan beberapa perkara yang berkaitan keluarga dan kerjaya.
Hahaha...saya nak kongsi mimpi saya semalam. Mimpi bulan biru yang menjadi rembulan berdarah. Ada perkara yang bermain di minda saya, kerisauan saya tentang anak-anak saudara saya yang hanya boleh ditegur dengan sindiran dan teguran secara 'slow talk'. Seorang daripada mereka menyebabkan rumah saya runtuh sehingga saya ketiadaan tempat tinggal. Kemudian saya bermimpi saya sudah berkahwin dan tengah mengandung. Saya dilayan buruk oleh suami saya. Saya tak sempat mengintai bagaimana rupa 'suami' saya itu....hehehe. Kemudian terjadi perpisahan....dan terbangun saya dengan beristighfar panjang. Saya terus bangun dan buat solat....saya memohon perlindunganNya. Mimpi hanya mainan tidur dan saya tidak mahu mimpi ini menganggu ketenangan saya. Segalanya saya berserah pada ALLAH yang maha pengasih.
Hari ini saya tidak sepenuh masa di depan laptop kerana bosan dengan 'berukband' yang perlahan. Saya luangkan masa memasak sarapan , makanan tengahari dan petang untuk keluarga saya. Kemudian bila terasa bosan, saya memanjat pokok rambutan dan memetik saki-baki rambutan yang ada. Kerana bosan juga, mak membuat jem durian . Kami sudah bosan makan durian. Tempoyak hanya menjadi makanan Zizi dan Luqman sahaja. Kemudian melayari facebook dengan kawan-kawan sekolej , saya gelihati bila masing-masing mengulang semula ingatan tentang kisah-kisah di kolej. Bahan perbualan ialah tentang guru-guru kami. Zaman belajar di kolej adalah kenangan yang manis dan mencabar. Di sanalah, gaya belajar seperti di luar negeri. Buku-buku ditinggalkan di kelas. Susunan meja sesuka hati nak atur dan hiaskan. Saya budak kampung yang naif selalu sahaja menjadi bahan usikan teman-teman. Bayangkan duduk di hadapan sebagai pelajar yang 'pekak' , selalu dilontar dengan cebisan kertas dan pemadam sehingga saya kena marah disebabkan bawah meja saya kotor. Setiap hujung minggu saya keluar kolej dan berjalan kaki ke OPENG untuk berjumpa dengan rakan-rakan lama saya sehinggalah suatu hari saya terpaksa pecut seribu kerana dikejar oleh anak anjing. Sejak itu saya serik....
Dalam kehidupan pasti ada bulan biru , maka setiap kejadian pasti ada hikmahnya. Kita belajar dari pengalaman lalu dan membina kekuatan untuk menempuh dugaan masa depan. Jika kita pernah buat kesilapan janganlah diulangi lagi dan bertaubatlah. Semoga esok menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk kita. dan kita harus berubah menjadi seseorang yang lebih baik di sisi Nya.
