SEMANIS GULA KAPAS oleh Norhayati Berahim

0

Posted by Leeza | Posted in

SEMANIS GULA KAPAS 


Novel Semanis Gula  Kapas karya Kak Norhayati Berahim adalah sebuah karya yang berbeza daripada karya-karyanya yang terdahulu. Tidak tahu mengapa saya merasa menjadi seorang pembaca yang mengkhianati diri sendiri dan melangkaui bacaan dengan menyelak beberapa halaman terakhir . Okay..saya tahu saya belot dan tidak adil kerana menipu dengan melihat pengakhiran watak budak comel bernama Aiman. Saya kecewa sebab watak Aiman dimatikan seperti rasa kecewa saya dengan watak Amin dalam novel karya beliau terdahulu iaitu Menunggu keretapi. Namun ketika ini, saat ini, saya telah puas menangis tersedu-sedu kerana watak Aiman ini. Pengakhiran yang sedih bila terungkap segala tandatanya dengan pertemuan emak Syed Khaled dengan keluarga Nurin. Saya sedih dengan perginya Aiman sebelum sempat dipertemukan dengan Mak Mah dan Nurin. 

Penulis ini begitu bijaknya mempermainkan minda pembaca untuk terus tertanya-tanya di mana kesudahannya watak Aiman dengan berteka-teki. Saya pada mulanya menganggap Matt itu adalah Aiman dan perpindahannya ke luar negara mengubah jalan hidupnya...dan emak Aiman bukan kah rugged dengan dunia modelingnya? Mungkinkah emak Aiman , Puan Sri Suriani menjalani hidup sengsara sehingga traumatik yang kronik ? Kemudian si Matt mengakui dia juga lambat pandai membaca dan adiknya Justin yang dileksia. Bila hadir Syed Khaled , sayapun tertanya-tanya siapa dia? 

Apa yang membuat saya sangat tertarik dengan novel  ini ialah tentang kanak-kanak istimewa yang menghidapi dileksia. Juga pendedahan tentang bagaimana para pendidik menanggani masalah dileksia sebegini. Sikap panas baran Cikgu Naim menjadi iktibar sehingga ketika membaca saya mengecam sikap buruk sebegini. Jika menjadi guru hendaklah kebal dan tebal dengan sifat kesabaran, kaya dengan  rasa kasih sayang dan belas ihsan terhadap anak-anak didik. InsyaAllah , hasilnya pasti bombastik bila melihat anak-anak menunjukkan perubahan dalam pembelajaran. Penguasaan anak-anak berbeza dan teknik dan pendekatan yang digunakan untuk memastikan mereka dapat menguasai kemahiran yang diajar juga berbeza. Cikgu yang hebat adalah cikgu yang dapat menguasai semua teknik dan pendekatan untuk semua segi dalam menentukan kebolehan murid-murid. Bila membaca novel ini , ilmu kita perolehi seiring dengan hiburan. Ya..betapa santainya kita membaca pelbagai ilmu dari ilmu tentang dileksia, ilmu agama dengan hadis dan surah, juga ilmu semasa tentang perjuangan di Palestin. Setiap dialog yang diucapkan ada perbincangan ilmiah . Saya sangat suka kerana setiap bait ayat yang ditulis bukan ayat-ayat cintan - cintun , malahan setiap watak yang bercinta berhati-hati mengungkapkan rasa hati, amat terkawal dan terjaga kesopanannya. Lembut dan tidak kasar. Pun ada watak antagonis yang buat kita geram dan meroyan...hahaha. 

CYST adalah satu penyakit yang mengingatkan saya pada saat  pertama kalinya saya mendengar seorang kawan sekampung bercerita tentang kakaknya , dan bomoh kampung menyatakan hantu jembalang laut. Malahan ada beranggapan itu adalah angkara buatan orang termasuk diri saya. Ketika saya berkongsi hal ini dengan kakak NB dia memberikan saya artikel-artikel tentang Cyst. Saya berharap tidak akan yang cetek ilmu seperti saya. Ketika saya memberitahu kakak saya dan kawan sekampung ini, saya tahu mereka kurang yakin dan tidak percaya, namun artikel-artikel tersebut telah saya cetak dan berikan padanya untuk membaca. Saya akui masyarakat kita masih tebal dengan kepercayaan tahyul sebegini. 

Banyak isu yang disampaikan oleh penulis dan ketika difikirkan , semua isu ini adalah kenyataan dan realiti hidup masa kini. Hasad dengki , tidak sabar dan lupa pada Allah seakan tidak asing lagi pada waktu ini. Namun kita harus sedar, ramai generasi muda yang celik akal dan berilmu. Golongan inilah yang menginsafkan kita. Watak Justin yang comel dan bagaimana dia berusaha memulihkan mamanya dengan didikan gurunya Nurin. Pun juga saya merasa marah dengan watak Matt yang degil. Kita maafkan sahaja si Matt yang lupa diri ini dan berdoa semoga Noria berjaya mengubahnya. Bersyukur kerana Matt sedang dalam proses belajar untuk kembali ke pangkal jalan. 

Walau saya sakit hati watak Aiman dimatikan, namun pengakhiran cerita dengan kebahagiaan keluarga ini menjadi penawar. Apa lagi bila Aiman tidak dilupakan , malahan menjadi kesayangan semua orang.

Novel ini masih berlatarkan keluarga bahagia , cara didikan dan pergaulan yang lembut, didikan agama yang dititik- beratkan dan nilai kasih sayang. Kita dibawa ke dalam dunia dileksia dan mengasihi anak-anak istimewa ini. Jika saya puas hati dengan novel ini  kenapa tidak anda ? Bahasanya mudah difahami, dan mesej yang disampaikan dekat dengan hidp kita seharian.

Tahniah kak Norhayati Berahim. Saya berharap beliau akan tetap menulis dan mendidik masyarakat melalui penulisannya. Dapatkan karya ini di http://www.nbkara.net