Setiap murid dan guru menunggu majlis ini sebagai penutupan persekolahan tahun 2009.Majlis ini dimulakan dengan perarakan untuk 30 orang murid tahun 6 dan 5 yang khatam Al Quran.Mereka diiringi oleh kumpulan Hadrah Kampung Jemukan.
Sebelum mereka memasuki dewan, Ustaz Muhd Sabri memberi sedikit taklimat.
Inilah wajah anak-anak kelas prasekolah 1 dan 2. Tahun depan sebahagian mereka akan masuk tahun satu. Gelisah je si Aiman Darwisy ini....
Inilah kumpulan TAHTIM yang membimbing majlis khatam Al Quran. Menurut Ustazah mulai tahun hadapan murid-murid sendiri akan diajar bertahtim dan membimbing majlis ini sendiri.
Ini pula kumpulan murid yang berjaya menerima hadiah dan sijil . Yang depan tu murid-murid tahun 1. Si Ghalib anak cikgu Adil membolot semua hadiah dan mendapat tempat pertama. Si Hanni (anak ustazah)yang no 2 mengatakan yang dia akan mengambil balik tempat pertama tahun depan. Si Umm Syi'fa(anak ustaz) pun yang no3 berkata : kamekpun mahu no 1 juga. Hanni menjawab : eh..sik boleh. kamek sik maok berik. Hahaha betapa hebatnya azam dan tekad anak-anak ini bersaing untuk menjadi terbaik.
Majlis diakhiri dengan persembahan murid-murid tahun 6,lagu nasyid dan coral speaking. Mereka sendiri yang mainkan muzik. Dua minggu cikgu Zolkifli membimbing dan melatih mereka.
Haaha...inilah budak kecik yang asyik menyakat saya setiap hari, Si Mohd Nor Aiman Aslizam. Tadi bila tengok saya melompat setelah dapat panggilan telefon dia sibuk tanya dari siapa. Dari boyfriend ke? Aduhh lasernya mulut dia.

Ketika membaca review oleh sahabat dan teman juga melihat pada cover novel yang simbolik menjadikan saya seperti nanar untuk mendapatkannya. Saya berusaha untuk memesan secara online namun kerana 'si rimo' mogok hari itu, saya sampai berpusing mencarinya di pasaran setempat. Seorang sahabat saya sanggup pula membantu untuk memesannya dan saya kemudiankan bayarannya. Begitulah hebatnya pesona 'Menunggu Cinta Tuhan'.
Saya telah habis mengkhataminya tepat jam 6 pagi tadi. Saya akhiri dengan rasa kecewa yang teramat. Saya rasa inilah penulisan Lily yang paling serabai. Kenapa Lily? Adakah terlalu ghairah mengejar dateline sehingga kepakaranmu menjadi goyah dan seadanya sahaja?
Novel ini digambarkan sebagai novel islamik namun bagi saya secara peribadi saya katakan kategori novel ini lebih menjurus kepada novel horror. Dari segi mana dikatakan islamiknya jika hampir 50 peratus isi novel lebih menjurus kepada sihir, ilmu ghaib, hantu dan seadanya. Azrul Rasyid watak hero yang berpendidikan tegar dalam islam seharusnya tahu berfikir mana salah dan betul. Arah manakah yang menyesatkan Azrul jika pendidikannya memang teguh kemudian penuh dengan kasih sayang ibubapanya. Jika Azrul sesat hanya kerana gadis si Pamela Anderson atau Pam Bola itu, rasanya jauh lebih baik golongan artis yang menjadi bahan gossip Azrul. Jika dia menghentam orang lain kerana kehidupan sosial dan skandal mereka, bagaimana pula kehidupannya sendiri? Tidakkah ini memberi kesan kepada kerjayanya? Azrul bersolat dan mengaji mengapa dia tampak terkejut bila diajak ke Mekah? Kemudian apa peranannya terhadap unsur islamik dengan perangai 'tiger' dan bodoh sombong seadanya? Bukankah islam memerlukan kelembutan dalam kehidupan?
Kemudian watak Khalida Atikah digambarkan takut-takut. Dari awal sampai akhir penakut dan pendiam. Di manakah peranannya ? Saya tak suka dengan gambaran watak penakut si Khalida ini terutama semasa menemuduga Cik Latifah di restoran. Dia sudah mendapat info bonus daripada Kak Piah dan juga tentang Murat. Kenapa dia tak mempergunakan peluang ini dan seharusnya penulis memperkembangkan isu Murat tersebut. Seharusnya Khalida membuat siasatan susulan dengan Encik Murat. Sepatutnya Lily gunakan watak Khalida untuk menonjolkan islamik dan meniup kesedaran pada Azrul Rasyid. Adakah maksudnya hendak menonjolkan keberanian Khalida melalui tulisannya? Rencana Bergendang bersama Raden ditulis dengan panjang lebar, seakan Lily hanyut dengan suasana tersebut. Mungkin Lily tidak perasan bahasanya semakin tidak konsisten dan lupa tentang latar belakang tulisannya. Mukasurat 397 , ditulis keadaan pada masa itu berlaku di majlis gilang gemilang karpet merah, maka si Raden bertemu dengan rakannya ,bersembang dan membuka rahsia. Kemudian digambarkan pula masa itu majlis makan malam majlis hari jadi untuk Bapa Gula rakan Raden tersebut, siap mendemonstrasi penggunaan minyak cenuai. Aduhh Lily....jika diperhati betul-betul, majlis gilang gemilang karpet merah mungkin gambaran majlis award artis. Bagaimana mereka berdua boleh bersembang panjang lebar dan kita sedia tahu bahawa serapat manapun kita dengan sahabat kita ,tidak mungkin kita berkongsi sesuatu yang mengaibkan ini. Apa lagi hendak mendemonstrasi di depan mata. Dan banyak pula 'cut and paste' dari blog, website dan email. Tidak perlu sebenarnya untuk meletakkan kesemuanya ini sebagai menambah mukasurat. Hakikatnya Lily banyak membuang muka surat dengan segala info dan 'cut and paste' ini.Mengapa Lily tidak indahkan lagi novel ini dengan perubahan hubungan Azrul dan Khalida. Tidak semestinya selamanya mereka bermusuhan.
Kisah Cik Latifah dan Nureen pula pun satu hal. Lebih banyak penggunaan frasa muntah hijau dan semua yang jelek sehingga saya tidak rasa takut tetapi mual dan saya yang muntah berkali-kali. Cerita mereka ini lebih menguasai jalan cerita novel sehingga timbul rasa seram terutama pada waktu malam Cik Latifah memuja dan memanggil pelarisnya. Watak Din ,Ismail dan Kak Yam pula tidak terlalu menonjol , ia digambarkan insaf dan tidak mahu bersubahat namun enggan pula bertindak untuk menentang. Perjuangan tidak ada ertinya tanpa tindakan dari segi perlakuan . Mereka masih takut-takut dengan Cik Latifah.
Ibu Azrul juga digambarkan pengsan ketika mengerjakan umrah ,kononnya dia dihukum. Adakah seorang wanita yang dirogol dikatakan berdosa? Mungkin dimaksudkan ialah Puan Azah rasa berdosa kerana merahsiakan status Azrul daripada suaminya . Anak dilahirkan selepas 6 bulan perkahwinan , berhak berbinkan suaminya. Juga perlukan kita bertaubat di mekah sahaja? Mengapa ibubapa Azrul perlu menunggu ke Mekah untuk menceritakan status sebenar Azrul ? Bukankah Azrul lebih dari matang untuk menerima kenyataan ini?
Terdapat juga kesilapan teknikal iaitu :
mukasurat 308 - Azrul Azhar, mukasurat 339- kak Sham, mukasurat 394 - Pak Ali,azroy.Mukasurat 464 pula nampak kisah sangat bercelaru. Memula kisah Cik Latifah kemudian perenggan berikutnya pula kisah Azrul. Kecelaruan ini makin memeningkan kepala apabila Lily merapu dengan ayat-ayat : sepasang kaki kecil berlari di gemercik air. ikan bersisik-sisik terkejut ,cepat berenang jauh dalam kilatan-kilatan sungai.... aduhai Lily Haslina Nasir pujaanku. Apa benda yang merepek soal budak, air dan sungai ini? Sedangkan suasana masa itu hanyalah runtuhan bangunan dan banjir lumpur.Bila masa pula ada rebung di situ? Lain kali saya harap Lily jangan pasang muzik kuat-kuat ketika menulis. Satu lagi ayat yang saya puas memikirkan maksudnya ialah penggunaan perkataan 'makam'. Ya, itulah cinta yang paling tinggi makamnya yang pernah dirasakan. Makam itu maknanya pusara atau kubur. Jika 'maqam' dalam bahasa Arab maknanya ialah kedudukan. Mungkin maksud Lily ialah kedudukan yang paling tinggi untuk cinta Tuhan.
Cinta Tuhan sentiasa ada untuk semua hambanya. Yang pasti, cinta kita kepada Tuhan yang masih tidak ada kepastiannya sebab ada antara kita yang masih tidak mahu menyintai Tuhan. Namun Tuhan tidak pernah berhenti menyintai kita.
Saya mengharapkan novel Lily yang akan datang lebih baik daripada ini. Secara terus-terang saya akui novel Aku Ada Kamu adalah karya Lily yang terbaik setakat ini. Janganlah lagi ada unsur mistik di dalamnya...

Novel 'SUNGGUH AKU CINTA' baru sahaja saya khatam beberapa minit yag lalu. Kisah cinta antara Humaira janda yang diceraikan oleh Azhan kerana hendak berkahwin baru dengan seorang bujang terlajak, Fajaruddin. Cinta mereka bersemi seiring dengan hobi mereka yang menyukai aktiviti lasak seperti mendaki gunung , menerokai hutan belantara dan menyertai pertandingan menaiki Menara Kuala Lumpur. Namun sedar statusnya sebagai janda , seboleh mungkin sedaya upaya Humaira mengelakkan hatinya daripada jatuh sayang berlipat ganda dengan Fajar yang tidak pernah putus asa memikat hati. Pada akhirnya hubungan ini mendapat tentangan daripada ibu Fajar, Datin Yati. Mengalahkah mereka? Tidak sama sekali malahan cinta yang membara semakin intim dan bertaut mesra. Musibah yang menimpa kepada Nur Suria adik Fajar yang kehilangan suaminya dalam usia yang muda menginsafkan Datin Yati untuk menerima kehadiran Humaira sebagai menantu.
Perjalanan percintaan Maira dan Fajar memang ada halangan orang ketiga iaitu rayuan daripa Azhan bekas suami Maira yang ingin kembali menagih kasihnya. Begitu juga dengan Jezmine yang menaruh hati kepada Fajar. Apa sahaja halangan ,jika sudah jodoh takkan beralih arah dengan ketentuannya.
Latar belakang tempat dan suasana lebih setengah dari mukasurat novel ini menceritakan aktiviti kegiatan ekspedisi dan aktiviti lasak ke dua hero ini untuk menggambarkan pertemuan dan mula putik asmara keduanya berkembang. Ini bahagian informasi yang ingin didedahkan oleh penulis kepada pembacanya iaitu tentang kegiatan lasak ini dan juga risiko pendaki gunung seperti penyakit acute mountain sickness (AMS) akibat perubahan altitude gunung. Didedahkan juga persediaan yang perlu dilakukan jika ingin menyertai ekspedisi mendaki gunung ini.
Romantiskah percintaan mereka ? Oh rasanya sesedap rasa. kehkehkeh. Biasalah lagak hero mengurat heroinnya. Apalagi bila berjumpa dengan wanita janda yang pernah mengalami tragis percintaan yang melukakan tentu sahaja segala rayuan menjadi bagai satu amaran untuk berhati-hati. Cuma satu bahagian yang saya tidak suka dalam novel ini. Adegan Fajar memujuk rayu dan meluahkan isi hati kepada Humaira menggunakan tajuk-tajuk novel di dalam kedai buku. Kenapa saya tidak suka? Sebabnya saya pernah terbaca adegan seperti ini dalam sebuah novel yang lain. Cara yang sama . Saya tak tahu samada novel lama penulis ini sendiri atau novel orang lain. Kalau dirujuk kepada umur Fajar dan Maira rasanya teknik percintaan ini tidak sesuai sebab kebudak-budakan. Alahai ..... saya dah berusia sebab itu tidak suka. Hehehehe...pembaca yang muda remaja mesti suka....Atau cinta itu memang buta, usia yang matang boleh menjadi muda remaja semula. Ada dua perkataan yang suka digunakan oleh novelis ini iaitu bercangkaliwang dan mengumpamakan. Dia seakan mencari keyakinan dengan mengunakan dua perkataan ini berulangkali.
Novel ini bagus juga dibaca sebab gaya bahasa menarik dan tidak berjela-jela. Cuma pada akhir cerita kisah Nur Suria dan Tengku Zakir dibuat seperti berebut-rebut untuk menjimat mukasurat. Sesuailah dibaca untuk setiap peminat novel. Saya memang membaca semua karya Anis Ayunni namun novel ini tidak dapat melawan kehebatan novel SUARA HATI , karya pertamanya. Semoga dia tetap terus menghasilkan karya yang lebih bagus dan matang pada masa akan datang.
Awal pagi saya dikejutkan dengan panggilan telefon yang saya tahu adalah nombor telefon bekas kekasih saya . Saya tidak lagi menyimpan nombornya tetapi saya ingat nombor yang hujung. Bila saya angkat, seorang perempuan marah-marah bertanya kenapa saya call sedangkan saya tak pernah call sesiapapun beberapa hari ini. Dia marah-marah dan mencarut sehingga saya akhirnya terus memutuskan talian dengan menjawab : sorry, wrong number. Saya amat sedih kerana begitu sekali seorang wanita mempertahankan haknya. Sedangkan dia tak perlu membuat begitupun kerana saya sudah lama redha dengan hakikat ketiadaan jodoh antara kami. Jika saya jahat, dia takkan mampu memiliki kebahagiaan dengan lelaki itu . Bukan jenis saya yang akan menjadi pihak ketiga dalam sesuatu hubungan. Biarlah saya menangis daripada melukai hati orang lain. Dalam hati saya membuat andaian mungkinkah dia sengaja mencetuskan rasa cemburu isterinya ? Dia tahu saya takkan berpaling kepadanya biarpun dia datang melutut sekalipun di hadapan saya. Dia sudah diberi pilihan dan dia memilih wanita itu. Bukankah saya bukan wanita terbaik untuknya? Jadi janganlah ganggu hidup saya lagi.
Saya rasanya sudah lama tidak menangis. Hari ini biarkan saya menangis sepuas-puasnya. Satu persatu masalah yang menimpa dan terpaksa saya selesaikan dengan secara aman akhirnya mengundang kesedihan dalam diri saya sendiri. Kenapalah saya harus menghadapi semua dugaan ini sendiri. Adakah mereka tahu apa yang bermain dalam minda saya? Adakah mereka tahu kebimbangan saya? Tidak sama sekali kerana manusia takkan mampu menlangkaui minda manusia lain melainkan saya meluahkan semuanya. Namun inilah kehidupan, saya harus bertarung seorang diri kerana tiada siapa yang dapat membantu. Biarkan aku menangis sekejap untuk beberapa detik ini . Esok bila fajar menyingsing, saya akan bangkit bersama sinar harapan untuk kembali teruskan perjalanan.

Alhamdulilah kerana saya berjaya menghabiskan bacaan novel DOA BUAT SUAMIKU karya Sri Diah , penulis yang juga saya minati karyanya. Sejak dua menjak ini Sri Diah semakin matang menulis dengan penggunaan bahasa yang cantik namun berat dan isu yang dia bentangkan pun berkaitan dengan kedewasaan.
Novel ini kisah saya ! Oppsss...bukan saya seorang tetapi novel ini dedikasi untuk semua wanita yang hatinya belum dimiliki. Novelis meletakkan dirinya sebagai pelaku utama namun bukan satu watak sahaja tetapi semua watak yang terlibat. Memang sakit baginya sakit juga bagi saya membaca dan menghayati setiap perwatakan watak. Setiap episod mewakili watak dan kita hanya akan dapat mengetahui watak siapa setelah menghayatinya sendiri. Pendekatan yang berbeza.
Sinopsis ringkasnya Hazwani wanita 40 tahun , solo dan berkerjaya tinggi. Dia dicintai dan dilamar oleh tiga lelaki, Iskandar bekas tunang ( 35 tahun ) , Datuk Munir majikan merangkap ayah sahabat baiknya Ain Fatihah dan Radhuan lelaki bujang. Jika Hazwani terdesak dan tidak kuat semangat pasti Iskandar menjadi pilihannya sebab rasa cinta masih ada untuk lelaki tersebut. Pada akhirnya siapa yang dia pilih, melahirkan rasa lega yang teramat dan saya bersorak sebab jodoh wanita sekental Hazwani adalah lelaki terbaik, masih bujang dan bukan milik sesiapapun. Kita didedahkan dengan isu lelaki yang sudah berumahtangga dan ingin berpoligami. Adakah semata kerana seksual seperti Iskandar yang mempunyai isteri yang sudah menopause dalam usia yang terlalu muda dan mengalami masalah komplikasi kelahiran anaknya sehingga rahim terpaksa dibuang. Atau adakah kerana rasa kasihan dan keinginan merasa pucuk muda seperti Datuk Munir ? Begitu juga dengan adanya konflik dalam rumahtangga Ain Fatihah apabila suaminya Si Hamdan terjebak dengan along. Kita juga disajikan dengan emosi seorang ibu yang tertekan dengan keadaan anak perempuannya yang sudah andalusia ,ditambah lagi perencah rasa marah kerana kematian suami tercinta yang terlibat kemalangan bersama Hazwani.
Tahniah saya lafazkan kepada Sri Diah sebab berjaya menyelami hati wanita berusia dengan begitu dalam sedalamnya. Saya sakit menghayati novel ini. Parah rasa hati bila Iskandar yang mulanya dulu melukakan Wani datang terhegeh-hegeh semula untuk kembali menjalin cinta dan memiliki Wani. Hanya kerana kekurangan isterinya. Egonya lelaki seperti ini. Jika Junainah sempurna dan tidak sakit, saya rasa Iskandar tidak akan kembali menagih cinta dari Hazwani. Dia pernah menelefon Hazwani menceritakan kebahagiannya seolah mahu merobek luka Wani yang sudah sedia ternganga luas. Aduhhh...mahunya saya sumpah lelaki ini menjadi katak. Bila saya terus membaca seakan saya bimbang Wani akan terdesak dan menerima kembali lelaki ini. Dalam hati saya sentiasa berdoa...janganlah Iskandar yang dia pilih. Jika ya...pasti saya bakar buku ini terus...kehkehkeh..emosi saya kerana novel ini. Dan ketika Datuk Munir melamar Hazwani dan wanita ini tidak terluah menyatakan yang hatinya sudah dimiliki oleh Radhuan, saya jadi bimbang kembali. Apalagi Datuk Munir meletakkan syarat kepada anaknya Ain supaya memujuk Wani bersetuju dengan lamarannya jika mahu dia membantu suaminya bebas dari along. Bimbang saya Ain akan menggunakan cara kotor untuk memujuk Wani. Namun alhamdulilah sebab ternyata Ain sahabat yang sangat tulus. Persahabatan beginilah yang diperlukan oleh semua orang. Cuma watak Radhuan tidak terlalu menonjol , percintaan mereka juga tidak digambarkan dengan romantis .Hanya sekadar percutian di Tokyo sahaja, kita dapat katakan bahawa pasangan ini dalam proses mengenali diri masing-masing. Namun kesungguhan cinta Radhuan patut dicontohi oleh semua lelaki , dia sanggup menjejak Wani hingga ke Tokyo. Masalah Wani sebenarnya bukan kerana tiada lelaki yang menyintainya tetapi dia seakan fobia dan trauma dengan kegagalan hubungan yang selalu tidak menjadi. Lantas dia persembahkan segala hati dan ruang hidupnya bertawakal kepada ALLAH SWT. Banyak hadis dan ayat yang penulis ini paparkan pada setiap sudut cerita. Terlalu banyak untuk menambah mukasurat. Ada satu yang buat saya garu kepala ialah bila Iskandar menceritakan baru lepas mendaftar kelahiran Nur Hazwa di Balai Polis. Agaknya cerita ini berlaku lama dulu. Sekarang ini kelahiran didaftar di Pejabat Pendaftaran sahaja dan tidak perlu ke Balai Polis.
Gaya bahasa cantik dan struktur ayatnya kemas dan teratur. Memang berat untuk menghayati novel ini. Terkadang saya bosan dengan bunga-bunga bahasa yang digunakan. Cuma penulis terlalu banyak imbas kembali peristiwa lampau terutamanya saat kematian abah. Hubungan ibu dan anak memang rapat namun disebabkan trajedi kematian abah menyebabkan hubungan ini menjadi celaru sehingga ibu Wani sanggup menyaman Wani di mahkamah atas tuduhan kecuaian memandu hingga menyebabkan kemalangan. Nampak ibu Wani menghadapi tekanan jiwa hingga Wani sanggup melarikan diri ke KL selama sebulan. Cuma pengakhiran cerita penulis lupa dengan watak Iskandar. Kita tak tahu apa terjadi kepada Iskandar sebab dia menghilangkan diri beberapa hari sehingga ibubapa Junainah mencarinya. Dan saya hairan dengan watak ibu Hazwani sebab pada akhir cerita dia tidak lagi mendesak Wani menerima Iskandar. Mungkin ibunya buat solat istikharah.
Walau berat sekalipun isu atau bahasanya mendalam dengan maksud yang tersirat , saya tetap akan membaca dan menghayatinya. Gaya Sri Diah masih tetap diminati.

Beberapa hari ini saya merasa tidak sihat, rasa demam yang ditahan-tahan. (Kak NB pasti ketawa guling-guling sebab si Liza ini asyik demam sahaja.....kena dikahwinkan cepat katanya )Bersin beberapa kali saya minum air panas. Namun saya tak mampu menahan sakit kepala ini yang kian berdenyut semasa membaca novel "DOA BUAT SUAMIKU" kerana novel ini dedikasi untuk perempuan seperti saya , yang hidup menyendiri dan menghadapi banyak dugaan . Lantaran itu saya hentikan sebentar dan menyelongkar almari melihat album-album lama. Banyak kenangan di situ dan tentulah ada manis dan pahitnya.
Saya paparkan satu gambar dalam koleksi saya, gambar pelayaran bersama ELLA pada tahun 1995 dahulu. Ini adalah peminat ELLA yang berjaya dalam peraduan slogan ELLA USA termasuk saya. Nama saya tempat pertama pula tu. Hadiahnya percutian ini secara percuma namun hadiah sampingan yang dijanjikan tidak saya terima. Tak apalah....kenangan ini paling berharga. Ini pertemuan yang ke 3 dengan ELLA. Fuhh best sangat masa itu. Nekad saya ke Semenanjung demi percutian ini. Saya dapat melihat sendiri pelancaran album ELLA 8494 dan bagaimana dia diajukan dengan banyak soalan yang provokasi daripada wartawan. Antara rakan yang saya kenali di atas , Yusairi (sebelah kiri atas) saya jumpa secara tidak sengaja di KUCHING dua tahun lepas. Waktu itu , kapal TLDMnya berlabuh di Kuching . Terkejut sangat ...hehehe. Yang lain saya putus hubungan ( lost contact) sebab masing-masing malas nak berhubung. Namun saya doakan mereka semuanya sihat, bahagia dan sukses dengan kehidupan masing-masing termasuk ELLA. Saya memang meminati ELLA sejak sekolah lagi. Semua albumnya saya miliki,video dan Cd pun saya ada. Gambar-gambar dan poster dalam majalah saya buat koleksi skrap book. Saya meminati lagu-lagunya. Masa muda itu, bila saya ingat balik...saya gelak sendiri. Betapa brutal dan aktifnya saya mengejar artis. Sekarang saya kurang mengikuti perkembangannya tetapi lagu-lagunya tetap saya minati. Selain Ella, saya juga meminati Erra Fazira. Hahaha.... saya pun ada berjumpa dengan Erra Fazira, mengikuti konsertnya. Dan saya merupakan Naib Presiden Kelab Erra Fazira Sarawak. Presidennya Awang Ehsan ( Sibu ). Ketika Erra buat konsert di Sarawak, saya kumpulkan semua peminat Erra untuk menghadiri perjumpaan dengan Erra di Hilton Hotel. Erra belanja High Tea. Dia cantik tanpa mekap tebal. Hahaha sekarang sejak 9 tahun saya sudah letak jawatan sebab saya tidak lagi tinggal di bandar. Malas saya nak aktif dalam hal sebegini. Bagi peluang pada golongan muda pula. Golongan muda seperti Nuar contohnya. Kalau ada artis buat promosi dan perjumpaan ,pasti kesesakan berlaku. Maklum peminat ramai. Namun semasa pertama kali berjumpa Ella tahun 1993 dulu, saya sebenarnya nak keluar dari khalayak ramai itu namun tertolak ke bahagian hadapan sehingga mahu tak mahu saya terus sahaja jumpa ELLA dan bergambar serta minta tandatangan. Semasa di kapal Coral Princess pula , ketika makan ,Ella dan kak JOJIE terus duduk sebelah saya....aduhhh tak lalu saya nak makan sebab segan sangat. Hehehe...begitu juga bila jumpa Erra , dia terus tarik tangan saya ajak jalan bersama. Segan sangat-sangat.
Sekarang ini saya pun rapat dengan artis juga iaitu NB. Novelis prolifik no 1 . Dulu saya hanya menulis surat padanya sebab saya hanya sekali sekala ke cyber cafe buka internet. Oleh kerana 'SI PANJANG" yang jaga makmal komputer mengawal internet sekolah melebihi kawalan kementerian maka saya beli broadband sendiri. Malas saya nak guna komputer sekolah sebab banyak songehnya. Kalau ada pihak tertentu datang bertanya atau membuat pantauan saya dah sediakan 10 alasan dan semuanya menuju kepada SIPANJANG. Jangan sampai dia kena penampar saya sudah. ( sabar-sabar......urut dada sekejap.) NB banyak mengubah hidup saya....bukan sedikit ilmu yang saya dapat darinya. Membaca blognya banyak iktibar yang saya dapat.Terima kasih atas segalanya kak.
Ingat tak ini ? New adventures of Superman : Lois and Clark. Ini kenangan lama saya...siri TV yang paling saya minati. Sanggup saya rakamkan siri ini dalam video. Sehinggakan cikgu senior saya Cikgu Badar dan Cikgu Wan Rosmini sanggup tolong saya merakam siri ini bila saya tak dapat mengikutinya. Minat sangat dengan siri ini sebab saya suka mimik muka LOIS ( Teri Hatcher) dalam siri tersebut. Lakonannya dalam DESPERATE WIVES pun best. Sekarang ada siri superman baru : SMALLVILLE tetapi watak heroinnya tak mengancam. Siri Lois and Clark ini melucukan dan saya memang akan gelak jika melihat aksi Lois ketika dia marah , cemburu atau gabra. Kalaulah ada CD siri ini terjual saya pasti akan memilikinya. Bukan saya sahaja yang sukakan siri ini , ada kes seorang pelajar spm dari semenanjung yang sakit seminggu kerana 'miss' satu episod siri ini sehingga doktornya menasihati ibubapanya mencari episod itu sebagai penawar. Kisah ini pernah keluar dalam suratkhabar. Pagi itu kak Wan Rosmini bertanyakan saya tentang rakaman siri ini namun alhamdulilah sebab TV3 telah memberikan rakaman kepada pelajar ini. Jika rakaman milik saya, saya berikan....hehehe saya pula yang 'jatuh sakit'. keh3
Namun kenangan tetap tinggal kenangan. Syukurlah sebab saya tidak lalai dengan hidup saya hanya kerana minat sebegini. Malahan saya jadikan ia sebagai motivasi untuk teruskan hidup dengan lebih ceria dan positif. Ia juga membantu saya menghormati minat anak-anak buah saya. Terkadang saya pening kepala dengan gaya dan kecenderungan mereka, namun kenalah terima perubahan zaman.

Alhamdulilah kerana saya berjaya menghabiskan bacaan novel ini hari ini. Cinta Lelaki hasil karya sulung Nur Asikin Arsad , salah seolah penulis NB Kara . Novel ini berbeza dengan novel-novel lain yang pernah saya baca. Kisah percintaan seorang lelaki dari persfektif seorang novelis wanita.
Sinopsis ringkas mampu saya berikan ialah kisah Hadi yang menghadapi banyak rintangan dalam bercinta dan pemilih dalam mencari jodohnya. Pada akhirnya pilihan yang berpandukan solat istikharah menjanjikan kebahagiaan buatnya. Namun pada saat akhir penulis cuba mengungkap rasa terkilan Hadi pada kebahagiaan Sofea dan Marjinah. Egokah lelaki ini seakan tidak mengizinkan wanita yang pernah hadir dalam hidupnya beralih rasa cinta dan kasih kepada lelaki yang lain. Kita sebagai perempuan tak mungkin mengharap pada lelaki yang sudah berpunya. Hakikatnya kita mencari bahagia kita sendiri. Kalaulah ramai wanita di luar sana berpandangan begini takkan timbul soal wanita menjadi orang ketiga dalam sesuatu perhubungan itu.
Jalinan cerita mengungkap setiap hubungan Hadi dengan Johanna, Sofea, Marjinah dan Aliya ditulis dengan gaya mendatar, santai dan tiada konflik yang mengejutkan atau mencemaskan. Sekadar hubungan dengan Johanna agak suspens sedikit tetapi setelah putus tunang, Johanna terus melenyapkan diri sedangkan mengikut perwatakan sadis dan brutal watak Johanna ,penulis boleh kembangkan watak ini terus menjadi pengacau kehidupan Hadi. Watak Aliya pula seperti bunga api, sekelip mata sinarnya menceriakan sekelip mata terus padam. Watak Aliya ini gambaran wanita yang tidak tetap pendirian. Sudah ada kekasih masih lagi nak mencari spare part. Watak Hadi ini digambarkan lelaki perasan yang wajahnya handsome gila....menyampah dengan lelaki seperti ini. Sombong pada perempuan. Saya pernah kenal lelaki seperti ini, sejak mula memang saya berbulu sangat...selalu gaduh dengannya. Sehingga tiba satu part saya doakan dia jatuh tangga....jeng jeng jeng, keesokkannya dia pergi kuliah dengan jalan berdengkot-dengkot.. padan muka. Memang sah doa saya dimakbulkan...jahatnya saya waktu itu.
Gaya bahasa yang digunakan oleh novelis ini standard. Tak ada kesilapanpun. Bijak editornya menyemak. Susah nak cari kesilapan. ( So, nampak sangatkan si Liza ni tak dapat lari dari kerjayanya...asyik nak cari silap orang je...kehkehkeh) Suka sangat dengan gaya bahasanya. Ada lucu juga , selamba je lucunya. Cuma mungkin silap teknikal, di mana Johanna teruja nak makan makanan mamak tetiba boleh bertukar ke arah masakan cina pulak. Mungkin alahan perempuan mengandung...
Novel ini berjaya buat saya menitiskan airmata saya yang amat berharga ini. Saya sukakan watak umi. Umi ibu yang penyayang dan wanita terhebat. Saya menangis saat umi terjatuh dan meninggal pada majlis perkahwinan anak sulungnya. Sedih sangat meratapi kehilangannya kemudian melihat keadaan Atiqah yang masih kecil dan belum mengerti tentang perginya umi untuk selamanya.
Kisah Johanna yang hampir kita lupakan boleh timbul semula saat pada saat akhir cerita. Menyampah dengan watak Johanna ini. Cuma saya tak puas hati sebab penulis tak kembangkan watak Tengku Shazlan. Biarlah kita disajikan kisah cinta mereka pula. Agaknya cuma fokus kepada Hadi sahaja. Novel ini menarik sebab kita kenal beginilah perwatakan lelaki yang selamba, ego dan boleh jadi buruk kalau frust menonggeng. Saya dah biasa jumpa perwatakan sebegini....kan saya ramai hero dalam keluarga. Pernah jadi penyelamatpun juga.....
Tahniah kepada Nur Asikin atas kelainan karya anda. Teruskan menulis. Saya tunggu hasil tangan anda seterusnya.