LANGSIR BIJI REMIA oleh Noor Suraya

0

Posted by Leeza | Posted in

Saya berjaya khatam dua buku dalam seminggu...yes, yes. Alhamdulilah buku yang saya beli semasa PBAKL 2010 ini berjaya juga saya khatam. Ceritanya sangat menarik, menyayat hati dan memberi keinsafan di hati pembacanya. Bak kata Kak Noor Suraya di mukasurat pertama bukunya : Cantik itu letaknya di hati, sayang. Ya, kisah bagaimana dua sahabat sejak kecil dan Umair si teruna yang menaruh hati kepada Duha Hafa, anak jiran sebelah. Namun bertahun berlalu dia melihat perubahan pada Duha Hafa apabila tidak lagi semesra dulu padanya. Malahan gadis itu sudah berhijap. Tertanya juga hati ini mengapa wajah Duha sangat hodoh dan tidak hairanlah dia merasa amat rendah diri. Malahan kekurangannya ini membuatkan dia tidak suka bergaul dengan orang lain. Syukur alhamdulilah bila dia bekerja sementara di sebuah kedai buku Ceritalah Lagi, milik Kak Hada dan Kak Ain , dia merasa sangat gembira dan amat meminati kerjanya di kedai tersebut. Pada suatu hari, dia terlihat keadaan abang Adam suami Kak Ain yang sakit, benar-benar menginsafkannya bahawa ada orang lain lebih menderita daripadanya. Ini menimbulkan keyakinannya untuk berjuang dan bersyukur dengan apa yang dimilikinya.

Teruna yang asyik masyuk si Umair pula terusan menganyam mimpi untuk menyunting Duha sebagai permaisuri hati. Sehingga Duha mengambil keputusan untuk mempamerkan wajah sebenarnya di sebalik hijap untuk dilihat oleh Umair . Dia yakin Umair tidak semulia lelaki yang sanggup menerima kekurangannya kerana dia kenal Umair yang mementingkan kesempurnaan. Dan ketika terhempas pinggan antik nenek Gujerati , umpama sekeping hati Duha yang hancur berkecai kerana seperti dugaannya, Umair terkejut. Sejak itu Umair tidak lagi seperti Umair yang kemaruk dengan Duha. Dia ternyata tidak mampu menjadi kawan baik yang memahami Duha. Duha pula gadis yang tabah walau hatinya luka dengan tindakan Umair.

Namun kehendak Allah telah mengatur pertemuan jodoh sebenar Duha dengan anak Haji Amiruddin ketika mengerjakan umrah. Pertemuan yang manis dan penerimaan Ahmad Muhsin terhadap Duha Hafa sangat bermakna. Ya , cantiknya letak di hati bukan pada wajah . Wajah akan dimamah usia dan hati yang cantik akan semakin cantik walau usia semakin menginjak senja. Pada akhirnya , betapa bahagianya hidup Duha dengan suami dan tiga orang anaknya. Sementara Umair sentiasa menjeling jendela rumah sebelah dan keluarganya yang tidak seperti idamannya. Dia seakan menyesali pilihannya. Ternyata lelaki ini masih gagal menjadi ketua keluarga. Dia seakan didominasi oleh isteri kerana apa sahaja keputusan di rumah terletak kepada keputusan isteri. Peristiwa jendela antara dia dan Duha diulangi oleh Zara anak Duha dan Amar anak sulung Umair. Apakah Amar akan mengulangi kesilapan ayahnya Umair? Semoga tidak sedemikian.

Gaya penulisan Kak Noor Suraya telah dapat saya cam dengan lenggok dan dialeknya. Ia membuat kita seakan dekat dengan watak-watak dalam cerita ini. Ketabahan dan kesabaran watak Duha bila diduga menjadi iktibar buat kita. Watak Haji Amiruddin mengingatkan saya kepada arwah Pak Idris , ayah kawan baik saya. Al fatihah untuk beliau yang pernah mengasihi dan mengasihani saya.....

Saya syorkan rakan-rakan membaca novel ini walau ia dikategorikan novel si manis 17.

BAJU MELAYU HIJAU SERINDIT oleh Syud

0

Posted by Leeza | Posted in

Novel ini saya beli pada tahun 2010 tetapi baru saya baca beberapa hari lepas. Saya sekarang sedang giat menghabiskan stok buku saya yang banyak. Mana tidaknya setiap kali ke kedai buku saya pasti memborong buku. Begitu juga bila berkesempatan ke KL.

Saya  menggemari novel santai ini. Gelihati dengan cerita yang disampaikan.Ringan dan gaya bahasa yang ringkas . Apa yang saya suka ialah penulis memaparkan kehidupan hero Firas dan heroin Wardah yang mempunyai latar belakang keluarga yang baik-baik dan mengamalkan kehidupan beragama. Benarlah bahawa anak-anak yang lahir dalam kehidupan keluarga yang terurus dan kuat pegangan agamanya pasti terjaga kelakuan dan sopan santunnya.

Wardah yang tersepit dengan kehendak mamanya menyebabkan dia meminta tolong daripada Firas a.k.a Pacai. Daripada pertemuan yang kerap kali terjadi menyebabkan Firas jatuh hati kepada Wardah. Begitu juga Wardah yang lambat menyedari perasaannya sehinggalah dia terlihat Firas duduk dengan seorang gadis cantik di sebuah restoran. Firas yang nakal dan selalu tidak serius telah menempah seutas rantai untuk diberikan kepada Wardah jika dia menyambut hasrat hatinya. Wardah pula beranggapan bahawa Firas membeli rantai untuk seseorang yang istimewa tanpa menyedari bahawa rantai itu adalah untuknya.

Entah bagaimana bermulanya pergaduhan antara keduanya sehingga mereka berpisah untuk sementara waktu. Sayangnya Wardah menganggap Firas mempermainkannya pada saat dia meluahkan isi hatinya. Namun kejadian kemalangan jalan raya yang teruk yang melibatkan sebuah kereta hitam seakan kereta kepunyaan Firas menyebabkan Wardah sangat menyesali tindakannya yang memarahi Firas. Pada hal pada saat itu Firas diserang demam denggi yang teruk sehingga dimasukkan ke hospital. Ini menyebabkan Wardah menangis kerana Firas tidak dapat dihubungi. Kalau dah jodoh tidak akan ke mana. Bagaimanapun, setelah berusaha, akhirnya Wardah dapat menghubungi Firas dan mengetahui bahawa lelaki itu dimasukkan ke hospital  daripada adiknya. Dan seterusnya, cinta mereka bertaut hingga ke jinjang pelamin.

Begitulah indahnya dugaan dalam percintaan pasangan Firas dan Wardah. Restu keluarga dan sokongan kawan-kawan memperlengkapkan hubungan kedua-duanya. Jadi dapatkan di pasaran novel yang mampu mencuit hati ini. Apa yang pasti saya teringat Intan MGM bila membaca novel ini, perwatakan Wardah yang snagat manis seperti manisnya Intan di hati saya setiap kali membaca statusnya di FB. Saya berdoa Intan dan semua gadis-gadis mendapat pasangan yang baik seperti Firas. Selamat membaca....

TERUS CINTAI AKU oleh Aleya Aneesa

0

Posted by Leeza | Posted in

Novel ini saya beli semasa Pesta Buku Antarabangsa KL 2012 yang lalu dan hanya berkesempatan membacanya baru-baru ini. Saya secara peribadinya gelisah membaca novel ini kerana mungkin huruf-huruf yang tercetak terlalu mendera mata tua saya.
Ia mengisahkan tentang janji zaman kecil dan Zalis yang terlalu setia. 20 tahun berpegang pada janji Khilfie . Namun normallah jika dia kecewa bila Khilfie memilih wanita lain sebagai tunangannya. Bukan salah sesiapapun jika Khilfie tidak ingat kepada Zalis dan janjinya itu. Juga bukan salah Zalis yang mengharap sesuatu yang tak pasti. Siapalah kita untuk memaksa seseorang untuk mencintai kita. Namun jodoh yang sebenarnya tertakdir kepada Zalis dan Khilfie membuatkan Khilfie jatuh hati dan mengejar Zalis. Sayangnya Zalis berusaha untuk mengelak dan menjauhkan diri daripada Khilfie kerana dia bukan jenis wanita yang mudah untuk melukakan hati tunangan Khilfie, Jaznita.Kisah cinta tarik tali ini kadang-kadang membuat saya bosan membacanya. Apa lagi bila terdapat teknik pengulangan beberapa ayat. Ada yang diulang sampai 3 kali. Terkadang saya keliru bila sekali sekala penulis menyatakan bahawa Zalis mengharap selama 16 tahun atau 20 tahun. Entahlah, mana satu yang betul.
Walau bagaimanapun saya terhibur dan lebih tertarik dengan keluarga bahagia Zalis. Kedua ibubapanya sangat memahami masalah anak-anak. Tambahan pula dengan keletah tiga orang abang Zalis, Zafran, Zulhan dan Zahfir yang mencuit hati. Saya gelak dengan gurau senda mereka. Bahagia menjadi seorang Nurzalis Najwa kerana disayangi dan dimanjai oleh keluarganya. Sikap keluarga yang prihatin menjadikan Zalis tabah menghadapi kelukaannya. Luka bercampur dengan rasa malu bila isihatinya terbongkar dengan sebuah foto zaman kanak-kanak mereka berdua. Dalam keadaan apapun juga, baik suka dan duka, sokongan keluarga sangat penting. Nasihat untuk kita semua bila bercinta jangan sesekali mengabaikan atau membelakangkan keluarga. Kelak bila cinta putus di tengah jalan tidaklah kita tergapai-gapai keseorangan.Sesungguhnya manusia sangat rapuh bila dalam kesedihan dan ini ditakuti didekati godaan iblis dan syaitan. Sekurang-kurangnya keluarga boleh mengingatkan kita tentang batas pergaulan dan mengejutkan kita daripada kealpaan. Indah bila cinta direstui dan pahit jika terhalang. Ia kisah cinta yang biasa-biasa sahaja. Tiga bintang untuk novel ini. Mungkin citarasa kita tidak sama. Selamat membaca.


KEINDAHAN CINTA IMAN oleh Zuraidah Othman

0

Posted by Leeza | Posted in

Novel ini hasil nukilan Zuraidah Othman yang terbaru setelah lama beliau menyepi diri. Dan hasil tulisannya tidak mengecewakan kita untuk membacanya. Saya membaca novel ini hanya beberapa hari sahaja dan saya puas hati dengan garapan yang cantik daripada beliau.

Saya mengkategorikan novel ini sebagai novel keluarga kerana ia bertemakan kekeluargaan . Kasih-sayang yang terjalin di dalamnya mengundang empati kita untuk turut merasainya.Ketika mengenali watak Indah Balqish , terdetik perasaan belas kasihan kepadanya yang yatim , dan sebatang kara. Namun kehadirannya dalam keluarga tiri mendapat kasih sayang daripada abang-abangnya dan ibu tirinya. Cuma bila kian dewasa, dia disogokkan dengan pelbagai masalah sehinggalah kehadiran kakak iparnya Nadiah mengucar-kacirkan keadaan. Dia akhirnya dituduh menjadi penyebab kematian ibu tirinya.

Nadiah ,watak yang menjadi penjahat dalam novel ini kemudian dikembangkan menjadi penyebab kepada semua masalah yang timbul termasuk mengahwinkan Indah dengan lelaki yang mempunyai tanggungjawab terhadap 4 orang bersaudara. Pada saat menjelang hari pernikahan, muncullah abangnya Zaidi yang membongkar rahsia kematian ibunya. Namun jika jodoh takkan ke mana perginya, melihat wajah anak kecil yang comel Mia Anshara , membantutkan niat Indah untuk membatalkan perkahwinannya. Selepas itu bermulalah cinta selepas perkahwinan antara keduanya. Seawalnya Badriz Iman telah lama jatuh hati kepada Indah Balqis. Saya suka dengan suasana keluarga baru Indah ini. Bagaimana Indah berusaha sedaya upayanya membahagiakan rumahtangga barunya dan menanggani kerenah 4 bersaudara yang nakal-nakal. Haaa...saya pening sebenarnya dengan pergaduhan Izat dan Aishah yang tiada hentinya berbalas-balas perang mulut. Saya merasanya otak saya pening dan telinga saya bingit. Sampai ke tahap itu saya menghayati novel ini. Kemuncak muslihat Along , anak remaja yang jatuh hati kepada bapa saudara sendiri (yang dia sudah tahu bukan mahramnya) adalah bila Iman menghalau Indah keluar dari rumah untuk mencari Along. Kemudian dikesali pula tindakannya ini. Keadaan Indah yang pengsan kenapa tidak penulis kaitkan kemungkinan Indah mengandung ? Namun pembaca dapat buat andaian , keadaan Indah yang jatuh pengsan disebabkan dirinya yang keletihan dan kelaparan. Konflik keluarga bagaimana seorang wanita muda menanggani masalah anak-anak ini meninggalkan rasa kagum dan kelucuan . Ya, novel ini juga novel komedi. Kita bergelak ketawa membaca telatah Indah Balqis pada ketika dia melarikan diri daripada majlis merisiknya. Penggunaan ayat juga ringkas dan bersahaja, mudah untuk difahami. Cuma pembaca sudah biasa dengan gaya penulisan Zuraidah , yang boleh mengesan siapa penutur dialognya.

Ada dua kali teknik pengulangan digunakan oleh penulis dalam  novel ini. Seeloknya beliau tidak perlu mengulang peristiwa yang sama walaupun menggunakan watak yang berlainan. Walau bagaimanapun pengulangan ini hanya berlaku di awal cerita sahaja kerana selepas itu perjalanan ceritanya sangat menarik. Penghujung novel kita diwujudkan dengan suasana yang bahagia sebagai penyelesaian cerita. Perpindahan ke rumah baru yang lebih besar seakan melambangkan kebahagiaan keluarga ini. Perubahan Aishah adalah menjadi penawar kepada semua masalah yang ditimbulkannya. Kehadiran watak Fitrah Najwa dan Afif Jauhari pada hujung novel membuat ia seakan bergantung kerana hanya diperkenalkan kepada pembaca pada hujung cerita sahaja. Kenapa semasa keluarga ini menghadapi kemelut sebegini, mereka tidak dimunculkan sebagai watak keluarga Iman yang amat memahami dan memberi sokongan kepada Iman dan Indah? Lagipun saya dapati Iman begitu rapat dengan Afif Jauhari ini. Jika penulis menggambarkan kegembiraan gurau senda empat abang Indah pada penghujung novel ini , mungkin tidak timbul kejanggalan pada penghujung cerita. Saya sebenarnya berharap ke empat-empat abang Indah dikumpulkan dan mereka boleh bergurau senda bersama. Bukankah hakikatnya mereka amat menyayangi Indah Balqis ? Saya kasihan pada watak Zahari yang mendapat isteri  yang sangat teruk dan terlalu dominan. Watak paling menyampah ialah watak Ros Glamour....hehehehe teruklah. Jom sahabat, milikilah buku ini dan anda tidak akan berhenti ketawa ketika membacanya.Sangat lucu sehingga menyorokkan pinggan mangkuk dan peralatan memasak di bawah katil...hahahaha.

Dapatkan novel ini di kedai-kedai buku berhampiran anda kecuali POPULAR . Anda boleh melanggan terus daripada NB Kara Sdn Bhd. http://www.nbkara.com.my atau http//www.norhayatiberahim.blogspot.com.


RUMAH TERBUKA NBKARA DI KAJANG

1

Posted by Leeza | Posted in

Pada 16 September 2012, pihak NB Kara Sdn Bhd, telah membuat rumah terbuka di pejabatnya di Prima Saujana. Kebetulan saya telah selesai menyiapkan anak-anak murid saya yang menghadapi UPSR pada 13,14 dan 15 September. Saya selalu pergi bercuti selesai UPSR setiap tahun. Tak boleh hendak mengelak, agaknya sampai pencen saya mengajar kelas Tahun 6 UPSR. Teringin juga ada pasukan pelapis dan saya tidak sabar-sabar hendak turunkan kemahiran dan strategi kepada pasukan pelapis ini. Mari kita lihat gambar-gambar sekitar Majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri 2012 ini.

Keluarga Jemari Seni, Kak Noor Suraya , Imaen dan Wan Amalyn
Rafidah Hussein rakan facebook pun datang dengan anak dan suaminya

Berjumpa dengan Yasmin dan keluarga
Saya suka dengan anak ini, Airis. Aksinya sering membuat saya gembira ,gelak dan tersenyum

Bertemu dengan Lola Eyra dan suaminya, pasangan Kodok yang sangat cute. Patutnya suaminya si Ismail bergambar sama.

Bertemu lagi dengan penulis NB Kara , Kak Zuraidah Othman, novelnya keindahan cinta Iman mencuit hati.

Ini Qaisara and gang , budak handsome di sebelahnya itu rakan sekelas Qaisara.

Dengan sahabat Ketua Editor majalah Muslimah, Nik Fauziah. Kali ini sunyi pula saya sebab takd engar dia berbual.

Ini Vietnam mari...hahahaha pasangan Kusyi Hirdan dan Zul Haron.

Khamisah dan Mohd Ridzuan juga datang

Nur Shakira sekeluarga datang mewakili Ibu June..hahaha anaknya itu comel.

Bergambar dengan Atan yang memandu Kodoknya sendiri.

Berkesempatan bergambar di kedai buku NB Kara

Dah selesai majlis, ini orang yang paling rajin mengemas...hehehe Zafran yang comel, bakal Imam Muda.
Dan saya buat pertama kalinya melihat sendiri buah tin atau FIG dan berpeluang merasanya. Sedap sangat.Syukur alhamdulilah.
Terimakasih kepada Kak Norhayati Berahim, Pak Seyit Kara, keluarga dan semua staf NB Kara atas layanan yang sangat baik. Juga terimakasih kepada semua sahabat FB yang hadir dari dekat mahupun yang jauh atas layanan yang sangat mesra....moga Allah berkati kalian dunia dan akhirat , amin.

SHAMSIAH FAKEH oleh Azzah AR

0

Posted by Leeza | Posted in

Novel sejarah keluaran PTS Litera ini saya beli di Kajang , 15 September 2012 yang lalu. Saya mengambil masa tiga hari untuk khatam novel ini. Novel ini padat dengan rentetan sejarah dan peristiwa yang dialami oleh Shamsiah Fakeh seorang pejuang kemerdekaan . Saya teringat detik-detik masa kecil saya bila seringkali mendapat risalah tentang komunisme dan ada di antaranya berbentuk komik. Juga saya masih ingat pasukan tentera yang acap kali membuat rondaan samada menggunakan helikopter atau sepasukan tentera darat yang datang ke kampung-kampung. Saya akui pengetahuan saya cetek tentang penglibatan Shamsiah Fakeh ini.

Apa yang dapat saya katakan tentang Shamsiah Fakeh ? Saya kagum dengan semangat perjuangannya. Dia satu-satunya wanita yang sangat berani dan tabah. Keadaan perkahwinan yang gagal dan kematian anak-anak boleh menyebabkan wanita biasa patah semangat dan sakit jiwa. Namun sebaliknya, dugaan ini makin mengentalkan semangat yang ada pada diri Shamsiah Fakeh. Semangat juang sebegini harus dicontohi oleh semua wanita di dunia ini. Novel ini seakan mengajak menghayati setiap hari yang dilalui oleh Shamsiah Fakeh. Satu kisah yang tidak kita ketahui selama ini. Segalanya terjawab dalam novel ini. Hari-hari getir yang dilaluinya melarikan diri dalam hutan dan saat dia menyelamatkan anaknya , sangat getir dirasakan. Kita tak mungkin dapat menandingi kecekalan dan ketabahan beliau. Satu lagi beliau tanpa henti melafazkan zikir dan berserah pada Allah. Saya memikirkan bahawa seorang komunis tiada pegangan agama dan ternyata saya silap membuat caturan dan tekaan. Beliau masih seorang Islam yang berpegang kepada agama. Perjuangannya adalah untuk menentang penjajah. Novel ini memberi saya banyak kesedaran dan saya bangga bila beliau tetap membuat rayuan untuk kembali ke tanahair. Syukur kepulangannya ke tanahair sebagai Shamsiah Fakeh dan menggunakan pasport Malaysia. Bersyukur kerana beliau kembali ke tanahair sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

Ya , amat benar sekali bahawa novel ini membuka minda saya tentang Shamsiah Fakeh dan perjuangannya. Sahabat-sahabat pembaca saya harus memiliki novel ini untuk mengetahui kebenaran perjuangan beliau. Bak kata beliau , beliau memegang senjata tetapi tidak pernah melepaskan tembakan. Sepanjang masa perjuangannya ialah melarikan diri dari ditembak oleh musuh.Moga roh arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman...amin.